Monday, September 2, 2013

karangan kelas tingkatan 5

Masalah Yang Dihadapi Oleh Murid Dalam Mata Pelajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua.

Tajuk Karangan : Masalah Yang Dihadapi Oleh Murid Atau Pelajar Melayu Dalam Mata Pelajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua.

Pendahuluan:
Era globalisasi, k-ekonomi, dan keperluan memanfaatkan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) menuntut penguasaan bahasa Inggeris. Hal yang demikian kerana, penguasaan bahasa Inggeris dapat memudahkan kita berdaya saing di peringkat antarabangsa. Kita mempelajari, dan memberi penekanan serius terhadap penguasaan bahasa Inggeris dalam pendidikan Malaysia, disebabkan bahasa tersebut merupakan medium pencetus teknologi Barat. Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar amat penting, namun seringkali kita mendapati pelajar Melayu menghadapi masalah dalam penguasaan mata pelajaran tersebut sebagai bahasa kedua mereka. Secara umumnya, dalam karangan ini dihuraikan punca pelajar Melayu lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris, dan beberapa langkah mengatasinya.

1) Kata Kunci Soalan : Masalah ...
2) Ayat Tesis : Seringkali, kita dapati pelajar Melayu menghadapi masalah dalam penguasaan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mereka.
3) Jenis Pengenalan :
4) Bentuk Karangan : induktif-deduktif
5) Jumlah Perkataan : 65 perkataan

Isi:
1) Punca
a. Tidak diperaktikkan dalam perbualan harian.
b. Medium pengajaran yang tidak kreatif, dan tidak dikembangkan.
2) Langkah
a. Menanamkan sifat membaca buku dalam bahasa Inggeris sejak dari zaman kanak- kanak.
b. Pengubahsuaian kaedah pengajaran dan pembelajaran (p&p).
c. Membudayakan penggunaan kamus dan menjadikannya tabiat sepanjang hayat bagi membantu menguasai kemahiran membaca dalam bahasa Inggeris.

Contoh Huraian Isi:
Dato' Dr. Zainal Abidin Wahid seorang tokoh veteran pendidikan menyatakan, kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Melayu disebabkan oleh faktor medium pengajaran yang tidak kreatif dan tidak dikembangkan. Mempelajari bahasa berbeza daripada mempelajari subjek Matematik dan Sains. Hal yang demikian kerana, mata pelajaran tersebut bersifat teknikal dan kefahaman. Bahasa memerlukan pengasahan tabiat dan penguasaan secara berterusan. Pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris selama sebelas tahun, kebanyakannya masih belum mahir bertutur dalam bahasa Inggeris. Seharusnya, isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris tidak timbul, jika sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa betul. Pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris jika pendekatan dan kaedah digunakan berkesan.

Soalan Contoh
Andaikan anda sebagai pegawai kanan di Kementerian Pengajian Tinggi dan anda diminta untuk menjalankan kajian tentang kesan pertumbuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, sediakan satu laporan tentang kesan pertumbuhan IPTS kepada rakyat dan negara ini.

Rangka Karangan
1.0  Pendahuluan
- Dunia pendidikan penting dalam era moden kini - kemajuan dalam bidang pendidikan menyebabkan wujudnya IPTS
2.0  Senarai Ahli Jawatankuasa
         Pengerusi:
         Setiausaha:
         AJK :
3.0 Kesan Pertumbuhan IPTS
Kesan positif
      3.1 Peluang untuk melanjutkan pelajaran bertambah
      3.2 Pelajar bebas membuat pilihan untuk belajar
   3.3 Membantu negara mencapai matlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu
Kesan negatif
      3.4 IPTS mementingkan keuntungan – yuran yang mahal
      3.5 Kemasukan pelajar asing bertambah – timbul masalah lain
   3.6 Terdapat sesetengah dasar IPTS yang tidak seiring dengan kehendak negara,     
            contohnya penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
4.0 Penutup
     - Pertumbuhan IPTS ternyata mendatangkan kebaikan dan keburukan
     - Usaha yang berkesan perlu dijalankan untuk memastikan penubuhan IPTS mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara


Laporan disediakan oleh:                            Tarikh: __________                      

___________________
(Nama                            )
Jawatan

Karangan Contoh 

LAPORAN TENTANG KESAN PERTUMBUHAN IPTS DI NEGARA INI

1.0  Pendahuluan
      Dalam era globalisasi kini, aspek pendidikan merupakan perkara penting yang diberikan tumpuan oleh setiap negara. Akibat kemajuan dalam bidang pendidikan ini, kewujudan IPTS nampaknya semakin banyak di negara kita iaitu seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pertumbuhan IPTS itu telah banyak mendatangkan kebaikan dan keburukan terhadap negara kita. Setiap pihak dapat merasakan kesan pertumbuhan tersebut dan senario itu memang patut dipantau agar sebarang permasalahan dapat ditangani dengan berkesan. Sebagai pegawai yang telah diamanahkan untuk menjalankan kajian terhadap kesan pertumbuhan IPTS di negara ini, saya ingin membentangkan laporan tersebut. 

2.0  Senarai Ahli Jawatankuasa
         Pengerusi: Datuk Syazwan Munasir
         Setiausaha: Farahana Iqmal
         Ahli Jawatankuasa : Azuan Zainal
                                          Tharshini a/p Perumal
                                          Chin York Chow
                                          Mohamad Nawawi Ismail
                                          Halimah Nursalam
                                          Mahmud Zulkifli

3.0 Kesan Pertumbuhan IPTS
      Kesan pertumbuhan IPTS ini terbahagi kepada dua iaitu kesan positif 
      dan negatif.
      Kesan positif:
       3.1 Peluang untuk melanjutkan pelajaran bertambah
Jawatankuasa kami mendapati bahawa kesan positif yang pertama ialah peluang unntuk melanjutkan pelajaran ke IPT semakin bertambah. Perkara ini telah memberikan peluang yang lebih banyak kepada pelajar-pelajar yang gagal mendapat tempat di IPT Awam. Oleh itu, pelajar-pelajar tersebut boleh meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat, diploma dan ijazah. Dengan kata lain, mereka tidak tersekat setakat SPM kerana kekurangan tempat di IPTA. Hal ini bermakna bahawa semua pelajar mempunyai peluang yang sama sama ada yang cemerlang atau yang kurang cemerlang untuk melanjutkan pengajian.

     3.2 Pelajar bebas untuk membuat pilihan untuk belajar
         Dengan adanya IPTS, pelajar-pelajar bebas untuk membuat pilihan tentang bidang pengajian yang hendak diikuti oleh mereka. Tempat yang terhad di IPTA telah digantian dan disediakan oleh IPTS yang sama tarafnya dengan IPTA. Oleh itu, pelajar-pelajar dapat meneruskan bidang pengajian yang diminati oleh mereka tanpa sekatan oleh masalah tempat yang terhad. Hal ini demikian kerana, mereka boleh memilih IPTA yang disukai dan bersesuaian dengan bidang pengajian yang hendak diambil.

      3.3 Pertumbuhan IPTS ini akan membantu negara kita mencapai matlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini. IPTS yang berkualiti yang terdapat di negara ini telah menarik pelajar-pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pengajian di sini. Perkara ini disokong pula oleh kadar bayaran yuran yang berpatutan dan lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Jadi, dengan kawalan dan pemantauan yang ketat daripada kerajaan, kualiti IPTS dan graduan yang dihasilkan setanding dengan universiti ternama di dunia. 

     Kesan negatif:
     3.4 Berdasarkan kajian kami, terdapat IPTS yang mementingkan keuntungan semata-mata. IPTS tersebut mengenakan yuran yang mahal terhadap pelajar-pelajarnya. Pelajar-pelajar luar negara mungkin tidak menerima kesan buruk yang teruk kerana mereka yang datang ke sini sememangnya mampu untuk membayar yuran tersebut. Masalah ini memberikan kesan yang teruk terhadap pelajar-pelajar tempatan yang datang daripada keluarga yang miskin dan tidak mampu untuk membayar yuran pengajian yang tinggi. Tambahan pula, bantuan kewangan yang diberikan oleh PTPTN juga tidak mencukupi.

       3.5. Ahli jawatankuasa kami mendapati bahawa pertumbuhan IPTS ini menyebabkan kemasukan pelajar asing semakin bertambah di negara kita. Perkara ini telah menimbulkan masalah lain yang menjejaskan negara. Sebagai contohnya, terdapat pelajar asing yang suka bergaduh sesama mereka di samping suka mengganggu anak gadis tempatan. Kadar jenayah juga semakin meningkat kerana mereka turut terlibat dengan pelbagai sindiket jenayah seperti pemerdagangan manusia, pemalsuan dokumen perjalanan dan sebagainya.
          
        3.6 Di samping itu, terdapat sesetengah dasar IPTS di negara ini yang tidak seiring dengan kehendak dan aspirasi negara. Sebagai contohnya, bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar di IPTS tersebut. Jadi, perkara ini menyebabkan usaha untuk memartabatkan bahasa Malaysia terbantut dan tidak mencapai matlamat seperti yang dihasratkan oleh negara kita. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar luar negara sudah tentu tidak mahu menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium perantaraan dan juga sebagai bahasa komunikasi.
       
      4.0 Penutup
  Sebagai kesimpulannya, pertumbuhan IPTS ternyata mendatangkan kebaikan dan keburukan. Oleh itu, usaha yang berkesan daripada pelbagai pihak perlu dijalankan untuk memastikan penubuhan IPTS mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara. Jika perkara ini tidak diberikan perhatian, sudah tentu kesan buruknya akan menjejaskan imej dan kesejahteraan negara kita di mata dunia. Oleh hal yang demikian, kita berharap pertumbuhan IPTS ini akan dapat membantu negara kita untuk mencapai matlamat sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.


Laporan disediakan oleh                                        Tarikh : 29 MEI 2011

_____Farahana_______
(FARAHANA IQMAL)
Setiausaha Jawatankuasa IPTS
Sektor Pengurusan IPTS
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia