Sunday, June 28, 2015

sebelum percubaan spm 2015 4



2011 Pahang

Pendahuluan :
Di Malaysia, memasuki alam pekerjaan adalah menjadi destinasi akhir kepada kebanyakan pelajar. Sama ada di peringkat sijil, diploma atau ijazah mereka sudah mencongak-congak akan peluang pekerjaan yang bakal diceburi. Walau bagaimanapun, dalam persaingan untuk memasuki pasaran pekerjaan, kelulusan akademik sahaja belum tentu menjanjikan seseorang itu boleh menjawat jawatan yang dicita-citakan. Sebaliknya, individu yang memiliki pelbagai kemahiran di samping akademik yang baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh para majikan. Justeru, seseorang pelajar itu wajarlah memperlengkapkan dirinya dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan sebelum melamar sebarang pekerjaan.
Isi 1 : Memiliki kemahiran dalam berkomunikasi - petah berbicara, matang mengeluarkan hujah dan pendapat, dan berani berhadapan dengan pelbagai peringkat klien - berinteraksi dalam gaya yang sopan

Isi 2 : Kemahiran menguasai pelbagai bahasa - mampu berinteraksi dengan pelbagai lapisan dan peringkat - menguasai bahasa-bahasa penting di dunia seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Perancis, Arab, Jepun, dan banyak lagi - berpeluang meneroka pelbagai peluang dengan pendapatan lebih lumayan di seberang laut

Isi 3 : Kemahiran teknologi - penting selaras dengan kemajuan teknologi global - hala tuju negara menjadi negara maju yang dipacu oleh sektor perindustrian - teknologi pembuatan, kejuruteraan, dan penciptaan - memiliki aset utama untuk mencari peluang dalam pelbagai sektor - (pembuatan, pemesinan, perkakasan, dan operasi)

Isi 4 : Kemahiran dalam ICT - selaras dengan kemajuan teknologi langit terbuka - mempercepat proses penyebaran dan pemerolehan maklumat melalui rangkaian internet dan laman web - boleh bersaing dalam gelanggang maklumat yang menguasai gaya hidup moden (peribahasa tidak boleh hidup seperti katak di bawah tempurung)

Isi 5 : Kemahiran dalam penampilan dan penyesuaian diri - penampilan fizikal, gaya bersosial, mengawal emosi, dan matang berfikir - meyakinkan orang lain terhadap keupayaan diri - mudah diterima dalam kelompok

Isi 6 : Kemahiran-kemahiran seni istimewa - seni suara, seni muzik, memasak, ketukangan, hiasan, dan dekorasi - sebagai aset tambahan untuk lebih berdaya saing
Kesimpulan :
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada sesiapa pun yang tahu mengajari kita agar berusaha mencipta tuah. Oleh yang demikian, penampilan diri dengan pelbagai kemahiran merupakan tuah yang boleh dicipta demi mencapai kejayaan peribadi seperti yang diidam-idamkan.
      
Contoh:
        Kemahiran merupakan kebolehan yang diperlukan untuk menguruskan sesuatu tugasan dengan pantas dan berkesan. Di bawah RM ke- 11, pembangunan modal insan merupakan agenda yang dominan untuk dicapai sebelum menginjak tahun 2020 sebagai status negara maju berpendapatan tinggi. (I) Senario yang menunjukkan kebergantungan sumber tenaga manusia mahir pada warga asing telah menimbulkan banyak skeptikal terhadap sistem pendidikan negara Malaysia. Menurut laporan Pusat Perpustakaan Negara pada tahun 2005, jumlah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia ialah sebanyak 8 – 12 buah buku dalam setahun sedangkan sebanyak 40 buah buku dibaca setahun oleh rakyat Jepun. Statistik ini  menunjukkan kadar literasi negara kita masih jauh ketinggalan daripada negara maju. Oleh itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah menggarisbawahi 6 aspirasi yang perlu dipenuhi oleh seorang anak bangsa, iaitu mempunyai kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikrah, dan kemahiran memimpin, di samping berilmu, beridentiti nasional, dan beretika. Persoalannya, sejauh manakah pelapis negara menguasai kemahiran untuk mentransformasikan bidang pendidikan pada era globalisasi yang melewati sempadan negara dan autonomi ekonomi?

            Memang tidak dapat disangkal bahawa budaya kreativiti dan inovasi merupakan pencetus kemahiran berfikrah atau kemahiran berfikir aras tinggi(KBAT).  Kreativiti merupakan gagasan, idea, dan pemikiran yang baharu. Manakala inovasi merupakan penambahbaikan pemikiran yang sedia ada sehingga memberi nilai tambah baharu untuk menghasilkan produk yang dapat dikomersialkan. (M) Amsalnya, teknik pengajaran dan profesional keguruan akan menyerlahkan bakat dan keberanian pelajar untuk meneroka pelbagai bidang yang mendatangkan manfaat kepada diri atau negara. © Secara langsung, budaya berkenaan akan meningkatkan kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, justeru menonjolkan sikap ketabahan untuk berdepan dengan kegagalan yang berterusan. Sebagai contoh, Thomos Edison mengatakan bahawa 1000 kali kegagalan cuma mengingatkannya tentang 1000 kali untuk mencari cara yang baharu. Albert Eistein juga menukilkan bahawa imaginasi lebih penting daripada pengetahuan. Tegasnya, kata-kata keramat ini menunjukkan budaya inovasi menjanakan kelangsungan tamadun dan bangsa di persada jagatraya. Mukhtasarnya, sistem pendidikan negara mestilah meneladani pedagogi negara maju supaya melibatkan pelajar dalam sumbang saran, mengembara dan pandai menaakul selepas setiap pembelajaran. Dengan itu, kemahiran KBAT barulah menjamin kegemilangan pelajar selepas tamat alam persekolahan.

         Dari sudut lain, kemahiran menguasai pelbagai bahasa juga merupakan tonik mujarab untuk memartabatkan diri dalam mercu kegemilangan.  Dalam konteks ini, setiap pelajar mestilah didedahi dengan 6 bahasa antarabangsa, iaitu bahasa Cina, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Inggeris dan bahasa Rusia yang telah diiktirafkan dalam majlis persidangan Persekutuan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai bahasa rasmi antarabangsa. Justifikasinya, penguasaan bahasa antarabangsa bukan sahaja menyenangkan diri untuk berkecimpung dalam urusan diplomatik, malahan meningkatkan peluang untuk menembusi kerjaya di syarikat multinasional. Menurut kajian, kekurangan penguasaan kamahiran bahasa asing membantutkan kebolehpasaran graduan selepas tamat alam persekolahan. Contohnya, Sekolah Berasrama Penuh yang mewajarkan pelajarnya mempelajari bahasa asing merupakan inisiatif yang cukup bersesuaian dengan kehendak pasaran global. Tegasnya, Mahadzir Lokman telah dinobatkan sebagai duta Perancis lantaran penguasaan beliau dalam bahasa asing. Ijmalnya, setiap pelajar mestilah mengambil peluang untuk meningkatkan kebolehan diri dalam penguasaan pelbagai bahasa.

Konsep kepimpinan melalui teladan diwara-warakan oleh Tun Dr Mahathir pada tahun 1983. Sesungguhnya, kemahiran memimpin merupakan tanggar amanat yang perlu digalas oleh anak watan pewaris bangsa. Dalam konsep ini, setiap pelajar mestilah mengaktifkan diri dalam aktiviti kokurikulum supaya dilatih menjadi pemimpin yang berkarismatik. Pemimpin yang berwibawa pandai mengerahkan dan merangsang rakan seperjuangan untuk melunaskan sesuatu amanah yang dibertanggungjawabkan.  Lumrahnya, setiap pemimpin menyediakan platform untuk si penyumbang idea dan sekali gus mengamalkan sifat keadilan untuk memberikan penghargaan kepada setiap rakan seperjuangannya. Yang pentingnya, disiplin diri yang tinggi memastikan setiap pemimpin diteladani oleh rakan sekeliling  justeru tidak kurang pentingnya mempraktikkan sifat tawaduk dan bersiap siaga turun padang untuk menterjemahkan setiap misi dan visi yang ditetapkan oleh organisasi. Mukhtasarnya, ciri-ciri kepemimpinan mestilah berteraskan konsep keislaman, iaitu jom akidah, beribadat dan berakhlak.Dalam kata lain, kemahiran memimpin ditunjukkan dalam gurindam di bawah,
Pengaruh kepimpinan melalui teladan.
Baik buruk jadikan sempadan
Menjadi kewajipan menjalankan tugas.
Walaupun sederhana tetapi tegas.

           Jika diselami keluhuran peribadi dan kemurahan hati, kemahiran dalam bidang linguistik bukan kayu ukur untuk menentukan kemahiran komunikasi seseorang. Maka, untuk memastikan kita disenangi dan disegani oleh sesiapa sahaja dalam sesebuah organisasi, penampilan diri dan perwatakan yang menyerlah memanglah merupakan pemangkin untuk memastikan diri berada di barisan hadapan. Sesungguhnya, akal fikiran pakaian insani, budi pekerti pakaian peribadi. Budi pekerti seseorang berkait rapat dengan gerak laku, tutur kata, cara hidup, perasaan, pemikiran dan cara pergaulan dalam hidup berkhalayak. Tanpa keikhlasan dan ketelusan hati sebagai bekalan, tidak mustahil kita diterima dan dimartabatkan sebagai insan yang diyakini. Pendek kata, budi pekerti merupakan jambatan penghubung silaturahim di samping pelajar juga mesti menguasai kebolehan untuk petah berbicara dan meluahkan pendapat bernas supaya berdaya melayan kerenah klien yang berbeza. Kemahiran komunikasi dan budi pekerti adalah saling bergantungan demi memastikan setiap pelajar berjaya meyakini majikan dan klien semasa hidup berkerjaya.

Menurut laporan PISA( Program of International students assessment) pada tahun 2009, negara kita berada pada kedudukan ke-57 daripada 74 buah negara yang menduduki ujian untuk sains, matematik dan literasi bahasa Inggeris. Kedudukan ini amatlah memalukan negara kita yang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau Asia ini. Sebagai persediaan untuk berdepan dengan kehendak pasaran global, sumber tenaga yang mahir dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan memanglah merupakan pemangkin untuk memastikan negara kita mempunyai barisan sumber tenaga yang berkemahiran tinggi. Maka, usaha sama antara Malaysia dengan negara maju seperti Korea, United Kingdom dan Jepun penting untuk memacu pendidikan Latihan vokasional dan teknik   negara ini justeru memastikan kebolehpasaran graduan atau lepasan SPM di pasaran setempat. Namun, tanggapan negatif masyarakat terhadap laluan akademik sekolah teknik dan vokasional masih perlu dianjak demi mencapai aspirasi negara sejajar dengan RMke-11. Di bawah usaha Pelan Transformasi Ekonomi Negara, diramalkan 3.3 juta pekerjaan akan ditawarkan menjelang tahun 2020, manakala 40% daripada pekerjaan terdiri daripada tenaga mahir yang memerlukan kelayakan dan profesional tinggi dalam bidang kemahiran berkenaan. Justifikasi, pelajar perlulah diasah bakat dan menentukan kebolehan diri sejak sekolah rendah untuk memilih hala tuju yang tepat sebelum menembusi kerjaya pada masa kelak.

        Akhirnya, kemahiran ICT tidak lain tidak bukan lagi merupakan penjana kreativiti dan kekayaan. Misalannya, pencipta ajaib Mircosoft Bill Gates, pengasas facebook Mark Zurkerberg, Pelopor Alibaba Jack Ma, pencipta laman Google Page dan Brian telah menunjukkan kebakatan mereka mengikut minat masing-masing. Kejayaan mereka dalam bidang ICT menyatakan sifat keberanian untuk menterjemahkan impian diri. Dalam erti kata lain, kemahiran ICT melepasi segala urusan agar mengoptimumkan keberhasilan dalam semua bidang seperti perdagangan, penyelidikan, perubatan dan sebagainya. Maka, setiap pelajar perlulah meneroka  alam maya demi menjadi penginovasi yang berjaya menongkah arus perdana.  Pada masa sama, kita perlu mengakui bahawa kemahiran ICT berjaya menjadikan kita sebagai makhluk yang berani mencipta impian, banyak barangan telah dijenamakan semula melalui akses maklumat dalam Internet. Penjenamaan semula sesuatu barangan melalui pelabelan, penyelidikan dan pemasaran akan dimangkinkan jika menguasai kemahiran ICT yang tidak lagi terkecuali dalam kehidupan harian setiap manusia.

Sebagai penghias penutup bicara, kemahiran dan ilmu merupakan prasyarat untuk memastikan kita berjaya berfikir secara global dan bertindak secara glokal. Walau bagaimanapun, kejayaan seseorang memartabatkan diri sebagai insan berguna tidak akan terjadi sekiranya tidak menghayati nilai murni yang syumul. Kegigihan dan usaha merupakan pelengkap kepada kemahiran yang diperoleh, yang bulat tak dapat bergolek, yang pipih tak datang melayang. Dengan itu, setiap kemahiran yang dilengkapi seyogianya diimbangi melalui akal budi dan akidah yang benar-benar berniat untuk berbakti kepada negara dan bangsa.