Friday, October 3, 2014

PERCUBAAN SPM 2014 - 1

Amalan kejiranan semakin terpinggir dalam masyarakat pada masa ini. Masyarakat semakin melupakan amalan bergotong royong, kunjung-mengunjungi, dan bertegur- sapa sesama jiran tetangga. Dalam hal ini, keluarga berperanan penting untuk menghidupkan amalan kejiranan ini agar menjadi ikutan anak-anak. Ulas pernyataan ini.
            Sedia kita maklum bahawa, kegiatan rewang dan Hari Keluarga dapat dianjurkan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk. “Sepakat membawa berkat,” begitulah kata-kata filsuf silam. Malahan, menurut laporan majalah The Times di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia.  Kualiti taraf hidup sesebuah negara adalah bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakatnya. Hubungan mesra akan mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka bahkan menjadi aset paling penting kepada negara dalam usaha membangunkan dan memajukan negara , khususnya dalam masyarakat majmuk. Agama menuntut setiap penganut supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran seperti kata hadis yang berbunyi;
' berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh'.
            Ahli keluarga memainkan peranan penting untuk menghidupkan amalan kejiranan dalam jiwa raga anak sejak kecil lagi. Amalan gotong-royong merupakan warisan tradisi yang menerapkan budi pekerti dan moral dalam kalangan masyarakat. Budi pekerti ialah pakaian peribadi manakala akal fikiran pakaian insani. Apabila elok pekerti nescaya terserlahlah nilai-nilai insani seperti nilai kerjasama dan tolong-menolong.  Sudah sewajarnya, anak-anak mesti ditarbiah untuk mencerminkan diri dengan akhlak dan suka membantu jiran tetangga, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri  lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, anak-anak mesti menghiaskan diri dengan hati pemurah seperti suka memberi bantuan kepada sesiapa sahaja, khasnya jiran tetangga yang terdekat dengan kita. Rasullulah pernah bersabda, “ tangan di atas lebih baik tangan di bawah.” Maka, ahli keluarga mestilah berkecimpung dalam aktiviti gotong-royong yang membawa seribu satu berkat seperti semangat perpaduan dan semangat kerjasama akan disuntik dalam jiwa raga anak. Yang terpentingnya, persekitaran akan menjadi bersih dan menjauhi wabak penyakit seperti nyamuk Aedes, Ebola, dan lalat, sekali gus semangat kejiranan akan disemarakkan melalui aktiviti gotong-royong yang diusahakan bersama antara ahli keluarga, umpama rangkap pantun di bawah;
Gunung Pahang sama didaki, Sungai Pahang sama direnang,
Kalau kita bersatu hati,Kerja payah menjadi senang.
            Untuk menghidupsuburkan amalan kejiranan, ibu bapa mestilah menerapkan nilai kasih sayang terhadap setiap jiran tetangga dengan sejati dan lahir daripada tulus hati.  Ahli keluarga mestilah menghayati hikmah di belakang pepatah pepatih yang berbunyi ‘memiat daging, sama sakit sama rasa.’ atau ‘ berat mata memandang, berat bahu lagi memikul.’ Semasa kecil lagi, anak yang diibaratkan kain yang suci kudsi mestilah digalakkan mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi antara jiran tetangga khususnya semasa jiran tetangga ditimpa kesakitan atau dilanda kemalangan. Sejak azali lagi, anak mesti memahami bahawa setiap ummah di bumi adalah saling bergantungan dan hidup secara simbiosis.  Kunjungan  dan perkongsian suka duka akan melahirkan perasaan saling memerlukan, saling membantu dan saling merasai. Sudah menjadi fitrah kepada manusia bahawa perasaan kasih sayang sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kasih sayang dan hubungan  umpama lagu dan melodi yang saling bergantungan demi membentuk suatu tempo yang artistik serta estetik. Dalam apa-apa jua situasi, hubungan kasih sayang menjadi pengikat hubungan untuk mengukuhkan akar kejiranan . Dengan perasaan kasih sayang yang ikhlas, fenomena seperti salah faham, cemburu, dan dendam kesumat yang berpaksikan hukum beraja di mata dan bersultan di hati antara jiran tetangga akan dikikis sama sekali. Sudah terang lagi bersuluh, anak yang diajar nilai kasih sayang akan belajar menyayangi orang lain di buana ini.
            Bagi menyemarakkan semnagat kejiranan, keluarga khususnya ibu bapa mestilah menjadi peran contohan kepada anak muda. Maulana Elyas iaitu seorang ulamak termasyhur di India pernah bertamsil bahawa jika kepala kereta api sampai ke destinasi, gerabak juga akan sampai ke destinasi. Tamsilan ini bermaksud jika seseorang pemimpin menunjukkan teladan yang baik, anak-anak juga akan mengikut jejak yang sama. Pepatah pepatih sering terngiang-nging dalam masyarakat kita, bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bapa borek anak rintik. Dalam konteks amalan kejiranan, ibu bapa mestilah giat menyertai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Skim Rukun Tetangga, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) atau pasukan sukarela di kawasan sejiran yang berperanan untuk melestarikan kesejahteraan sejiran justeru memelihara kebajikan, keamanan dan keharmonian di kawasan kediaman. Ibu bapa seyogia meluangkan masa menemani anak-anak berjinak-jinak dengan aktiviti amal seperti Hari keluarga dan sukaneka. Dengan itu, aktiviti bersuka ria seperti acara tarik tali, senam robik, dan beraneka pertandingan akan menjalinkan hubungan silaturahim sesama jiran yang berbilang kaum dan lebih mengenali latar belakang mereka, justeru sikap ‘siapa lu siapa wa’ akan dikikis kerana tak kenal maka tak cinta. Tepat sekali disebut oleh seorang aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye yang juga Pengerusi Kelab Pencegah Jenayah Malaysia, kewujudan masyarakat madani adalah dengan mengamalkan kehidupan berjiran. Ijmalnya, muafakat membawa berkat dan hidup berjiran membawa jutaan rahmat.
            Dari sudut negara, ahli keluarga mestilah bersama menghayati prinsip Rukun Negara yang digubal pada tahun 1970 selepas kejadian silam hitam 13 Mei 1969. Pertelingkahan dan perselisihan faham antara komuniti telah mencetuskan musibah kepada negara. Doktrin kepercayaan kepada Tuhan menuntut setiap rakyat Malaysia agar memahami bahawa jiran ialah komuniti yang terdekat dengan kita, oleh itu ikatan ukhuwah mestilah diperkasakan melalui sikap kesyukuran kepada setiap jiran tetangga sebagai  darah daging yang tidak dapat dipisahkan. Selain itu, doktrin kesopanan dan kesusilaan merupakan resipi paling mujarab supaya menjadi teras kekuatan masyarakat atau sendi ikatan kesatuan antara komuniti yang berbilang kaum. Dalam konteks keselamatan di kawasan kediaman, ibu bapa mestilah mengingatkan anak supaya setiap peraturan negara dipatuhi kerana prinsip kedaulatan undang-undang merupakan tunjang utama untuk mempertahankan kemerdekaan negara. Sejak kecil lagi, semangat patriotik mestilah ditanam dalam akal budi setiap anak watan pelapis bangsa kerana jenayah di kawasan kediaman merupakan sikap masyarakat yang semakin mengabaikan semangat kejiranan. Sewajarnya, anak-anak mestilah melengkapkan diri dengan nilai penghormatan kepada setiap kaum dan memelihara hak asasi bumiputera yang bernaung di bawah kerajaan yang mempertahankan prinsip demokrasi. Ijmalnya, ibu bapa mestilah membimbing anak ke jalan betul dengan menyelami warisan tradisi yang sudah lama bersebati dengan kehidupan nenek moyang lagi, bak kata tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
            Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, setiap ibu bapa mestilah menjadi kaunselor kepada anak mereka. Ilmu keibubapaan merupakan prasyarat untuk meningkatkan kemahiran komunikasi supaya menyelami hati budi anak dengan mengurangkan jurang generasi yang semakin meluas. Ibu bapa mestilah menggalakkan diri supaya lebih cenderung hidup bermasyarakat. Tamsilannya, rumah terbuka mestilah dianjurkan pada setiap hari perayaan selepas bulan Ramadan supaya menyerikan kehidupan berjiran. Ketika mengadakan rumah terbuka, setiap ahli keluarga bolehlah mengundang jiran tetangga atau sahabat handai yang berbilang kaum ke majlis berkenaan. Secara implisit, pengenalan adat resam, pantang larang, dan kesenian warisan kebudayaan seperti makanan tradisional akan diperkasakan melalui perayaan bersama ini. Apabila ahli masyarakat memahami rambut sama hitam, hati lain-lain, perasaan toleransi dan bertolak ansur akan menebal dalam jiwa raga mereka. Setiap hari perayaan merupakan satu keunikan untuk menjadi kelainan dalam pandangan masyarakat di luar negara. Sikap cinta akan negara akan terselam sekiranya perasaan curiga, prasangka dan syak wasangka telah diganti dengan hati yang bersatu, seperti peribahasa sejunjung bak sirih, seikat bak serai. Situasi perasaan muhibah dimanifestasikan melalui rangkap pantun di bawah;
Harum sungguh bunga melati,Hiasan sanggul amat memikat;
Bertolak ansur,hormat-menghormati,Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.
            Sebagai penghias penutup bicara, keluarga ialah urat nadi dan nukleus untuk membentuk zuriat dan keturunan yang bertamadun. Memandangkan keluarga bahagia ialah struktur sosial yang asas untuk menjana kesejahteraan dan kemakmuran negara kita. Sesungguhnya, semua ahli masyarakat mestilah seia sehati dan sederap langkah untuk menghidupsuburkan semangat kejiranan yang bertunjang di negara kita;
Beras segantang sudah disukat,Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,Negara damai rakyat sejahtera.


LEAVE YOUR NAME HERE IF HAVE COPIED  THIS ESSAY