Wednesday, August 17, 2016

Burung Terbang Dipipiskan Lada(ms12-14)



Kata sahibulhikayat, maka tersebutlah perkataan Raja Benua Siam, Dari zaman dahulu kala negeri Siam itu Syahrunnuwi namanya disebut orang, dan raja-raja di bawah angin ini semuanya takluk kepadanya, dan nama rajanya Bubunnya. Telah kedengaran ke benua Siam bahawa Melaka negeri besar yang tiada takluk kepadanya, maka Paduka Bubunnya pun menyuruh ke Melaka hendak minta surat sembah. Maka Sultan Muzaffar Syah tiada mahu menyembah ke benua Siam. Maka Raja Benua Siam terlalu marah, lalu menyuruh berlengkap akan menyerang Melaka; Awi Cakri nama panglimanya, membawa rakyat terlalu banyak tiada terpermanai lagi. Maka dipersembahkan orang ke bawah Duli Sultan Muzaffar Syah bahawa Raja Benua Siam menitahkan hulubalang, Awi Cakri namanya, membawa rakyat terlalu banyak tiada terpermanai banyaknya, berjalan darat terus ke hulu Pahang. Maka telah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, maka baginda menyuruh menghimpunkan segala rakyat teluk rantau berhimpun ke Melaka. Dan akan Tun Perak membawa orang Kelang ke Melaka dengan anak isterinya sekali. Maka orang Kelang berdatang sembah kepada Sultan, “Ya tuanku, segala teluk rantau yang lain semuanya menghadap dengan laki-laki juga; akan patik sekalian dibawa oleh Tun Perak dengan perempuan sekali.”
i.Berikan maksud menghimpunkan segala rakyat.      [2 markah]
Maksud menghimpunkan segala rakyat ialah mengumpulkan semua penduduk

ii.Nyatakan reaksi Raja Benua Siam apabila diberitahu bahawa Sultan Muzaffar Syah tidak mahu menyembah benua Siam.   [3 markah]
Reaksi Raja Benua Siam apabila diberitahu bahawa Sultan Muzaffar Syah tidak mahu menyembah benua Siam ialah Raja Benua Siam sangat marah lalu menyuruh tenteranya  menyerang Melaka. Awi Cakri dititahkan untuk mengetuai serangan tersebut dan membawa rakyat yang sangat ramai ke hulu Pahang.

iii.Sekiranya anda Sultan Muzaffar Syah, apakah yang akan anda lakukan untuk mengelakkan Raja Benua Siam menyerang kerajaan anda? [3 markah]
Sekiranya saya Sultan Muzaffar Syah, tindakan yang akan saya lakukan untuk mengelakkan Raja Benua Siam menyerang kerajaan saya ialah Membuat rundingan secara baik dengan Raja Benua Siam. Selain itu, meminta bantuan pihak ketiga untuk menjadi orang tengah. Akhirnya, memohon maaf dan menyatakan kesediaan untuk menyembah negeri Siam.

Maka oleh Seri Amerta kata Tun Perak itu semuanya dipersembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan. Maka baginda pun tersenyum, seraya bertitah, “Benar seperti kata Tun Perak itu.”
Maka diambil baginda sirih dari puan baginda, disuruh berikan kepada Tun Perak. Maka titah baginda kepada Tun Perak, “Bahawa Tun Perak tiada patut diam di Kelang lagi; baiklah Tun Perak diam di negeri.”
Hatta, maka orang Siam pun datanglah, lalu perang dengan orang Melaka. Ada beberapa lamanya berperang, maka banyaklah rakyat Siam yang mati, Melaka tiada alah. Maka rakyat Siam pun kembalilah, seraya ia pulang segala rotan ikat barang-barangnya semuanya dicampakkannya di hulu Muar. Maka rotan itu pun tumbuh; itulah dinamai orang Rotan Siam, manakala pasungan kayu ara itu pun tumbuh juga, datang sekarang di hulu Muar jua, dan tumang Siam tempat bertanak itu pun tumbuh juga, datang sekarang. Telah rakyat Siam sudah pulang, maka segala orang teluk rantau pun kembalilah masing-masing ke tempatnya. Maka Tun Perak tiada diberi baginda pulang lagi ke Kelang; diam di Melaka, dijadikan baginda bentara.
i.Berikan maksud Benar seperti kata Tun Perak itu.  [2 markah]
Maksud Benar seperti kata Tun Perak itu ialah raja   bersetuju dengan kata-kata Tun Perak itu.

ii.Apakah yang berlaku kepada Tun Perak selepas orang-orang Siam dan orang-orang teluk rantau kembali ke negeri mereka semula? [3 markah] Perkara-perkara yang berlaku kepada Tun Perak selepas orang-orang Siam dan orang-orang teluk rantau kembali ke negeri mereka semula ialah Raja         tidak membenarkan Tun Perak pulang ke Kelang sebaliknya meminta Tun Perak terus tinggal di Melaka. Selain itu, Tun Perak telah dilantik sebagai bentara           .

iii.Sekiranya anda raja, selain menganugerahkan jawatan, apakah yang akan anda lakukan untuk membalas jasa Tun Perak yang mengetuai peperangan dengan Siam? [3 markah]
Sekiranya saya raja, selain menganugerahkan jawatan, perkara yang akan saya lakukan untuk membalas jasa Tun Perak yang mengetuai peperangan dengan Siam ialah saya memberikan hadiah seperti persalinan atau barangan berharga. Selain itu, saya memberikan pingat kebesaran kepada Tun Perak. Seterusnya, saya menaikkan gaji Tun Perak. Akhirnya, saya mengadakan keraian sebagai penghargaan atas jasa Tun Perak.

Syahadan, maka berkenan Sultan Muzaffar Syah mendengar kata Tun Perak itu. Pada hati baginda, “Adapun Tun Perak ini tidaklah patut jadi bentara lagi, patut menjadi Perdana Menteri.”
Maka digelar baginda Paduka Raja, disuruh duduk di seri balai setara Seri Nara Diraja. Maka Paduka Raja pun naiklah duduk dekat Seri Nara Diraja di seri balai, maka Seri Nara Diraja berkisar ke tengah. Hatta, maka Seri Nara Diraja pun pindahlah ke sebelah kanan, jadi Paduka Raja duduk pada tempat bendahara. Adapun Seri Nara Diraja pun telah tualah tiada beranak laki-laki, dan beranak dengan isterinya, anak bendahara Seri Amar Diraja itu seorang perempuan, Tun Putih namanya, diperisteri oleh Raja Abdullah; dan beranak dengan gundik seorang laki-laki, Tun Nina Madi namanya, tiada diaku oleh Seri Nara Diraja sebab takut akan isterinya. Maka Tun Nina Madi pun besarlah, beranak bercucu. Maka isteri Seri Nara Diraja pun matilah.
Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat, lalu diribanya oleh Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu, “Tahukah tuan hamba sekalian bahawa ia ini anak hamba?”
i.Berikan maksud beranak dengan isterinya. [2 markah]
Maksud beranak dengan isterinya ialah dilahirkan oleh isterinya.

ii.Nyatakan perkara-perkara yang dilakukan oleh Seri Nara Diraja apabila melihat Tun Nina Madi berjalan di hadapannya di balai menghadap.[3 markah]
Perkara-perkara yang dilakukan oleh Seri Nara Diraja apabila melihat Tun Nina Madi berjalan di hadapannya di balai menghadap ialah Seri Nara Diraja memanggil Tun Nina Madi agar mendekatinya lalu meriba anaknya itu . Selain itu, Seri Nara Diraja memberitahu semua orang bahawa Tun Nina Madi itu ialah anaknya
           
iii.Sultan Muzaffar Syah telah menaikkan pangkat Tun Perak daripada bentara menjadi Perdana Menteri.Pada pendapat anda, apakah kriteria-kriteria yang diutamakan sebelum menaikkan pangkat seseorang? [3 ]
Pada pendapat saya, kriteria-kriteria yang diutamakan sebelum menaikkan pangkat seseorang ialah pengalaman bekerja atau perkhidmatan . Selain itu, kebolehan untuk melaksanakan tanggungjawab baharu.

Maka beberapa anak orang besar-besar ditanyakan oleh Sultan, tiada juga berkenan pada Seri Nara Diraja. Maka titah Sultan, “Mahukah Seri Nara Diraja akan Tun Kudu, anak Bendahara Seri Wak Raja, saudara Paduka Raja?”
Maka sembahnya, “Daulat, tuanku.”
Adapun akan Tun Kudu itu diperisteri Duli Yang Dipertuan, terlalu baik rupanya, tetapi matanya juling sedikit. Telah baginda mendengar sembah Seri Nara Diraja demikian, maka dengan sesaat itu juga ditalak baginda, dihantarkan ke rumah Paduka Raja, diberi belanja, disuruh berhadir akan kahwin dengan Seri Nara Diraja.
Maka kata segala anak buah Seri Nara Diraja, “Bagaimana maka datuk hendak beristeri muda, kerana datuk sudah tua, dan bulu mata dengan bulu kening sudah bertemu?”
Maka kata Seri Nara Diraja, “Di mana kamu sekalian tahu? Jikalau demikian sia-sialah cula dibeli oleh bapaku sekati emas di benua Keling itu.”
Dan telah sudah lepas idah, maka Seri Nara Diraja pun bemikah dengan Tun Kudu. Maka menjadi muafakatlah Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, menjadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi. Maka sembah Seri Nara Diraja pada Sultan Muzaffar Syah, “Tuanku, baiklah Paduka Raja dijadikan bendahara, kerana ia sedia anak bendahara.”
i.Mengapakah anak buah Seri Nara Diraja tidak bersetuju apabila Seri Nara Diraja ingin berkahwin?         [2]
...Seri Nara Diraja sudah tua dan bulu mata dengan bulu keningnya sudah bercantum

ii.Apakah yang dilakukan oleh Duli Yang Dipertuan selepas mendengar persetujuan Seri Nara Diraja?      [3]
...sultan terus menjatuhkan talak kepada Tun Kudu. Seterusnya, Tun Kudu dihantarkan ke rumah Paduka Raja dan diberikan belanja.Selepas itu, Tun Kudu diminta untuk berkahwin dengan Seri Nara Diraja.

iii.Perkahwinan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu telah mengeratkan hubungan antara Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja. Pada pendapat anda, selain mengeratkan hubungan, apakah kebaikan- kebaikan lain yang diperoleh melalui perkahwinan?
....ialah dapat mengelakkan fitnah. Selain itu, dapat membina keluarga yang bahagia dan menambah bilangan ahli keluarga. Akhirnya, dapat menjauhi maksiat.

Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, terlalu berani, kelakuannya gila-gila bahasa. Maka disuruhkan oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam itu. Maka Tun Umar pun pergilah dengan sebuah perahunya olang-oleng. Telah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka dilanggarnya sekali, dua tiga buah perahu Siam alah, lalu ia terus ke sebelah; maka ia berbalik, dilanggamya pula yang lain, itu pun dua tiga buah perahu Siam alah. Maka Tun Umar pun kembalilah. Maka orang Siam terlalu hairan melihat kelakuan Tun Umar itu. Telah hari malam, maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh Bendahara Paduka Raja segala pohon kayu bakau dan nyirih dan tumpu api-api itu sekaliannya disuruhnya tambati puntung api. Telah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya, maka kata hulubalang Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi. Jikalau ia datang apa hal kita? Sedang sebuah perahunya tadi lagi tiada terlawan oleh kita.”
Maka kata Awi Dicu, “Benarlah seperti kata kamu itu; marilah kita kembali sementara belum siang ini.”
Maka segala orang Siam pun kembalilah.

i.Berikan maksud terlalu hairan melihat kelakuan.      [2 markah]
... sangat pelik menyaksikan tingkah laku

ii.Apakah tindakan Bendahara Paduka Raja sebagai helah untuk menakut-nakutkan tentera Siam?[3 markah]
..memacakkan pohon kayu bakau dan nyirih yang dipasang dengan api di sepanjang pantai ...apabila dipandang oleh orang Siam banyaknya api di sepanjang pantai, mereka berundur kerana mereka beranggapan bahawa tentera Melaka terlalu ramai

iii.Awi Dicu mengaku kalah sebelum bertempur dengan musuhnya.Pada pendapat anda, adakah wajar tindakan Awi Dicu tersebut? Berikan alasan anda. [3 markah]
Tidak wajar kerana:... Awi Dicu sepatutnya cuba menghampiri pantai untuk melihat situasi sebenar ...cuba bertempur dengan tentera Melaka sebelum mengaku kalah

Syahadan, maka kedengaran di Melaka bahawa Cau Pandan sudah mati, sakitnya muntahkan darah, dadanya seperti kena panah. Telah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, maka titah baginda, “Sungguhlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah keramat.”
Maka beberapa puji baginda akan Tuan Sidi Arab itu dan dianugerahi baginda dengan sepertinya. Setelah empat puluh dua tahun lamanya Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda yang bemama Raja Abdullah itulah menggantikan kerajaan ayahanda baginda, gelar baginda di atas kerajaan, Sultan Mansur Syah, umur baginda tatkala naik raja itu dua puluh tujuh tahun. Dan baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja yang bemama Tun Patih Nur Pualam; dan ada beranak dengan gundik baginda seorang perempuan bemama Puteri Bakal. Adapun Sultan Mansur Syah itu terlalu baik parasnya, serta dengan adilnya lagi pemurah; seorang pun raja-raja di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu.
i.Apakah punca yang menyebabkan Cau Pandan mati?         [2 markah]
...sakit muntah darah ...dadanya seperti kena panah

ii.Gambarkan sifat Sultan Mansur Syah seperti yang terdapat dalam petikan di atas.           [3 markah]
...rupanya sangat kacak ...seorang raja yang adil dan pemurah ...kebaikannya tidak boleh ditandingi oleh raja-raja lain dalam alam ini

iii.Tuan Sidi Arab telah berjasa kepada sultan. Sekiranya anda sultan, nyatakan tindakan anda agar Tuan Sidi Arab tems kekal berkhidmat dengan kerajaan anda.           [3 markah]
...memberikannya jawatan yang tinggi ...memberikannya hadiah atau ganjaran  ...menyediakan sebuah rumah yang selesa

Maka Seri Nara Diraja pun tersenyum. Maka Tun Nina Madi digelar oleh Sultan Muzaffar Syah Tun Bijaya Maha Menteri. Setelah Paduka Raja dan Seri Nara Diraja dua orang itu menjadi orang besar, maka anak Melayu pun berbelah, setengah pada Paduka Raja, setengah pada Seri Nara Diraja, kerana kedua- duanya sama orang berasal. Maka Seri Nara Diraja tidak muafakat dengan Paduka Raja, senantiasa beringgit juga; beberapa kali lain Paduka Raja kedapatan dengan Paduka Raja dalam kampung Seri Nara Diraja. Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu maka terlalulah dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja itu. Maka fikir di dalam hati baginda, “Jikalau demikian binasalah negeri ini, kerana orang besamya tidak muafakat sama orang besar.”
Hatta, maka baginda fikir berbicara hendak memuafakatkan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja. Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Nara Diraja; maka dia pun hadirlah. Maka titah Sultan Muzaffar Syah, “Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?”
i.Berikan maksud terlalulah dukacita baginda.           [2 markah]
... raja atau sultan berasa sangat sedih

ii.Apakah yang telah berlaku selepas Paduka Raja dan Seri Nara Diraja menjadi orang besar? [3 markah\
...orang-orang Melayu berpecah belah ...sebahagian orang Melayu menyokong Paduka Raja dan sebahagian lagi menyokong Seri Nara Diraja ...mereka berdua tidak boleh bermuafakat

iii.Sekiranya anda sultan, bagaimanakah cara anda untuk mendamaikan perselisihan faham antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja?        [3 markah]
..saya akan memanggil kedua-duanya untuk berbincang tentang masalah tersebut ....saya akan menasihati mereka berdua agar berbaik-baik semula..saya akan memindahkan salah seorang ke tempat lain agar  mereka jarang berjumpa

No comments: