Friday, October 10, 2014

Percubaan SPM 2014- ICT

Percubaan 2o14
terengganu
peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK) dalam kekidupan.
Berkongsi pendapat
Memperoleh maklumat
Menjanakan pendapatan
MRSM
faedah-faedah menggunakan laman sosial
Menambah kenalan
Mempromosikan barangan
Menyebarkan maklumat
1.      Sejak belakangan ini, penggunaan telefon bimbit semakin berleluasa. Penggunaan telefon bimbit telah mendatangkan pelbagai kesan kepada pengguna. Pada pendapat anda, jelaskan kesan-kesan negatif penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah.
3.      Perkembangan teknologi maklumat pada hari ini banyak memberi manfaat kepada pelajar. Huraikan faedah yang anda peroleh dengan menguasai teknologi maklumat.



     Capaian perkhidmatan internet jalur lebar bagi setiap isi rumah di Malaysia kini mencecah kadar penembusannya 68 peratus iaitu antara yang paling pesat berkembang dalam kalangan negara membangun.  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil pengenalan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan pada tahun 2010. Malaysia juga mendapat pengiktirafan sebagai penyedia perkhidmatan jalur lebar paling murah dalam kalangan 46 negara membangun di Rantau Asia ini.  Sesungguhnya, KKMM telah meningkatkan kadar kelajuannya serta memastikan setiap rakyat mempunyai peranti yang akan menghubungkan semua orang.
            Golongan belia digesa memantapkan ilmu digital kerana bidang tersebut mampu menjana pendapatan lumayan. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, usaha itu merangkumi penglibatan menyeluruh terhadap pembangunan aplikasi dan permainan siber. Permainan digital ialah industri kreatif yang  memerlukan kepakaran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Industri ini meliputi bidang animasi serta pelbagai bidang baharu berteraskan ICT yang mampu mewujudkan peluang kerjaya. Selain doktor, peguam dan jurutera, kepakaran digital telah disenaraikan sebagai pilihan kerjaya utama golongan baharu kerana bidang ini diyakini mampu menjana pendapatan lumayan. Kampus Digital 2014 merupakan program berkaitan teknologi digital dan permainan elektronik siber pertama di Malaysia . Tegasnya, pendedahan literasi digital perlu diperluas agar anak-anak muda mendapat pendedahan menyeluruh tentang industri kreatif dan multimedia. Jelaslah, industri kreatif negara dijangka menjana hasil sebanyak RM600 juta tahun ini.
            Dari sudut strategi pemasaran, Bajet 2015 telah menekankan penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam mempromosi barangan pengusaha kecil dan sederhana.(PKS). Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (Matrade) mengemukakan penggunaan laman sosial bagi melonjakkan nilai eksport barangan tempatan seperti produk makanan, industri digital dan sebagainya  ke pasaran antarabangsa. Jelaslah, laman sosial merupakan medan untuk memperkenalkan barangan jenama Malaysia di arena antarabangsa dan merangsang pelaburan melangkaui sempadan. Tamsilannya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menambah baik laman sesawang, agrobazaar.com.my sebagai kaedah pemasaran yang dige­rakkan secara dalam talian untuk mempromosi produk negara ke setiap pojok negara.

            Penguasaan media sosial seperti laman sesawang dan blog sebagai medium menyampaikan maklumat telah terselindung dengan seribu satu isu pro dan kontra. Sesungguhnya, prinsip buang keruh ambil jernih amatlah perlu untuk memanfaatkan media sesawang kerana ba­nyak pelabur asing akan mendapat  informasi dari hujung jari. Kini, banyak barangan tempatan dibeli oleh rakyat Singapura dan Negara Cina melalui perniagaan dalam talian. Justeru, inovasi sosial ini mampu membantu usahawan memasarkan produk secara lebih meluas dalam talian.

            Selain itu, sistem telekomunikasi telah mengasimilasi dan mengakulturasi kepelbagaian teknik pengajaran untuk  meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid. Penggunaan ICT secara meluas dapat membina imej baharu dalam pengurusan organisasi di samping mewujudkan budaya kerja k-ekonomi yang lebih berdaya saing dan produktif. Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 . Perkembangan pendidikan digital, permainan elektronik (e-gaming), dan robotik telah menjadi trend terbaharu dan menuntut generasi muda jangan bersikap kejumudan bagai sepuluh jong masuk ke pelabuhan, anjing masih bercawat ekor.

            Selain bidang ekonomi dan pendidikan maya, media sosial juga berperanan untuk berkongsi pendapat dan menambah kenalan. Dalam dunia digital hari ini, telefon mudah alih dan Internet sebagai dua alat teknologi paling penting bagi komunikasi. Kajian pusat Penyelidikan dan Inovasi Tricap, di Cyberjaya , rakyat Malaysia menggunakan telefon bimbit dan Internet untuk berhubung. Gabungan peranti teknologi ini diiktiraf secagai cara yang  lebih pantas dan mudah untuk berkomunikasi dan sekali gus berkongsi maklumat. Kini, percantuman teknologi telah menjadikan telefon bimbit sebuah telefon, komputer, alat muzik, konsol permainan dan juga landasan komunikasi yang membolehkan insan berinteraksi dan bertemu. Pendek kata, dunia kini semakin kecil dari segi hubungan insan. Sebagai peranti mudah alih yang paling penting dan serba guna telah meluaskan rangkaian sosial seperti mempererat hubungan rakan, ahli keluarga dan kenalan . Komuniti digital memberi ruang untuk bersosial dari rumah dan telah menjadi satu trend yang baharu dalam kalangan generasi muda.

            Tidak salah dikatakan populariti South Korea dalam industri digital merupakan satu ikon yang perlu diteladani. Media sosial seperti hiburan k-pop dari Korea Selatan dapat ditonton di mana-mana sahaja walaupun bahasanya tidak difahami oleh peminat. Sesungguhnya, Malaysia ada beberapa kandungan animasi yang ditonton seluruh dunia seperti Upin dan Ipin, Bola Kampung serta macam-macam lagi. Jikalau meninjau sudut kesan negatif, rakyat Malaysia menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari di alam siber . Antaranya, mereka melayari laman media sosial melalui telefon pintar sehingga menjadi  suatu ketagihan dan mengundang masalah kesihatan mental, seperti tekanan emosi, keresahan dan kemurungan. Penggunaan internet yang berlebihan juga boleh menyebabkan keletihan yang menjejaskan kesihatan termasuk masalah mata dan jantung serta menyumbang kepada obesiti. Bahkan, beberapa insiden buruk disebabkan ketagihan serius internet turut dilaporkan di negara serata dunia. Antaranya, kematian seorang pemuda berusia 23 tahun di Pulau Pinang dipercayai akibat bermain permainan komputer tanpa henti-henti selama 15 jam pada akhir tahun lepas.  Begitu juga seorang pemuda berusia 30 tahun dilaporkan meninggal dunia di China akibat bermain permainan komputer dalam talian selama tiga hari tanpa henti di sebuah kafe siber di pinggir bandar Beijing.

            Akhir kata sebagai penutup birai bicara, KKMM terus berusaha menumpukan penglibatan komuniti di luar bandar dengan dunia digital serta pembangunan bandar pintar sebagai hab digital di serantau. Infrastruktur telekomunikasi yang baik mampu mencetus transformasi,  menjana inovasi, melancarkan urusan dan meluaskan kerjasama diplomatik. Sesungguhnya, pembangunan sesebuah negara dan kemudahan telekomunikasi saling berkaitan seperti enjin dan jentera. Banyak kajian membuktikan bahawa pelaburan untuk membangunkan infrastruktur dapat meningkatkan produktiviti dan memacu pembangunan. Kejayaan pelancaran enam satelit MEASAT  telah meningkatkan kualiti telekomunikasi, penyiaran serta teknologi maklumat menjelang ambang 2o2o.