Monday, October 5, 2015

countdown spm 5



Semangat Patriotik

           Malaysia ialah tanah tumpah darah kita. Di sini kita dilahirkan dan menjalani kehidupan bahagia dan harmoni. Kita berkongsi kehidupan dengan pelbagai bangsa dengan adat budaya dan agama berbeza, tetapi dengan matlamat yang sama, iaitu bersatu padu di bawah payung satu Malaysia.

            Sejak belakangan ini banyak isu yang menggugat kepentingan negara. Telah berlaku beberapa peristiwa tragik yang berlaku tanpa dirancang. Musibah besar yang melanda negara ialah peristiwa pencerobohan di Lahad Datu Sabah. Pada Mac 2013 pihak keselamatan melancarkan "Ops Daulat"di Sabah bagi memerangi pengganas Kiram yang menceroboh Kampung Tanduo. Banyak anggota keselamatan yang menjadi korban dan peristiwa itu menjadi momen pahit dalam sejarah negara. Pengajaran yang didapati melalui kejadian tersebut mencerminkan betapa pentingnya menjaga kedaulatan negara kita daripada diganggu gugat oleh musuh.

            Tragedi besar yang melanda negara dan mencetuskan peristiwa besar dunia adalah misteri kehilangan pesawat MH 370 pada 8 Mac 2014. Peristiwa ini dianggap luar biasa dan membingungkan arena penerbangan dunia. Pelbagai aset telah dikerah untuk mencari dengan kerahan tenaga, wang ringgit, masa namun belum berhasil. Bayangkan jika Malaysia bersendirian atau jika Malaysia sebagai"pihak tuan rumah"diwajibkan membayar kesemua kos pencarian oleh 29 buah negara lain, bayangkan apakah yang akan terjadi dengan negara ini?

            Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada Julai 2015 berisiko membawa kepada bibit-bibit rusuhan kaum di seluruh negara. Insiden yang berlaku dan disebarkan melalui media sosial sewaktu umat Islam menjalani ibadat Ramadan boleh meningkatkan sensitiviti umat Islam di negara ini. Perhimpunan Bersih 2012 atau Bersih 3.0 (juga dipanggil Duduk Bantah) ialah suatu perhimpunan tunjuk perasaan yang dianjurkan pada 28 April 2012 di pusat bandar Kuala Lumpur, Malaysia. Himpunan Bersih 4 akan diadakan selama 34 jam mulai 2 petang 29 Ogos ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, dengan menyaksikan kesungguhan rakyat Malaysia.  Namun kesemua insiden yang berlaku baru-baru ini menimbulkan kontroversi tentang keamanan negara Malaysia.
            Persoalannya terlalu banyak spekulasi dalam laman sosial seperti Facebook, Whats App dan Twitter yang membuat pelbagai teori dan tidak kurang juga dengan agensi media asing yang melaporkan berita yang tidak bertanggungjawab. Mereka hanya pandai mengkritik tetapi tidak tahu jalan penyelesaiannya, malah kadangkala lebih hebat daripada kenyataan rasmi yang disahkan oleh kerajaan.

            Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, seharusnya kita berdiri teguh di belakang kepimpinan bukannya mengeruhkan keadaan dengan menuduh kerajaan menyembunyikan maklumat sebenar. Banyak isu telah dipolitikkan termasuk serangan siber yang menghalakan api kebencian.

            Marilah mencari titik persamaan kerana sikap suka menyalahkan hanya memburukkan nama negara juga. Musuh akan mengambil kesempatan atas kebodohan kita sendiri. Bersihkan hati kita yang telah berkarat dengan berdoa ke hadrat Ilahi agar setiap musibah yang melanda negara terungkai, malah mengandungi hikmah tertentu. Siapalah kita untuk menolak takdir Tuhan seperti ujian yang telah diberikan hari ini.


countdown spm 4



Berikan komen anda akan keperluan masyarakat dunia memanfaatkan media massa dalam bidang perfileman.

            Filem pertama ditayangkan kepada umum pada 28 Disember 1895 di Paris oleh Lumiere, filem memainkan peranan besar dalam pembangunan tamadun dan pemikiran masyarakat. Di negara kita, filem tempatan pertama dipercayai diterbitkan pada tahun 1939. Sejak tahun tersebut, beribu-ribu filem diterbitkan di Malaysia. Perkembangan bidang perfileman ini semakin membesar dari tahun ke tahun seiring dengan perkembangan teknologi dalam pembikinannya.

            Penghasilan sesebuah filem merupakan rakaman tamadun, kebudayaan dan agen perubahan dalam masyarakat. Oleh itu, filem seharusnya dihasilkan seiring dengan pemikiran dan perkembangan pendidikan sesebuah masyarakat kerana tujuan mendidik penonton menjadi matlamat utama dalam penghasilan sesebuah filem.  Kini banyak filem dihasilkan dengan objektif untuk mengaut keuntungan atau dengan matlamat komersial semata-mata. Remaja akan mudah tertarik dengan elemen hiburan yang terkandung dalam filem. Aksi yang bertentangan dengan adat budaya ditonjolkan melalui filem. Dengan perkembangan teknologi komunikasi melalui bidang perfileman, semua pihak sepatutnya mengambil kesempatan menggunakan filem sebagai medium penting untuk mendidik remaja. Elemen pendidikan menjadi lebih mudah diterapkan melalui filem kerana bidang perfileman salah satu bahan hiburan bagi remaja.

            Filem merupakan karya seni dan budaya yang menggunakan audio visual sebagai media komunikasi. Peranan filem merangkumi aspek sosial, ekonomi dan juga budaya. Sesebuah filem yang baik berjaya menggabungkan elemen hiburan bersama-sama penerapan nilai kehidupan yang dapat dijadikan panduan kepada penonton. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak penerbit filem menggunakan filem sebagai medium untuk menerapkan ideologi serta nilai kepada penonton. Penerbit filem Hollywood, contohnya, banyak menggunakan filem sebagai alat penyampai nilai serta ideologi mereka. Sebagai contoh, selepas Perang Dunia Kedua penerbit filem Hollywood, yang terdiri daripada kalangan Yahudi, telah menerbitkan lebih daripada 160 buah filem yang bertemakan Yahudi dan peristiwa Holocoust, sebagai alat untuk menonjolkan kekejaman tentera Nazi terhadap orang Yahudi semasa perang tersebut.

            Dalam konteks filem tempatan, nilai kehidupan yang relevan dengan budaya dan cara hidup masyarakat setempat juga diterapkan melalui filem tempatan. Nilai kekeluargaan antara bapa dengan anak perempuan, contohnya, telah digarap dengan baiknya oleh pengarah filem Papadom. Filem ini telah diiktiraf sebagai filem terbaik pada tahun 2009 dalam Festival Filem Malaysia Ke-22. Secara umumnya, setiap filem yang dihasilkan sememangnya menerapkan pelbagai nilai yang baik kepada masyarakat. 

            Seperti karya seni yang lain, filem juga merupakan perakam aktiviti masyarakat di dunia realiti. Persoalan semasa, isu terkini, pemikiran masyarakat, serta rutin harian masyarakat difilemkan sebagai sebuah karya seni. Hal ini bermakna apa-apa yang ditonjolkan dalam filemt nenonjolkan perkara yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat, seperti slogan yang diketengahkan oleh Finas,"Filem Kita, Wajah Kita". Oleh yang demikian, nilai sesebuah bangsa dan negara itu pastinya dapat dilihat melalui penghasilan filem di negara tersebut. Bagi remaja, perkara ini lebih mudah diterima kerana isu yang dipaparkan dalam filem ialah perkara yang sama seperti di luar filem.

            Mendidik remaja melalui filem dapat disampaikan dengan gabungan kreatif semua pihak yang terlibat dalam penghasilan sesebuah filem tersebut. Filem juga mampu menyampaikan maklumat tentang sejarah ketamadunan negara. Mendidik remaja tentang sejarah negara secara konvensional mungkin membosankan mereka. Masalah tersebut dapat diatasi dengan menerapkan nilai sejarah melalui filem. Dengan tambahan unsur percintaan dan hiburan yang tersusun, aspek sejarah negara pastinya menjadi lebih menarik di layar perak. Filem Tanda Putera, contohnya, didapati berjaya menggabungkan elemen sejarah dan hiburan dengan baiknya. Filem ini juga diangkat sebagai filem terbaik di Anugerah Skrin 2014.

            Selain nilai kemanusiaan yang dikemukakan melalui filem, aspek pendidikan teknikal juga dapat diterapkan melaluinya. Pembikinan filem yang menggunakan teknologi terkini, secara tidak langsung, mampu menanam minat kepada para remaja untuk mendalami teknik teknologi komunikasi visual, seperti animasi, seperti CicakMan yang menggunakan teknik Computer Generated Imagery (CGI). Penggunaan teknik seperti ini mampu menarik minat remaja bukan sahaja untuk menonton filem tersebut, malah teruja untuk mempelajarinya.  Terdapat banyak unsur pendidikan yang dapat diterapkan melalui penghasilan sesebuah filem. Filem bukan sekadar rakaman cerita di layar perak tetapi lebih daripada sekadar hiburan semata-mata.

            Walau bagaimanapun, para remaja perlu sentiasa berhati-hati semasa memilih filem yang sesuai untuk ditonton. Hal ini dikatakan demikian kerana pemilihan filem yang tidak sesuai mampu mendedahkan remaja kepada nilai yang tidak sepatutnya dilihat oleh remaja, terutamanya filem yang berunsur lucah, ganas yang melampau, serta penerapan fahaman yang ekstrem terhadap sesuatu ideologi.

            Di Malaysia, setiap filem yang diterbitkan diberi klasifikasi tertentu berdasarkan usia penonton. Lembaga Penapisan Filem Malaysia telah menetapkan tiga kategori filem untuk tontonan, iaitu kategori umum (U), penonton berumurdi bawah 13 tahun (P13) yang memerlukan pengawasan dan bimbingan ibu bapa, dan ketiga kategori penonton berumur 18 tahun ke atas. Pengelasan mengikut kategori umur ini merupakan salah satu usaha pemerintah untuk mendidik penonton agar memilih filem yang sesuai dengan usia mereka supaya dapat memberikan pengajaran dan pendidikan yang maksimum berdasarkan kesesuaian umur mereka.

            Filem yang dihasilkan perlulah menepati nilai masyarakat setempat. Filem yang dihasilkan di Malaysia seharusnya mengemukakan isu tentang masyarakat yang dekat dengan penonton di negara ini agar elemen pendidikan yang ingin disampaikan melalui filem tersebut dapat dicerap dengan baiknya oleh penonton, terutamanya golongan remaja. Filem melambangkan dokumen tentang kehidupan, masyarakat, perkembangan ilmu, tamadun bangsa dan negara. Bagi remaja pula, mereka seharusnya sentiasa peka dengan semua perkara yang ditonjolkan melalui filem yang ditonton agar unsur pendidikan yang diterapkan itu dapat diterima dengan sebaik- baiknya. Sebaliknya, mereka perlu menghindari diri daripada menonton karya yang mengandungi unsur negatif serta bertentangan dengan budaya bangsa dan agama. Perlu diingatkan bahawa filem merupakan medium hiburan yang bermanfaat selagi para remaja menerapkan nilai positif yang difilemkan itu.

Countdown SPm 2015 - 3



Media massa sebagai alat pendakwah dalam kalangan remaja
                                                                Oleh: Mohd Nizam Sahad

                Rata-rata remaja mempunyai akaun facebook. Penggunaannya mendapat sambutan hebat lantaran fungsinya yang pelbagai dan percuma. Facebook merupakan media sosial popular yang menyeronokkan remaja kerana dapat berinteraksi sesama rakan sebaya melalui kemas kini timeline, termasuklah berkongsi foto, menyampaikan maklumat, dan mesej.

            Manfaat facebook tidak terhad pada keseronokan dunia yang sementara sahaja. Pada hakikatnya, melalui facebook, remaja mampu melakukan usaha dakwah yang ganjarannya lebih besar daripada isi dunia. Lantaran itu, remaja harus memikirkan hal ini dan mencetuskan minat serta kesedaran untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran supaya menjadi usaha dakwah yang berkesan demi melahirkan generasi remaja cemerlang dunia dan akhirat.

            Satu daripada usaha dakwah yang dapat dilakukan sesama rakan ialah mengemas kini status facebook dengan tazkirah agama. Hal ini dapat dilakukan sama ada melalui usaha pembacaan bersendirian bahan agama dan berkongsi dalam timeline ataupun dengan berkongsi timeline orang lain dalam ruang lingkup dakwah bagi peningkatan iman dan takwa. Perkongsian ilmu dengan cara ini sudah tentu memberikan manfaat jangka panjang bersesuaian dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila meninggalnya anak Adam, maka akan terputuslah amalnya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya." Hadis itu mampu memotivasikan para remaja untuk mewujudkan suasana perkongsian ilmu agama melalui facebook.

            Di samping itu, bagi remaja yang kreatif dalam seni reka dan grafik, mereka bolehlah membuat poster dan banting yang memuatkan kata hikmah dan kata mutiara daripada al-Quran dan sabda Nabi Muhammad SAW. Berkat bakat dan kemahiran oleh Allah sudah tentu memperoleh kasih sayang dan rahmat- Nya. Pesan Nabi Muhammad SAW supaya menyebarluaskan ajaran Islam pasti terlaksana dengan menggunakan kaedah ini. Jika poster anda dikongsi oleh rakan lain, pasti pahala berlipat kali ganda akan diraih oleh remaja yang mengusahakannya.

            Usaha dakwah juga dilakukan oleh para remaja dengan menegur sikap, pemikiran, dan kata yang tidak selari dengan ajaran agama dalam mesej yang berlegar dalam facebook. Teguran perlu dilakukan secara hikmah tanpa menggores perasaan sasaran remaja yang ingin ditegur. Jangan bersikap sinis kerana tidak semua orang boleh menerima kritikan sinis. Berhujahlah dengan dalil yang empirikal dan kata-kata manis yang mampu menyedarkan kesalahan kata yang dilontarkan dalam facebook.

            Jika terlihat remaja dalam facebook yang memuatkan gambar selfie tanpa menurut aurat, tegurlah dengan berhikmah dengan membawa ayat al-Quran yang bersesuaian. Dalam hal ini juga, jika mendapat maklum balas kasar atau negatif daripada mereka yang ditegur, maka janganlah membalasnya dengan bahasa yang kasar kerana tugas remaja adalah untuk menegur sedangkan hidayah untuk mengecap kebaikan dan akhlak yang baik datangnya daripada Allah SWT.

            Berkongsi video bercorak keagamaan dengan kaedah pautan ringkas melalui bitly.com merupakan cara yang berkesan untuk mengajak remaja mendekati agama. Binalah tajuk yang "menangkap" mata audiens atau strategi kata yang menarik sehingga para remaja teruja untuk klik pautan yang dibuat. Dalam youtube. com, pada hakikatnya begitu banyak video ceramah agama singkat yang dapat dipaut untuk tatapan remaja.

            Di samping itu, remaja boleh mengajak rakan sebaya untuk menjadi ahli kepada kumpulan facebook yang berteraskan agama. Pelawalah mereka supaya suasana penggunaan facebook menjadi mesra agama dan mesra akhlak yang menjurus ke arah peningkatan iman dan takwa. Hanya remaja yang benar-benar bertakwa mendapat darjah kemuliaan di sisi Allah. Ingatlah bahawa kematian tidak mengenal usia, bekalan takwa harus dilipatgandakan sejak usia muda dan remaja.