Sunday, September 11, 2011

pendahuluan yang baik


1.    Dalam menongkah era dunia tanpa sempadan, pelbagai masalah timbul selaras dengan kemajuan Malaysia di persada global. Masyarakat masih disogokkan dengan gejala merokok yang membimbangkan.
Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila generasi pewaris kepimpinan negara terlibat dengan gejala merokok yang diibaratkan sebagai bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Sesungguhnya, gejala merokok yang kian kronik perlu diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat agar rakyat Malaysia kekal sihat dan berupaya menyumbangkan tenaga ke arah kecemerlangan negara



2. Marcapada ini, rata-rata kehidupan masyarakat khususnya di kota-kota metropolitan lebih bersifat nafsi ataupun individualistik. Semangat kejiranan dan altruism dalam kalangan warga Malaysia mulai sirna. Paradigma ini sering menjadi polemik utama dan meniti dari bibir ke bibir rakyat. Siapakah yang harus dipersalahkan? Nescaya, sebelum nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatik perlu diambil bagi menyuburkan semangat kejiranan dalam institusi masyarakat Malaysia kembali. 

semangat kejiranan


Semangat Kejiranan Dibawa Arus Kemodenan
JIRAN merupakan orang yang tinggal berdekatan dengan kita. Kita sepatutnya mempunyai hubungan yang mesra dengan jiran kita. Namun, apa yang terjadi pada era globalisasi ini manusia tidak lagi bertegur sapa dengan jiran masing-masing. Hidup kejiranan bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Keadaan ini menyebabkan hilangnya semangat kejiranan dalam masyarakat kita. Oleh itu,langkah sewajarnya harus dilakukan bagi meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum ini. Kerajaan perlu mewajibkan pertubuhan sosial seperti Rukun Tetangga di setiap kawasan perumahan. Setiap keluarga harus menyertai Rukun Tetangga. Antara tugas yang dibuat oleh Ahli Rukun Tetangga meronda di kawasan perumahan setiap malam. Secara tidak langsung, kita dapat berinteraksi dengan jiran dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama kaum di Malaysia.
Persatuan Perumahan turut boleh mengambil peranan dengan menganjurkan pelbagai jenis aktiviti kemasyarakatan. Contohnya, bergotong-royong membersihkan kawasan perumahan. Sikap warga kota yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk bertegur sapa semasa jiran boleh diatasi apabila adanya aktiviti gotong-royong dijalankan. Aktiviti ini diibaratkan sehilir semudik dan serentak seirama.
Pendidikan tentang semangat kejiranan juga penting bagi menerapkan nilai kejiranan dalam kalangan generasi muda. Dalam aspek ini, ibu bapa perlu menjalankan tanggungjawab mereka kerana merekalah orang yang terdekat dengan anak. Oleh itu, didikan tentang kepentingan semangat kejiranan perlu disemai dalam jiwa anak yang masih berusia setahun jagung. Untuk memastikan bahawa anak-anak dididik dengan nilai kejiranan, ibu bapa harus menjadi contoh kepada anak-anak dengan mengadakan atau menghadiri rumah terbuka pada musim perayaan atau melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Sikap yang murni ini pasti akan diikuti oleh generasi muda.
Konklusinya, semangat kejiranan adalah penting dan merupakan tunjang kepada perpaduan negara. Jika dilihat kepada semangat kejiranan terutamanya di ibu kota semakin hilang ditelan arus pemodenan dan kemajuan. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu dan menggembleng tenaga bagi meningkatkan semangat kejiranan dalam masyarakat, bak kata pepatah bulat air kerana pembetung. bulat manusia kerana muafakat.