Tuesday, September 24, 2013

Generasi Muda Perlu Diterap Cara Berhemat Urus Kewangan”,

                      Amalan berjimat cermat merupakan amalan yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia, apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat. Ramai daripada kita boros dalam berbelanja. Sikap berbelanja tanpa kawalan ini akhirnya akan menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat. Amalan menabung wajar diterapkan dalam kalangan kanak-kanak bagi memberi pendedahan sejak usia awal terhadap pengurusan kewangan.

                          Sebenarnya amalan berjimat cermat dalam sesebuah keluarga banyak bergantung pada sikap ibu bapa. Mereka haruslah menyediakan belanjawan kewangan keluarga. Melalui belanjawan kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Ketiadaan belanjawan kewangan akan menyebabkan ibu bapa membeli apa-apa sahaja yang difikirkan menarik tanpa menyedari tabungan semakin berkurangan. Malah, ibu bapa perlu merancang kewangan untuk masa depan anak. Ramai daripada kita suka makan di luar atas alasan masing-masing sibuk bekerja. Amalan tersebut tidak salah, tetapi perlulah berpada-pada. Oleh itu, ibu bapa dicadangkan masak sendiri di rumah untuk makanan keluarga. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga dan lebih terjamin kebersihannya.
                            Selain itu, ibu bapa harus menyediakan bekalan makanan untuk anak-anak ke sekolah. Makanan yang disediakan oleh ibu bapa lebih terjamin kebersihannya. Hal ini dapat mengelakkan anak-anak daripada terkena keracunan makanan. Justeru, duit yang dijimatkan oleh anak-anak itu boleh dijadikan simpanan pada masa hadapan dan digunakan ketika kecemasan. Dalam pada itu, ibu bapa juga boleh berkongsi kenderaan ke tempat kerja. Walaupun harga minyak telah turun, namun amalan berjimat cermat akan sentiasa menguntungkan kita. Secara langsung, amalan berkongsi kereta itu dapat mengurangkan pencemaran udara dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutamanya di kawasan bandar.
                                       Ketika membeli-belah pula, kita perlu membuat perbandingan harga terlebih dahulu. Amalan ini amat penting kerana kadangkala terdapat perbezaan harga di kedai- kedai walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Sebaik-baiknya kita mengelakkan daripada membeli barangan berjenama. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana "Generasi Muda Perlu Diterap Cara Berhemat Urus Kewangan”, oleh Jami’ah Shukri, Berita Harian, 23 Mac 2010