Sunday, July 26, 2015

percubaan SPM BM 2015-12




Latihan 5: Guru memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu. Ulaskan pernyataan tersebut(Ruj.TeksTkn 5, Unit 2 BhgC).
         
          Memetik serangkap sajak oleh Sasterawan Negara ke-3, Usman Awang, “ sekalipun raja, ahli parlimen, peguam, penulis, doktor, semuanya dididik oleh guru.” Sesungguhnya, sajak Guru oh Guru memanifestasikan bahawa guru merupakan insan yang menggalas obligasi mutlak untuk melahirkan anak didik yang berintelektual dan bersahsiah tinggi.(I) Dari sudut agama Islam, guru memainkan peranan yang tidak mempunyai galang ganti untuk menaburkan ilmunya kepada semua umat di buana ini. Iman Al-Syafie sejak berguru dengan Imam Malek, hampir sepanjang hayatnya Imam Syafie tidak pernah berpisah dengan guru itu sehingga guru itu wafat. (I) Namun, budaya takzim dan tawaduk terhadap golongan pendidik semakin sirna ditelan arus globalisasi, walhal perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat memerlukan guru peka terhadap perkembangan semasa.(K) Tegal itu, Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan telah dibangunkan untuk meningkatkan kualiti guru dan pemimpin sekolah serta memperkasakan profesion keguruan. Selari dengan hasrat tersebut, guru perlu memiliki kriteria yang telah digariskan dalam PPPB, iaitu pemikir holistik dan kreatif,pemikir strategik, peneraju perubahan, pembimbing dan mentor,penggerak kualiti PdP, serta pelaksana pengajaran berkesan dan fasilitator pembelajaran murid. (U) Persoalannya, sejauh manakah guru berperanan untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang, gemilang dan terbilang?

          Tema Hari Guru tahun 2015 ‘Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak’ sangat bertepatan dengan dunia pendidikan pada abad ke-21. Tegal itu, guru mesti mengadaptasikan diri dengan multidisiplin ilmu dan pengalaman agar dapat mengoptimumkan potensi murid. Menurut teori perkembangan kognitif, pembelajaran merupakan satu proses maklumat diterima dan disimpan dalam pemikiran seseorang.Di bawah teori ini, guru berperanan sebagai penyampai maklumat kepada pelajar. Seperti yang digarapkan进行 dalam PPPM 2013-2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi, iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut. Pemerkasaan ilmu amat penting untuk memastikan murid dapat bersaing dan menguasai ilmu setanding dengan kualiti pencapaian murid di persada dunia. Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) menjadi satu elemen pentaksiran dalam mengukur keberhasilan murid. Sejajar dengan itu, guru perlu mempunyai kredibiliti, integriti, dan telus agar dapat menghasilkan penilaian yang adil. Sesungguhnya, di tangan gurulah terletaknya penentu hala tuju masa hadapan murid. Jatuh bangun sesebuah negara bergantung pada kualiti anak bangsa yang dihasilkan oleh warga pendidik, jadi tuntutan pada abad ini memerlukan idea baharu untuk meningkatkan profesionalisme guru. Lantaran itu, guru seharusnya mengaplikasikan konsep pembelajaran sepanjang hayat, menghindari sikap egoistik lantas mendorong dirinya untuk terus menimba ilmu dan kemahiran terkini melalui pelbagai sumber termasuk daripada muridnya sendiri. Mukhtasarnya, sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat, dan mengasah budaya kepimpinan kerana pelajar aset negara yang bernilai pada masa hadapan. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum produk kita melangkah ke alam pekerjaan.

          Bagi membentuk dan menyempurnakan akhlak anak didiknya, guru perlu menjadi teladan yang jitu. Guru perlu memiliki jati diri dan personaliti unggul yang cemerlang. Sifat dan peribadi ini sesungguhnya menjadi inspirasi murid dalam pembentukan sikap dan akhlak terpuji. Seiring dengan ledakan teknologi maklumat yang mewujudkan fenomena dunia tanpa sempadan telah mendedahkan generasi hari ini dengan kepelbagaian sumber maklumat. Perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi pintar dan kemajuan maklumat terkini telah memberi kesan serta menjadi cabaran terhadap nilai,budaya, pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama. Dengan erti kata sebenar, generasi muda masa ini bukan sahaja berdepan dengan cabaran persaingan di peringkat global seperti kepesatan ekonomi, keselamatan dan kebudayaan malah cabaran paling utama ialah konflik akhlak. Di sinilah peranan guru dicabar dan diuji. Guru berperanan membimbing dan menyempurnakan akhlak anak didiknya. Akhlak mulia dalam diri murid  bermula dari rumah dan diteruskan oleh para guru seawal alam persekolahan, bak pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Penguasaan guru dalam bidang teknologi maklumat sangat penting bukan sahaja bertujuan menyahut cabaran pendidikan hari ini yang menuntut guru menggunakan pelbagai sumber malah untuk memantapkan nilai-nilai murni yang syumul dalam penyempurnaan akhlak mulia pelajar. Dalam hal ini, YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin
Yassin menyatakan bahawa modal insan  yang dibangunkan melalui sistem pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, tetapi juga perlu disertai dengan penghayatan nilai dan adab yang tinggi.

          Sebagai agen sosialisasi dan pembina jati diri bangsa, guru perlu sentiasa mengamalkan corak pengajaran yang pelbagai dan interaktif di dalam bilik darjah, menerapkan kemahiran menaakul, di samping sentiasa mengambil berat perkembangan setiap murid. Walau bagaimanapun, peranan guru tidaklah hanya terbatas di dalam bilik darjah semata-mata. Guru juga harus bertindak sebagai agen perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan murid. Menerusi kepimpinan dan kewibawaan, guru berupaya membina atmosfera sosial yang sihat bagi menggalakkan interaksi pelbagai hala antara murid berbilang kaum, latar belakang, dan budaya bagi mewujudkan satu identiti nasional Malaysia yang dapat dibanggakan. Sudah tiba masanya warga pendidik mengetepikan segala perbezaan yang menjadi punca diskriminasi dan prejudis. Guru perlu sentiasa menonjolkan sifat bertanggungjawab sebagai wahana penyatu bangsa yang sentiasa menyeimbangkan neraca keadilan untuk memastikan setiap anak murid menerima pendidikan berkualiti. Dalam proses perkembangan kognitif seseorang murid, guru berperanan sebagai pentafsir untuk meningkatkan tahap kefahaman murid terhadap hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan alam sekitar serta hubungan sesama manusia. Di bawah langit yang sama, konsep menganyam cita-cita  untuk melestarikan kesejahteraan manusia sejagat amatlah penting . Dari sinilah, guru berperanan sebagai  musyid dan pengaman sejagat yang penting.Sehubungan dengan itu, dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang utuh serta sifat penyayang dan saksama dalam kalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan kita.  Ijmalnya, guru perlu menghayati prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan berdasarkan doktrin dalam Rukun Negara, yakni kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja negara serta kedaulatan undang-undang.

          Di bawah Dasar Langit Terbuka dan projek Multimedia Super Corridor (MSC), integrasi TMK dalam kehidupan sejagat telah mengalami revolusi yang ketara dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks pembelajaran, penggunaan TMK dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi yang berpusatkan konsep pembelajaran kendiri. Dalam konteks pengajaran pula, peranti elektronik sebagai tutor dan alat demonstrasi. Walhasil, program Frog VLE dan projek jalur lebar telah membenarkan pelajar berinteraksi secara aktif dengan maklumat. Peranti tambahan seperti CD Rom interaktif, teknologi video dan digital telah menyediakan satu persekitaran media yang serba boleh untuk keperluan guru dan pelajar. BillGates dalam bukunya Business @ The Speed of Thought menyatakan komputer peribadi dapat mengubah kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada pendekatan demontrasi untuk merangsang sifat inkuiri yang ada dalam diri pelajar. Maksudnya, peranan guru sebagai fasilitator perlu lebih fleksibel mengintegrasi bahan multimedia interaktif, bahan visual grafik,teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap pembelajaran kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini membolehkan murid dan guru berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk justeru mewujudkan hubungan kerja berpasukan dalam kalangan murid di samping memantapkan kemahiran berkomunikasi. Namun, guru perlu memastikan disiplin murid semasa penggunaan e-mel dan ‘chat room’. Guru sebagai penilai dengan mengadakan kumpulan pebincangan di dalam kelas untuk menggalakkan percambahan pemikiran serta memantapkan kemahiran berfikir dan komunikasi murid.

            Akhirnya, tema hari guru pada tahun 2014, ‘Guru penjana inovasi pencetus kreativiti’ menegaskan transformasi pendidikan ke arah kecemerlangan pendidikan negara menongkah arus abad ke-21.  Dunia dan ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berfikir dengan lebih kritis, kreatif dan inovatif. Peranan guru sebenarnya tidak terbatas hanya pada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan pelajar serta penggunaan bahan sumber secara berkesan. Sistem pendidikan hari ini menyandarkan harapan agar guru menyempurnakan tanggungjawab dalam memastikan anak didik menguasai ilmu tulis, baca dan kira, tetapi lebih jauh daripada itu guru perlu memperkasakan ilmu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Ilmu ini merupakan transformasi minda yang menguji keupayaan guru menjana kemahiran berfikir aras tinggi bagi menggalakkan murid berfikir secara kritis, analitis, kreatif, reflektif dan inovatif. Aktiviti PdP dalam KBAT ini juga hendaklah dilaksanakan secara interaktif yang berfokus pada penyelesaian masalah untuk mendorong murid sentiasa berfikir. Masalah yang diberikan pula mestilah di luar rutin yang berupaya merangsang minat murid, seperti aktiviti main peranan, kajian lapangan, temu bual pengembaraan, penciptaan replika sesuatu bangunan, forum, perdebatan, sumbang saran, sesi muhasabah dan refleksi diri. Selanjutnya guru wajar mentransformasikan kerangka minda dirinya kepada kerangka minda yang lebih anjal, luwes, bersedia menerima perubahan dan kritikan serta bersedia untuk terus berkembang.

Tuntasnya, guru sebagai tunjang dalam sistem pendidikan negara merupakan faktor utama yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu program pendidikan. Ekoran daripada itu, keberhasilan program pendidikan negara yang menjurus kepada pengisian wawasan pendidikan juga terletak di tangan guru. Sejajar dengan itu, guru yang berdedikasi, bermotivasi berdaya gigih, mempunyai komitmen yang tinggi dan semangat yang padu untuk merealisaskan cita-cita pendidikan negara ini di samping melonjakkan transformasi pendidikan negara ke arah wawasan pendidikan menjelang tahun 2020. Sejajar dengan pendapat Peter F. Druker dalam Post Capitalist Society, menyatakan masa hadapan perkembangan ekonomi perindustrian dan perdagangan sesebuah negara ditentukan oleh para pekerjanya yang menggunakan kekuatan mental dan bukannya kemahiran tenaga semata-mata. Oleh itu, setiap tenaga pekerja yang dihasilkan perlulah berilmu dan mampu menyesuaikan diri dengan  perkembangan sains dan teknologi. Hal ini secara tidak langsung mengingatkan para guru bahawa keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang pancaroba hanyalah mampu diiktiraf sebagai arkitek manusia yang benar-benar berjasa dan dianggap bagai dian yang membakar diri menerangi dunia yang jahil.