Sunday, June 21, 2015

sebelum percubaan spm 2015 3




          Budaya hormat merupakan teras kekuatan masyarakat dan sendi ikatan kesatuan antara komuniti. Budaya ini sememangnya perlu dipertahankan dan diturunkan dari satu generasi ke satu generasi bak pepatah tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. (I) Sayang seribu kali sayang, budaya ini yang sepatutnya menjadi tanggar amanat telah makin ditelan arus globalisasi sehingga menimbulkan senario mengoyak-ngoyakkan panji-panji negara, mencemarkan nama kedaulatan sistem kerajaan dan memporak-perandakan situasi negara. (K) Memandangkan keseriusan kepompong sosial ini, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah menggarisi 6 agenda yang perlu dilengkapi oleh setiap generasi pelapis bangsa, yakni berminda kelas pertama, identiti nasional dan beretika.(U) Dipercayai bahawa kejutan budaya telah tercetus sejak beberapa dekad yang lalu ekoran perkembangan teknologi dan sains yang pantas melanda jagatraya. (P) Persoalannya, sejauh manakah saya sebagai anak muda telah mengorak langkah untuk mengembalikan budaya hormat dalam era atom ini?
       Sesungguhnya, keteguhan jati diri merupakan tonik mujarab untuk memastikan saya mengamalkan budaya hormat terhadap warisan budaya yang ditinggalkan oleh nenek moyang. (AJ) Jati diri merupakan perwatakan pada mata kasar untuk dikenali oleh masyarakat luar. Menurut Prof Dr Baharul Bahaman, jati diri merupakan identiti nasional yang melambangkan kebudayaan sesebuah negara. (M) Contohnya, jati diri bangsa akan membentuk perasaan  kebersamaan, kesatuan, dan kesefahaman dalam diri seseorang. Maka, saya mestilah  mengasimilasi dan mengadaptasi setiap perbezaan seperti berusaha memahami latar belakang sosiaekonomi setiap bangsa yang berbeza. (C) Secara langsung, kefahaman terhadap budaya bangsa yang berbeza akan meneguhkan jati diri saya supaya mengurangkan kecelaruan minda dan krisis identiti lantaran terlalu mengagung-agungkan budaya kebaratan yang berkiblatkan liberalisme, sekuralisme dan hedonisme. (K) Tegasnya, pemahaman terhadap warisan budaya akan menyemarakkan budaya hormat terhadap keturunan leluhur yang tidak ternilai harganya.
      
       Dari sudut sejarah, saya telah dididik untuk menyusuri salasilah atau asal usul sesebuah bangsa dan negara. Oleh itu, saya mestilah berusaha untuk menelaah pelajaran berkaitan dengan jasa bakti yang telah dicurahkan oleh tokoh negara.(A) Melalui ilmu yang ditimba, saya akan memahami setiap pengorbanan dan jasa mereka untuk membentuk negara berdaulat yang telah menaungi rumah tangga saya sejak berkurun-kurun lagi. (C) Menurut Tun Dr Mahathir, “ sejarah akan menuntut kita tidak mengulangi setiap kesalahan yang telah dilakukan.” Maka, saya meyakini bahawa selepas memahami sejarah, saya akan lebih mendekati tokoh yang berjasa sekali gus menyuntik penghormatan terhadap pahit maung yang telah diharungi oleh mereka. (K) Mukhtasarnya, ilmu yang diperoleh bukan sahaja membentuk sahsiah diri yang tahu mengenang budi malahan membentuk sikap menghormati setiap insan. Kepentingan ilmu untuk menzahirkan perasaan yang murni ini dapat diungkapkan dalam pantun di bawah,
Jika ilmu dikaji teliti,
Sungai cabaran tersedia titi,
Ilmu dituntut dengan tabah
Budaya hormat akan bertambah.
     
              Dari sudut etika sosial, budi pekerti merupakan pakaian peribadi yang mampu menonjolkan personaliti yang unggul. (A) Dalam hal budaya hormat, saya meyakini konsep orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa dapat mewujudkan persekitaran kondusif di mana-mana sahaja saya berada. (M) Amsalnya, saya mestilah memahami bahawa warga tua yang telah menginjak ke usia senja lazimnya senang berasa tersinggung dan berada dalam kesunyian. Tegal itu, saya mestilah menjaga gerak laku, tutur kata, cara hidup, perasaan dan pemikiran semasa bergaul dengan golongan ini. (C) Impaknya, warga tua yang berasa diri dihormati akan mentarbiah dan mengakultrasi saya supaya memahami prinsip yang elok itu budi, yang indah itu bahasa. Ijmalnya,  budi pekerti yang saya tunjukkan setiap masa mestilah dilahirkan daripada hati pemurah dan keluhuran peribadi supaya mewujudkan masyarakat penyayang, saling memaafkan dan bekerjasama seperti pantun di bawah;
hidup dengan kemulian dan kesederhanaan,
bertindak penuh dengan kebijaksanaan.
ketinggian peribadi jadi amalan,
ketelusan hati jadi bekalan.

       Dari aspek keagamaan, saya mestilah melengkapkan diri menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan. (AJ) Hal ini terbukti dalam surah yang berbunyi, “ seelok-elok manusia ialah manusia yang berbaik-baik kepada setiap insan dan menghormati jiran yang terdekat.” Tegal itu, saya akan mematuhi setiap tuntutan agama dan amalan ibadat supaya dilimpahi keredaan, restu, rahmat dan rezeki yang berlipat ganda. Sesungguhnya, setiap agama menekankan kepentingan ketelusan hati dan keikhlasan untuk melayani setiap insan dengan takzimnya. Saya akan selalu berdoa, bermunajat dan bermuhasabah  supaya mendapat taufik dan hidayah daripada Tuhan. Melalui amalan ini, saya telah dididik supaya memahami setiap insan mempunyai kekurangan dan kekuatan diri yang perlu dihormati dengan konsep yang tua dohormati, yang muda disayangi, yang lemah dibantui dan yang miskin disedekahi. Nabi Muhammad SAW bersabda, “ selepas anak adam meninggal dunia, terputus segala-galanya kecuali tiga benda, iaitu ilmu yang memanfaatkan, anak soleh atau solehah, dan amalan jariah. “ Tegasnya, saya akan membudayakan penghormatan ini terhadap ilmu, ibu bapa dan amalan ibadat sepanjang hayat selagi badan dikandung tanah.
     Akhirnya, tidak kurang dan tidak penting ialah penghormatan dan pengiktirafan terhadap sistem pemerintahan kenegaraan yang menaungi kita. Sejak menghela nafas kemerdekaan selepas 57 tahun, negara kita telah menuju ke mercu kegemilangan yang mengagumkan jagatraya. Namun, provokasi dan perselisihan faham antara kaum masih perlu dikawal agar rusuhan kaum yang pernah menjadi titik hitam dalam sejarah silam sejak pembangunan negara dielakkan daripada tercetus lagi. Rukun Negara yang digubal sejak 1970 masih diwara-warakan oleh warga sekolah dalam setiap perhimpunan rasmi di sekolah menunjukkan perkongsian etos dan budaya patriotisme yang memberangsangkan. Darurat 13 Mei masih meninggalkan trauma dalam kenangan generasi dahulukala, betapa sakit hati menyaksikan pengorbanan nyawa semasa kebakaran pewagam Odean semasa tercetusnya rusuhan pada 13 Mei 1969. Kuala Lumpur yang wajarnya dibangunkan untuk menjadi citra negara pernah ditumpah darah akibat rusuhan kaum dan hasutan syaitan. Bagi saya, hujan emas di negeri sendiri, hujan batu negara lain, lebih baik di negara sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, setingggi-tinggi bangau terbang, akhirnya hinggap di belakang kerbau jua menuntut saya sebagai anak watan pewaris bangsa mestilah mempertahankan budaya hormat terdapat perlembagaan persekutuan tanpa mempersoalkan isu-isu sensitif tentang perkauman, budaya dan bangsa. 
       Sebagai penghias penutup bicara, peribahasa Cina mengungkapkan menghormati orang lain, kita akan dihormati jua. Hubungan dan budaya hormat adalah saling bergantungan bagai lagu dan irama yang perlu direntakkan bersama demi membentuk melodi yang artistik. Pendek kata, budaya hormat menuntut kita membatasi pergaulan kita, tahu mengenal erti segan silu dan berpegang pada ajaran agama. Nabi Muhammad pernah bersabda, "hubungan seperti badan, rosak satu bahagian musnah seluruh badan." Hati nurani kita perlu disulami dengan nilai-nilai kemanusiaan untuk membezakan kita daripada makhluk lain sebagai khalifah di buana yang bertauh ini.