Wednesday, July 29, 2015

SMINAR SKOR A+ SPM 2015

TEMPAT : TANJUNG DAMAI KAMPUNG BAHRU
MASA  : 16 Ogos 2015 ( 2-5pm)
Fee : RM30 ( termasuk nota yang lengkap untuk tip 2015)
Penceramah : Dr Tan CL ( dari Kuala Lumpur)
Sila daftarkan diri kepada urus setia di pusat tuisyen Tanjung atau contact saya, Cikgu Phong

SEMINAR PT3 2015
MASA : 16 Ogos 2015 ( 9-12pm)
Fee : RM30 ( termasuk nota yang lengkap untuk tip 2015)
Penceramah : Dr Tan CL ( dari KL)

****SILA HUBUNGI SAYA MELALUI WECHAT ATAU WHATSAP. 017 485 1840
GURU YANG BAIK SUSAH DICARI,
JODOH YANG BAIK KINI DITEMUI,
HANYA 100 SEATS SAYA TAWARI,
DATANGLAH BERSAMA RAKAN DITEMANI.

Tuesday, July 28, 2015

kempen belilah barangan uatan tempatan 2015



11. MRSM  2012
Bahagian A[30 markah][Masa dicadangkan: 45 minit]
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk menggalakkan masyarakat membeli barangan buatan Malaysia
Mengadakan kempen berterusan     
Memperluas perniagaan/ ekspo                 
Meningkatkan kualiti barangan
        
( saya mengarang esei ini mengikut permintaan skop bahagian B)
 
          Isu sikap prejudis masyarakat yang memandang rendah barangan buatan Malaysia dan mengagung-agungkan barangan berjenama luar negara memang bukan lagi kes yang berasingan dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, harga barangan import lebih mahal dan membebankan berbanding dengan barangan tempatan yang mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Namun, rakyat murba masih tidak sedar lagi bahawa kualiti barangan tempatan telah lama diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Oleh itu, prakarsa yang efektif dan pragmatik wajarlah digarapkan untuk menggalakkan masyarakat tempatan membeli barangan buatan Malaysia kerana hujan emas di negeri lain, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
         
          Memang tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa kempen kesedaran yang dilancarkan secara berterusan merupakan pelantar untuk mendidik masyarakat lokal tentang peri pentingnya membeli barangan tempatan kepada pembangunan ekonomi yang mampan. Menurut mantan Menteri Perdagangan dalam Negeri, jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan tempatan terutamanya makanan, negara kita dapat menjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan tersebut. Walhal, penjenamaan semula Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia merupakan kesinambungan daripada kempen yang diperkenalkan sejak 4 April 1984 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dilancarkan semula pada tahun 1998. Bahawasanya, pelaksanaan kempen ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk mengekang aliran wang ke luar negara justeru bersedia untuk menghadapi suasana ekonomi global yang tidak menentu dan diramal bertambah gawat dalam tempoh akan mendatang ini. Tegasnya, kempen yang dilaksanakan ini sejajar dengan seruan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA tentang hal-ehwal kepenggunaan, iaitu membeli barangan buatan Malaysia, amalan berjimat cermat serta tidak membeli secara sewa beli. Lantaran itu, Fomca dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara telah mengumpul senarai barangan buatan tempatan untuk diedarkan kepada pengguna. Kini, pengayuh sudah di tangan, perahu sudah di air, rakyat murba perlulah berganjak dari takuk lama untuk mengenali produk yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan.

          Seterusnya, strategi pemasaran yang berkesan memangkinkan keberhasilan kempen yang dijalankan. Buktinya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pemasaran pertanian Persekutuan (Fama) , Matrade dan syarikat terbabit telah bersinergi untuk memperluas jaringan perniagaan mereka melalui Ekspo Cintailah Barangan Tempatan atau pameran barangan tempatan ke luar negara. Baru-baru ini, lebih daripada 400 buah gerai telah dipamerkan untuk tatapan masyarakat lokal tentang jenama produk tempatan di PWTC. Antara lainnya ialah barangan elektronik, keperluan rumah dan perhiasan, barangan keperluan harian seperti makanan. Walhasil, ekspo yang dijalankan setiap tahun secara besar-besaran bertujuan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang kian meningkat dari masa ke masa sekali gus membantu membangunkan perindustrian tempatan. Pada masa yang sama, pameran di luar negara terbukti berhasil melalui usaha sama antara syarikat tempatan dengan agensi pemasaran di luar negara. Contohnya, anak syarikat Proton Hol­dings Bhd. Lotus Group International Ltd. merancang untuk memulakan pengeluaran sebanyak 30,000 buah kenderaan Lotus di China pada tahun ini. Sebenarnya Malaysia telah muncul sebagai pengeluar dan pengeksport yang utama peranti semikonduktor dan pembekal ketiga terbesar diod dan transistor ke Amerika Syarikat. Negara kita juga berjaya menghasilkan enjin kenderaan antarabangsa berkuasa tinggi untuk Perlumbaan Formula 1 (Fl) ke pasaran kenderaan antarabangsa. Pendek kata, strategi pemasaran yang berkesan akan memangkinkan pengembangan jaringan perniagaan syarikat tempatan ke mercu jagatraga.
                  
          Sedia kita maklum bahawa, perbelanjaan yang dikeluarkan rakyat untuk membeli barangan tempatan dapat merangsang sektor perkilangan supaya meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan(R&D). Untuk menjamin kualiti barangan Malaysia, para pengusaha sama  ada kaum petani, pengusaha industri kecil dan sederhana serta usahawan konglomerat harus memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% pendapatan syarikat sebagai perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).  Pengusaha harus berusaha meningkatkan mutu hasil barangan  tempatan sama ada bahan pertanian, penternakan atau buatan perkilangan sehingga mencapai kriteria ISO atau SIRIM.  Dengan ilmu sains dan teknologi yang canggih, barangan Malaysia bukan sahaja perlu bermutu malah harus terjamin dari segi kesihatan, keselamatan dan mesra alam.  Salah contoh yang nyata ialah setiap tahun, Syarikat Apple telah berbelanja  berpuluh-puluh bilion ringgit dalam penyelidikan dan pembangunan supaya produk mereka sentiasa di takuk mercu di pasaran dunia. Steve Job sendiri pernah mengatakan bahawa budaya R&D tidak wajar dikira dengan nilai wang kerana produk yang dihasilkan melalui inovasi akan menimbal balik pulangan yang berlipat ganda. Seperti pepatah Cina, “ketika menongkah arus, kita  tidak maju ke depan bermaksud kita telah mundur.” Ijmalnya, budaya R&D  merupakan pendekatan yang ampuh untuk mengadaptasikan barangan Malaysia kepada pasaran tempatan dan dunia.

          Selain kualiti,  para pengusaha harus sentiasa meneliti cita rasa dan trend semasa pasaran serta pembungkusan yang unik.  Perniagaan yang tradisional tidak dapat bersaing dalam dunia perdagangan yang penuh dengan cabaran dan kompetitif. Tegal itu,  dalam usaha untuk bersaing dengan syarikat gergasi dunia, pengusaha tempatan perlu mencontohi syarikat multinasional di negara ini, terutamanya dalam aspek promosi, pengiklanan serta budaya kreativiti dan inovasi untuk memartabatkan jenama Malaysia agar lebih dikenali di persada antarabangsa. Walhal,  pihak pengusaha perlu  mempertingkatkan aspek kualiti penjenamaan, pembungkusan, promosi dan pengiklanan supaya setaraf dengan piawaian antarabangsa dan menjadi pilihan utama. Dalam hubungan ini, syarikat pengeluar produk tempatan digalakkan mengembangkan pemasaran produk ke pasaran serantau. Syarikat tempatan perlu lebih inovatif serta menggunakan teknologi terkini dengan membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba-serbi, termasuk soal penjenamaan barangan sendiri. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar negara.Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran dan menandingi produk luar negara. Pendek kata, Bajet 2015 telah menyasarkan sektor francais terus menyumbang kepada Keluaran Kasar Dalam Negara(KDNK) dengan membuka 2000 cawangan di luar negara termasuk Timur Tengah dan Indonesia. Maksudnya, jenama negara kita akan terus berkembang melalui strategi perniagaan yang berkesan. Budaya kreativiti dan inovasi merupakan formula penyelesaian untuk berjaya menjenamakan produk tempatan di persada jagatraya.

          Sementara itu,  perubahan dari segi mentaliti dan sikap dalam kalangan komuniti dapat melahirkan generasi muda yang mengagungkan produk tempatan. Pendidikan di bangku sekolah penting untuk mengakulturasi pelajar tentang  kesan buruk kejatuhan nilai ringgit sekiranya terus menyokong bahan import. Dalam konteks ini, sekolah merupakan tempat mencorakkan minda generasi muda yang bersemangat patriotik manakala media massa menyediakan platform dominan untuk memaparkan jenama produk tempatan kepada rakyat murba. Dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang, daya tahan ekonomi amat penting dengan menyokong produk tempatan. Sehubungan dengan itu, media sosial berperanan untuk menghebohkan aktiviti memperkenalkan barangan tempatan seperti ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen  pakaian tempatan dan ekspo industri kecil dan sederhana dari semasa ke masa.   Hakikatnya,  Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3  telah  berjaya mengadakan ekspo barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagai genggam bara api biarlah sampai jadi arang.  Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia. Kini, hanyalah dengan perubahan mentaliti rakyat murba tentang kehebatan pengeluaran barangan tempatan dapat menongkah krisis kegawatan ekonomi global.

          Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, sektor swasta seperti  tapak niaga dan pasar raya  masing-masing turut serta berkempen dengan menggalakkan PKS menggunakan logo buatan Malaysia secara meluas untuk mempromosikan produk tempatan yang kurang dikenali tetapi berpotensi. Sesungguhnya, membeli barangan tempatan dapat mencapai  imbangan bayaran negara kesan pengurangan kebergantungan pada produk import.  Karnival beli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan di seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jasco, Tesco, Mertojaya, Parkson,  dan sebagainya boleh  mengadakan jualan mega tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Sebagai tanggungjawab sosial, pasar raya Mydin telah diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi operator kepada KR1M. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya.  Para pelancong juga turut terpukau oleh potongan harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival beli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Hal ini bagai menyelam sambil minum air. Barangan buatan Malaysia kini berjaya diperkenalkan melalui Program 1Malaysia 1Harga, KR1M, Kedai Coop1Malaysia, Agrobazar Kedai Rakyat, dan kedai FAMA kepada golongan marhaen. Situasi ini ibarat tak kenal maka tak cinta, perasaan kecintaan terhadap produk negara akan berjaya ditanam melalui kefahaman yang mendalam dalam jiwa raga setiap individu yang bergelar sebagai orang Malaysia.

          Tuntasnya, demi meningkatkan permintaan domestik; usaha sama antara semua pihak adalah mustahak untuk menjadikan rakyat murba kita berbangga dengan produk tempatan. Tema Hari Kebangsaan Malaysia ke-58 dan ke-57, ‘sehati sejiwa’ dan ‘Malaysia, di sini lahirnya sebuah cinta’ menuntut seantero strata komuniti supaya berusaha untuk membangkitkan semangat kekitaan dan kecintaan yang mendalam terhadap ibu pertiwi yang berdaulat.Memetik kata Presiden John Kendeny, jangan tanya apa-apa yang boleh diberikan oleh negara, tetapi tanyalah diri apa-apa yang boleh diberikan kepada negara. Anjakan paradigma terhadap kualiti produk tempatan akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat Malaysia memahami bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung atau bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Ayuhlah anak watan Malaysia, banggailah produk Malaysia dan mendabik dada bahawa Malaysia Boleh!

Sunday, July 26, 2015

percubaan SPM BM 2015-12




Latihan 5: Guru memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu. Ulaskan pernyataan tersebut(Ruj.TeksTkn 5, Unit 2 BhgC).
         
          Memetik serangkap sajak oleh Sasterawan Negara ke-3, Usman Awang, “ sekalipun raja, ahli parlimen, peguam, penulis, doktor, semuanya dididik oleh guru.” Sesungguhnya, sajak Guru oh Guru memanifestasikan bahawa guru merupakan insan yang menggalas obligasi mutlak untuk melahirkan anak didik yang berintelektual dan bersahsiah tinggi.(I) Dari sudut agama Islam, guru memainkan peranan yang tidak mempunyai galang ganti untuk menaburkan ilmunya kepada semua umat di buana ini. Iman Al-Syafie sejak berguru dengan Imam Malek, hampir sepanjang hayatnya Imam Syafie tidak pernah berpisah dengan guru itu sehingga guru itu wafat. (I) Namun, budaya takzim dan tawaduk terhadap golongan pendidik semakin sirna ditelan arus globalisasi, walhal perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat memerlukan guru peka terhadap perkembangan semasa.(K) Tegal itu, Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan telah dibangunkan untuk meningkatkan kualiti guru dan pemimpin sekolah serta memperkasakan profesion keguruan. Selari dengan hasrat tersebut, guru perlu memiliki kriteria yang telah digariskan dalam PPPB, iaitu pemikir holistik dan kreatif,pemikir strategik, peneraju perubahan, pembimbing dan mentor,penggerak kualiti PdP, serta pelaksana pengajaran berkesan dan fasilitator pembelajaran murid. (U) Persoalannya, sejauh manakah guru berperanan untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang, gemilang dan terbilang?

          Tema Hari Guru tahun 2015 ‘Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak’ sangat bertepatan dengan dunia pendidikan pada abad ke-21. Tegal itu, guru mesti mengadaptasikan diri dengan multidisiplin ilmu dan pengalaman agar dapat mengoptimumkan potensi murid. Menurut teori perkembangan kognitif, pembelajaran merupakan satu proses maklumat diterima dan disimpan dalam pemikiran seseorang.Di bawah teori ini, guru berperanan sebagai penyampai maklumat kepada pelajar. Seperti yang digarapkan进行 dalam PPPM 2013-2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi, iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut. Pemerkasaan ilmu amat penting untuk memastikan murid dapat bersaing dan menguasai ilmu setanding dengan kualiti pencapaian murid di persada dunia. Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) menjadi satu elemen pentaksiran dalam mengukur keberhasilan murid. Sejajar dengan itu, guru perlu mempunyai kredibiliti, integriti, dan telus agar dapat menghasilkan penilaian yang adil. Sesungguhnya, di tangan gurulah terletaknya penentu hala tuju masa hadapan murid. Jatuh bangun sesebuah negara bergantung pada kualiti anak bangsa yang dihasilkan oleh warga pendidik, jadi tuntutan pada abad ini memerlukan idea baharu untuk meningkatkan profesionalisme guru. Lantaran itu, guru seharusnya mengaplikasikan konsep pembelajaran sepanjang hayat, menghindari sikap egoistik lantas mendorong dirinya untuk terus menimba ilmu dan kemahiran terkini melalui pelbagai sumber termasuk daripada muridnya sendiri. Mukhtasarnya, sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat, dan mengasah budaya kepimpinan kerana pelajar aset negara yang bernilai pada masa hadapan. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum produk kita melangkah ke alam pekerjaan.

          Bagi membentuk dan menyempurnakan akhlak anak didiknya, guru perlu menjadi teladan yang jitu. Guru perlu memiliki jati diri dan personaliti unggul yang cemerlang. Sifat dan peribadi ini sesungguhnya menjadi inspirasi murid dalam pembentukan sikap dan akhlak terpuji. Seiring dengan ledakan teknologi maklumat yang mewujudkan fenomena dunia tanpa sempadan telah mendedahkan generasi hari ini dengan kepelbagaian sumber maklumat. Perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi pintar dan kemajuan maklumat terkini telah memberi kesan serta menjadi cabaran terhadap nilai,budaya, pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama. Dengan erti kata sebenar, generasi muda masa ini bukan sahaja berdepan dengan cabaran persaingan di peringkat global seperti kepesatan ekonomi, keselamatan dan kebudayaan malah cabaran paling utama ialah konflik akhlak. Di sinilah peranan guru dicabar dan diuji. Guru berperanan membimbing dan menyempurnakan akhlak anak didiknya. Akhlak mulia dalam diri murid  bermula dari rumah dan diteruskan oleh para guru seawal alam persekolahan, bak pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Penguasaan guru dalam bidang teknologi maklumat sangat penting bukan sahaja bertujuan menyahut cabaran pendidikan hari ini yang menuntut guru menggunakan pelbagai sumber malah untuk memantapkan nilai-nilai murni yang syumul dalam penyempurnaan akhlak mulia pelajar. Dalam hal ini, YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin
Yassin menyatakan bahawa modal insan  yang dibangunkan melalui sistem pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, tetapi juga perlu disertai dengan penghayatan nilai dan adab yang tinggi.

          Sebagai agen sosialisasi dan pembina jati diri bangsa, guru perlu sentiasa mengamalkan corak pengajaran yang pelbagai dan interaktif di dalam bilik darjah, menerapkan kemahiran menaakul, di samping sentiasa mengambil berat perkembangan setiap murid. Walau bagaimanapun, peranan guru tidaklah hanya terbatas di dalam bilik darjah semata-mata. Guru juga harus bertindak sebagai agen perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan murid. Menerusi kepimpinan dan kewibawaan, guru berupaya membina atmosfera sosial yang sihat bagi menggalakkan interaksi pelbagai hala antara murid berbilang kaum, latar belakang, dan budaya bagi mewujudkan satu identiti nasional Malaysia yang dapat dibanggakan. Sudah tiba masanya warga pendidik mengetepikan segala perbezaan yang menjadi punca diskriminasi dan prejudis. Guru perlu sentiasa menonjolkan sifat bertanggungjawab sebagai wahana penyatu bangsa yang sentiasa menyeimbangkan neraca keadilan untuk memastikan setiap anak murid menerima pendidikan berkualiti. Dalam proses perkembangan kognitif seseorang murid, guru berperanan sebagai pentafsir untuk meningkatkan tahap kefahaman murid terhadap hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan alam sekitar serta hubungan sesama manusia. Di bawah langit yang sama, konsep menganyam cita-cita  untuk melestarikan kesejahteraan manusia sejagat amatlah penting . Dari sinilah, guru berperanan sebagai  musyid dan pengaman sejagat yang penting.Sehubungan dengan itu, dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang utuh serta sifat penyayang dan saksama dalam kalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan kita.  Ijmalnya, guru perlu menghayati prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan berdasarkan doktrin dalam Rukun Negara, yakni kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja negara serta kedaulatan undang-undang.

          Di bawah Dasar Langit Terbuka dan projek Multimedia Super Corridor (MSC), integrasi TMK dalam kehidupan sejagat telah mengalami revolusi yang ketara dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks pembelajaran, penggunaan TMK dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi yang berpusatkan konsep pembelajaran kendiri. Dalam konteks pengajaran pula, peranti elektronik sebagai tutor dan alat demonstrasi. Walhasil, program Frog VLE dan projek jalur lebar telah membenarkan pelajar berinteraksi secara aktif dengan maklumat. Peranti tambahan seperti CD Rom interaktif, teknologi video dan digital telah menyediakan satu persekitaran media yang serba boleh untuk keperluan guru dan pelajar. BillGates dalam bukunya Business @ The Speed of Thought menyatakan komputer peribadi dapat mengubah kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada pendekatan demontrasi untuk merangsang sifat inkuiri yang ada dalam diri pelajar. Maksudnya, peranan guru sebagai fasilitator perlu lebih fleksibel mengintegrasi bahan multimedia interaktif, bahan visual grafik,teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap pembelajaran kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini membolehkan murid dan guru berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk justeru mewujudkan hubungan kerja berpasukan dalam kalangan murid di samping memantapkan kemahiran berkomunikasi. Namun, guru perlu memastikan disiplin murid semasa penggunaan e-mel dan ‘chat room’. Guru sebagai penilai dengan mengadakan kumpulan pebincangan di dalam kelas untuk menggalakkan percambahan pemikiran serta memantapkan kemahiran berfikir dan komunikasi murid.

            Akhirnya, tema hari guru pada tahun 2014, ‘Guru penjana inovasi pencetus kreativiti’ menegaskan transformasi pendidikan ke arah kecemerlangan pendidikan negara menongkah arus abad ke-21.  Dunia dan ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berfikir dengan lebih kritis, kreatif dan inovatif. Peranan guru sebenarnya tidak terbatas hanya pada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan pelajar serta penggunaan bahan sumber secara berkesan. Sistem pendidikan hari ini menyandarkan harapan agar guru menyempurnakan tanggungjawab dalam memastikan anak didik menguasai ilmu tulis, baca dan kira, tetapi lebih jauh daripada itu guru perlu memperkasakan ilmu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Ilmu ini merupakan transformasi minda yang menguji keupayaan guru menjana kemahiran berfikir aras tinggi bagi menggalakkan murid berfikir secara kritis, analitis, kreatif, reflektif dan inovatif. Aktiviti PdP dalam KBAT ini juga hendaklah dilaksanakan secara interaktif yang berfokus pada penyelesaian masalah untuk mendorong murid sentiasa berfikir. Masalah yang diberikan pula mestilah di luar rutin yang berupaya merangsang minat murid, seperti aktiviti main peranan, kajian lapangan, temu bual pengembaraan, penciptaan replika sesuatu bangunan, forum, perdebatan, sumbang saran, sesi muhasabah dan refleksi diri. Selanjutnya guru wajar mentransformasikan kerangka minda dirinya kepada kerangka minda yang lebih anjal, luwes, bersedia menerima perubahan dan kritikan serta bersedia untuk terus berkembang.

Tuntasnya, guru sebagai tunjang dalam sistem pendidikan negara merupakan faktor utama yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu program pendidikan. Ekoran daripada itu, keberhasilan program pendidikan negara yang menjurus kepada pengisian wawasan pendidikan juga terletak di tangan guru. Sejajar dengan itu, guru yang berdedikasi, bermotivasi berdaya gigih, mempunyai komitmen yang tinggi dan semangat yang padu untuk merealisaskan cita-cita pendidikan negara ini di samping melonjakkan transformasi pendidikan negara ke arah wawasan pendidikan menjelang tahun 2020. Sejajar dengan pendapat Peter F. Druker dalam Post Capitalist Society, menyatakan masa hadapan perkembangan ekonomi perindustrian dan perdagangan sesebuah negara ditentukan oleh para pekerjanya yang menggunakan kekuatan mental dan bukannya kemahiran tenaga semata-mata. Oleh itu, setiap tenaga pekerja yang dihasilkan perlulah berilmu dan mampu menyesuaikan diri dengan  perkembangan sains dan teknologi. Hal ini secara tidak langsung mengingatkan para guru bahawa keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang pancaroba hanyalah mampu diiktiraf sebagai arkitek manusia yang benar-benar berjasa dan dianggap bagai dian yang membakar diri menerangi dunia yang jahil.

Monday, July 20, 2015

ramalan percubaan spm 2015



1. rakyat sihat, masyarakat produktif ( penyakit berjangkit, penyakit kronik, obesiti, wabak demam denggi)
2. cara Mempertingkatkan Keyakinan Rakyat Terhadap Keselamatan Awam 
3.pengangkutan awam
4.pendidikan ( kepentingan transformasi, TVET)
8.kes penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga
9.peranan wanita sebagai penyumbang kepada sosioekonomi
10.oku
11.kejayaan Malayisa dalam pelbagai bidang
12.Kemapanan alam sekitar tanggungjawab kita(bencana alam/tanah runtuh/jerebu/teknologi hijau/ krisis air)
13. warisan tradisi budaya
14. Anda ingin menyertai pertandingan menulis esei bersempena dengan Sambutan Hari Polis di tempat anda. Tajuk yang anda pilih ialah “Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama”.Tulis esei anda selengkapnya.