Saturday, July 18, 2015

percubaan SPM 2015 - 10



Latihan 6 : Belakangan ini jasa tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun H.S.Lee, dan Tun Sambanthan semakin dilupakan.Bincangkan cara-cara anda menghargai jasa tokoh-tokoh kemerdekaan (T4, Unit 2 bhg 3).

        Jasa dan pengorbanan tokoh kemerdekaan sinomin dengan sumbangan wirawan atau wirawati nasional dalam bentuk kudrat, jiwa, kewangan dan masa demi mendaulatkan institusi kerajaan Melayu dan mempertahankan kemerdekaan negara. (I) Jasa tokoh kemerdekaan seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Sambanthan dan Tun HS Lee tidak wajar ditelan dalam arus perdana kerana hutang budi dikandung tanah, jasa baik dikenang jua.(I) Namun, kisah silam tokoh kemerdekaan semakin luput dalam ingatan masyarakat khasnya generasi muda lantaran pergeseran budaya dan kenipisan jati diri bangsa. (K) Sesungguhnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(2013-2025) telah menyasarkan 6 aspirasi untuk memperkasakan kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikrah, dan kemahiran memimpin, sekali gus berilmu, beridentiti nasional dan beretika dalam kalangan pelajar. (U) Persoalannya, sejauh manakah saya sebagai anak bangsa Malaysia menghargai jasa tokoh-tokoh kemerdekaan negara? Tepuklah benak tanyalah minda.
       
        Memang tepatnya dikatakan bahawa tiada yang lama, tidak ada yang baharu. Susur galur dan salasilah sesebuah pembangunan negara memerlukan pengorbanan dan jerih perih daripada golongan leluhur. Jasa pembangunan sesebuah negara bukan hanyalah bergantung pada seorang tokoh, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang bersatu hati untuk mengisi kemerdekaan yang dikurniai oleh Tuhan Pencipta Alam. Sebagai pelapis negara, saya perlulah menyelami sejarah pembangunan negara agar menghayati jasa yang telah ditaburkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan ini. Tanpa sumbangan mereka, kita tidak akan hidup selesa dan dinaungi di bawah payung sistem pentadbiran negara yang berdemokrasi. Walhal, sejarah merupakan peristiwa yang merakamkan segala kisah yang benar dan mencatatkan setiap akibat dan sebab sesuatu peristiwa yang berlaku. Menurut Tun Dr Mahathir,” sejarah menuntut kita tidak mengulangi kesalahan yang telah berlaku.” Jika rakyat Melaysia tidak pernah menghayati masa penjajahan asing yang zalim dan menangguk ikan di air keruh, kita akan senang terhanyut dalam kemewahan dan kealpaan untuk meneruskan kedaulatan negara. Peristiwa Lowyat yang berlaku baru-baru ini merupakan petanda kita telah mengulangi darurat 13 Mei 1969 yang hampir-hampir menggugat kepercayaan negara British bahawa rakyat Malaysia mampu mentadbir negara kita sendiri tanpa campur tangan mereka. Oleh itu, tidak keterlaluan dinyatakan bahawa sekiranya saya memahami sejarah dan pengorbanan tokoh kemerdekaan, saya akan teruja dan berbangga menjadi rakyat yang bermaruah. Mukhtasarnya, sejarah akan mengasuh setiap anak watan supaya meneguhkan jati diri bangsa dan menelusuri pahit maung yang pernah ditempuhi oleh golongan leluhur atau tokoh yang sanggup meredah hutan atau mengharungi belantara semata-mata demi mempertahankan kedaulatan negara.

        Laungan Merdeka oleh seramai 100,000 orang di Dataran Merdeka selepas rombongan London yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman bersama dengan 6 orang ahli jawatankuasa pada tahun 20 Feb 1956 telah meningkatkan kesedaran seluruh anak bangsa tanpa mengira kaum dan agama bahawa kita mampu merdeka dan hidup dengan kebebasan. UMNO di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman telah menegakkan slogan “merdeka” daripada “hidup Melayu”. Merdeka membawa makna yang lebih luas lagi, kemerdekaan bukan sahaja dari sudut pentadbiran negara atau kebebasan daripada belenggu asing, tetapi merdeka dari segi mentaliti dan kebebasan bernafas atau memilik kekayaan di bawah tanah tumpah diri yang telah dikurniai oleh Tuhan. Hari ini, saya wajar selalu berwaspada terhadap sebarang anasir peledak yang mungkin mengulangi peristiwa yang dijajah oleh negara asing. Maka, jati diri bangsa atau identiti nasional mestilah diperkasakan demi berdaya tahan maju untuk menentang anasir subversif atau hasutan yang hanya memporak-perandakan negara. Segala sumbangan yang ditaburkan oleh tokoh kemerdekaan mestilah saya jejaki demi memperingati setiap detik yang diharungi oleh mereka. Tanpa sumbangan mereka yang bersifat patriotik, saya mungkin terhanyut dalam arus perdana dan terbawa-bawa oleh pengaruh barat yang hanya mengagungkan Uncle SAM. Pendek kata, Gagasan 1M mendekatkan diri saya kepada tokoh kemerdekaan dan mengapresiasi apa-apa yang telah diwarisi demi hidup berbangga sebagai anak watan yang bermaruah diri. Sudah terang lagi bersuluh, jati diri bangsa yang teguh akan menyemarakkan semangat empunya dan kekitaan kepada negara dan setiap sumbangan yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan.

        Peribahasa menyatakan bahawa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Bahawasanya, jasa dan pengorbanan tokoh kemerdekaan tidak wajar hanya berkisar pada parti yang bersayap kanan sahaja seperti Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Loke, Tun Sambantha dan sebagainya. Namun, tokoh kemerdekaan daripada parti bersayap kiri seperti Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Helmi, Pak Sako, Ibrahim Yaakod, Lim Kean Chye dan sebagainya tidak wajar diketepikan juga. Saya sebagai anak bangsa mestilah menyelami kisah silam yang berlaku sebelum dan selepas penjajahan asing selama 446 tahun yang bersifat sebagai perombak yang mengghairahkan kemewahan khazanah alam di negara kita . Tamsilannya, peristiwa 10 tahun sebelum kemerdekaan, Putera-AMCJA telah bersinergi dengan PKMM, UMNO dan persatuan lain untuk membantah pembentukan Malayan Union. Jawatankuasa Hartal yang dibentuk atas kerjasama dan komitmen seluruh rakyat Tanah Melayu telah menggugat keyakinan penjajah British untuk mencengkam pucuk pimpinan negara selepas penyerahan tentera Jepun pada tahun 1945. Tegal itu, pengorbanan mereka wajarlah dijadikan sebagai ikon kebangsaan dan tersemat dalam sanubari setiap anak watan. Tegasnya, Hari Pahlwan dan Makam Pahlawan mestilah saya peringati dan ditelusuri selagi hayat terkandung dalam badan.Selain itu, Rakan Waja Diri yang ditubuhkan oleh ProgramRakan Muda  menggembleng seluruh belia Malaysia untuk memperingati jasa tokoh kenegaraan pada hari perayaan tertentu manakala program PLKN pula akan saya ceburi dengan sukarela kerana modul dalam program tersebut akan membangkitkan kesedaran muda-mudi tentang jasa yang telah disumbangkan oleh golongan tokoh mulia tersebut.

        Bekas presiden Indonesia pernah mengatakan bahawa berikan saya 10 belia yang waja, bolehlah saya gegarkan dunia. Slogan ini telah menyedarkan seluruh rakyat Tanah Melayu pada tahun 40-an bahawa kemerdekaan boleh dicapai dan bukan hanya fata morgana. Sesungguhnya, saya sebagai anak watan pewaris negara, mestilah saya menerapkan konsep kepimpinan melalui teladan supaya terus menerajui pucuk kepimpinan negara sebagai tanda kesyukuran kepada tokoh-tokoh yang berjasa.  Sebagai pemimpin pelajar, saya mestilah menyediakan platform seperti menubuhkan Kelab Rukun Negara untuk mengerahkan dan merangsang rakan seperjuangan supaya menyumbangkan idea dan kudrat demi mengisi kemerdekaan negara. Untuk mengenang jasa tokoh kemerdekaan, saya mestilah menggalakkan rakan sealiran untuk membuat lawatan sambil belajar seperti mengunjungi muzium negara, Arkib Negara, Makam Pahlawan dan sebagainya. Tidak dilupai juga pelbagai aktiviti seperti sayembara menulis esei tentang jasa tokoh juga perlu dipergiat sama ada di peringkat sekolah mahupun selepas alam persekolahan. Sememangnya, jasa mereka terus mekar dalam ingatan anak Melayu kerana biar putih tulang, jangan putih mata. Mukhtasarnya, kejayaan tokoh-tokoh kemerdekaan bukan hanya diraikan semasa hari perayaan tertentu tetapi perlu mendidik generasi muda tentang sumbangan mereka tanpa mengira sebarang balasan. Maka, sebagai pemimpin pelajar mahupun pemimpin di mana-mana organisasi, saya mestilah turun padang untuk menyertai perbarisan pada Hari Kemerdekaan atau mengesyorkan jasa mereka diabadikan melalui penamaan pada bangunan, jalan, monumen dan tugu yang tertentu. Sebagai contohnya, jalan Yap Ah Loy, Bangunan Sultan Samad Said dan Memorial Tunku Abdul Rahman. Nama yang disebut-sebut diharapkan menjadi iktibar dan bahan rujukan kepada generasi akan datang. 
        Akhirnya, saya sebagai pelajar yang terdedah dengan teknologi maklumat dan komunikasi, media massa seyogia dijadikan sebagai media perdana untuk menyebar luas sumbangan mereka. Walhal, media massa merupakan agen pentafsir dan pemantau yang dominan untuk mencatatkan setiap peristiwa yang pernah berlaku pada masa silam dan mengingatkan pembaca tentang setiap pergerakan yang perlu diawasi. Tamsilannya, Astro pernah menyiarkan tayangan Anak Gemilang Malaysia telah menjadi wadah penghubung untuk menjemput waris para tokoh kemerdekaan supaya mengenang kisah silam yang pernah berlaku. Saya sebagai anak watan, perlulah menghayati filem dan mendokumentasikan setiap riwayat mereka melalui penulisan atau lisan supaya menjadi tatapan generasi akan datang. Sesungguhnya, media massa sebagai alat penghubung utama untuk merapatkan generasi muda dengan tokoh yang berjasa, sesi temu bual atau program bicara akan meningkatkan kesedaran masyarakat kini tentang kepentingan mencontohi semangat patriotik para tokoh kemerdekaan. Menurut kata Tan Sri Lee Lam Thye,” semangat patriotik merupakan ikatan utama antara generasi lampau dengan generasi kini.” Sesungguhnya, saya sebagai anak bangsa perlu juga mempergiat aktiviti seperti pementasan drama dan penfileman tentang riwayat tokoh kemerdekaan. Contohnya, filem Leftenan Adnan dan pementasan drama Rosli Dolby telah meniupkan semangat patriotik justeru mengimbau kembali jasa para tokoh kemerdekaan yang sanggup bertarung nyawa demi mempertahankan negara daripada penjajahan asing.

        Akhirul karam, memetik kata mantan Presiden AS” jangan tanya apa boleh diberikan oleh negara, tetapi apa yang boleh anda sumbang kepada negara.” Semangat Tunku Abdul Rahman sebagai bapa kemerdekaan telah meninggalkan kata keramat yang mengagumkan anak watan, iaitu “Merdeka” . Laungan ini betul-betul termakbul tanpa tumpahan darah tetapi hanya rundingan meja yang bersifat muafakat. Bahawasanya, Datuk Oon Jaafar juga sering mengkritik masyarakat Melayu dan mendesak agar perubahan dilakukan. Selepas 58 tahun menghela nafas kemerdekaan, kita tidak patut melupakan jerih perih yang pernah diharungi, tetapi terus mara ke hadapan dan memahatkan kesinambungan jasa mereka agar Malaysia berdaya maju dan terus menghayati makna kemerdekaan dalam dimensi yang lebih luas lagi. Berbanggalah rakyat Malaysia kerana hidup bermaruh di bawah satu negara, satu bangsa dan satu bahasa.Ingatkah bahawa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Dari masa ke masa, kerjasama antara pemimpin, rakyat dan sistem diraja ibarat selirat akar umbri yang tidak dapat diasingkan, manakala tokoh kemerdekaan merupakan semangat dan lambang sejarah yang menerangi seluruh rakyat Malaysia, bahawasanya selagi obor masih dinyalakan, anak watan teguh bersifat keberanian dan ketabahan untuk memastikan kesinambungan semangat tokoh kemerdekaan biarpun masa bertahun-tahun lalu.