Tuesday, October 21, 2014

Peranan ibu bapa menggalakkan anak melibatkan diri dalam aktiviti sukan



Peranan ibu bapa menggalakkan anak melibatkan diri dalam aktiviti sukan
1.    Ks- hadiah peralatan – menyelami akal budi anak – potensi dan bakat anak
2.    Ilmu sains sukan – pendidikan jasmani dan kesihatan
3.    Disiplin – menetapkan jadual waktu bersukan
4.    Ikon – menyertai Yayasan Sukan Belia, Majlis Sukan Negara, rakan yang sealiran, pelatih yang bertauliah
5.    Uswah hasanah – gaya hidup sihatc

Sukan merupakan aktiviti yang penting untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mental demi menempuh cabaran dan dugaan hidup sejak usia muda. Sesungguhnya, perkembangan seimbang dari segi jasmani, emosi, intelek, dan kerohanian selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara merupakan tuntutan utama untuk memenuhi aspirasi kerajaan. Anak ibarat kain yang suci kudsi dan bergantung pada peranan ibu bapa untuk menjadikan anaknya Majusi atau Nasrani. Peranan ibu bapa tidak ada galang ganti untuk menentukan keperibadian dan minat anak sejak kecil lagi.
Sesungguhnya, sudah menjadi fitrah manusia memerlukan nilai kasih sayang yang mencinta dan ikhlas antara ahli keluarga sebagai pengikat darah daging yang teguh.  Ibu bapa berperanan sebagai pencorak karakter anak yang penting, sebagai ibu bapa yang penyayang, bakat dan potensi anak mestilah dicungkil sehingga ke akar umbi atau pangkal pokoknya. HUbungan kekeluargaan dan nilai kasih sayang merupakan irama dan lagu yang saling simbiosis dan bergantungan demi membentuk tempo yang artistik. Tanpa pemahaman yang teliti antara ahli keluarga, bakat dan potensi anak dalam bidang sukan mungkin akan terpendam dan terhanyut mengikut arus modenisasi. Semasa menyambut hari jadi anak, hari kanak-kanak, hari keluarga yang tertentu, ibu bapa bolehlah menghadiahi anak peralatan sukan seperti raket, basikal, bola keranjang, dan sebagainya untuk memberangsangkan semangat kesukanan anak sejak kecil lagi. Yang terpentingnya, bakat dan potensi ini datang secara fitrah sekalipun, dorongan dan sokongan ibu bapa untuk mencernakan bakat mereka dalam bidang kesukanan merupakan inisiatif yang paling dominan, bak kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Selain pelindung yang penyayang, ibu bapa mestilah menegakkan disiplin anak sejak kecil lagi. Disiplin merupakan jurupandu untuk menatijahkan kejayaan dalam sesuatu bidang yang diminati.  Ibu bapa merupakan pemantau dan penguat kuasa yang utama supaya memastikan jadual waktu  bersukan diikut dengan sistematik dan secara konsisten. Ibu bapa bolehlah membawa anak mereka menyertai aktiviti seni pertahanan diri , sukan, atau senam robik yang dapat mendisiplinkan anak mereka. Sesungguhnya, melalui latihan kesukanan yang berterusan, anak bukan sahaja meningkatkan kemahiran insaniah tertentu, malahan membangkitkan minat mereka untuk menuju ke arah kejayaan dan menganggap aktiviti kesukanan ini sebagai kerjaya mereka selepas tamat waktu persekolahan. Ibu bapa pada zaman ini selalu menggunakan kesibukan dalam profesion sebagai alasan untuk menghantar anak ke akademi sukan supaya mendapat latihan kesukanan yang bertauliah. Sememangnya, amalan ini mestilah diterapkan agar generasi muda tidak senang diancam oleh parasit yang senang menggelodakkan jiwa yang masih setahun jagung setampuk pinang.
Dari sudut pendidikan, ibu bapa mestilah menyelami ilmu sains sukan supaya memastikan anak dididik dengan betul. Sebagai sumber inspirasi dan pakar motivasi penting kepada anak, ilmu sains sukan yang diberikan sejak kecil lagi akan menetapkan minat mereka dalam bidang ini supaya tidak memandang enteng tentang aktiviti kesukanan yang dapat mengukuhkan ketahanan fizikal dan mental diri. Ilmu kesukanan penting untuk mendedahkan anak tentang ilmu biogenetik, kinesiologi, biomekanik, anatomi dan fisiologi, dan topik-topik lain seperti pemakanan, pengurusan sukan, sosiologi, dan psikologi dalam sains sukan. Ibu bapa berilmu luas dapat membantu anak memahami tindak balas badan manusia seperti organ, sistem saraf, sistem otot, dan tenaga dalam badan semasa melakukan sesuatu sukan. Dalam erti kata lain, pendidikan jasmani adalah satu amalan untuk meningkatkan teknik kesukanan, manakala sains sukan adalah bertujuan menyampaikan ilmu tentang perkaitan badan dan sukan. Ijmalnya, ibu bapa yang mempunyai pengetahuan yang meluas dalam bidang kesukanan akan mencernakan potensi anak dalam bidang ini jua kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Ibu bapa mestilah menegakkan ikon kesukanan sebagai ikutan ahli keluarga. Ikon kesukanan Malaysia seperti Datuk Nicole David, Datuk Lee Chung Wei, Muhamad Ali, Keluarga Sidek dan sebagainya bukan sahaja berjaya menempa kejayaan Malaysia di persada antarabangsa malahan telah menggondol kemewahan dalam kehidupan mereka. Kerjaya dalam bidang sukan mestilah dilatih berterusan sejak lecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa yang celik akal akan menyelami hati budi anak dengan memberikan pendedahan tentang kejayaan ikon kesukanan di Malaysia atau di luar negara. Sebagai tempiasnya, anak akan mengikut jejak kejayaan jagoan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Ibu bapa seyogianya meluangkan masa untuk menemani anak mendapat latihan yang sistematik di gelanggang badminton, gelanggang berenang, stadium dan sebagainya. Minat yag diselami akan menjadi satu kebiasaan untuk anak supaya menjadikan keterujaan mereka dalam bidang sukan sebagai bakal kerjaya mereka.

Akhirnya, ibu bapa mestilah sebagai rakan baik kepada anak. Jurang generasi antara ibu bapa dengan anak akan menghalang persefahaman dan penyerlahan bakat anak dalam bidang tertentu. Sebagai ibu bapa yang memenuhi tuntutan perkembangan semasa, komunikasi antara ahli keluarga merupakan cara yang paing efektif untuk menyerlahkan bakat anak mereka. Ibu bapa mestilah memahami bahawa ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Sebagai nakhoda sebuah bahtera di tengah samudera, anak mestilah dibimbing ke arah yang positif. Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak mestilah mengamalkan gaya hidup sihat, yakni mempunyai kemahiran dalam sekurang-kurangnya datu jenis aktiviti bersukan. Masalah penyakit kronik dan masalah obesiti yang tercetus dalam sesebuah keluarga mestilah berakar umbi daripada sikap yang mengetepikan kegiatan sukan dalam kehidupan seharian.Memetik kata tokoh motivasi negara, sesuatu aktiviti diulangi 200 kali akan menjadi sebati dengan tabiat kita sehingga ke liang lahad. Demikianlah termaklumnya bahawa tabiat yang terbawa-bawa oleh ibu bapa penting untuk mendarahdagingkan amalan bersukan dalam lubuk kalbu hati secara semula jadinya dan bukan secara paksaan dengan pendekatan diktatif dan autonomi daripada ibu bapa.

Sebagai penghias wahana, sukan pencetus minda dan agen perpaduan yang maslahat untuk sesebuah negara. Sebagai ibu bapa mithali, dorongan dan bimbingan penting untuk mencungkil potensi anak yang terpendam sejak dalam kandungan ibu lagi. Tangan kanan yang menghayun buaian akan menggegarkan dunia dengan tapak kirinya. Inilah peranan seorang insan yang bergelar ibu yang mampu mengubah dan menjelmakan bakat anak yang suci kudus ke arah kejayaan dalam bidang yang diterujai. Sekali lagi, syurga di bawah telapak kaki ibu, kasih ayah bertarung nyawa sepanjang hayat. Pengorbanan ibu bapa bukan semata-mata memenuhi keperluan asas anak, tetapi dapat menyerlahkan sinaran intan yang akan diabui sekiranya tanpa gilapan yang bijaksana.