Sunday, July 24, 2016

2016 - 1 - cabaran akademik remaja



Anak-anak yang tidak memperoleh keputusan yang cemerlang memerlukan sokongan daripada ahli keluarga untuk membolehkan mereka terus bangkit untuk berjaya.
Jelaskan peranan yang dapat dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam membantu anak-anak untuk menghadapi masalah tersebut.

Tema: cabaran akademik
Skop: anak
Peranan- ahli keluarga
         
               Penilaian manusia pada hari ini bergantung pada prestasi kecemerlangan dalam peperiksaan. Prestasi akademik merupakan kayu pengukur untuk mengelaskan seseorang itu dalam kategori cemerlang atau lemah. Walhasil, banyak ibu bapa yang menempelak anak-anak yang memperoleh keputusan yang kurang memuaskan. Pelakuan mereka ibarat tepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.
           
              Ibu bapa uswah hasanah kepada anak. Tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevolt berkata,”pendidikan bermula dari rumah.” Ibu bapa tempat naungan dan tempat luahan isi hati kepada anak. Hubungan akrab antara ahli keluarga merupakan santapan jiwa untuk menjanakan kelangsungan dan kemandirian tradisi kekeluargaan. Apabila kecundang mendatangi kehidupan anak, ibu bapa merupakan pembakar inspirasi kepada anak.
         
               Perasaan kesayangan antara ahli keluarga merupakan sendi pengikat kesatuan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Apabila kegagalan melanda kehidupan anak, ibu bapalah yang  menjadi murabbi dan mujaddid kepada anak. Memberikan tazkirah kepada anak selepas sesi solat berjemaah di rumah, anak akan meneguhkan jati diri dan kecekalan dalam meniti tangga kejayaan. Walhasil, kasih sayang bakal menzahirkan rasa penghargaan dan kesyukuran pada jiwa raga setiap insan. Kejayaan dan kasih sayang adalah simbiosis. Kejayaan tokoh tersohor seperti Albert Eistein berkat kesayangan seorang insan yang bergelar ibu. Kegagalan sekali bukan bermakna kegagalan selama-lamanya. Inilah kata-kata hikmat filsuf Cina bahawa kegagalan akar umbi kepada kejayaan.
           
              Ibu bapa merupakan pencetus inovasi dan pencungkil bakat kepada anak mereka. Kemahiran dalam pelbagai bidang boleh diceburi oleh anak tanpa memerlukan kelulusan akademik yang tinggi. Ibu bapa mestilah mendedahkan anak dengan pendidikan informal melalui pelbagai aktiviti riadah, mengembara dan reka cipta. Pengalaman yang membina dapat membuka minda anak dan memilih kerjaya yang sesuai dengan kemampuan diri sendiri.  Ibu bapa perlu mengenali hati budi anak masing-masing tanpa membuat perbandingan antara anak. Anak perlu diberi kebebasan untuk menentukan kerjaya dan pilihan mereka. Ibu bapa tidak boleh meletakkan kejayaan anak hanya pada bidang profesional sedangkan banyak ahli korporat memulakan konglomerat mereka tanpa segulung ijazah ijazah.
           
              Semangat condong ditumpil, lemah dianduh mestilah disuntik dalam sanubari setiap ahli keluarga. Hubungan mesra antara adik-beradik dan perasaan mawaddah antara suami isteri bakal membibitkan rasa saling merasai dalam kalbu ahli keluarga. Anak yang berjaya perlulah menghulurkan bantuan kepada adik-beradik yang kurang berkeupayaan. Hubungan kekeluargaan perlu sentiasa dipelihara kerana air dicencang tidak akan putus atau biduk berlalu kiambang bertaut. Rasa saling membantu merupakan pengerak momentum untuk mengubati lara dalam hati.
           
         
               Kejayaan yang menyeluruh bukan sekadar merujuk kepada kecemerlangan dalam akademik, tetapi juga keterampilan dari aspek perawakan. Ibu bapa perlulah melengkapkan anak dengan nilai disiplin. Keupayaan untuk mengurus dan merancang masa depan dengan gigih membolehkan anak berwawasan tinggi. Ibu bapa perlu membantu anak membuat pembahagian masa berkualiti antara hal akademik dengan aktiviti sosial. Walhal, jadual belajar yang diiikuti akan mengelakkan diri daripada belajar pada saat terakhir kerana tabiat senja tidak dikejar, pagi tidak dibuang bakal melatih diri untuk memanfaatkan setiap detik masa.
          
            Ahli keluarga merupakan orang yang paling hampir dalam komuniti. Keluarga ialah sekumpulan manusia yang hidup bersama melalui hubungan pertalian darah, perkahwinan atau pengambilan anak angkat. Kegagalan dan tekanan kehidupan lumrahnya datang tanpa sebarang tanda. Peribahasa getah mengalir ke perdu, daun dapat dilayangkan menerangkan kesayangan pelipur lara utama.