Thursday, August 20, 2015

Persediaan SPM 2015 - 3



Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja
adalah pendirian keberanian dan ilmu.
Berdasarkan petikan sajak ‘Harga Remaja’ di atas, terangkan kepentingan menjaga maruah diri sendiri.

1.     Meneguhkan jati diri
2.     Memartabatkan maruah keluarga
3.     Mempertahankan warisan budaya bangsa
4.     Memelihara maruah negara
5.     Melahirkan modal insan yang holistik

      Maruah ditakrifkan sebagai harga diri yang melambangkan keperibadian dan status seseorang individu dalam komuniti. (I) Sesungguhnya, maruah diri sinonim dengan sendi ikatan kesatuan antara individu dengan masyarakat. (I) Namun, statistik remaja yang terjerumus dalam pidana juvenil telah mencecah tahap yang kritikal sehingga merimaskan seantero strata komuniti bagai cacing kepanasan. (K) Fenomena ini menunjukkan tahap disiplin dalam kalangan generasi muda semakin merosot lantaran terlalu dihanyutkan badai pengaruh budaya asing. (K) Menurut pandangan Dr Rais Yatim bahawa kelunturan budaya dan kenipisan keimanan menyebabkan kebejatan akhlak dalam generasi muda. Jelaslah bahawa fenomena yang membelakangi norma masyarakat ketimuran seyogia dibetulkan melalui usaha kolaborasi semua pihak. (U) Hasilnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah menggarisi 6 aspirasi murid supaya melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran berfikrah, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin selain berilmu, beridentiti nasional dan beretika. (U) Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan kini untuk mempertahankan maruah remaja dan apakah kepentingan menjaga maruah diri kepada nusa dan bangsa?

Memanglah bertepatan dengan kehendak semasa bahawa maruah diri perlulah dipertahankan demi mendapat pengiktirafan dan penghormatan daripada orang ramai.(A) Mengikut ilmu antropologi, jati diri merupakan perwatakan yang dikenali oleh mata masyarakat secara kasar. Makin tingginya maruah diri, makin tinggilah status seseorang pada mata masyarakat. (M) Dengan pengukuhan jati diri melalui didikan agama dan moral, maruah diri akan dipertahankan dan berkemampuan untuk menangkis pengaruh budaya asing. (K1) Secara langsung, pendirian yang teguh akan menjauhkan diri daripada alam fata morgana yang hanya memesongkan diri daripada landasan akidah. (K2)  Peribahasa ibarat ikan di lautan masin badan tetap tawar menjelaskan bahawa ketinggian jati diri yang teguh akan menjauhkan diri daripada sifat egoistik dan ekstremis yang hanya membejatkan akhlak diri. (C) Tegasnya, sifat mempertahankan maruah diri bukan sahaja berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada godaan syaitan malahan menerapkan sikap keterbukaan untuk merentasi multidisiplin ilmu supaya terus megah dan teguh bertapak di bumi yang berdaulat ini. (P)

Sekiranya diselami lebih lanjut lagi, menjaga maruah diri penting untuk memartabatkan imej keluarga yang tersayang. (A) Walhal, benih yang baik dicampakkan ke laut menjadi pulau, dilontarkan ke udara menjadi kejora. Manifestasinya, pendidikan ibu bapa terhadap anak merupakan penentu untuk mewarnai perwatakan anak muda sama ada menjadi Majusi, Nasrani atau Yahudi.(M) Namun, keganasan rumah tangga seperti penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi haram dan perceraian yang mendadak dalam masyarakat kita menunjukkan tahap maruah diri yang rendah dalam masyarakat kita.(C) Menurut pakar psikologi tersohor negara, Tuan HM Iskandar al-Haj bahawa peningkatan kes kepincangan rumah tangga dikenal pasti berpunca daripada ketandusan kasih sayang dan pengaruh trauma yang diwarisi daripada perilaku ibu bapa sendiri. Maknanya, pembawaan ibu bapa yang tidak bermaruah akan dicontohi oleh darah daging sendiri. (K) Sedia kita maklum bahawa kebahagiaan rumah tangga penjana kemakmuran masyarakat. Maka, ibu bapa pencorak keperibadian anak mereka mestilah memastikan bahawa anak mempunyai pendirian yang teguh di samping mempertahankan maruah diri dan keluarga agar tidak mencontengkan arang pada muka keluarga. Maklumlah, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Sehubungan dengan itu, anak yang berusaha menjaga maruah diri sendiri senantiasa mengenang jasa orang tua dan berusaha untuk membalas budi dengan pemartabatan diri dalam semua bidang yang dikecimpungi.  (P)

Walhasil, seseorang remaja yang berusaha memelihara maruah diri akan memahami maksud yang tersirat dalam peribahasa sebab nila setitik, rosak susu sebelangga. (A) Selangkah ke masyarakat, pelbagai dugaan akan melanda kehidupan generasi muda.(M)  Dalam konteks ini, remaja yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara bertanggungjawab untuk memastikan kelestarian warisan budaya bangsa di bumi yang bertuah ini.(M) Menurut tafsiran, budaya merupakan akal budi, peradaban dan tamadun yang melibatkan cara hidup, pemikiran dan pergaulan dalam kehidupan. (M) Peninggalan budaya bangsa wajarlah dilestarikan kerana tanpa budaya lenyaplah bangsa. (K)  Dr Naquid Al-Attas pernah menukilkan bahawa kecelaruan minda dan krisis identiti yang melanda kehidupan generasi Y menyebabkan kepupusan budaya dan bahasa. (C) Dalam kata lain, warisan budaya ini merupakan lambang keunikan negara kita yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan bangsa. Status warisan yang unik ini perlulah dipertahankan demi menjaga maruah bangsa kita. Mukhtasarnya, generasi muda sejak bangku sekolah lagi perlulah didedahkan dengan kepelbagaian kebudayaan agar berasa berbanggsa dan bermaruah tinggi hidup di negara yang bertuah ini. (P)

Dalam hidup bernegara, menjaga maruah diri melambangkan sekelompok manusia yang berusaha mempertahankan kedaulatan negara sendiri. Sebagai anologi, semangat nasionalis dan perjuangan yang membara dalam kalangan marhaen tempatan pada zaman pramerdeka telah berjaya menjulang maruah negara di mercu kegemilangan pada peringkat antarabangsa. Kini, remaja perlulah disuntik semangat kekitaan dan perjuangan ini demi menjanakan kelangsungan bangsa yang bermaruah tinggi. Ironisnya, isu provokasi dan pecah belah masih melanda masyarakat kita melalui laman sosial. Fenomena ini seakan-akan menunjukkan negara kita yang kaya dengan perkembangan iktisad namun kemuflisan dalam keperibadian. Sebagai contohnya, Namewee yang berani merombak lagu kebangsaan Negaraku kepada Negarakuku dengan izharnya menunjukkan sifat kecintaan dan identiti nasional yang menipis dalam kalangan generasi muda. Dalam PPPM, aspirasi murid untuk melahirkan kemahiran memimpin memanglah bertepatan masa kerana generasi muda cerucuk fundamental kepimpinan sesebuah negara pada hari muka. Janganlah harapkan pagar, pagar makan padi. Fenomena yang salah dari sudut keagamaan seperti vandalisme, kes ragut dan rasuah menunjukkan keperibadian golongan marhaen tempatan yang tidak mementingkan maruah negara sehingga sanggup bergadai golok imej negara dengan menggodam profil pemimpin negara. Wajarlah generasi muda disulami ajaran tentang sifat empunya terhadap negera tercinta kerana setinggi-tinggi bangau menerbang, akhirnya hingga di belakang kerbau jua.

Akhirnya, seseorang yang menjaga maruah diri akan berusaha untuk mencapai kecemerlangan yang hoistik dalam aspek akademik, koakademik, kerjaya mahupun dalam rumah tangga. Menurut kata Imam Al-Ghazali, “ ingin mengenali diri lihatlah pada cermin, ingin mengenali peribadi lihatlah pada perwatakan.” Maklumlah bahawa agama, ilmu dan budi pekerti adalah saling bergantungan. Hal ini dibuktikan oleh Albert Eistein, “ilmu tanpa agama bagai lumpuh, agama tanpa ilmu bagai buta.” Manakala kata orang tua-tua, “ adat bersendikan syarak, syarak bersendikan adat.” Maka, seseorang remaja yang berusaha untuk memelihara maruah diri seyogia melengkapkan diri dengan kriteria keluhuran peribadi, keimanan yang kental dan ketinggian dalam akal budi. Nabi Muhammad pernah menjelajah ke negara Cina untuk menimba ilmu. Manakala Al-Biruni mempelajari bahasa Hindu di negara India demi menerokai multidisiplin ilmu. Kejayaan kedua-dua tokoh ilmuan ini menjelaskan penghormatan akan diberikan daripada seluruh dunia apabila berjaya mencipta sejarah dalam riwayat diri sendiri. Budaya inovasi dan kreativiti semakin dikenal pasti kepentingannya agar menjadi pencipta teknologi yang mampu mengharumkan nama diri dan negara. Dalam hal ini, seseorang yang ingin hidup bermaruah akan memerah otak untuk mencipta sesuatu agar dapat berbakti kepada umat sejagat. Pendek kata, manusia yang bermaruah tinggi adalah berpotensi untuk membongkar layar rahsia yang menyeliputi alam sejagat ini. Kejayaan tokoh-tokoh wajarlah diteladani oleh setiap anak watan pewaris bangsa bahawa “Malaysia, Boleh”

Akhirulkalam, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Manusia yang bermaruah tinggi pastilah akan menghormati setiap peraturan dan pantang larang yang ditetapkan. Hidup di buana ini adalah secara simbiosis dan saling bergantungan ibarat lagu yang didendangkan oleh P Ramlee, lagu dengan irama. Surah al-Bukhari yang bermaksud “ dalam jasad manusia sesungguhnya ada seketul daging, jika sebahagian rosak maka rosaklah jasad itu. Jika baik maka baiklah seluruh jasad ini. Daging itu ialah hati” Justifikasinya, maruah diri dan hubungan antara manusia adalah saling berkait ibarat simpulan tali yang diikat bersama. Makin tinggi maruah diri seseorang, makin baiklah keperibadiannya seperti mempunyai kesabaran, kewarasan pemikiran dan kebijaksanaan. Ingatlah wahai remaja, biar putih tulang, jangan putih mata. Kita perlu melangkah dan menongkah arus globalisasi untuk memastikan ibu pertiwi kita terus megah di pentas dunia. Kibarlah Jalur Gemilang di setiap acara antarabangsa, inilah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

Persediaan SPM 2015 - 2



Tuliskan satu rencana yang lengkap bertajuk 'Mendekatkan Remaja dengan Program Keagamaan dan Kemasyarakatan melalui Teknologi Komunikasi'

'Mendekatkan Remaja dengan Program Keagamaan dan Kemasyarakatan

melalui Teknologi Komunikasi'

Oleh : PSL
          Teknologi komunikasi sinonim dengan gaya hidup moden dalam kalangan masyarakat pada zaman pascamodenisasi ini. Zaman beralih musim berubah, revolusi teknologi maklumat bukan lagi isu tabu dalam masyarakat kontemporari. (I) Bahawasanya, remaja merupakan pelapis negara yang sedang mengharungi tempoh transisi yang memerlukan bimbingan yang holistik. (I) Akibat perkembangan aplikasi sains dan teknologi, generasi muda senang dihanyutkan badai arus perdana malahan menjurus kepada hidup yang menjauhi norma masyarakat yang menghambat ikatan tradisi leluhur. (K) Maka, modus operandi yang rapi daripada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Lembaga Penapis Filem dan Kementerian Pendidikan Malaysia amatlah penting untuk memastikan generasi muda tidak dieksploitasi oleh peranti canggih ini. (U) Sudah sampailah masa kita membenamkan mata fikir untuk menelusuri sejauh manakah aplikasi teknologi komunikasi berfungsi sebagai agen sosialisasi untuk membimbing pemuda pemudi ke arah kegemilangan? Apakah pula tanggungjawab sosial para pengamal media untuk mencorakkan minda golongan srikandi dan wira negara?

          Proses globalisasi mulai melanda kehidupan manusia sejagat sejak 1990-an. Dunia kini semakin dirapatkan dan pertembungan budaya telah menjadi cerminan kehidupan hakiki pada zaman ini. Proses penghibridan dalam media sosial waima merapatkan hubungan antara penduduk sejagat, namun trend baharu telah tercetus antara komuniti terkini, iaitu kurang bersemuka malahan tidak mahir dalam interaksi harian. Polemik pro dan kontra kewujudan peranti media elektronik ini bukan lagi fenomena yang keterasingan dalam kehidupan generasi muda khasnya. Dalam proses mengasimilasi dan mengadaptasi remaja marcapada dengan aktiviti kemasyarakatan, media massa telah berfungsi sebagai alat penghubung yang afdal. Media siber seperti aplikasi telefon pintar berjaya menghubungkan masyarakat, malahan merupakan wahana untuk menginterpretasikan aspirasi agensi kerajaan kepada rakyat murba. Sedia kita maklum, portal kerajaan membanjiri laman web kini dan berperanan untuk mengukuhkan budaya perkongsian etos sesama rakyat yang berbilang kaum. Bayangkan kejayaan negara kita memperjuangkan kemerdekaan pada 50-an, media cetak seperti Akhbar Majlis, Majalah Imam, Utusan Melayu dan risalah telah berjaya membangkitkan perasaan kecintaan terhadap ibu pertiwi. Kini, usaha untuk mendaulatkan negara daripada pengaruh budaya asing perlulah dilangsungkan melalui media massa. Tegasnya, segala isu provokasi dan fitnah-memfitnah antara masyarakat dengan pemimpin negara tidak sepatutnya diteruskan melalui media sosial. Ciptaan benak minda ini izharnya masih perlu dihambat dengan kebijaksanaan akal budi dan ketakwaan terhadap tuntutan agama.

          Jikalau mengimbau kembali pembangunan sejarah Malaysia, media cetak berperanan sebagai alat pendakwah yang utama sejak tahun 1900-an. Gerakan nasionalisme Kaum Muda dan Kaum Tua telah merevolusikan media maklumat di Tanah Melayu pada zaman tersebut. Bahan cetakan seperti Al-Imam,Neracha,  Pengasuh dan Saudara berperanan untuk menyebarkan fahaman keagamaan dan meningkatkan persepsi terhadap hubungan manusia dengan Tuhan yang Maha Esa. Kini, segelintir pengamal media tidak melupakan tanggungjawab sosial untuk mentarbiah penonton tentang perspektif dalam keagamaan. Contohnya,Berita Harian menyediakan rubrik tertentu untuk mendakwahkan agama Islam.  Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) FM 91.5 ditubuhkan untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenarnya melalui aplikasi media sosial seperti saluran radio dan televisyen. Manakala TV AlHijarah ialah stesen Islam di Malaysia sejak tahun 2010. RTM juga menganjurkan pelbagai forum bicara dan kursus bimbingan tentang pendakwahan Islam demi memastikan muslim dan muslimah Malaysia lebih mendekatkan diri dengan ajaran agama, manakala yang bukan muslim dapat menyelami maksud yang tersirat dalam kitab Al-Quran dan sunah. Dalam situasi seperti ini, aspirasi kerajaan untuk menjadi hab pendidikan Islam dan mengglobalkan fahaman Rasullulah akan direalisasikan melalui media sosial ini kerana segala maklumat di hujung jari. Dalam sudut lain, program aktiviti kemasyarakatan seperti Majalah 3, Program Bersamamu dan Bicara Masyarakat juga berusaha untuk mendidik semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda khasnya.

          Dari era tanpa sempadan yang diwarnai oleh iktisad berasaskan inovasi dan pengetahuan, peranti elektronik ini berfungsi sebagai alat pentafsir yang menyeluruh kepada pembaca. Dalam konteks ini, dunia muktahir lebih mendedahkan pembaca tentang info semasa dalam multidisiplin ilmu seperti arena politik, ekonomi, sosial mahupun seni dan kebudayaan. Bahawasanya, media massa diibaratkan teknologi yang berjaya menembusi sempadan mayapada. Segala penyata kewangan dan spekulasi dunia pelaburan dengan izharnya diakses melalui analisis yang sistematik. Tegal itu, pengguna media dapat mentafsir dan meramalkan dunia ekonomi dengan hanya seklip ikon. Paparan spekulasi penyata kewangan setiap profil syarikat gergasi yang tersenarai dalam bursa saham membolehkan pelabur mengklasifikasikan untung rugi dan menjanakan pendapatan melalui aplikasi media sosial. Selain itu, media massa juga merupakan alat pemantau untuk melaporkan segala kejadian tentang bencana alam dan musibah yang berlaku di jagatraya dengan jelas dan pantas. Dunia tanpa sempadan telah melewati segala kekangan masa untuk menyebar luas fenomena dalam alam ciptaan Tuhan ini. Natijahnya, penghuni di bumi ini akan menimbulkan kesedaran dan berwaspada terhadap perubahan persekitaran. Pendek kata, malang tidak berbau dan geruh tidak berbunyi. Media massa bertanggungjawab sebagai pengawas alam untuk menginsafkan generasi muda bahawa hidup sejagat adalah secara simbiosis dan saling bergantungan.

          Revolusi teknologi maklumat kini telah mencetuskan kejutan budaya dalam masyarakat ketimuran. Menurut kata Tun Dr Mahathir Muhammad bahawa generasi muda perlu mengamalkan sikap buang yang keruh ambil yang jernih semasa menapis budaya asing yang membayangi budaya masyarakat silam. Walhal, teknologi komunikasi pada era globalisasi ini berperanan sebagai alat penghibur yang utama. Kebanjiran filem K-Drama dari negara Korea bukan sahaja mempromosikan nama negara Korea di serata dunia malahan berjaya merangsangkan pertumbuhan industri perfileman di negara tersebut. Di Malaysia, pengadaptasian pengaruh filem negara asing seperti lambakan program realiti telah menimbulkan polemik pro dan kontra di negara kita.Program realiti seperti Malaysia Idol, One A Millionaire, Akademi Fantasia dan sebagainya menagih perhatian penonton dengan menggunakan system undian. Generasi muda khasnya sanggup mengikuti perkembangan selebriti yang disanjungi sehingga mengabaikan pelajaran diri. Walau bagaimanapun, bagai serampang dua mata, media sosial juga berjaya menghiburkan rawan hati dan mengurangkan tekanan dalam hidup. Kadangkala, penglipur lara merupakan penawar mujarab untuk menjauhi pergeseran dan kecelaruan minda semasa melayari bahtera di tengah samudera yang saujana mata memandang. Lapipun, industri seni dan kebudayaan merupakan sektor penjana kekayaan yang semakin bertempat di dunia ini. Kejayaan Hollywood dalam industri ini meyakinkan generasi muda bahawa hobi merupakan saluran untuk menjamin pulangan yang lumayan.

          Sedia kita maklum bahawa pembelajaran sepanjang hayat telah diwara-warakan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini. Teknologi komunikasi telah merevolusikan bidang pendidikan dalam kalangan generasi muda. Dalam menongkah arus perdana yang memerlukan lautan akal tepian budi, remaja perlulah menerokai jalur lebar maya untuk menguasai segala ilmu dengan pantas dan berkesan. Sejak penubuhan MSC di Cyberjaya, kerajaan Malaysia tidak pernah mengenal jemu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang utama di Rantau Asia. Pengiktirafan 23 buah universiti tempatan sebagai universiti yang paling kualiti daripada 300 buah universiti di Asia oleh QS University telah membuktikan bahawa negara kita mampu menerajui industri pendidikan melalui penggunaan teknologi komunikasi secara meluas. Program 1Bestari dan Frog VLE melalui Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk memastikan setiap pelajar adalah celik dalam komputer. Pengubahsuaian sistem pendidikan demi mengiringi kehendak pasaran semasa seyogia dilaksanakan melalui kolaborasi semua agensi. Pelancaran program GM1M( Guru Muda 1Malaysia) dan memartabatkan profesionalisme keguruan dalam bidang teknologi komunikasi nescaya memaksimumkan keberkesanan dan keberhasilan pembelajaran dalam kalangan generasi muda. Inovasi dalam bidang pendidikan bukan sahaja berkiblatkan kemahiran aras berfikir tinggi malahan berusaha mempraktikkan budaya inovasi dan kreativiti yang menjamin pulangan yang berlipat ganda. Mukhtasarnya, usaha OUM(Open Universiti Malaysia) dan UNitar untuk melancarkan pendidikan maya dan pembelajaran sepanjang hayat perlulah diteruskan demi melahirkan modal insan yang berintektual tinggi waima mengikut acuan negara sendiri.

          Sebagai penghias penutup bicara, revolusi teknologi maklumat membuktikan manusia ialah khalifah yang dibekali akal oleh Tuhan. Media massa diklasifikasikan sebagai alat penghubung, alat penghibur, alat pentafsir dan alat pemantau, alat pendakwah dan alat pendidik yang utama dalam dunia muasir ini. Janganlah generasi muda masih enggan mengorak langkah untuk membudayakan inovasi dalam kehidupan seharian, usahlah bagai sepuluh jung masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga. Memetik serangkap gurindam tonggak 12,
Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.
Walakin begitu, keteguhan jati diri dan keimanan yang kental mestilah menunjangi keperibadian seseorang remaja semasa mengaplikasikan peranti elektronik yang canggih ini.