Sunday, July 19, 2015

peranan ibu bapa untuk memupuk sikap menghormati warga tua dalam kalangan anak-anak



Latihan 3: Warga emas merupakan golongan yang perlu dihormati oleh generasi muda masa ini. Huraikan peranan ibu bapa untuk memupuk sikap menghormati warga tua dalam kalangan anak-anak (Teks Tkn 4, Unit 2 Bhg 2).

“Warga Emas Teras Masyarakat”. Itulah slogan yang memberikan pengiktirafan atas keberadaan warga emas di tengah-tengah masyarakat. Walaupun sebahagian mereka boleh dianggap sebagai Quran buruk, namun kewujudan mereka banyak memberikan impak positif untuk melahirkan masyarakat yang penyayang, prihatin dan tahu membalas budi. Malahan berdasarkan sepotong pepatah Cina yang bermaksud, “Apabila di dalam rumah kamu tersimpan seorang tua, tahulah bahawa di dalam rumah itu sudah menyimpan suatu barang yang berharga”. Oleh hal yang demikian, keberadaan warga emas perlu dianggap sebagai suatu rahmat dan hendaklah diberikan penghormatan pada kedudukan tertinggi. Dalam hal ini, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mendidik generasi muda agar tahu menghormati warga emas.

Sesungguhnya, untuk memupuk sikap menghormati warga tua dalam kalangan anak, ibu bapalah yang memainkan peranan penting untuk menjadi uswah hasanah kepada anak mereka. Konsep kepimpinan melalui teladan menunjukkan sifat kesabaran, keadilan  dan selalu merefleksikan diri akan diwarisi oleh anak mereka. Sebagai ibu bapa mithali, memanglah perlu menyediakan platform untuk mengerahkan dan merangsang anak mereka supaya sering merapatkan hubungan ukhuwah dalam pertalian baik dalam keluarga induk mahupun ahli keluarga yang tinggal berjauhan. Peribahasa carik-carik bulu ayam bercantum menerangkan bahawa hubungan akrab dalam rumah tangga sukar dipisahkan, inilah diterangkan juga dalam peribahasa sebusuk-busuk daging dikincah dimakan jua, seharum-harum tulang dibuang jua. Maka, untuk setiap hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, sesibuk atau sejauh mana pun, setiap ahli keluarga mestilah pulang ke kampung untuk menziarahi kaum kerabat, nenek moyang atau sahabat handai. Hubungan bagai bau-bau bacang sesungguhnya tidak wajar wujud dalam hidup bermasyuarakat kerana hubungan antara generasi amatlah penting untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan bangsa. Amalan yang berkonsepkan berakidah, beribadat dan berakhlak memastikan warisan tradisi budaya negara kita terus mekar pada zaman pascamodenisasi ini.

Dari sudut keagamaan, memanglah dituntut oleh semua agama bahawa budaya menghormati dan menyayangi warga emas merupakan amalan ibadat yang tidak wajar dikesampingkan. Dalam konteks ini, ibu bapa mestilah memastikan diri dan melengkapkan anak mereka menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan. Bahawasanya, Nabi Muhammad telah bersabda,” rebutlah 5 perkara sebelum kehilangannya, iaitu masa sihat, masa muda, masa lapang, masa kaya, dan masa hidup.” Mafhumnya setiap umat di buana ini mestilah menghargai setiap detik yang berpeluang bersama dengan keluarga induk khasnya generasi tua yang sedang menginjak ke usia senja yang penuh dengan pelbagai ujian dan dugaan oleh Ilahi. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa waktu senja sungguhpun penuh dengan warna,namun masanya amatlah singkat dan hampir-hampir sirna dalam pandangan kita. Sebagai anak soleh atau solehah, amatlah perlu mentaati setiap taufik dan hidayah supaya dilimpahi rahmat dan terbukanya pintu syurga kepada seluruh ahli keluarga. Mukhtasarnya, angkara laknatullah seperti menderhaka, menengking dan menghina sesama ahli keluarga, khususnya kepada warga tua amatlah dilarang sama sekali dalam sudut agama kerana;
Biarlah sabar menjadi lambat,
Inilah orang yang beriman,
Tak patah digoncang iblis,
akhirnya tuan menang berjaya.

Dalam perspektif etiket sosial, setiap gerak laku, tutur kata, cara hidup, pemikiran, perasaan dan cara pergaulan dalam hidup berkeluarga mahupun bermasyarakat berkait rapat dengan keperibadian kita. Tegal itu,ibu bapa mestilah menerapkan budaya budi pekerti dalam rutin harian khasnya semasa berhadapan dengan orang-orang tua yang memerlukan penghargaan dan penghormatan daripada masyarakat. Menurut pepatah-pepatih, ada ubi ada talas, ada budi ada balas, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa, hutang budi terkandung tanah, budi baik dikenang jua memenifestasikan bahawa budi pekerti merupakan jambatan penghubung silaturahim antara generasi sekali gus menjadi sendi ikatan kesatuan antara generasi muda dengan generasi tua. Lumrahnya, kemurahan hati dan ketelusan hati akan melahirkan keperibadian yang bersifat tawaduk dan kesederhanaan semasa berurusan dengan golongan tua. Yang dominannya, bahasa jiwa bangsa, kemahiran berbahasa dan sensitiviti yang tinggi semasa melayan kerenah golongan tua dapat mengelakkan konflik dan jurang generasi yang memanglah dilarang sama sekali dalam sudut agama mahupun budaya tradisi ketimuran. Pendek kata, akal fikiran pakaian insani, budi pekerti pakaian peribadi diterangkan dalam gurindam di bawah
ketelusan hati jadi amalan,
ketinggian peribadi jadi bekalan.
sifat baik hati kekuatan hati,
bertimbang rasa, bersimpati.


          Selain itu, ibu bapa perlulah menceritakan sumbangan nenek moyang kepada anak-anak supaya menjadikan nenek moyang sebagai ikon dalam institusi kekeluargaan. Pada zaman dahulukala, potrait nenek moyang akan bergantung pada dinding atau tempat beribadat. Semasa hari perayaan, semua ahli keluarga akan bermusyawarah dan berkumpul untuk berkongsi suka duka selepas sepanjang tahun melayari bahtera hidup. Dalam sesi muzakarah ini, dipercayai bahawa pertalian istimewa antara generasi akan terus mekar dan terjalin. Contoh ini jelas ditunjukkan dalam keluarga besar atau yang berada, kehebatan nenek moyang telah berjaya meneroka perniagaan keluarga dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi sebagai lambang kewibawaan dalam sesebuah keluarga. Sebagai contoh, kehebatan Khoo Gongxi di Pulau Pinang sehingga mendapat pengiktirafan oleh UNESCO sebagai pusat tradisi sedunia telah menjadi lambang kemegahan atau ikon kepada cucu cicit beliau. Atas sumbangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh nenek moyang, atas setiap jerih perih yang ditempuhi, banyak keluarga dapat hidup bermewah dan hidup di negara yang bertuah ini. Maka, ibu bapa mestilah mengabadikan jasa warga tua dalam sesebuah keluarga dengan mencatatkan nama nenek moyang dengan jelas supaya menjadi sumber rujukan kepada generasi akan datang. Di samping itu, perkuburan nenek moyang atau majlis tahlil mendoakan kesejahteraan nenek moyang dan pembacaan surah Yasin kepada arwah nenek moyang juga dapat memastikan generasi muda sering menyematkan jasa mereka dalam sanubari selagi hayat terkandung dalam tanah.Mukhtasarnya, setiap kenduri-kendara ahli keluarga merupakan wadah penghubung antara generasi supaya tidak putus-putus untuk saling mengenali dan saling berutus perkhabaran bak pepatah tak kenal maka tak cinta.

            Akhirnya, lantaran perubahan sistem sosial dan perubahan hidup dalam berkeluarga, ibu bapa akan tinggal berjauhan dengan nenek moyang. Oleh itu, sudah menjadi satu adat dan kebudayaan untuk bertandang ke rumah nenek moyang setiap kali musim perayaan atau cuti persekolahan. Kempen yang Tua dihormati, Yang Muda disayangi, Kempen Makin hari makin mesra, Kempen Ternanti-nanti Kepulangan selalu terpapar melalui media arus perdana. Selitan iklan yang ditaja oleh syarikat multinasional menjelang hari perayaan memangah menyentuh perasaan. Walhal, sifat kasih sayang merupakan sifat Tuhan yang melimpah rahmat-Nya kepada setiap umat di buana ini. Jadi, sifat Tuhan ini sepatutnya menjadi anutan manusia supaya meluaskan limpahan rahmat-Nya kepada setiap makhluk jagatraya, inikan orang-orang tua yang bersebati dengan kita. Dengan lahirnya perasaan mesra, muhibah dan mawaddah sesama ahli keluarga, ternyatalah hubungan akrab akan terpahat sepanjang hayat bagai simpulan tali yang bertaut bersama. Sesungguhnya, daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu. Sejauh mana kita berada, pertalian dan darah daging merupakan sendi yang perlu dilestarikan.

            Sebagai penghias penutup bicara, warga emas ialah insan yang amat banyak meninggalkan jasa kepada generasi masa ini. Segala jerih payah mereka perlu dihargai dan diberi balasan yang setimpal dengan sumbangan mereka. Biarlah pengorbanan tersebut terus lestari dengan sikap tahu membalas budi daripada anak-anak dan cucu-cucu. Inilah hakikat hidup dalam rangkaian generasi dan salasilah keturunan yang tidak putus buat selama-lamanya.

percubaan SPM 2015 - 11



Latihan 4: “Ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi”. Tulis sebuah karangan berhubung dengan peribahasa tersebut.

Warga tua teras masyarakat
Hidup berjasa setia pada negara
Sudah lama kau hidup teruji
Di dalam negara bertuah
 berkorban jiwa untuk negara, masyarakat dan nusa
          Lirik lagu ‘warga tua teras masyarakat’di atas menunjukkan kesinambungan hubungan interpersonel antara generasi dalam hidup berkeluarga. Peribahasa menyatakan sebusuk-busuk daging dikincah makan jua, seharum-harum tulang, dibuang jua. Kasih sayang antara ibu bapa dengan anak merupakan pertalian istimewa antara dua insan. Menurut Coleman, tokoh psikologi Barat, keluarga merupakan hubungan yang diikat melalui perkahwinan, perdarahan atau anak angkat. Maklumlah bahawa daun dapat dilayangkan, getah balik ke perdu jua. Anak merupakan amanah daripada Ilahi yang dipertanggungjawabkan kepada dua insan yang bergelar sebagai ibu bapa. Amatlah ajaibnya kurniaan Tuhan, tanpa pengikat hubungan darah daging, memanglah susah membayangkan sebab pengorbanan seorang ibu yang tidak sanggup membenarkan seekor lalat terhinggap pada badan anaknya. Memanglah sukar dibayangkan jua kasih bapa terkandung ke tanah, sayang ibu bawa ke syurga.  Persoalannya, sejauh manakah pengaruh ibu bapa kepada anak mereka sehingga terlahirnya peribahasa yang berbunyi bapa borek anak rintik? 

          Walhasil,  manusia telahpun dicipta oleh Tuhan mengikut fizikal, tabiat dan kecenderungan tertentu yang diambil daripada gabungan baka, ataupun genetik ayah dan ibunya pada saat persenyawaan sehingga menghasilkan sel pertama anak yang bernama zigot. Memanglah tepatnya dikatakan bahawa anak sudah pasti mewarisi pembawaan serta rupa paras daripada ibu bapa. Ahli falsafah Yunani Aristotle telah mengetengahkan pendapat bahawa darah diperturunkan daripada ibu bapa kepada anak-anak dengan membawa bersamanya pelbagai ciri khusus. Pada hari ini, kemajuan sains genetik telah membuat analisis secara mendalam. Genetik diperbuat daripada lingkaran DNA yang dikompakkan pada unit kromosom dalam setiap sel tubuh manusia. Unit kromosom ini diperoleh pada masa persenyawaan dan berlakunya pewarisan ciri-ciri baka daripada generasi kepada generasi manusia. Kebanyakan daripada sifat baka yang berbentuk fizikal bergantung pada sifat biologi nenek moyang seperti paras rupa, bentuk badan malahan sesetengah penyakit. Kajian genetik juga menunjukkan anak mewarisi ciri perwatakan atau sifat kelakuan ibu bapa seperti ciri kepintaran dan personaliti.  Malahan didapati sesetengah sifat mental, emosional dan psikologi dikawal oleh genetik itu sendiri.
      
          Dari sudut lain, sains genetik juga menegaskan bahawa bayi yang baru lahir umpama kertas kosong dan personalitinya dilakari hanya melalui faktor persekitaran serta pengalaman yang didapatinya sepanjang hayatnya. Oleh itu, personaliti manusia tidak bersifat semula jadi, sebaliknya bersifat pembelajaran dan pengalaman secara evolusi bermula dari saat kelahirannya. Dalam makna lain, fitrah manusia dan faktor bimbingan dari persekitaran seperti ilmu, suasana dan pengalaman hidup saling bergantung antara satu sama lain dalam membentuk identiti manusia ini. Dalam hal ini bangsa Arab telah memberikan kesaksian bahawa baka Bani Hasyim mempunyai banyak kelebihan dalam sifat-sifat kemanusiaan yang melahirkan insan termulia Rasulullah. Mukhtasarnya, pentarbiahan ibu bapa selepas kelahiran bayi menentukan personaliti seorang kanak-kanak. Tegasnya, budaya dan iklim dalam keluarga bakal mewarnai setiap tindakan anak-anak. Dalam hal ini Tuhan telah mengambil kira persoalan inisiatif manusia sebagai mengimbangi  faktor baka. Faktor usaha dan inisiatif ini berperanan besar dalam mengembangkan baka sehingga terjanalah manusia yang berakhlak serta berperadaban mulia. Dalam hal ini, tanggungjawab terbesarnya bergantung pada ibu bapa sama ada berjaya melahirkan anak yang bersifat Yahudi, majusi atau Nasrani.

          Walakin begitu, sejarah di sesebuah institusi kekeluargaan akan diturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi. Senario yang berlaku di rumah tangga seperti penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan penceraian berhubung kait dengan kisah salam yang dialami oleh seorang anak. Sejarah akan diulangi selepas anak tersebut melangkah ke alam berumah tangga. Pensyarah yang juga pakar runding psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya berkata, kajian menunjukkan biasanya ibu bapa yang pernah didera berpotensi untuk menjadi pendera anak mereka. Akibatnya, sikap psikologi kanak-kanak yang berasal daripada keluarga yang masalah ini akan kelihatan ketakutan, menyendiri, pembelajaran yang semakin menurun dan kelakuan berubah. Oleh itu, inisiatif yang dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga seperti menganjurkan program keibubapaan dan kursus praperkhawinan amatlah tepat pada masanya. Kemahiran komunikasi amat penting untuk memastikan anak dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana rumah tangga yang bebas daripada anasir peledek dari luar. Konsep kepimpinan melalui teladan amatlah diperlukan untuk memupuk sikap keterbukaan anak supaya menerima segala bimbingan daripada Ibu bapa. Ijmalnya, perkembangan psikologi seseorang anak secara fitrahnya akan terbawa-bawa kepada alam dewasa dalam hidup berkeluarga.

          Akhirnya, bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu bapa akan disuburkan oleh pewaris mereka. Baik bidang seni kraf tangan, bidang seni lukis, seni tari, memasak mahupun ketukangan, kemahiran ini lumrahnya akan diwarisi secara turunan generasi bahkan meneruskan legasi keluarga. Oleh itu, kecemerlangan dan kegemilangan seseorang tokoh banyak dipengaruhi oleh kekuatan sokongan moral daripada ahli keluarga. Biasaanya pewaris akan mewarisi bakat dan kerjaya warisnya. Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri’ Mohd. NajibTun Razak mewarisi bakat kepimpinan politik daripada ayahandanya, Tun Abdul Razak mantan Perdana Menteri Kedua. Ketika usianya, 22 tahun beliau telah menjadi Ahli Parlimen paling muda dalam sejarah politik di Malaysia. Nama Tan Sri Datuk Zeti Akhtar Aziz sememangnya amat disegani dalam dunia kewangan dan perbankan, bukan sahaja di Malaysia, malahan di seantero dunia. Tidak dapat dinatikan beliau mewarisi bakat intelektual dan kepimpinan daripada bapanya, Profesor Diraja Ungku Aziz, seorang cendekiawan ulung negara yang banyak membawa perubahan dalam masyarakat baik daripada aspek ekonomi mahupun sosial. Kemunculan Sidek Bersaudara sekitar awal 1990-an telah menggegarkan sukan badminton antarabangsa dengan pelbagai koleksi kejayaan yang dipungut oleh pasukan negara, khususnya oleh pasangan adik-beradik Misbun, Rashid, Jalani dan Razif. Mereka menerajui sinar kegemilangan badminton negara daripada bapa mereka Datuk Sidek Abdullah Kamar yang berjaya membentuk keluarga badminton ulung di negara ini. Kumpulan NAZA merupakan konglomerat pembuatan dan pengedaran kereta yang amat disegani. Pengasasnya, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin meninggal dunia akibat penyakit barah paru-paru. Empayar perniagaan dan kepimpinan perniagaan NAZA diwarisi anaknya, SM Nasarudin SM Nasimuddin yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutit Kumpulan NAZA. Nama Yusof Haslam sememangnya tidak lekang daripada bibir peminat filem tanah air. Jutawan filem ini nampaknya meneruskan legasinya dalam dunia perfileman tanah air apabila anak beliau Shamsul Yusof turut mewarisi bakat kepengarahannya. Shamsul telah mengarahkan filemnya yang pertama, Evolusi KL Drift.

Tuntasnya, atas faktor hubungan darah dan baka, anak-anak biasanya akan mewarisi tampang容貌fizikal serta bakat daripada ibu bapa mereka. Daripada pewarisan zuriat yang turun-temurun itulah lahirnya peribahasa yang menyatakan, ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi. Baka dan keturunan adalah kejadian Ilahi yang paling unik. Tiada sesiapa pun yang mampu mengubah suai ciptaan Tuhan yang sungguh agung itu. Oleh hal yang demikian, kita sewajarnya menjaga zuriat dan keturunan daripada tercemar daripada pelbagai anasir luar yang boleh merosakkan darah daging sendiri. Wujudkan hubungan yang rapat antara ibu bapa dengan anak-anak agar tradisi keluarga dan baka keturunan yang baik terus produktif, ibarat benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.