Wednesday, July 15, 2015

contoh karangan syarahan keluarga bahagia penjana masyarakat harmoni( peperiksaan jitsin 2015 T5)




Burung kericip hinggap di lidi,
Bunga teritip terapung di lautan;
Panjatkan kesyukuran kepada Ilahi,
Lafazkan bismillah saya ucapkan.
          Selamat sejahtera dan salam 1Malaysia saya rakamkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, Yang dihormati Tuan Pengetua SMK JD, guru-guru dikasihi dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Terlebih dahulu, saya berbesar hati kerana diberikan peluang untuk menyampaikan syarahan pada pagi nirmala lagi bermakna ini. Mauduk syarahan saya “ Keluarga Bahagia Penjana Masyarakat Harmoni’ amatlah bertepatan pada zaman yang sedang mengalami perubahan pantas dari segi sistem sosial dan struktur institusi kekeluargaan.

Para hadirin yang dikasihi,
          Sebelum bongkarkan sauh, sebelum panjang lebar hujah dirungkaikan, saya menerangkan takrif tajuk yang akan dikongsi bersama. Keluarga berasal daripada perkataan bahasa Arab ‘ Usrah’ yang bermaksud ikatan ibarat simpulan tali yang menjalinkan pertalian dan tautan bersama. Menurut tokoh psikologi barat, Coleman, keluarga berkaitan dengan hubungan yang diikat menerusi perkahwinan, perdarahan atau anak angkat. Dalam takrif Confucius, keluarga pula asas kepada pembentukan masyarakat yang progresif dan dinamik, justeru penggerak untuk memajukan pertumbuhan sistem bernegara yang kukuh. Pendek kata, keluarga penentu jatuh bangun sesebuah tradisi kebudayaan, bangsa, kenegaraan dan ketamadunan. Keluarga bahagia pula didukungi oleh ibu bapa yang penyayang dan diikat dengan status perkahwinan yang sah, diserikan pula dengan anak yang diamanahkan oleh Tuhan, justeru dilengkapi dengan keperluan asas seperti tempat perlindungan, pendidikan, bekalan asas yang diperlukan oleh manusia. Penjana masyarakat harmoni ditakrifkan sebagai pemangkin untuk mewujudkan komuniti yang sejahtera, selamat dan penyayang.

Budi pekerti – getuka carami gaul-hati-budayaxxx-mpk-smk
          Memang tidak dapat disangkal bahawa, pembentukan individu yang pemurah hati dan keluhuran peribadi berasal daripada keluarga yang kukuh. Menurut pandangan tokoh negarawan, Mantan Perdana Menteri Tun Badawi Abdullah menegaskan bahawa keluarga bahagia akan melahirkan individu yang berkualiti tinggi. Hal ini dapat terbukti dengan peribahasa Melayu, benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau, dilontarkan ke udara menjadi kejora, dilemparkan ke bumi menjadi sasa. Budi pekerti pakaian peribadi, akal fikiran pakaian insani. Imam Al-Ghazali pernah berkata,” “Hendak mengenal diri  lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Kata pujangga ini membawa maksud bahawa budi pekerti mencerminkan keperibadian sesebuah keluarga sama ada dihormati atau dihina bagai cacing di perlimbahan. Ibu bapa yang mementingkan budi pekerti akan mempamerkan budaya yang saling menghormati dan budaya saling meminta kemaafan, khasnya pada musim perayaan atau hari keluarga yang berpeluang untuk merapatkan ahli keluarga. Impaknya, anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan kehalusan gerak laku, tutur kata, cara hidup, perasaan, pemikiran dan cara pergaulan akan berusaha mewujudkan persekitaran kondusif semasa menjejakkan kaki ke masyarakat atau hidup bermasyarakat. Ijmalnya, keluarga yang menerapkan nilai mahmudah sebagai doktrin hidup berkeluarga akan berusaha mewujudkan masyarakat yang penyayang, muafakat dan bekerjasama seperti gurindam di bawah;
Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.
Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa, bersimpati.

Saudara dan saudari,( Pi da sai mai kau lin gaul)  simu hi lak
          Memetik sepotong hadis yang bermaksud,” rebutlah lima perkara sebelum kehilangan, iaitu sihat sebelum mati, masa muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk, masa hidup sebelum mati.” Mafhumnya sesebuah keluarga mestilah menekankan kepentingan masa agar tidak ketinggalan atau kejumudan pada usia senja. Maka, keluarga bahagia mestilah berasakan ketinggian ilmu dan kematangan mentaliti. Dalam sudut agama  Islam, ilmu merupakan inti sari yang utama dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasullulah SAW. Ilmu perlulah dimanfaatkan untuk menerangi alam yang gelap dan meninggalkan segala kejahilan. Ilmu dalam bahasa Arab ialah calima, iaitu memahami dan menerangi. Keluarga bahagia mampu melahirkan anak yang mampu berdiri ke barisan hadapan dan menggalas obligasi untuk mengisi kemerdekaan negara baik dari segi kemakmuran ekonomi mahupun kemajuan dari segi sosial dan budaya. Hanyalah dengan ilmu, daya saing global dan kompetitif negara mampu berada di puncak kegemilangan. Ibu bapa mestilah menekankan kemahiran yang holistik dalam pentarbiahan anak mereka, ilmu dan kemahiran merupakan pelengkap untuk memartabatkan maruah negara. Kualiti hidup yang tinggi merujuk kepada tiga elemen yang penting yakni harga kendiri yang tinggi,  hubungan interpersonal  yang baik dan keupayaan menghasilkan kerja yang berkualiti. Ijmalnya, ibu bapa mithali mestilah memahami bahawa ilmu dapat mengubah nasib sesebuah keluarga dan masyarakat, sekali gus mengheretkan diri daripada kejumudan dan meluaskan horizon pemikiran seperti ditunjukkan dalam sajak pendeta Za’ab;
Ilmu alat yang berguna, idaman orang yang bijaksana,  hamparan luas terbentang saujana, sempadan ajal tepian fana.

          Dalam sudut lain, kebahagiaan sesebuah keluarga mestilah berkonsepkan keluarga yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan. Nabi Muhammad bersabda,” selepas anak Adam meninggalkan dunia,terputuslah segala-galanya, hanya tinggal 3 perkara, iaitu anak soleh yang mendoakan, ilmu yang memanfaatkan dan amal jariah.” Bahawasanya, keluarga bahagia mestilah mencontohi nilai yang diredai Tuhan agar dikurnia restu, rahmat dan rezeki yang melimpah ruah untuk mengendalikan bahtera rumah tangga. Pada zaman yang penuh dengan dugaan dan pancaroba, fenomena kekeluargaan yang baharu seperti keluarga dwipendapatan, keganasan rumah tangga, penderaan dan perceraian telah tercetus tanpa penghujungnya. Memanglah tidak salah dikatakan zaman kini seolah-olah terhumban ke jurang zulmat dan semakin kemuflisan dalam adab yang bakal dilaknati oleh Tuhan. Tanpa taufik dan hidayah daripada Tuhan, hidup akan tersasar dan tercampak ke pulau hana. Oleh hal yang demikian, bukan sahaja kes keganasan rumah tangga semakin meningkat malahan produk yang dikeluarkan dalam keluarga ini akan terbawa-bawa ke masyarakat dan mencetuskan masalah kepada orang lain dan negara. Memetik kata mantan Ketua Polis Negara, “ keluarga yang porak peranda akan menyebabkan kepincangan masyarakat dan peningkatan masalah sosial.” Pendek kata, seperti yang dikatakan oleh Prof Dr Naquid Al-Attas,” kenipisan keimanan akan menyebabkan kecelaruan minda dan krisis identiti dalam kalangan generasi muda.” Segala pidana yang tercetus bukan masalah peribadi sahaja, tetapi berkait rapat dengan persekitaran yang semakin perlu diingatkan bahawa sakitlah satu bahagian, satulah keseluruhannya.

          Masyarakat penyayang berkonsepkan cabaran ke-7 dalam wawasan 2020 waima sudah dilaung-laungkan sekian lama, namun sejauh manakah rakyat Malaysia memahami bahawa masyarakat adalah hidup secara simbiosis dan saling  bergantungan. Seperti yang dilagukan oleh Allahyarham P. Ramlee dalam lagu dengan irama, sesungguhnya hubungan dengan kasih sayang perlulah direntakkan bersama demi menghasilkan tempo yang syahdu. Dalam konteks ini, keluarga bahagia yang berintisarikan nilai kasih sayang akan melahirkan anak soleh dan anak solehah yang mendekati kesempurna dan mendukungi doktrin keagamaan. Kini, masalah rumah tangga seperti keganasan dan penderaan telah berlaku di luar akidah sehingga menyayat hati masayarakat. Menurut laporan JAKIM pada tahun 2013, setiap 15 minit, sepasang suami isteri akan disahkan bercerai. Pada tahun 2013, sebanyak 3831 kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan oleh JKM, manakala secara purata 400 kes pelarian dari rumah setiap hari telah dilaporkan oleh ibu pejabat Polis Bukit Aman. Terbuktilah bahawa kepincangan keluarga ini telah menggugat keharmonian keluarga sehingga mengancam keselamatan seantero lapisan masyarakat. Dalam aspek keagamaan, masyarakat berkaitan dengan tiga hubungan iaitu hubungan sesama manusia, hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia dengan alam. Jelaslah bahawa manusia secara fitrahnya tidak mampu hidup bersendirian kerana manusia memerlukan nilai kasih sayang yang sejati. Menurut Teori Hieraki Maslow dan Classer, keperluan kasih sayang dalam sanubari seseorang individu akan memastikan kelangsungan hidup dan bangsa. Tanpa nilai kasih sayang, salah faham, dendam kesumat yang berpaksikan hukum raja di mata, sultan di hati akan memesongkan masyarakat dariapda landasan keimanan sehingga tercetusnya pidana yang di luar jangkaan. Mukhtasarnya, kasih sayang dalam keluarga akan melahirkan masyarakat yang saling memerlukan, saling membantu dan saling merasai seperti yang tersirat dalam peribahasa, memiat daging, sama rasa sama sakit, cubit paha kanan paha kiri sakit jua, berkuah sama dihirup, bersambal sama dicolek.

Hadirin sekalian,
          Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya ialah pembudayaan gaya hidup sihat dan tahap disiplin yang tinggi dalam hidup berkeluarga mampu melahirkan generasi yang mempunyai keteguhan jati diri dan percaturan minda yang positif.  Menurut Dr Baharul Bahaman, pensyarah UPSI, jati diri bangsa merupakan identiti nasional yang melambangkan keunikan sesebuah negara dan bangsa. Walhal, dari ilmu antropologi, jati diri sinomin dengan perwatakan yang dikenali oleh mata masyarakat. Tegal itu, pembentukan jati diri yang unggul mestilah diwarisi secara fitrah semula jadi tetapi diperkasakan melalui pendidikan oleh ibu bapa. Sebagai pemimpin rumah tangga, anak-anak memerlukan tempat perlindungan dan tempat luahan perasaan supaya dibesarkan dalam aura yang penuh dengan persekitaran yang kondusif. Impaknya, anak yang dibesarkan dalam suasana yang selamat mampu membawa diri ke hala tuju yang sanggup berbakti dan berkhidmat kepada nusa dan bangsa. Kecergasan fizikal dan kecerdasan minda akan memastikan perkembangan seimbang seseorang dari segi psikometrik, afektif dan kognitif agar senang mengakulturasi, mengadaptasi dan mengasimilasi setiap perbezaan dan ketidaksefahaman semasa melayari bahtera di samudera yang penuh dengan konflik. Yang dominannya, anak berkenaan mampu menangani tekanan hidup dengan tabah dan selalu membuat refleksi diri, kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidka ke nasi, ibu bapa mithali mampu menerapkan konsep kepimpinan melalui teladan kepada anak-anak mereka yang bakal menerajui pucuk kepimpinan negara sama ada di sekolah, tempat kerja mahupun di mana-mana organisasi.

          Nampuknya sudah sampailah sauh dibongkar, masa sudah cemburui. Sebelum tirai dirungkai, sebelum bicara dihentikan, saya menegaskan bahawa anak merupakan amanah daripada Tuhan, membahagiakan anak atau mentaati ibu bapa merupakan amalan ibarat dan tuntutan segala agama. Hidup kayu biar berpokok, biar manusi biar berjasa. Dalam hadis yang bermakna,” Dalam manusia ada seketul daging, jika baik seluruh badan akan baik, daging itu ialah hati.” Bahawasanya, hidup di dunia fana ini memanglah bersifat sementara, hanyalah hari akhirat akan menanti-nanti. Pintu syurga akan terbuka sekiranya anak soleh dan solehah sanggup mentaati segala perintah ibu bapa dan Tuhan, inilah mafhumnya,” keredaan Tuhan iaah keredaan ibu bapa, kemurkaan Tuhan kerana kemurkaan ibu bapa.” Jauhi perbuatan laknatullah, berjasa kepada manusia, mayarakat dan negara bukan kerana untuk mendapat laba semata-mata, tetapi berjasa dan hidup berkhalayak secara harmoni merupakan tanggar amanat kepada pewaris bangsa.
Sekali lagi, terlajar perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya. Sampailah di sini dan semoga bersua lagi.

Sekian sahaja, terima kasih.