Monday, June 29, 2015

percubaan spm 2015 5



Latihan 2: Remaja kini gemar berhibur. Hal ini amat membimbangkan semua pihak kerana remaja merupakan aset penting kepada negara. Bincangkan kesan-kesan gejala suka berhibur kepada golongan remaja (Ruj. Teks Tkn 4, Unit 2 Bhg 3).
Tema/isu: gejala suka berhibur
Skop : remaja aset penting
Kunci soalan: kesan negatif




Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu.

Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju.
      Sajak Harga Remaja di atas menunjukkan usia remaja harganya tidak ternilai dan dijual beli. Remaja merupakan peneraju dan pelapis yang bakal menerajui pucuk kepimpinan negara. (I) Malangnya, gejala suka berhibur telah melanda kehidupan remaja yang masih berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang sehingga menghanyutkan diri dalam dunia fantasi. (K) Tegal itu, PPPM( 2013-2025) telah menggarisi enam aspirasi yang perlu dilengkapi oleh seorang anak bangsa, iaitu berkemahiran dwibahasa, kemahiran berfikrah dan kemahiran memimpin, di samping berilmu, beridentiti nasional, dan beretika.(U) Persoalannya, sejauh manakah usaha kerajaan telah mengikis sikap negatif pelajar? Sejauh manakah kesan-kesan negatif telah membejatkan minda dan masa depan seseorang remaja akibat pengaruh gejala suka berhibur?

Memang tidak dapat disangkal bahawa tahap disiplin merupakan cerucuk fundamental yang menatijahkan kejayaan dalam kehidupan. Namun, gejala suka berhibur diibaratkan parasit halimun telah menenggelamkan wawasan dan hala tuju seseorang remaja yang khusyuk dalam dunia fatamorgana ini. Menurut Willian S Siegel, manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi gagal membuat perancangan. Seyogianya, setiap remaja menghayati peribahasa membilang dari esa, mengaji dari arif, hujan berpokok, kata berpangkal, yakni kita mestilah merancang masa depan dengan sistematik dan mengikut tatacara. Namun, gejala berhibur seperti ketagih mengambil dadah beracun telah memudaratkan kawalan dalaman seseorang, khasnya dari segi emosi, rohani, dan intelek. Implikasinya, masa yang terbuang dalam perkara yang tidak membawa sebarang manfaat akan menjejaskan perkembangan kognitif, psikometrik, dan afektif seseorang remaja.
Pendek kata, gejala halimun ini bukan sahaja gagal menepati Falsafah Pendidikan Negara malahan akan melahirkan remaja yang hanya membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.



Jika ilmu dikaji teliti,
Di sungai cabaran tersedia titi,
Ilmu dikaji dengan tabah,
Keyakinan diri bertambah-tambah.
   Daripada gurindam di atas, jelaslah menunjukkan bahawa ilmu merupakan elemen maslahat untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek yang selaras dengan FPN. Sayang seribu kali sayang, anak watan pewaris bangsa yang mulai terhanyut dalam budaya hedonisme, liberalisme dan materialistik lebih mengagung-agungkan budaya kebaratan dan nilai mata wang daripada perkembangan jati diri. Ghalibnya, mereka cenderung berpelesiran dan bergetanyangan di pusat arked atau kafe siber yang diibaratkan pusat godaan syaitan. Secara implisit, remaja yang masih berubun-ubun mentah akan terkandas dalam pencapaian akademik  sekali gus  kehilangan daya saing global untuk mengharungi era ledakan sains dan teknologi. Lumrahnya, golongan ini juga kekurangan kemahiran interpersonal seperti kemahiran memimpin, kemahiran berfikrah dan kemahiran komunikasi. Impaknya, kualiti hidup golongan tersebut akan bagai melukut di tepi gantang, khasnya kekurangan arif dalam bidang linguistik dan keluhuran peribadi untuk bergaul dengan sesiapa jua. Ijmalnya, kemelut sosial ini hanya membelenggu benak  dan kotak minda remaja sehingga mengaburi identiti dan meninggalkan imej yang suram pada mata pandang orang lain.

Meninjau dari skop yang lebih luas, parasit halimun ini telah mengikis tahap keimanan dan  ketakwaan seseorang remaja.  Memetik sepotong hadis yang bermaksud, “ Petanda runtuhnya sesebuah bangsa  ditunjukkan melalui ketagihanbangsanya dalam dunia hiburan.”Bahawasanya, Nabi Muhammad menggalakkan umatnya berhibur dan mewarisi seni budaya muzik leluhur namun mestilah berhibur secara sederhana tanpa mempengaruhi emosi orang lain. Ijmalnya, segala tuntutan agama dan amalan ibarat mestilah diikuti supaya dicurahi keredaan, rahmat, restu dan rezeki yang melimpah ruah. Malangnya, sikap remaja kini seakan-akan mengabaikan solat jemaah, amalan berdoa, bermunajat, dan bermuhasabah sehingga terlepas mendapat taufik dan  hidayah daripada Pencipta Alam. Mukhtasarnya, angkara laknatullah  seperti berhibur dalam muzik metal, pop, rock, dan sebagainya akan mengikis jati diri dan penilaian untuk membezakan intan daripada kaca. Yang lebih kronik lagi, mereka tiada segan silu dan melupai azab sengsara yang menanti-nanti di pintu neraka.Tidak silaplah kita mengatakan bahawa keimanan penting untuk menentukan jatuh bangun sesebuah nusa dan bangsa seperti pantun di bawah;

Biarlah sabar dengan perlahan,
            Itulah tanda tuan beriman,
                        Tidak patah digoncang iblis,
                                    Akhirnya tuan menang berjaya


Dari segi etiket sosial, kemelut sosial seperti pergaulan di luar norma masyarakat akan menunjukkan tahap tatasusila semakin sirna ditelan arus perdana. Baru-baru ini, kegilaan beberapa orang muslimah yang bertudung sanggup dikucup dan dipeluk oleh pujaan mereka, B1A4 di depan khalayak ramai. Situasi ini menimbulkan kontroversi dan skeptikal tentang harga diri remaja yang seakan-akan memandang remeh tentang warisan tradisi leluhur dan peradaban ketimuran yang berkiblatkan fahaman etiket sosial seperti menutup aurat dan berbudi pekerti. Jati diri merupakan perwatakan pada mata kasar yang dikenali oleh orang lain. Menurut Datuk Dr Baharul Bahaman, jati diri bangsa merupakan identiti nasional yang melambangkan kebudayaan sesebuah bangsa. Memandangkan betapa kroniknya landaan pengaruh budaya kebaratan sehingga tercetusnya masalah sosial seperti kelahiran anak luar nikah, persetubuhan, berkhalwat dan pembuangan bayi yang makin terdedah bagai bangkai gajah tidak ditutup nyiru, golongan intelektual mulai tertanya-tanya tentang jati diri bangsa dalam kalangan remaja yang diibaratkan gumpalan buih di tengah samudera. Prof Emeritus Naquid Al-Attas menukilkan bahawa kecelaruan minda dan krisis identiti merupakan masalah dalam kalangan remaja yang kenipisan keimanan. Manakala Datuk Dr Rais Yatim pula menegaskan bahawa kehilangan punca disebabkan pengabaian kita dari segi budaya dan bahasa. Dengan kata lain, remaja tanpa jati diri akan kehilangan semangat empunya dan kekitaan untuk menegakkan martabat negara, inikan pula terlahirnya golongan yang menganaktirikan warisan tradisi dan hidup tanpa akar umbi dan segan silu. Justifikasinya, hilang tiang kerana sendi, hilang sendi runtuhlah bangsa.


Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, ketaasuban dalam dunia hedonisme dan sekularisme hanya memudaratkan kesihatan para pelapis negara. Amalan gaya hidup negatif seperti merokok, mengambil alkohol dan dadah beracun bukan sahaja membantutkan aspirasi negara malahan imej negara kita akan tercalar dengan wujudnya barisan anak bangsa yang hidup merana bagai sampah di pelimbahan. Penyakit kronik seperti AIDS, halusinasi, depresi, penyakit akut makin menular tanpa sebarang petanda. Ketagihan dalam dunia maya sebagai tamsilannya menyebabkan remaja khusyuk di depan paparan skrin untuk menyelami dunia fantasi seperti permainan khayalan yang sarat dengan unsur keganasan dan kelucahan. Akibatnya, masa rehat yang berfungsi sebagai pembaikan sel horman dan pusingan biologi untuk melancarkan metabolisme karbonat akan direncatkan, secara langsung pemuda pemudi berkenaan akan dilanda penyakit yang susah mengenal pasti sindromnya. Pendek kata, remaja yang merupakan khazanah negara akan terencat akal budi untuk mengemudikan bahtera harian dalam era yang sarat dengan konkurensi dan pancaroba, ketagihan dalam dunia fana ini bagai pengembara dahagakan air laut,selagi minum semakin dahaga. Senario lagi senario tentang seks muhrim, penderaan dan kerenggangan hubungan kekeluargaan berikutan pengaruh hiburan mengingatkan kita bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
          Akhirul kalam, tanyalah diri berapa sumbangan diberikan kepada negara dan bukan hanya harapkan bantuan daripada negara. Inilah kata pujangga mantan presiden AS, John Kennedy. Mantan presiden Indonesia Sorkarno juga menegaskan bahawa keinginan untuk meramalkan masa depan sesebuah negara hanyalah melihat status remaja pada masa kini. Kedua-dua pemimpin tersohor dunia menegaskan pengorbanan dan jasa barisan remaja kepada negara memanglah tidak berperi. Pundak remaja tergalas jatuh bangun sesebuah negara. Selepas dijajah 446 oleh negara asing disebabkan kelemahan jati diri, selepas kejatuhan Melaka disebabkan pengaruh dadah, kita perlulah insaf daripada kekhilafan dan mengambil ikhtibar daripada kelemahan sistem pentabdiran negara kita. Ayuhlah remaja menggembleng kudrat dan memerah otak untuk menterjemahkan aspirasi negara sejajar dengan perkembangan ekonomi sejagat yang semakin pantas berubah. Belenggu sosial wajarlah dihindari seperti lagu Unic, Remaja di bawah;
Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara.