Sunday, November 2, 2014

LAST REMINDER

dear

no more posted any things here, i just remind stu

for dimensi diri , keluarga no need spotted any question...ehendak soalan only PUK

punca
usaha
kesan

formula using mostly same

dun write too long, but must accurate in your elaboration of points, i suggest

1. pendahuluan - temax2 ayat, persoalan x 1, kehendak solaan x1
                           bahagian A - IKUK ( isu - keadaan - usaha - kehendak soalan)

2. kesimpulan - RCAH ( rumusan - cadangan - amaran - harapan)

3. isi - mesti tulis 5 isi yg bersesuaian

spotted question
1.budaya membaca ( peranan anda, peranan keluarga , kepentingan , punca) - FORMULA
2. budaya penyayang
3. laman sesawang/ media sosial / telefon bimbit
4. pelancongan ( HOTS, more hot more slim chanca..)
5. permainan tradisional( Punca, kepentingan , usaha ) - use FORMULA
6. semangat kejiranan/ patriotik
7. alam sekitar ----- just prepare for bahagian A
8. kos sara hidup / kenaikan harga/ bebanan ekonomi / menabung / berjimat - untuk soalan keluarga
9. pengangkutan  awam - sedia kalau ada masa

GOD BLESS YOU
memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan

付出的爱, 不会要求任何回报, 再会了

TIP 6



MENYUBURKAN BUDAYA PENYAYANG

Pendahuluan
Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan, tetapi sekeliling keluarga yang kukuh. Dengan kata lain, masyarakat penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan anggota-anggotanya yang mesra dan bertimbang rasa, berbakti, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi, melakukan kebajikan, menunjukkan rasa kasih dan belas kasihan. Setiap orang saling memahami dan hormat-menghormati, iaitu yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang muda. Cara hidup ini juga dikenali sebagai “budaya ikram”. Ungkapan ini memberikan seribu pengertian dan gambaran yang sangat bererti kepada seluruh insan di dunia ini tentang masyarakat penyayang yang perlu dipupuk dan dibenamkan dalam sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal yang dianugerahkan oleh Tuhan.

Islam amat menekankan usaha mewujudkan masyarakat penyayang. Dalam menjamin keharmonian masyarakat, beberapa ciri asas yang menjadi dasar pembentukan masyarakat perlu ditekankan. Islam mengaitkan pembentukan masyarakat penyayang dengan tiga hubungan dasar, iaitu hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Hasrat untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan sebuah negara yang aman tidak akan tercapai melainkan dengan membentuk individu yang berteraskan Islam terlebih dahulu. Keperibadian yang mulia dan pegangan agama yang mantap adalah faktor penting dalam mewujudkan masyarakat penyayang. Walau bagaimanapun tahap kesedaran masyarakat terhadap konsep masyarakat penyayang masih rendah. Masalah penganiayaan dan penculikan kanak-kanak, serta penderaan isteri masih menjadi isu serius yang diperkatakan oleh media massa dan menjadi buah mulut masyarakat. Begitu juga, dengan kes pembuangan bayi dan pengabaian terhadap orang-orang tua. Keadaan ini semua memenlukan perhatian serius daripada setiap anggota masyarakat. Persoalan inilah yang perlu dirungkai supaya masing-masing membuka mata agar masyarakat sebegini akan terus menjadi amalan dan berkekalan di negara kita.


Asas yang paling kukuh untuk membina budaya penyayang ialah menerusi institusi keluarga. Pembangunan pesat yang dinikmati negara khususnya dan segi ekonomi sedikit sebanyak telah memberi tekanan terhadap institusi keluarga yang secara tidak langsung berupaya menggugat keutuhan masyarakat. Gejala-gejala yang merosakkan seperti pengabaian anak-anak, keganasan rumah tangga, penderaan dan perceraian meningkat gara-gara masyarakat alpa mengejar kebendaan dalam kehidupan serba pantas ini. Kebejatan akhlak terutama golongan remaja hari ini turut mengundang gundah, apatah lagi apabila generasi yang sepatutnya menjadi waris negara rebah sebelum waktunya. Malah, senanio ini jika tidak ditangani secara bijak mampu memusnahkan harapan negara untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang prihatin dan penyayang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Anak-anak yang dibesarkan dan dididik dengan penuh kasih sayang dalam keluarga yang bahagia akan membesar sebagai individu yang berkualiti. Anak-anak ni akan mewarisi sifat-sifat positif dan nilai-nilai murni daripada ibu bapa mereka. Kempen konsep “Keluarga Bahagia”, “Rumahku Syurgaku” (Baiti Jannati) diharapkan dapat melahirkan generasi yang bertanggungjawab sekali gus membentuk
masyarakat penyayang.

Selain itu, konsep masyarakat penyayang dapat direalisasikan melalui pendidikan secara formal. Misalnya kementerian telah memasukkan nflai-nilai murni yang perlu ada pada individu ke dalam sukatan pelajaran bagi subjek Pengetahuan Moral, Pendidikan Agama Islam, dan sebagainya. Selain itu, aktiviti-aktiviti kokurikulum dapat menyemaikan nilai-nilai kemasyarakatan yang murni kepada pelajar. Misalnya semangat bekerjasama dan aktiviti rekreasi yang dijalankan dapat pendekatkan manusia dengan alam sekitar. Penubuhan Badan Kebajikan di sekolah-sekolah juga merupakan satu lagi pendekatan kearah mewujudkan masyarakat penyayang kerana fungsi badan ini ialah untuk membantu golongan yang susah dan bermasalah. Tegasnya, pendidikan adalah wahana pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian, dan jasmani manusia. Sekolah sebagai organisasi yang didukung golongan pendidik menjadi wadah terpenting dalam menjana modal insan yang berketerampilan, di samping melahirkan insan yang intelektual.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran memperkenalkan konsep ‘Sekolah Penyayang’ untuk melahirkan pelajar berketrampilan, sekali gus membendung salah laku murid. Konsep Sekolah Penyayang merupakan salah satu konsep yang penting dalam sistem pendidikan Malaysia. Konsep ini mempunyai hubungan yang cukup eratdengan cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020, iaitu masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Konsep Sekolah Penyayang adalah konsep yang mampu menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sekolah Penyayang juga mampu menjana generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek, jasmani, dan mempunyai disiplin diri yang tinggi. Gejala vandalisme dan ponteng sekolah adalah fenomena yang agak kritikal di sekolah-sekolah pada masa kini. Gejala ini dapat ditangani apabila wujudnya sekolah penyayang. Oleh sebab itu, pihak Kementerian Pelajaran menyarankan agar pihak sekolah menangani masalah ini, terutama ponteng sekolah dengan merealisasikan Sekolah Penyayang supaya para pelajar dapat dibimbing dengan penuh kasih sayang. Apabila wujud suasana kasih sayang dan bimbingan ini, murid akan terpikat, terpanggil, dan tergerak untuk ke sekolah. Tegasnya, Sekolah Penyayang jika diperkasakan mampu menjadi satu pendekatan berkesan untuk membendung masalah sosial murid dan melahirkan individu yang baik dari segi amalan, sahsiah, dan tingkah laku.

Selain itu, pada awal bulan Oktober 2012 Kementerian Pelajaran turut merancang membudayakan Program Guru Penyayang di setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara kerana pelaksanaannya terbukti berkesan dalam menangani gejala disiplin dalam kalangan pelajar. Program yang diperkenalkan sejak Februari 2012,jelas terbukti memberi impak positif terhadap perkembangan pembelajaran pelajar. lmpaknya, pelajar lebih berminat untuk datang ke sekolah setiap hari tanpa berasa sebarang tekanan senta mempunyai hubungan akrab dengan guru dan pihak sekolah.Minat itu didorong oleh rasa selesa dengan guru yang sebelum ini dikatakan bersikap garang atau terlalu tegas dengan anak murid mereka. Konsep Guru Penyayang tersebut bertujuan untuk membudayakan sikap kasih sayang dalam kalangan guru terhadap murid di sekolah dengan harapan besar bahawa murid merupakan aset yang perlu diberi perhatian dan disayangi setiap masa. Program tersebut dilaksanakan melalui tiga amalan, iaitu dengan guru-guru mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah, memberi penghargaan kepada murid seperti sambutan hari jadi dan program mentor mentee. Hasil kaji selidik Indeks Persepsi Murid (IPM) yang dijalankan Bahagian Pendidikan Kementerian Pelajaran mendapati lebih 87.5 peratus guru di negara mi mengamalkan budaya kasih sayang dan mengambil berat terhadap murid mereka di sekolah. Peratusan itu hasil maklum balas lebih 2,000 murid sekolah di seluruh negara yang melaksanakan Program Guru Penyayang sejak diperkenalkan. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarela juga mempunyai peranan penting dalam menyemaikan budaya penyayang ini. Pada asasnya, NGO ialah kumpulan berdaftar yang sah bagi kegiatan bukan politik dan bukan berorientasikan keuntungan. NGO tempatan yang jelas intipati perjuangan mereka ialah persatuan pengguna, belia, alam sekitar, badan kebajikan warga tua, dan anak yatim, serta persatuan rekreasi. Sebagai contoh, badan-badan seperti Kelab Leo, Kelab Rotary,dan Kelab Interact merupakan beberapa badan sukarela yang telah bergerak secara aktif sekian lama dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik. Selain menghulurkan bantuan kewangan dan pakaian, mereka juga mengadakan lawatan untuk beramah mesra dengan golongan ini supaya mereka tidak berasa tersisih daripada masyarakat. Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan NGO dalam melaksanakan kegiatan kebajikan serta menyanjung tinggi semangat kesukarelawan mereka sehingga sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi melaksanakan misi mereka. Kita telah menyaksikan ketabahan dan keberanian MERCY semasa misi damai mereka menyampaikan bantuan kepada mangsa perang di Afghanistan dan Iraq. Di samping itu, terdapat juga beberapa NGO lain yang telah bersama-sama kerajaan membanteras masalah sosial seperti penagihan dadah, HIV atau AIDS,serta membela mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan tua dan terbiar, orang kurang upaya, dan mereka yang ditimpa penyakit kronik.

Sebenarnya, pembentukan masyarakat yang penyayang secara tidak langsung akan memantapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Seperti yang diketahui umum, masyarakat penyayang menggambarkan masyarakat Malaysia yang hidup dengan berlandaskan nilai kasih sayang antara satu sama lain. Mereka saling membantu kerana ikatan ukhuwah sentiasa tertanam dalam naluri dan sanubari mereka. Contohnya, amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan berlainan agama pada musim perayaan merupakan salah satu contoh amalan yang berjaya memupuk semangat muhibah dan perpaduan. Begitu juga halnya, ketika rakan-rakan atau saudara-mara yang ditimpa musibah, kita akan memberikan bantuan yang sewajarnya dan berkongsi suka duka dengan mereka kerana masing-masing mengamalkan sikap cubit paha kanan, paha kin terasa juga. Melalui nilai murni sebegini jelas terlihat mereka mengamalkan hhdup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing. Jadi, sesuai dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan cetusan idea Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak untuk melahirkan masyarakat penyayang yang mengamalkan konsep Satu Malaysia akan terlaksana dengan jayanya.

TIP 6



PENGUKUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Institusi kekeluargaan ialah asas dominan dalam membentuk masyarakat bersatu padu, sejahtera dan harmoni.Kekuatan institusi kekeluargaan perlu dipertahankan agar tidak hanyut sehingga mendatangkan kehancuran kepada masyarakat. Elemen itu menjadi pemangkin kepada pembangunan individu yang idealistik dan prihatin. Tanpa program pengukuhan institusi kekeluargaan yang terancang, fenomena keruntuhan institusi kekeluargaan akan memberi impak besar kepada Malaysia yang memerlukan modal insan yang berilmu dan berwawasan pada masa depan.

       Menurut Perdana Menteri, Dato Sri’ Najib Tun Razak, berdasarkan data Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan tahap Indeks Kesejahteraan Keluarga Negara kini berada pada paras 7.55 daripada skala 10. Institusi kekeluargaan ialah asas kepada kesejahteraan negara. Dengan kata lain, kemajuan tanpa asas kekeluargaan yang kukuh hanya meranapkan tamadun kemanusiaan, sekali gus mengundang bahaya kepada generasi muda.

       Dalam usaha memperkukuh institusi Kekeluargaan, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah antaranya mengumumkan bulan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia bermula tahun 2012. Sebagai komitmen berterusan, setiap majikan digalakkan mengadakan sambutan itu. Kerajaan akan menggalakkan sektor swasta dan awam untuk menganjurkan acara hari keluarga bagi kakitangan mereka melalui pengecualian cukai dan inisiatif lain. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, langkah itu dibuat untuk memberi keutamaan kepada perspektif keluarga dalam pembangunan sosioekonomi negara. Hal ini selaras dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)yang dilancarkan pada 17 Jun 2012 menerusi pelaksanaan Dasar Keluarga Negara. Kementerian amat menitikberatkan pengukuhan institusi kekeluargaan kerana merupakan kunci kepada kejayaan sesebuah negara. Selain itu, cuti bersalin untuk isteri dan suami, subsidi penjagaan anak kakitangan awam, taska di tempat kerja, dan Dasar Rumah Pertamaku.

       Menyedari bahawa keluarga merupakan penentu utama bagi negara yang sihat, dinamik, produktif, dan berdaya saing, program yang menyumbang ke arah pengukuhan unit kekeluargaan akan terus diberikan penekanan. Memandangkan berlakunya perubahan terhadap struktur kekeluargaan seperti ditunjukkan oleh pertambahan peratusan keluarga yang mempunyai dwipendapatan, usaha yang lebih gigih akan diambil untuk memastikan peranan keluarga dikekalkan sebagai asas perhubungan sosial, dan penstabil, serta agen penjagaan kepada golongan muda dan tua. Bagi tujuan tersebut, Dasar Keluarga Negara digubal dan diluluskan oleh Kabinet pada 17 Disember 2010 dan dilancarkan bekas Menteri Pembangunanan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada 19 Mei 2011 untuk memperkukuh institusi kekeluargaan. Dasar tersebut akan memastikan kesejahteraan keluarga akan diambil kira dalam semua penyediaan dasar, undang-undang, program, kemudahan dan perkhidmatan di negara kita. Contohnya, pemaju yang membina pusat beli-belah mesti mengambil kira faktor keluarga seperti menyediakan tandas atau lorongan untuk golongan OKU atau warga emas.

       Dalam aspek pekerjaan pula, majikan perlu menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak, waktu kerja anjal, cuti kecemasan untuk menjaga anak sakit kerana semua hal ini merangkumi perspektif keluarga. DKN juga mendukung aspirasi kerajaan sebagai pelengkap kepada Program Transformasi Kerajaan(GTP). DKN berfungsi untuk menyediakan sumber tenaga yang berperibadi mulia melalui pengukuhan institusi kekeluargaan.
LPPKN mengadakan siri jelajah di seluruh negara dan  bual bicara yang membabitkan kerajaan negeri, agensi kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat setempat.

       Anak merupakan permata yang tidak ada galang ganti bagi setiap pasangan suami isteri sehingga sanggup berkorban apa-apa sahaja bagi memastikan anak-anak sihat dan selamat. Atas sebab itulah ramai wanita profesional menarik diri daripada sektor pekerjaan bagi menumpukan sepenuh perhatian untuk membesarkan anak-anak di depan mata. Perkembangan ini sudah tentunya merugikan kerana kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk pendidikan, iaitu sebanyak 68 peratus kepada pelajar wanita di peringkat universiti, namun hanya 46 peratus sahaja wanita yang tinggal dalam pasaran kerja. Oleh itu, bagi membendung masalah itu kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk sektor swasta menubuhkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja seperti geran RM10,000 dan pelbagai potongan cukai menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak. Bagi Pengerusi Persatuan Pengasuh Berdaftar(PPBM)Malaysia, Shamsinah Che Shariff, langkah ini merupakan usaha kerajaan
bagi membawa kembali kaum wanita ke dalam dunia pekerjaan. Satu kelebihan kepada kaum ibu untuk bekerja dengan tenang dan lapang apabila anak mereka diasuh di tempat jagaan yang berkualiti dan selamat. PPBM yang juga turut serta dalam perbincangan berhubung pembukaan taska ini, menggalakkan bukan sahaja syarikat-syarikat swasta,malah jabatan, dan agensi kerajaan turut sama membuka taska di tempat kerja.

       Sebenarnya, bukan perkara luar biasa di negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di rumah. Malahan, bukan
juga satu saranan yang baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Dato Sri’ Najib Tun Razak, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar
ibu menyertai pasaran kerja. Kajian oleh LPPKN mendapati masalah penjagaan anak-anak adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal. Hal ini berlaku terutamanya dalam kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun,iaitu sebanyak 71 peratus apabila mencapai peringkat umur sebegini yang merupakan kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu. Kemudahan taska ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada wanita yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya. Dalam mengharungi
kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri turut membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh. Jadi, sudah tentunya soal penjagaan anak merupakan satu isu yang cukup besar, bukan isu remeh-temeh yang sering diperlekeh oleh majikan apabila pekerjanya memberi
alasan datang lewat kerana terpaksa menguruskan hal-hal anak.

       Meninjau pelbagai gejala sosial yang melanda remaja kita hari
ini, pengukuhan institusi kekeluargaan dan menggalakkan nilai-nilai murni telah menjadi semakin penting berbanding dengan zaman dahulu. Institusi kekeluargaan menjadi mangsa pertama apabila anak-anak tidak mendapat perhatian dan bimbingan yang secukupnya telah mengakibatkan kemunculan pelbagai gejala sosial yang mempengaruhi remaja kita. Tambahan pula,
gaya hidup moden dan cabaran semasa adalah antara punca hubungan keluarga menjadi longgar. Kerukunan rumah tangga mula tergugat apabila ibu bapa lebih mementingkan tanggungjawab mencari rezeki sehingga mengabaikan hubungan kekeluangaan. Ibu bapa sibuk dengan kerjaya mereka dan tidak mampu untuk menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak mereka. Lantaran itu, tidak menghairankan jika mereka akan mencari bimbingan daripada rakan sebaya mereka. Kewujudan tekanan persekitaran rakan sebaya yang negatif akhirnya akan menghasilkan pelbagai gejala sosial. Anak-anak yang
membesar dalam persekitaran sedemikian akan berakhir dengan menjadi mangsa gejala sosial seperti ponteng sekolah, keganasan di sekolah, penyalahgunaan dadah, dan juga jenayah juvenil.

       Peranan ibu bapa bukan terbatas kepada memberikan perlindungan, pendidikan dan keperluan asas sahaja, malah mencakupi soal pembentukan akhlak yang sempurna, serta keperibadian yang unggul agar menjadi generasi sempurna dari setiap sudut. Ibu bapa perlu lebih prihatin tentang kualiti kehidupan keluarga dan perlu sentiasa mengambil inisiatif untuk menanamkan nilai-nilai moral ke dalam diri anak-anak mereka yang diperlukan sebagai asas sebuah masyarakat yang kukuh, stabil, dan bersatu padu. Keadaan ini tidak membawa apa-apa makna untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang dinamik dengan taraf hidup dan pendapatan per kapita yang tinggi jika tidak diimbangi dengan perkembangan nilai-nilai moral, kualiti hidup, dan pembangunan keluarga. Musim cuti persekolahan amat sesuai sekali digunakan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan kerana ketika itu anak-anak berada sepenuhnya di bawah jagaan ibu bapa. Ibu bapa digalakkan membawa anak menemui ahli keluarga atau waris supaya mereka mengenali saudara dan dapat mengukuhkan hubungan sedia terjalin. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk merapatkan hubungan dalam kalangan anak sejak kecil lagi supaya kita dapat melahirkan sebuah masyarakat penyayang.

       Secara tuntas, keruntuhan moral dan akhlak remaja menjadi penyumbang kepada gejala sosial di seluruh negara dapat ditangani dengan berkesan apabila institusi kekeluargaan diperkasakan dengan oleh semua pihak termasuk ibu bapa menyedari peranan masing-masing. Tanpa institusi kekeluargaan yang menjadi tunjang kepada pembangunan modal insan usaha mengawal gejala sosial dalam kalangan remaja tidak dapat dijayakan secara efektif. Biarpun banyak program telah dilaksanakan pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memberikan didikan dan kesedaran kepada golongan berkenaan, namun tetap gagal apabila institusi kekeluargaan tidak menjalankan peranannya. Usaha mendidik ini mestilah selari, bukan hanya memberikan didikan dan kesedaran kepada golongan remaja, malah aspek itu juga perlu ditekankan kepada ibu bapa supaya mereka tahu peranan masing-masing dalam usaha menangani krisis yang berlaku dalam keluarga.

TIP 5



SOALAN: PERANAN ANDA … MENYUBURKAN BUDAYA MEMBACA
ISI:
1.Ikon (a) : program + mencontohi Ikon Membaca Malaysia
Saya akan menyertai program yang berkaitan dengan budaya membaca( Program Nilam) –
mengikut jejak ikon membaca seperti Mantan Perdana Menteri, Michelle Yeoh, ( rujuk nota saya dalam blog)-
2. Iman dan takwa kepada Tuhan supaya menjadikan membaca kitab yang dituruni oleh Tuhan sebagai minat membaca sejak azali lagi.  - saya akan membiasakan diri dengan aktiviti solat jemaah – membaca kitab, sunah dan al-Quran sejak kecil sehingga khatam- setiap malam mesti mendekatkan diri dengan kitab – Rasulluah pernah mengatakan “ tuntutlah ilmu sehingga ke negera Cina.” – wahyu pertama yg diterima oleh Rasullulah ialah membaca. ( terangkan kepentingan iman untuk menguatkan pendirian) – selepas solat berjemaah, sesi bermusyawarah dengan ahli keluarga tentang sesebuah buku yg telah dibaca
3. mendisiplinkan diri dengan amalan membaca sejak kecil lagi. – Perancangan masa dengan waktu membaca -  motivasi diri – menjadualkan bilangan buku yang hendak dibaca
4. ikon (b) – mencari rakan sealiran yang suka membaca – membentuk kumpulan perkongsian – berkongsi cerita dalam sesebuah novel – membiasakan diri dengan pertandingan menulis – mengunjungi pameran buku – perpustakaan -
5. impian _+ inisiatif + gaya hidup sihat
Menentukan hala tuju dan memasang tekad untuk menjadi insan yang berilmu – memahami kepentingan membaca dalam kehidupan spy menjadi insan yang bersahsiah tinggi dan dihormati oleh semua orang – mengambil inisiatif spy rajin membaca – membaca ialah gaya hidup sihat – bersenam dpt mencergaskan badan membaca mencerdaskan minda – menjauhi kegiatan yg akan membejatkan akhlak

Soalan : ‘MENYUBURKAN BUDAYA MEMBACA’. Bincangkan
    Saban tahun lautan pengunjung dan ulat buku yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, sekali gus membuktikan rakyat negara ini sememangnya masyarakat yang cinta akan buku. Perkembangan ini mampu memberi impak positif kepada industri buku dalam memupuk minat membaca  yang tinggi, di samping menjadi momentum penting kepada tahap literasi negara pada masa hadapan. Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara 2008, kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding dengan negara Asia Tenggara lain. Statistik ini berkemungkinan besar berkait rapat dengan transformasi sistem pendidikan negara yang dilaksanakan. Di samping itu, kewujudan Dasar Buku Negara turut meningkatkan tabiat membaca rakyat Malaysia. Secara tidak langsung, fenomena ini merupakan perkembangan yang memberangsangkan, namun  usaha berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan kadar literasi rakyat agar setanding dengan negara maju lain di dunia.
          Sebenarnya, indikator bagi sebuah negara maju ialah rakyatnya perlu membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku setahun dan kebanyakan negara maju seperti Jepun telah melepasi tahap berkenaan. Sebuah negara yang sedang menuju ke tahap negara maju seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju  banyak bergantung pada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Akan tetapi, kadar membaca di negara kita masih rendah dan belum menjadi budaya hidup. Kadar purata pembacaan rakyat Malaysia yang pernah dilaporkan media sebelum ini, iaitu antara 8 hingga 12 buah buku setahun menunjukkan negara masih berada di belakang. Namun, kadar itu dilihat petanda positif jika dibandingkan pada 1996 kerana purata rakyat membaca ialah dua buku setahun ketika itu. Bagaimanapun, fenomena ini tidak boleh terhenti pada kadar itu sahaja, sebaliknya pembacaan lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan setiap masyarakat berada pada landasan betul menuju ke arah pembentukan sebuah negara maju. [*kepentingan1-menjadi negara maju]
          Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan sahaja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat, tetapi juga menjadi sebati dan ketagihan. Jika tidak membaca ada semacam kekosongan dalam hidup dan sebab itu mereka mampu menempa kemajuan dan perubahan. Jika diambil contoh negara Jepun, purata rakyatnya membaca 40 buah buku setahun, manakala di Amerika kajian dilakukan Pusat Kajian Pew mendapati rakyat negara itu yang berusia 16 tahun ke atas membaca 17 buah buku setahun. Teras Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia adalah untuk menjadikan masyarakat Malaysia kaya dengan ilmu dan maklumat. Pemimpin yang menjadikan buku sebagai teman ialah pemimpin yang berfikiran matang, berfikiran jauh, berilmu luas. Dengan kata lain, di negara-negara maju budaya membaca dalam kalangan warga negara mereka sudah berada pada tahap tinggi. Kita dapat melihat banyak orang yang memegang buku ketika beratur, membaca di dalam kapal terbang, membaca sambil menunggu bas apabila ada sahaja masa terluang. [*kepentingan-melahirkan pemimpin berwawasan]
          Sebenarnya pesta buku sungguhpun diadakan setiap tahun, namun budaya membaca masih lagi rendah. Keadaan ini berbeza dengan pesta tahunan di Edinburgh, London dan Frankfurt yang diadakan pada Mac dan Oktober yang bukan sahaja membabaitkan jualan buku terlaris, bahkan mengekalkan suasana pembacaan. Mereka juga mesra buku terpakai, karya terbuang yang dibaik pulih. Pesta Buku Edinburg tidak pernah sunyi dengan maklumat ‘Bookstart’, iaitu kempen pembacaan untuk kanak-kanak.  Kempen Bookstart diiktiraf oleh organisasi perbukuan seperti International Board on Books for Young People (IBBY) dan diguna pakai di pelbagai negara untuk melatih dan menggalakkan ibu bapa mendidik anak membaca sejak bayi. Mereka juga mempunyai Oxfam – peruncit buku lama yang terbesar di Eropah dengan jualannya lebih 11 juta buah buku setiap tahun. Ada 750 buah kedai Oxfam di seluruh United Kingdom menjual buku dan lebih 100 daripadanya kedai buku atau kombinasi kedai buku dan muzik. Buku dijual hasil daripada derma orang ramai. Petugasnya pula terdiri daripada tenaga sukarela. Sementara itu, di Jepun pula budaya membaca sehangat sukan judo dan bola sepak dalam kalangan rakyatnya. Di mana-mana sahaja buku menjadi teman sejati termasuk di dalam tren selaju 250 kilometer sejam. Budaya membaca diamalkan seawal kanak-kanak di ‘Hoiku-en atau ‘Yochi-en’ (tadika). Mereka disogokkan dengan buku cerita dilengkapi halaman khas (lazimnya di kulit belakang) dipenuhi gambar berulang sebagai info ulang kaji kanak-kanak awal persekolahan. Setiap kali selesai membaca, kanak-kanak diarahkan mewarna gambar sebagai latihan minda.
          Fenomena tersebut jelas menunjukkan bahawa membaca juga sering dihubungkaitkan dengan kesempatan membaca. Keadaan ini menunjukkan kita masih berada di belakang jika kita ingin memastikan masyarakat negara ini menjadi rakyat yang bermaklumat serta mampu menyumbang kepada kemajuan negara bangsa. Cara hidup kita berbeza dengan masyarakat negara maju walaupun kita sering klise dengan Wawasan 2020. Hal ini demikian kerana budaya membaca belum lagi menjadi rutin dalam kalangan kita. Kajian membuktikan banyak orang yang membaca semata-mata untuk mendapatkan sijil atau ijazah , tetapi meninggalkan bahan bacaan apabila sudah berkerjaya. Ironisnya, di pusat pengajian tinggi negara kita budaya membaca hanya pada musim peperiksaan sahaja. Perpustakaan akan kembali lenggang apabila musim peperiksaan berakhir dan kebanyakan buku di dalamnya tidak tersentuh oleh generasi hari ini. Mungkin banyak orang yang sudah lupa akan program NILAM yang dianjurkan di peringkat sekolah satu ketika dahulu bagi meningkatkan jumlah buku yang dibaca oleh pelajar. Sesetengah pihak pula berpendapat bahawa setelah tamat persekolahan atau pengajian, membaca sudah tidak perlu lagi. Banyak masa mereka dihabiskan di hadapan media elektronik bagi mendapatkan bahan-bahan yang bercorak hiburan, picisan malah kadang-kadang melalaikan. Tanggapan sebegini perlu dikikis daripada persepsi masyarakat yang menuju status negara maju kerana pengetahuan tidak hanya sampai di peringkat sekolah mahupun universiti sahaja.
          Seperti yang kita sedia maklum bahawa budaya membaca menjadi salah satu kayu pengukur yang membezakan sesebuah negara itu maju atau mundur kerana tahap intelektual rakyat yang berbeza di negara berkenaan. Kemajuan dan pembangunan pasat sesetouah negara itu tidak bermakna jika jiwa rakyatnya 'kosong' tanpa diisi dengan pengetahuan melalui budaya membaca. Hal ini demikian kerana rakyat di kebanyakan negara maju menjadikan amalan membaca sebagai cara hidup kerana bagi mereka biarpun berpeluang belajar tinggi, ilmu pengetahuan perlu terus ditimba. Kini, membaca bukan lagi merujuk kepada bahan bacaan konvesional seperti buku dan majalah, tetapi boleh dilakukan dengan menggunakan media elektronik. Lambakan bahan bacaan digital seperti surat khabar elektronik turut membantu masyarakat mengakses maklumat secara percuma serta mudah diakses di Internet dengan pantas. Masyarakat hari ini seharusnya tiada alasan untuk tidak membaca kerana selain bahan bacaan yang ada di serata tempat, teknologi yang ada turut memberi banyak kemudahan untuk mendapatkan bahan bacaan. Semakin banyak bahan bacaan yang ditelaah, semakin banyak maklumat diperoleh dan dengan maklumat itu pelbagai kemajuan dan cabaran dapat diatasi lebih berkesan. Oleh itu, budaya membaca perlu disuburkan dari semasa ke semasa melalui dasar sedia ada yang lebih menyeluruh dan dipertingkatkan seiring dengan tahap literasi rakyat negara ini. Maka dengan itu, objektif pengembangan budaya membaca dalam kalangan rakyat wajar dilihat dari aspek memperkasakan agenda nasional untuk membina tamadun negara, bangsa dan pembangunan modal insan yang berilmu pengetahuan.
          Sehubungan dengan itu, penglibatan semua pihak termasuk institusi kekeluargaan haruslah memainkan peranan dalam memupuk budaya membaca kepada anak-anak seawal mungkin supaya mereka membesar dengan membawa bersama amalan itu. Menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat bukanlah tugas kerajaan atau pemimpin sahaja, tetapi yang paling banyak memainkan peranan ialah ibu bapa di rumah.Untuk menyemai budaya suka membaca, ibu bapa dan keluarga harus memainkan peranan memastikan hobi dan tabiat anak-anak mereka terhadap pembacaan adalah kekal dari mula mereka mengenal apa-apa itu buku sehingga dewasa. Anak-anak akan berasa senang berjinak dengan buku sekiranya melihat ahli keluarga terutamanya ibu dan bapa mereka membaca di rumah pada masa lapang. Oleh itu, amalan pembacaan dalam kalangan ibu bapa perlu dijadikan contoh kepada anak-anak untuk membiasakan diri mereka menjadikan buku rakan karib mereka. Berdasarkan hakikat ini, setiap keluarga perlu mengadakan sudut perpustakaan keluarga untuk menyemai tabiat suka membaca dalam kalangan keluarga, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga. Sudut perpustakaan keluarga adalah ruang, sudut ataupun bilik bagi menempatkan bahan bacaan, rujukan serta bahan elektronik seperti komputer, televisyen, alat rakaman atau video yang mengandungi maklumat serta pengetahuan yang boleh dijadikan khazanah ilmu terkumpul untuk dimanfaatkan oleh seisi keluarga. Tegasnya, penglibatan ibu bapa turut membaca bersama anak-anak diyakini mampu memberikan dorongan kepada mereka untuk menerapkan budaya berkenaan pada masa hadapan.
          Pepatah Melayu ada mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah tradisi memupuk budaya membaca. Budaya ini harus bermula dari alam persekolahan, alam pendidikan tinggi sehinggalah ke alam pekerjaannya. Dalam konteks pendidikan formal, sudah pasti alam persekolahan menjadi destinasi terbaik untuk menyuburkan tradisi budaya membaca. Usaha Kementerian Pendidikan khususnya BahagianTeknologi Pendidikan (BTP)melalui pelaksanaan program NILAM atau ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca’ dalam memupuk budaya membaca berterusan di peringkat persekolahan merupakan suatu usaha murni yang cukup bermakna dalam konteks membina budaya ilmu masyarakat Malaysia sejajar dengan harapan Falsafah Pendidikan Negara. Melalui program NILAM yang terangkum dalamnya rancangan memupuk budaya membaca secara terancang dan berterusan melalui aktiviti galakan membaca di sekolah. Program NILAM yang mula dilaksanakan di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sejak 1999. Pihak BTP setiap tahun menganjurkan Anugerah Nilam Kebangsaan dan Tokoh Pembaca Kebangsaan. Pemberian anugerah ini merupakan petanda kukuh sebagai penghormatan terpuji kepada para pelajar yang komited dengan dunia pembacaan yang dinilai berdasarkan buku rekod pembacaan, penghayatan, apresiasi pembacaan,  kebolehan berhujah, dan berfikir kritis, serta kemahiran menulis. Anugerah peringkat kebangsaan sedemikian merupakan yang pertama di Asia dan usaha BTP tersebut merupakan langkah yang jauh ke hadapan dalam konteks membina budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia secara terancang dan sistematik.
          Jika dilihat daripada falsafah tersirat program NILAM bertujuan untuk melahirkan para pelajar yang mengamalkan budaya membaca bukan sahaja selepas tamat persekolahan tetapi berterusan ke alam pekerjaan. Hal ini merupakan sesuatu yang menarik untuk diperhatikan kerana kita sering mendengar keluhan bahawa para pelajar yang meninggalkan persekolahan dan pendidikan tinggi akan menurun minat membacanya apabila memasuki alam pekerjaan. Kalau membaca pun hanyalah yang berkaitan dengan bidang mereka, samalah seperti mereka membaca hanya untuk tujuan peperiksaan.  Jadi, kita tidak dapat melahirkan pembaca yang holistik dan pembacaannya merentas pelbagai disiplin ilmu. Dengan kata lain, apa-apa yang diinginkan daripada tujuan akhir NILAM termasuk melahirkan 'ulat buku’, atau 'pencinta buku’ yang perlu disemai dan diusahakan. Oleh itu, barangkali kejayaan terbesar program NILAM adalah apabila kita dapat melahirkan Nur Amalina Che Bakri sebagai Tokoh Pembaca Kebangsaan yang pertama pada tahun 2004 dan daripada kategori sekolah kawasan luar bandar. Sementara itu, Nur Amalina akhirnya muncul sebaga pelajar keseluruhan terbaik SPM tahun 2004. Hal ini dengan jelas menunjukkan amalan membaca berterusan memberi impak yang besar kepada keputusan akademik walaupun budaya membaca itu bukan sekadar untuk memenuhi keperluan akademik tetapi memenuhi makna kehidupan itu sendiri.
          Pada umumnya, tabiat membaca adalah suatu amalan yang baik untuk mendedahkan diri seseorang kepada ilmu pengetahuan dan peristiwa. Tabiat membaca seperti orang memakan nasi dan tanpa makanan, ibarat tidak lengkap hidup ini. Tanpa membaca ibarat tidak sempurna kehidupan hariannya. Pembacaan merupakan santapan minda dan bahan santapan yang baik akan menghasilkan minda yang berkualiti. Sehubungan dengan itu, Lord Bacon, seorang ahli falsafah Inggeris pernah mengatakan bahawa “membaca menjadikan seseorang itu berisi”. Maksudnya manusia yang berisi dengan ilmu pengetahuan; berisi dengan cara berfikir dan pandangan hidup yang luas, kritis, rasional; berisi dengan kemampuan untuk membezakan sesuatu yang buruk dan yang benar. Seseorang yang mempunyai tabiat membaca yang baik bukan sahaja mempunyai minat yang tinggi terhadap pengetahuan, maklumat dan ilmu,  tetapi menyebabkan dorongan untuk membaca tidak boleh disekat. Mereka akan membaca di mana-mana sahaja dan kadang-kadang membaca apa-apa sahaja bahan yang ada. Tanpa bahan yang dibaca mereka menjadi resah kerana membaca bagi mereka suatu kepuasan. Menerusi pembacaan seseorang itu dapat menambah maklumat , meluaskan pengetahuan, meningkatkan penguasaan ilmu, dan memahami sesuatu peristiwa yang berlaku.
          Dari perspektif agama pula, Islam sentiasa menganjurkan manusia membaca. Ayat yang pertama daripada Allah kepada Nabi kita ialah ‘iqra’ atau ‘Bacalah’. Al-Quran juga mengingatkan manusia tentang kepentingan akal untuk membolehkan manusia berfikir dan jalan mengembangkan pemikiran adalah menerusi membaca. Amalan membaca yang tinggi menjadikan seseorang itu mempunyai ilmu dan pengetahuan yang lebih. Allah juga memberikan pedoman bahawa tidak sama darjat orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Darjat ilmu boleh didapati menerusi pembacaan dan begitulah pengaruhnya dalam kehidupan diri seseorang itu. Sementara itu, masyarakat yang miskin ilmu akan terus ketinggalan kerana ilmu pengetahuan adalah asas bagi pembentukan masyarakat dan negara yang makmur.
Kesimpulan
Secara tuntas, amalan membaca perlu sentiasa disuburkan sebagai budaya masyarakat di negara ini bagi mewujudkan sebuah negara yang maju. Lantaran itu, asas untuk membawa sebuah negara dan bangsa ke hadapan ialah rakyatnya perlu dipupuk dengan amalan membaca sejak kecil lagi. Kita semua maklum bahawa untuk membudayakan membaca dalam kalangan masyarakat bukanlah satu perkara yang mudah.Tidak ada jalan pintas untuk menjadikan seseorang itu berilmu dalam sekelip mata, tetapi kita hanya boleh mendapat pengetahuan dengan selalu membaca dalam jangka masa yang panjang. Tegasnya, budaya membaca wajar mendarah daging dalam diri setiap individu selaras dengan matlamat membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Rakyat Malaysia masih ketinggalan dalam amalan membaca berbanding negara-negara maju yang lain. Pada pendapat anda, mengapakah wujud keadaan seumpama ini, apakah implikasinya dan bagaimanakah masalah ini boleh diatasi?
          Mengapa hanya dua buah buku secara purata dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun? Tentunya bersebab. Namun perkembangan ini bukanlah satu perkara yang sihat lebih-lebih lagi dalam dunia ledakan maklumat hari ini. Tanpa maklumat (yang terkini), manusia akan ketinggalan, masyarakat akan menjadi lemah dan negara akan mudah dikuasai secara neokolonialisme atau dijajah secara mental oleh kuasa-kuasa asing. Segala bentuk kemajuan memerlukan modal insan yang berkualiti, berilmu, matang dan mempunyai mentaliti kelas pertama. Tidak dapat dinafikan bahawa negara seperti Korea Selatan begitu pesat membangun dan kian dihormati dalam hampir segenap bidang kerana minat membaca dan budaya buku yang subur di negara itu. Namun, mengapa orang kita tidak mahu membaca? Marilah kita sama-sama mencari jawapannya.
          Rata-rata orang Malaysia kurang membaca kerana mereka tidak sedar akan perkara-perkara yang ada dalam buku-buku. Sebenarnya, semua hal dan pengetahuan yang kita perlukan sudah ditulis dan dicetak serta diterbitkan sebagai bahan bacaan. Apa-apa sahaja yang ingin kita cari sudah ada dalam buku-buku di bawah pelbagai judul yang unik lagi menarik. Misalnya, anda mebuka perniagaan baru dan tidak tahu akan cara membuat program pemasaran atau pengiklanan. Hakikatnya, anda tidak perlu pergi ke universiti untuk belajar pemasaran, sebaliknya anda boleh pergi ke kedai buku, beli buku-buku berkaitan pemasaran, baca dan amalkan ilmu yang diperoleh. Lambat-laun anda akan menjadi pakar pemasaran yang lebih baik daripada pensyarah di universiti ! Namun, ada orang Malaysia yang masih mengadu bahawa tidak mempunyai maklumat atau ilmu dalam sesuatu hal. Mereka tidak dan belum sedar bahawa jawapan untuk semua soalan mereka ada di kedai-kedai buku atau di perpustakaan. Kekurangan kesedaran inilah yang menjadi hambatan utama dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
          Membaca tidak menjadi budaya orang Malaysia. Faktor ini mungkin didorong oleh kesibukan masa yang diperuntukkan untuk bekerja. Sekurang-kurangnya dua jam atau lebih dihabiskan di atas jalan raya untuk pergi ke tempat kerja dan kembali ke rumah. Apabila sampai di rumah, penat dan letih. Mungkin juga kerana semasa di bangku sekolah, tidak ditekankan kepentingan membaca, kecuali buku-buku teks. Mungkin juga kerana pengaruh ibu bapa atau keluarga yang tidak menitikberatkan budaya membaca. Tidak pernah dihadiahkan buku, dan tidak pernah terfikir bahawa buku itu penting dan membaca itu penting. Mungkin juga kerana pengaruh media massa yang semakin menjauhkan penontonnya dengan buku, sebaliknya menjadikan artis itu sebagai idola utama mereka.
          Selain itu, pengaruh suasana dan faktor sekeliling amat besar dalam hal ini. Mungkin telah menjadi amalan kita untuk membaca dalam keadaan sunyi. Seperti yang seringkali menjadi amalan di dalam sesebuah perpustakaan, disuruh diam. Memang amalan itu tidak salah tetapi kesannya secara tidak sedar ialah kita turut terpengaruh untuk membaca dalam keadaan sunyi. Kerana itulah agak sukar untuk kita membaca di dalam LRT, bas atau di tempat-tempat awam. Malah mungkin persepsi orang ramai bahawa orang yang membaca (terutamanya di tempat-tempat awam) adalah untuk menunjuk-nunjuk, dan memberikan gambaran 'negatif' bahawa pembaca itu 'ulat buku' yang tidak boleh dibuat kawan (kerana hanya berkepit dengan buku). Ulat buku mungkin dianggap antisosial atau antisukan. Persepsi-persepsi sedemikian amat berbahaya kerana ia akan menjauhkan buku dengan masyarakat.
          Di samping itu, harga buku di negara kita dianggap mahal. Mungkin ini juga antara faktor utama untuk tidak membaca. Harga buku yang mahal mungkin disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti kadar tukaran wang asing yang tinggi yang menyebabkan harga buku import menjadi mahal, kos penerbitan dan percetakan yang tinggi, dan keengganan kita sendiri untuk mengeluarkan wang dari saku untuk membeli buku. Kos kehidupan yang kian meningkat akibat kenaikan harga minyak menyukarkan keadaan lagi. Jika harga terus naik maka sukarlah amalan  membaca dibudayakan di negara kita. Namun, dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, maka perbelanjaan perlulah dirancang dengan memasukkan elemen buku sebagai belanja wajib seperti mewajibkan makanan dan lain-lain. Yang perlu disedari ialah membaca tidak akan merugikan sesiapa !
          Banyak orang kita juga berasakan membaca tidak penting. Mungkin sifat untuk merasakan tidak ada kepentingan untuk membaca merupakan antara faktor utama rakyat Malaysia kurang membaca. Sama ada sebagai seorang bekas mahasiswa universiti atau bekas pelajar sekolah, kebanyakan daripada kita tidak mahu memegang buku apatah lagi membacanya. Hal ini juga satu kemungkinan. Hasil pemerhatian penulis, didapati amat kurang daripada mereka yang mahu membaca. Dan tidak ada satu perasaan gembira dan keseronokan untuk membaca. Sehingga seterusnya memberikan alasan kerana pengaruh masa (kerja) yang membatasi mereka daripada membaca. Mungkin kerana memikirkan bahawa buku tidak akan memberi sebarang faedah secara langsung kepada mereka, jika dibandingkan dengan perkara-perkara lain. Bagi mereka buku gagal memberi bonus emosi yang dapat diperoleh melalui cara-cara lain. Misalnya, dengan membeli kereta (atau bertukar-tukar kereta), secara langsung memberikan kepuasan kepada mereka dari segi nilai estetika dan kemewahan. Inilah antara persoalan yang perlu kita jawab terlebih dahulu dalam usaha kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya.
          Walau bagaimanapun, remaja kita sebenarnya gemar membaca. Kajian yang dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia, berasaskan Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) yang telah 10 tahun berjalan. Lambakan bahan bacaan yang disasarkan kepada golongan remaja juga menjadi tarikan minat membaca dalam kalangan remaja. Namun soalnya bagaimana kualiti bahan bacaan tersebut? Adakah mesej yang ingin disampaikan benar-benar sesuai untuk santapan minda dan imaginasi remaja? Hasil pemerhatian mendapati ramai remaja terutama remaja golongan pertengahan dan rendah, terdorong untuk membaca majalah-majalah hiburan. Seawal usia 12 tahun juga remaja sudah mula pandai membaca novel-novel cinta yang berkait rapat dengan kehidupan remaja yang warna-warni. Tidak dapat dinafikan, ada mesej yang ingin disampaikan oleh novel-novel ini, namun selalunya cerita cintanya juga terlalu mempengaruhi dan mengghairahkan emosi remaja. Mereka akan lebih mudah berkhayal serta kurang menumpukan perhatian kepada pelajaran. Kegilaan membaca novel-novel dan majalah hiburan ini mungkin boleh menimbulkan situasi yang tidak sihat untuk minda dan emosi remaja.
          Pembacaan adalah santapan minda. Bahan santapan yang baik akan menghasilkan minda yang berkualiti. Sahsiah remaja yang baik boleh dibentuk melalui bahan pembacaan yang betul. Oleh itu, menjadi tanggungjawab remaja untuk bijak memilih bahan bacaan yang berkualiti dan dapat membantu meningkatkan kecekapan berfikir masing-masing. Jika di negara luar kewujudan kedai buku terpakai merupakan suatu pemandangan biasa tetapi di sini kedai pakaian terpakai yang lebih mendapat perhatian terutama daripada anak-anak muda. Akibat malas membaca kebanyakan daripada kita begitu sukar berhujah dan memberi pandangan tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial dan budaya di dalam mahupun luar negara. Sering kali juga pendapat dan perbincangan kita cetek dan berbaur sentimen emosi bukannya secara rasional dan meyakinkan kerana saiz cakerawala minda yang masih sempit. Permasalahan berkaitan diri, keluarga, organisasi dan negara tidak dapat dicari jalan penyelesaian secara tuntas. Mungkin atas sebab inilah graduan kita dikatakan tidak berfikiran kritis kerana budaya berfikir yang hanya wujud secara semula jadi melalui pembacaan berkualiti itu sendiri masih jauh panggang daripada api. ‘Kemiskinan' etika dan sikap budi bahasa bangsa sekarang adalah kesan daripada faktor rendahnya tahap pembacaan merupakan satu fakta yang perlu diterima oleh semua pihak.
          Tidak keterlaluan jika dikatakan, bangsa yang membaca mencorakkan pemikiran dan perilaku yang sopan, berakal budi dan menghormati orang lain. Bagi membudayakan amalan membaca di negara ini semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dengan lebih kreatif dan kritis. Kerajaan perlu mencari jalan bagi mengawal harga bahan bacaan. Media massa pula wajarlah memberi keutamaan untuk program-program ilmu. Sistem pendidikan mesti lebih holistik, tidak harus terlalu bermatlamatkan peperiksaan. Guru-guru wajib menjadi contoh yang boleh dicontohi kerana ‘guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Justeru, sikap tidak gemar membaca yang menjadi hambatan untuk memperkasa bangsa yang intelektual dan berakal budi terpuji perlu dikuburkan. Membaca membolehkan kita keluar daripada kepungan kongkongan dan kejumudan pemikiran serta tingkah laku. Bangsa Malaysia yang matang, rasional, analitikal, berjiwa patriotik serta maju fizikal dan mentalnya hanya akan menjadi kenyataan jika budaya membaca menjadi amalan segenap lapisan masyarakat. Hanya budaya membaca akan membolehkan kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju di dunia ini.