Sunday, July 12, 2015

Percubaan SPM 2015 - 9



Perlis 2013
Bahagian A [30 markah][Masa dicadangkan : 45 minit]
AMALAN NILAI MURNI
Menghormati Ibu bapa 
Keprihatinan terhadap warga tua 
Tanggungjawab membantu guru

Ketinggian peribadi jadi amalan.
Ketelusan hati jadi bekalan.
Kekuatan sifat baik hati.
Bertimbang rasa dan bersimpati.
          Gurindam Tonggak 12 di atas mentakrifkan bahawa amalan mahmudah merupakan terapi jiwa dan pengikat ukhwah antara komuniti. Sesungguhnya, amalan ini seyogianya ditelusuri turun-temurun lantaran keindahan budi dan kemolekan bahasa sinomin dengan lambang warisan tradisi nenek moyang kita dan perlu dilestarikan agar tidak luput dalam kenangan generasi akan datang, bak pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. 
          Memetik sepotong hadis dalam Riwayat al Bukhari dan Muslim, ”anak dilahirkan secara fitrah, ibu bapalah yang mencorakkannya menjadi Majusi, Yahudi atau Nasrani.” Bahawasanya, anak merupakan penyeri dan penyambung zuriat kedua-dua insan yang bergelar ibu bapa. Tanpa keserian rumah tangga yang ditunjangi oleh anak soleh atau solehah, keluarga ini bagai musafir yang dahagakan air. Budaya menghormati dan menyayangi ibu bapa merupakan tuntutan semua agama. Kata-kata pujangga, ” syurga di bawah telapak ibu”, ” tangan yang menggerakkan buaian mampu menggegarkan dunia.” ” sayang ibu dibawa ke syurga, kasih ayah sampai ke mati” memanifestasikan bahawa betapa mulianya kedua-dua insan yang mampu melahirkan dan menbesarkan anak tanpa mengenal pahit maung dan penat lelah. Tanpa kesinambungan kasih sayang dalam rumah tangga, pembangunan bangsa di buana ini akan sampai ke penghujung. Bagi ibu bapa, sebusuk-busuk daging dikincah, dimakan juga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Keredaan Allah ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya.” (Hadis riwayat al-Tabrani) Sebagai anak mithali, perlu bersemat di hati bahawa setiap manusia sentiasa mendambakan kehidupan bahagia apatah lagi ketika usia senja. Alangkah nikmatnya kehidupan hari tua di samping orang tersayang selepas puas membanting tulang membesarkan zuriat pada usia muda.


                   Kajian mendapati, peratus warga tua akan terus meningkat kepada 9.5 peratus menjelang 2020. Pada 2020, jangka hayat lelaki diunjurkan 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun. Berbuat baik dan berbakti kepada orang tua adalah amalan mulia. Jiwa seorang warga tua dilihat lebih sensitif daripada kanak-kanak kecil. Hati mereka mudah tersentuh dan tersinggung jika hasrat mereka tidak dipenuhi anak-anak. Keadaan ini fitrah manusia yang boleh dilihat seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak apabila usia lanjut.  Keprihatinan terhadap kebajikan mereka dari segi keperluan asas, kasih sayang, dan penghormatan amatlah dituntut dan berasaskan teori Classer dan Hirarki Keperluan Maslow. Dalam sepotong hadis Rasulullah yang bermaksud: “Amalan yang paling utama ialah bersembahyang pada waktunya. Kedua, berbakti kepada kedua-dua orang tua. Ketiga, berjuang pada jalan Allah.” Sebagai makhluk yang diberkati dan direda Tuhan, ingatlah bahawa setiap jalan telah ditakdirkan oleh Tuhan, dan setiap pembangunan telah dijejaki oleh warga tua yang banyak berjasa. Tanpa yang lama, di manakah golongan yang baharu?Kenangan terhadap budi mereka bukanlah sekadar pelafazan secara lahiriah, tetapi keikhlasan yang mendalam seperti yang tersirat dalam pantun di bawah;

Pulau Pandan jauh di tengah;
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah;
Budi baik dikenang juga.

          Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajak ’Guru, Oh Guru’ melafazkan pengiktirafan kepada guru yang sanggup membakar dian demi menerangi orang lain tanpa menagih sebarang balasan. Sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Tuhan, setiap manusia perlulah merendah diri terhadap ilmu dan guru, menurut perintah guru dan mentaati bimbingan guru selagi hayat dikandung badan.  Anak didik perlulah memandang guru dengan perasaan penuh takzim serta mempercayai kepakarannya dalam bidang perguruan. Imam Syafie sejak pertemuan dengan guru iaitu Imam Malik, hampir tidak pernah meninggalkan gurunya sehingga gurunya wafat. Tanpa kelahiran tanggungjawab untuk berkhidmat kepada insan yang pernah berbakti kepada kita, rahmat dan kesejahteraan dalam hidup tidak akan dilimpahi dalam kehidupan kita. Menuntut ilmu ialah amalan ibadat dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Rasulullah bersabda:“Barang siapa mencari ilmu untuk bertengkar akan masuk neraka.Pintu Syurga akan terbuka kepada sesiapa yang membaca” Mukhtasarnya, teraplah budaya berterima kasih kepada guru atas segala tunjuk ajar dan tegurannya sementelahan mengganggap keprihatinan guru itu sebagai rahmat dan kurniaan yang tak terhingga.
               

        Akhirul karam, hidup di dunia ini ibarat roda, hari ini di atas, kemungkinan esok di bawah. Maka, sifat tawaduk dan bertawakal akan mendekatkan diri kepada keberkatan Tuhan yang Maha Esa. Amalan mulia merupakan tuntutan agama yang semata-mata menjadi azimat mujarab untuk melindungi diri dan sekali gus memastikan pintu syurga terbuka di akhirat nanti.