Wednesday, August 5, 2015

Tema kesihatan 2015 - 4 - penyakit berjangkit




Usaha-usaha mengurangkan penyakit berjangkit.

          Penyakit adalah keadaan tidak normal pada badan atau minda yang menyebabkan ketidakselesaan, disfungsi atau tekanan kepada orang yang terbabit atau berhubung rapat dengannya. Kadangkala istilah ini digunakan untuk menerangkan kecederaan, kecacatan, sindrom综合病, simptom, keserongan tingkah laku, dan variasi biasa sesuatu struktur atau fungsi. Penyakit ini boleh disebabkan oleh kuman, bakteria, virus, racun, kegagalan organ berfungsi, dan juga oleh penyakit keturunan.

          Penekanan terhadap budaya membersihkan tangan dengan sempurna menjadi cara terbaik bagi mengurangkan penularan penyakit terbabit. Berdasarkan fakta, kira-kira 80 peratus jangkitan penyakit tersebar melalui tangan. Atas inisiatif itu, Hospital Sungai Buloh dan jenama produk antibakteria, Antabax melancarkan kempen “Tangan Bersih, Hidup Sihat”. Program tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat dalam usaha meningkatkan kesedaran, mendidik dan melatih golongan sasaran.

          Selain itu, kita juga diajar supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat bagi memastikan persekitaran kita bersih serta tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk. Amalan kebersihan peribadi sebegini sememangnya perlu dititikberatkan kepada individu semenjak kanak-kanak lagi. Apabila seseorang itu memandang serius tentang soal kebersihan peribadi, tentunya secara automatik akan mengambil berat terhadap kebersihan persekitaran tempat tinggal. Sikap yang kita tunjukkan mampu mencegah sesuatu penyakit berjangkit seperti demam denggi.

          Sistem ketahanan ialah komponen yang sangat kritikal pada tubuh manusia dengan tujuan melindungi diri daripada serangan penceroboh seperti bakteria, kulat, virus, dan menahan jangkitan penyakit berbahaya seperti kanser. Hasrat tersebut dicapai apabila kita menjaga pemakanan betul, antaranya mengelakkan makan berlebihan yang boleh menyebabkan kegemukan dan membahayakan sistem ketahanan badan. Selain itu, kita perlu makan makanan yang banyak mengandungi vitamin C dan vitamin E, contohnya buah-buahan dan kekacang.

          Suntikan ubat untuk tujuan pengimunan merupakan proses seseorang dilindungkan atau dilalikan daripada sesuatu penyakit berjangkit. Kaedah ini biasa dilakukan dengan cara menyuntik kuman yang sama kepada seseorang itu. Adakalanya kuman itu diberi dengan cara dimakan seperti pelalian polio. Pengimunan dapat membentuk ketahanan seseorang untuk mengelakkan penyakit. Jika dia menghidap penyakit itu, kesannya tidaklah sebegitu berat. Pada masa sekarang telah terdapat pengimunan untuk mencegah penyakit campak, polio, kancing gigi, pertusis, sakit kerongkong, demam kepialu, dan taun.

          Sebagai kesimpulannya, kita perlu berusaha mencegah penyakit daripada merebak. Pencetus Perang Dunia Kedua, Adolf Hitler berkata, “Di sini hanya ada satu aib, iaitu jatuh sakit” menjelaskan penyakit itu memalukan dan menyusahkan setiap individu. Marilah kita sentiasa menjaga pemakanan, kebersihan, dan selalu mendapat rawatan untuk memastikan penyakit berjangkit tidak menyerang kita. Sesungguhnya mencegah penyakit itu lebih baik daripada mengubatinya.
 


BA6 [Cara-cara mengelakkan diri terkena penyakit berjangkit.]
Penyakit ialah keadaan tidak normal pada badan atau minda yang menyebabkan ketidakselesaan, disfungsi atau tekanan kepada orang yang terbabit atau berhubung rapat dengannya. Manakala penyakit berjangkit merupakan penyakit yang disebarkan oleh agen jangkitan atau vektor seperti bakteria. fungsi, parasit, dan virus. Antara penyakit berjangkit ialah penyakit taun, Influenza, malaria, batuk kering, wabak babun, cacar, sindrom pernafasan akut yang teruk, virus hepatitis, dan penyakit bawaan seks iaitu HIV/AIDS. Sebelum kita terkena penyakit berjangkit, lebih baik mencegah daripada mengubatinya.

Salah satu cara mencegah terkena penyakit berjangkit ialah menjaga kebersihan diri dan makanan. Sebagai contoh penyakit virus hepatitis pemusnah hati. Virus Hepatitis A boleh merebak menerusi makanan dan minuman tercemar serta najis manusia yang dijangkiti. Penyakit ini boieh merebak jika kita tidak mencuci tangan dengan bersih selepas menukar lampin bayi yang dijangkiti. Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk merawat jangkitan Hepatitis A. Kebanyakan rawatan cuma dapat menghilangkan gejala penyakit. Namun tatkala sembuh, bermaksud seseorang itu akan imun terhadap penyakit tersebut sepanjang hayat.

Selain itu, kita perlu menjauhi orang yang terkena penyakit. Batuk kering adalah penyakit berbahaya dan mudah berjangkit melalui udara. Walaupun insiden kemunculan penyakit batuk kering di Malaysia dianggap rendah, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana penyakit tersebut menyebabkan kematian di seluruh dunia sejak 10 tahun lain. Sebenarnya kemunculan jenis bakteria tuberkulosis baharu yang lebih berdaya tahan terhadap ubat digunakan sekarang adalah penyumbang besar terhadap peningkatan kes batuk kering.

Kita perlu memastikan persekitaran rumah kita bersih. Jika terdapat tempat bertakung, mudah untuk nyamuk Aedes membiak, seterusnya menyebabkan merebaknya demam denggi. Demam denggi adalah penyakit yang berbahaya yang telah wujud sejak dahulu. Namun begitu sehingga kini penyakit ini masih menyebabkan kematian terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Gejala-gejala mereka yang terkena penyakit tersebut ialah demam yang berterusan, sering berasa kesejukan, dan badan berasa sangat letih.

Makanan seimbang merupakan makanan yang harus dimakan nntuk memastikan tubuh badan seseorang berfungsi dengan normal. Makanan seimbang memberikan kita tenaga, karbohidrat, protein, dan lemak secara optimum, kandungan fiber yang mencukupi dan kandungan bahan gahan, vitamin, dan asid lemak. Makanan yang memberi tenaga dapat membina badan, dan dapat menjauhi kita daripada mendapat penyakit. Amalan pemakanan sihat adalah satu faktor yang penting untuk mengelakkan kita daripada terkena penyakit berjangkit.

Sebagai kesimpulannya, kita akui setiap penyakit ada ubatnya tetapi sebelum terkena penyakit, elok terlebih dahulu kita berwaspada akan terkena serangan tersebut. Nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram” Oleh hal yang demikian, jika ada sesiapa yang terkena penyakit, katakan kepada mereka bahawa setiap penyakit ada ubatnya.

tema warisan budaya 2015 - 1 - kepentingan warisan makanan tradisional di Malaysia



11. SMK SERI BINTANG UTARA
Bahagian A  [30 markah] [Masa dicadangkan : 45 minit]
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan warisan makanan tradisional di Malaysia. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Kepentingan Makanan Tradisional dalam Pembangunan Negara.
    Malaysia terkenal dengan nama timangannya, yakni ‘syurga makanan’ di nusantara. Baik penduduk Malaysia mahupun pelancong asing yang berdarmawisata ke Malaysia semestinya akan rambang mata dengan kepelbagaian juadah khususnya makanan tradisional yang ditawarkan di negara kita. Keunikan dan keenakan makanan tradisional yang dapat kita nikmati sememangnya tiada tolok bandingannya dengan makanan-makanan yang bertaraf antarabangsa. Sebenarnya, makanan tradisional masyarakat majmuk di negara kita seperti sate, mi rebus, masalode, kuetiau goreng, roti canai, lemang, ketupat, nasi beriani dan sebagainya berdaya upaya untuk memacukan pembangunan bangsa dan negara.

            Pertama-tama, industri makanan tradisional dapat melahirkan modal insan yang berjati diri kebangsaan dan patriotik. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional penting dalam meneruskan adat serta warisan budaya yang diwarisi secara turun-temurun oleh nenek moyang masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks masyarakat Malaysia, makanan tradisional merupakan elemen yang penting untuk melambangkan identiti dan keunikan sesuatu budaya dan bangsa. Oleh itu, jikalau anak muda di Malaysia sedar akan keunikan dan keistimewaan budaya masing-masing, maka tidak akan berlakunya kehilangan dan kepupusan budaya serta adat tradisi masyarakat berbilang kaum dalam kalangan anak muda yang lebih dikenali sebagai ‘Generasi Y’ bak kata peribahasa Melayu “biar mati anak, jangan mati adat”. 

            Selain itu, makanan tradisional tempatan juga membantu untuk memajukan industri pelancongan di dalam negara kita. Makanan tradisional seperti sate, roti canai dan nasi ayam Hainan dapat menggamit pelancong untuk datang berkunjung selain menghayati keindahan landskap Malaysia kerana cita rasa Malaysia yang istimewa dan berlainan daripada makanan-makanan di negara asing semestinya dapat menarik perhatian dan membuka selera para pelancong baik pelawat asing mahupun pelancong tempatan. Malahan, terdapat sesetengah pelancong yang melawat ke Malaysia semata-mata adalah untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan tradisional yang kaya dengan pelbagai resipi dan rempah-ratus. “Sudah terang lagi bersuluh”, makanan tradisional berperanan penting dalam usaha menarik pelancong untuk melawat ke negara kita selain pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2014 baru-baru ini.

            Di samping itu, makanan tradisional juga mampu untuk menaiktarafkan kehidupan masyarakat khususnya penduduk luar bandar. Makanan tradisional seperti keropok lekor, budu dan kerepek pisang memainkan peranan yang amat penting dalam memajukan industri kecil-kecilan di perkampungan desa. Sebagai contoh, pihak kerajaan telah memperkenalkan “Industri Kecil dan Sederhana”(IKS) di beberapa negeri seperti Kelantan, Perak dan Terengganu yang bertujuan untuk merancakkan hub industri pemakanan tradisional sebagai input dan penjana ekonomi utama penduduk kampung dan sekitarnya. Hasilnya, penduduk luar bandar tidak semata-mata menjalankan ekonomi sara diri secara tradisional seperti menanam padi dan menangkap ikan untuk menyara hidup keluarga tetapi juga berkeupayaan untuk mendirikan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional secara kecil-kecilan sebelum dipasarkan atas bantuan modal dan teknologi oleh pihak kerajaan.

            Seterusnya, infrastruktur dan prasarana di kawasan pinggir bandar dapat dibangunkan atas penubuhan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional yang kian berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini berlaku demikian kerana pembukaan dan penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan-kemudahan awam yang lain dapat memangkin dan menjana sumber pendapatan rakyat tempatan lebih-lebih lagi hasil  makanan tradisional di desa perkampungan dapat dipasarkan di bandar-bandar besar di seluruh pelosok negara melalui kecekapan sistem pengangkutan dan pemasaran. Tambahan pula, peluang pekerjaan yang banyak dapat diwujudkan hasil daripada pembinaan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional sekali gus menggalakkan penghijrahan penduduk bak kata peribahasa Melayu “di mana ada gula, di situ ada semutnya”. Kesannya, desa akan mengalami proses transformasi sehingga menjadi bandar-bandar besar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kemudahan Internet dan perkhidmatan monorel, LRT dan ETS.

            Industri makanan tradisional turut menjada pendapatan rakyat dan negara. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional diproses dan dibungkus sebelum dieksport ke luar negara. Usaha proaktif ini dapat membawa pulangan yang lumayan sekali gus menambahkan sumber pendapatan rakyat jelata. Makanan tradisional Malaysia seperti dodol, kuih bahulu dan kuih kapit turut dapat dipromosikan ke seluruh pelosok dunia dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat antarabangsa. Sambutan yang hangat daripada masyarakat luar negara bukan sahaja akan memajukan industri makanan tradisional tempatan bahkan juga berdaya saing untuk menjana pendapatan yang lumayan kepada rakyat dan negara.
  
            Dari perspektif yang lain pula, industri makanan tradisional juga berkemampuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan keturunan. Hal ini demikian kerana makanan tradisional suku kaum tertentu turut dapat diterima dan dinikmati bersama-sama oleh bangsa-bangsa lain di negara kita. Sebagai contoh, makanan tradisional seperti roti canai bukan sahaja digemari oleh suku kaum tertentu tetapi juga diminati oleh kaum-kaum yang lain di negara kita. Mereka dapat duduk semeja untuk menikmati makanan tradisional tersebut bertemankan secawan teh atau kopi sambil berbual-bual dalam suasana yang muhibah. Hal yang sedemikian dapat membuka laluan kepada usaha-usaha murni kerajaan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat atau masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini sekali gus memupuk dan mengukuhkan perpaduan sejajar dengan slogan keramat, yakni perpaduan asas kemajuan. 

            Tuntasnya, industri makanan tradisional memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan bangsa dan negara selain merupakan wahana yang efektif untuk mempromosikan keistimewaan dan keunikan yang dimiliki masyarakat majmuk di negara kita di pentas antarabangsa. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab itu, semua pihak termasuklah rakyat jelata haruslah berganding bahu untuk memajukan industri pemprosesan makanan tradisional sehingga peringkat antarabangsa. Sudah tiba masanya, rakyat berbilang ras dan agama mengambil tahu, belajar memahami dan menghargai keunikan dan keistimewaan makanan tradisional masyarakat Malaysia dalam proses pembangunan bangsa dan negara sekali gus seiring sejalan dengan kerajaan untuk merealisasikan Wawasan 2020.
 

Tema kesihatan 2015 - 3



1.MRSM 2013 2.  
Selaku pegawai kesihatan daerah, anda diminta untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Amalan Baik Penjagaan Kesihatan’ sempena Hari Kesihatan Sedunia kepada masyarakat setempat. Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengerusi Badan Musyawarah Masyarakat Taman Perdana Sejahtera, Yang dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Hadirin sekalian,
                Orang tua-tua sering mengungkapkan bahawa, kesihatan itu ialah harta yang paling bernilai daripada wang ringgit dan harta benda. Sementara itu, dalam sepotong Hadith Nabi turut diungkapkan akan nilai kesihatan adalah amat bermakna, seperti sabda baginda, “Jagalah masa sihatmu sebelum tiba sakit”. Apabila diteliti daripada dua ungkapan tersebut, justeru tanggungjawab menjaga kesihatan amatlah diberi penekanan sama ada dalam bidang agama malah masyarakat. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang penuh pancaroba dan manusia sentiasa diancam kesibukan, pelbagai ragam kehidupan telah mendatangkan pelbagai ancaman terhadap kesihatan. Oleh hal yang demikian, dengan peluang yang diberkan ini, saya ingin berkongsi maklumat dengan hadirin sekalian tentang gaya hidup yang positif berdasarkan polisi ilmu kesihatan.

Tuan-tuan dan puan yang dihormati sekalian,
                Banyak orang yang berfikir bahawa terminologi sihat itu hanya terletak kepada tubuh badan yang sihat tegap dan sasa. Sebenarnya kesihatan adalah merangkumi kesejahteraan fizikal dan rohani iaitu yang meliputi tubuh badan, mental, emosi, dan rohani. Untuk memperoleh kesihatan seumpama itu, justeru setiap individu hendaklah memberikan perhatian dalam semua aspek kesihatan. Penjagaan fizikal yang sihat seperti memperoleh makanan yang berzat dan seimbang adalah amat penting. Hal tersebut memang penting kerana minda dan emosi yang sihat adalah terjana daripada tubuh badan yang sihat.

                Prasyarat terpenting untuk memperoleh kesihatan fizikal, kita hendaklah sentiasa peka terhadap alam sekitar. Dengan kata lain, kawasan sekitar hendaklah sentiasa bersih, bebas daripada sebarang anasir penyakit. Bagi memastikan persekitaran sentiasa dalam suasana bersih, amalan menjaga kebersihan seperti sistem pembuangan sampah yang teratur hendaklah dititikberatkan. Alam sekitar perlu dijaga juga terutama dalam aspek pelesterian iaitu penjagaan alam semula jadi.

                Dalam dunia yang kaya dengan sistem maklumat dan akses maklumat yang semakin canggih pula, kita haruslah proaktif mencari info tentang  kesihatan. Maklumat sama ada yang berkaitan dengan penularan penyakit-penyakit baru, serangan wabak penyakit yang berpunca daripada bawaan seperti Selesema Burung, SARS, dan pelbagai penyakit berbahaya harus diketahui. Selain mengetahui pelbagai jenis penyakit dan bahaya penularannya, kita wajar mendalami kaedah-kaedah penjagaan penyakit. Hal ini tepat seperti pepatah Inggeris yang menyatakan mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubat. Dengan kemudahan teknologi tersebut kita mampu mengakses sumber maklumat primer untuk mengawal penyakit. Sesungguhnya tanggungjawab membendung pelbagai gejala penyakit bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa kerajaan sahaja malah tanggungjawab tersebut harus dipikul oleh individu atau organisasi terutamanya NGO.

                Aspek pemakanan turut menjadi penentu kadar serangan penyakit kepada individu. Pengambilan makanan yang tidak seimbang terutama gula dan lemak sebenarnya telah mendedahkan diri kita kepada pelbagai bahaya. Memanglah jikalau diturut ‘hukum lidah’ setiap yang manis dan lemak itu sedap dan berselera, namun kesengsaraan yang bakal ditanggung oleh badan harus difikirkan juga. Pada hari ini isu pengambilan makanan segera sedang meledak di tengah-tengah polemik masyarakat. Pelbagai pihak memberikan pelbagai reaksi yang bebeza apabila Kementerian Kesihatan tampaknya cukup tegas mahu membatalkan semua lesen pengiklanan makanan segera. Walaupun tindakan Kementerian Kesihatan itu dianggap terlalu drastik dan boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap ekonomi negara, tetapi kita harus berfikir bahawa reaksi tersebut memberi isyarat bahawa pelbagai gejala penyakit yang berpunca daripada bawaan makanan turut menjadi ancaman besar kepada kesihatan sejagat.

Hadirin sekalian
                Seperkara lagi yang wajar diberi perhatian serius oleh masyarakat adalah berkaitan dengan langkah membendung pelbagai gejala penyakit. Kita harus membuang budaya salah apabila sakit baru hendak berjumpa doktor. Doktor bukan sahaja berfungsi sebagai penyembuh penyakit, sebaliknya mereka amat profesional sebagai perunding dalam mengawal penyakit. Namun keadaan sebalik yang berlaku apabila majoriti daripada masyarakat hari ini akan hanya berjumpa doktor apabila sudah tiada harapan sembuh lagi. Ada segelintir pihak pula enggan berjumpa doktor kerana takut penyakit terpendam akan terbongkar. Daripada terpaksa memendam rasa kerana mengetahui menghidapi pelbagai masalah kesihatan, mereka berpendapat lebih baik tidak diketahui langsung. Akhirnya ramai yang menemui ajal sedangkan kemungkinan boleh diselamatkan sekiranya diketahui lebih awal. Oleh itu, kita wajar mengubah tanggapan yang salah itu dengan cara berusaha mengesan dan mengenal pasti punca penyakit yang mungkin boleh mengancam nyawa kita.

                Selain itu, tabiat merupakan bawaan sepanjang hayat oleh seseorang itu. Sekiranya dia mengamalkan tabiat yang baik, natijahnya baiklah seluruh amalan hidupnya. Sebaliknya jikalau habit yang buruk menjadi bawaan nescaya individu itu akan menanggung sengsara seumur hayat. Hal demikian amat berkait rapat dengan usaha mengubah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pemabuk, dan makan secara membujur lalu melintang patah. Ubahlah kepada tabiat yang sihat seperti bersenam secara berjadual, mengawal emosi, dan bergaul dengan rakan-rakan yang berfikiran positif. Semua yang tersebut boleh membantu menstabilkan kesihatan kita memperoleh umur yang panjang. Ingatlah kita kepada nasihat pepatah iaitu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku bahaya padahnya.
Sekian terima kasih.