Monday, October 20, 2014

percubaan 2o14 - 15



Percubaan Kedah 2o14
Anak-anak boleh membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Selaku pengerusi kelab pengguna di sekolah, anda diminta menyampaikan ucapan tentang langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak. Tuliskan ucapan anda selengkapnya
Tema – hemat berbelanja
Persoalan - membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga.
Fokus soalan-langkah2 oleh anak2
Format – ucapan - pengerusi kelab pengguna di sekolah
Isi
1.   Mendisiplinkan diri – perancangan perbelanjaan kewangan – tidak mengikut hawa nafsu – elakkan hutang sekeliling pinggang – kurangkan guna kad kredit
2.   Menerapkan didikan agama
3.   Ilmu kewangan – pengguna bijak – tidak dieksploitasi
4.   Ikon – menyertai program kitar semula
5.   Bekerja sambilan – menamun sayur yang mesra alam
Burung-burung berwarna-warni,
Menjamu selera si anak ikan;
Bismillah pembuka bicara ini,
Salam sejahtera saya ucapkan.
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepnggunaan dan Koperasi , Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK BM, dif-dif jemputan, guru-guru, dan seterusnya saudara-saudari, rakan-rakan seperjuangan.
Hadirin sekalian,
          Terlebih dahulu saya ingin bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita sempat berkumpul di dewan pada pagi yang nirmala ini. Kita menyambut Hari Pengguna Malaysia pada tarikh 26 Julai setiap tahun iaitu tarikh sempena Akta Perlindungan Pengguna diluluskan di Parlimen pada tahun 1999 yang lebih bersifat nasional selaras dengan aspirasi kerajaan dan hasrat rakyat. Sesungguhnya, manusia sejagat berada pada zaman krisis ekonomi yang semakin gawat, kos sara hidup dan kadar inflasi yang meningkat berikutan dengan kenaikan harga petroleum dan sumber bahan makanan yang semakin mengurang dalam pasaran global. Pada masa ini, penggemblengan kudrat dan minda antara ahli keluarga amatlah penting untuk merungkaikan tekanan bebanan kewangan yang dihadapi oleh ahli keluarga, bak kata pepatah muafakat membawa berkat. ‘Hemat’ bermaksud ‘berhati-hati, cermat, dengan teliti, jimat, dan tidak boros ataupun membazir dari segi penggunaan wang atau menggunakan sesuatu’. Pendek kata, Hemat pangkal kaya, sia-sia hutang tambah. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Hendak kaya berdikit-dikit, hendak tuah bertabur urai, hendak berani berlawan ramai.
          Ibu bapa merupakan pelindung untuk anak secara fitrahnya. Namun, kehidupan kini yang semakin dilanda krisis kenaikan harga, setiap keluarga tidak terlepas daripada bebanan atau tekanan yang tidak ternilai. Oleh itu, anak mestilah menyumbang sedikit banyak bantuan untuk meringankan beban ibu bapa. Dari segi pendidikan, sudah menjadi trend hidup baharu bahawa setiap anak dihantar ke pusat tuisyen untuk mendapat bimbingan yang lebih daripada guru pakar dan berpengalaman. Kadangkala, ibu bapa terpaksa mengikat perut semata-mata ingin menampung kos pendidikan yang tinggi selain memenuhi keperluan asas anak. Sebagai contoh, latihan yang mencungkil bakat dan potensi anak dalam pelbagai bidang biasanya memerlukan kos tambahan yang membebankan. Keperluan ini semata-mata ingin menghadapi tuntutan perkembangan pasaran global yang mencabar. Seyogianya, anak mestilah memahami kasih sayang ibu bapa yang lahirnya secara fitrah. Sebagai anak soleh atau solehah, langkah hemat berbelanja yang pertama ialah mendisiplinkan diri dalam perbelanjaan harian. Sebagai balasan kepada kasih sayang ibu bapa yang tidak berbelah bahagi, anak mestilah membuat perancangan dalam perbelanjaan kewagan sejak kecil lagi, yakni berbelanja tanpa mengikut hawa nafsu dan meminta-minta sesuatu yang  di luar keperluan asas seperti telefon pintar, makanan mewah dan pakaian berjenama. Penggunaan kad kredit yang berlebihan akan menambah sikap yang suka berhutang. Kadangkala kealpaan dalam sekelip mata akan menatijahkan hutang sekeliling pinggang dan kebankrapan pada usia remaja yang berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

          Dari segi keagamaan, keimanan dan ketakwaan yang tinggi memanglah penting untuk membentuk keperibadian yang menuntut kehidupan yang sederhana dan rasional. Tuntutan agama sememangnya melarang penganutnya berbelanja mengikut hawa nafsu tanpa batasan. Rasullulah pernah bersabda, “ Memboros ialah kawan syaitan.” Sememangnya, sesiapa yang memboros dalam penggunaan harian akan menuju ke arah neraka yang bakal menerima azab dan sengsara. Sebagai anak soleh atau solehah, amalan ibadat seperti bersyukur kepada limpahan rahmat-Nya dan bertaubat kepada setiap pembaziran akan menambah kerestuan dan keredaan daripada Tuhan kepada keluarga tersebut. Pendek kata, keimanan akan mentarbiah anak supaya menjadi insan yang menerapkan nilai kesederhanaan untuk menjauhi sikap tamak haloba yang mengagung-agungkan kemewahan dalam alam fana ini. Pendek kata, selain menjadi pelindung dan penaung kepada anak, ibu bapa perlulah menerapkan didikan agama kepada anak supaya berhemat dalam perbelanjaan harian.
          Selain sebagai mursyid, ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak. Tamsilannya, dalam perbelanjaan harian, pembaziran pada musim perayaan amatlah dilarang sama sekali. Ilmu perancangan kewangan akan menuntut kita menjadi pengguna yang bijak. Pengguna bijak bercirikan nilai-nilai kebijaksanaan seperti membuat perbandingan harga sebelum membeli, membeli barangan yang berkualiti sahaja kerana alah membeli menang memakai. Selain itu, pengguna bijak akan memahami  bahawa penindasan oleh peniaga yang menangguk ikan di air keruh perlu dikenal pasti dan mengadukan perbuatan manipulasi ini kepada pihak tertentu seperti Tribunal Pengguna Malaysia. Oleh itu, anak yang berilmu pastilah akan menjadi pengguna yang bijak dan hemat berbelanja agar tidak terpedaya oleh jualan mega oleh pusat beli-belah. Pendek kata, kebijaksanaan akan menentukan gaya seseorang berbelanja.

Para hadirin yang dikasihi,
          Selain mendoakan limpahan rahmat-Nya dan dilengkapi dengan ilmu kewangan, anak-anak mestilah membiasakan diri dalam program kitar semula yang mengundang banyak hikmat kepada nusa dan bangsa. Aktiviti kitar semula dapat menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah tangga. Sebagai contoh, bahan buangan dapat diasingkan mengikut tong pelupusan sampah yang berwarna perang, biru dan oren. Anak boleh berjinak-jinak dengan pengumpulan bahan buangan ini untuk menjana pendapatan kepada isi rumah tangga. Kertas terpakai, tin aluminium, kaca, dan plastik yang dikitar semula bukan sahaja merupakan amalan mesra alam malah melestarikan alam sekitar yang semakin tergugat ekoran sikap manusia yang bernafsi-nafsi. Ijmalnya, hidup manusia dengan alam sekitar adalah umpama lagu dengan melodi yang saling bergantungan dan hidup secara simbiosis demi membentuk tempo yang estetika dan artistik.Anak yang dididik mencintai alam sekitar akan memahami bahawa tanpa bumi, di manalah keluarga?

          Selain mendisiplinkan diri dalam perbelanjaan, anak digalakkan menentukan kerjaya sejak kecil lagi. Oleh itu, anak digalakkan bekerja secara sambilan pada waktu cuti sekolah. Sesungguhnya, kerja pada waktu cuti sekolah akan menambah pengalaman anak dan lebih memahami pahit maung ibu bapa untuk menyara keluarga, bak kata pepatah memiat daging, sama sakit sama terasa atau ibarat cubit paha kanan, paha kiri sakit juga. Pendek kata, anak mesti memanfaatkan masa dengan melibatkan diri dalam kerja rumah tangga atau mengusahakan sesuatu perniagaan seperti menanam sayur-sayuran di tepi kawasan kediaman atau bekerja sebagai pembantu kedai untuk mengurangkan bebanan kewangan keluarga. Sikap berdikari dan kegigihan mengusahakan sesuatu menentukan keperibadian seseorang anak yang ibarat kain putih suci kudsi.
          Sebagai penutup penghias bicara, saya berdiri di sini laksana seorang pendeta untuk menguar-uarkan suatu wacana yang menegaskan bahawa anak-anak mestilah membantu mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Ibarat kuah sama dihirup, sambal sama dicolek, atau ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, hidup berkeluarga memerlukan komitmen dan integriti yang kukuh daripada semua ahli keluarga. Sememangnya, setiap sumbangan daripada anak secara ikhlas merupakan pelunak perasaan kepada ibu bapa.  Sebelum saya mengundurkan diri, terimalah serangkap pantun daripada saya yang berbunyi,
Burung kelicap terbang sekawan,
Terbang segera dari pohon berduri,
Salah dan silap harap maafkan,
Izinkan saya bermohon diri.
Sekian, terima kasih.