Monday, August 3, 2015

tema kesihatan 2015 - 1



Pahang 2012 Lihat gambar rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah mengambil sarapan pagi.
Mengekalkan kesihatan tubuh badan
Mengawal rasa lapar
Membekalkan tenaga(isi 1)
Mengelakkan obesiti( isi2)
              

                  Kajian Nutrisi Dewasa Malaysia (2003) menunjukkan bahawa satu daripada 10 orang dewasa Malaysia tidak mengambil sarapan pagi. Satu kajian bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nestle mengenai Status Nutrisi dan Tabiat Diet Pelajar Sekolah Rendah di Malaysia (2007-2008) menunjukkan bahawa satu daripada tiga pelajar sekolah rendah pergi ke sekolah dengan perut kosong. Mereka hanya bersarapan pada pukul 10 pagi, iaitu waktu rehat di sekolah.Mereka tidak mengambil sarapan pagi kerana tidak mempunyai masa, tidak lapar atau tidak berselera. Lagipun, ibu bapa perlu tergesa-gesa ke tempat kerja pada waktu pagi. Kanak-kanak dan remaja pula terikat dengan rutin yang ketat di sekolah. Mengambil makanan berat pada malam hari sebelumnya menyebabkan seseorang itu tidak ada selera untuk bersarapan pada pagi keesokannya.Sarapan pagi ditafsirkan sebagai hidangan pertama yang perlu diambil dalam tempoh satu jam selepas bangun daripada tidur. Apabila kita bangun daripada tidur, paras gula dalam darah adalah rendah kerana kita 'berpuasa' semalaman. Malaysia seolah-olah menjadikan budaya bersarapan pagi dengan nasi lemak, roti canai dan teh tarik.  Manakala pemilihan makanan untuk sarapan mereka hanya kepada makanan yang digemari dan bukan kepada makanan yang berkhasiat. Kata orang tua-tua, "makan untuk hidup, tetapi hidup bukan untuk makan." Maksudnya, makanan yang diambil setiap pagi walau hanya sedikit kuantiti, sekalipun sudah cukup untuk keceriaan tubuh badan kita.

                 Pengambilan sarapan pagi yang penuh khasiat dan seimbang akan membantu menyumbangkan tenaga yang mencukupi. Sarapan yang kaya dengan karbohidrat yang kompleks akan meningkatkan paras glukos otak. Sarapan pagi ialah masa terbaik untuk mengambil karbohidrat sebagai tenaga untuk badan dan otak tanpa menjejaskan usaha menguruskan badan. Sarapan membantu memulihkan tahap glukosa darah dengan memberikan tenaga yang diperlukan untuk menjadikan kita lebih produktif sepanjang hari. Glukosa ialah bahan api sel untuk menghasilkan tenaga. Dengan bersarapan pagi, kita akan berasa lebih bertenaga dan dapat membantu menjalankan tanggungjawab dengan lebih cekap  dan daya fokus juga akan bertambah baik. Pensyarah Kanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia, Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof mengatakan bahawa sarapan pagi amat penting  selepas lebih kurang lapan jam tidur.  Tegasnya, makanan yang rendah kandungan lemak, sederhana protein dan karbohidrat serta tinggi kandungan vitamin dan mineral adalah yang terbaik untuk kanak-kanak sekolah rendah.

                Pengambilan sarapan pagi dapat mengawal rasa kelaparan seseorang individu dalam sesuatu tempoh yang tertentu. Mereka yang tidak bersarapan cenderung memilih makanan yang berkalori tinggi pada waktu tengah hari atau pada makan malam. Banyak kajian menunjukkan hubungan antara pengambilan sarapan pagi dengan pengurusan berat badan. Jurnal Penyelidikan Obesiti di Amerika Syarikat pada 2002 melaporkan bahawa pengambilan sarapan pagi setiap hari berjaya mengurangkan dan mengekalkan berat badan. Satu lagi kajian oleh Universiti Texas, El Paso di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa mengambil sarapan pagi boleh meningkatkan pengeluaran leptin, sejenis hormon yang menyekat selera di samping membantu mengurangkan berat badan. Kajian membuktikan bahawa makan sarapan pagi membantu mempertingkatkan metabolisme. Peningkatan metabolisme bermula dengan pembakaran jumlah kalori dalam tubuh badan secara maksimum selepas bersarapan. Maka, masalah obesiti akan dijauhi dan mengekalkan penampilan yang meyakinkan diri.

                Bersarapan juga memastikan seseorang mengekalkan kelangsingan dan mengelakkan masalah obesiti. Hasil penyelidikan daripada seorang penyelidik dari Sweden mendapati bahawa individu yang tidak menitikberatkan pengambilan sarapan pagi mampu meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan obesiti, di samping menunjukkan lebih sindrom metabolik berbanding dengan mereka yang mengambil sarapan pagi secara teratur.  Sindrom metabolik merupakan kombinasi tiga penyakit berkait iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti.  Kajian tersebut turut mendapati mana-mana individu yang mengambil sarapan pagi dalam kuantiti yang banyak manakala kuantiti yang sedikit untuk makan tengah hari dan makan malam mampu mengurangkan berat badan. Kajian juga menunjukkan mereka yang bersarapan pagi lebih cenderung untuk makan secara seimbang sepanjang hari. Kajian yang dijalankan Food Facts Asia terhadap remaja berusia 10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan kurang berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan.

                Pengambilan sarapan pagi juga menstabilkan perubahan emosi dan mengurangkan kemurungan. Perasaan lebih gembira dan ceria selepas bersarapan. Sarapan yang seimbang dapat mengekang masalah malnutrisi营养不均衡.  Bersarapan penting untuk membekalkan nutrien dalam kadar yang secukupnya. Hasil daripada kajian telah mendedahkan bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan turut mempengaruhi prestasi pelajaran mereka. Badan kita memerlukan glukosa dalam darah untuk menjana tenaga. Jika bekalan glukosa ke otak tidak mencukupi, seseorang akan menjadi lembap, otak tidak cerdas, malas dan tidak berupaya menjalankan aktiviti seharian dengan mayanya. Makan lebih pada waktu tengah hari juga tidak dapat menggantikan keistimewaan bagi yang bersarapan pagi. Kajian psikriatri dari Amerika Syarikat membuktikan bahawa pelajar sekolah yang bersarapan setiap pagi mendapat keputusan yang lebih baik dalam  mata pelajaran matematik dan mempunyai daya tumpuan lebih tinggi sekali gus bersikap lebih sopan dan kurang hiperaktif berbanding dengan pelajar yang tidak bersarapan. Yang pentingnya, bersarapan mampu meningkatkan pencapaian berfikir seseorang.

               Sedia kita maklum, Malaysia dilabelkan sebagai negara yang menghadapi masalah obesiti paling tinggi di Asia Tenggara dan berada pada tangga keenam di Asia. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2008, 25 peratus daripada kanak-kanak sekolah rendah mempunyai berat berlebihan atau obes. Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa hampir 30 peratus daripada kanak-kanak sekolah rendah tidak mengambil sarapan purata dua hingga tiga kali seminggu.Lebih merisaukan, kajian itu mendedahkan bahawa murid yang tidak mengambil sarapan pagi lebih cenderung mengalami masalah berat badan berlebihan serta penyakit lain apabila meningkat dewasa. Maka, alah bisa tegal biasa, amalan bersarapan pagi mestilah diterapkan dalam kehidupan kita sejak azali lagi.