Sunday, July 25, 2010

karangan kenegaraan-1

Pelbagai langkah perlu dijalankan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Pada pandangan anda apakah cara-cara yang boleh dijalankan oleh pihak sekolah untuk memupuk semangat ini.Jelaskan.

Presiden John F Kennedy pernah berseru kepada rakyat Amerika dengan berkata ‘Jangan ditanya apakah pemberian negara kepada kamu sebaliknya tanyalah apakah yang dapat kamu sumbangkan untuk negara.’ Kata-kata ini merupakan satu sentuhan rohani untuk membentuk jiwa patriotik dalam kalangan rakyat agar lebih mencintai dan sentiasa berusaha memberikan sumbangan yang terbaik untuk kemajuan dan pembangunan negara. Dalam merealisasikan matlamat ini, para pelajar merupakan angkatan sasaran yang dominan agar elemen positif ini disuntik dalam jati diri mereka. Oleh itu, semua pihak khususnya sekolah hendaklah melaksanakan tugas-tugas profesional mereka untuk menterjemahkan cita-cita murni ini menjadi satu kenyataan.
Usaha utama untuk melaksanakan wadah ini adalah melalui penerapan nilai murni iaitu mencintai negara yang disemai melalui pendidikan.Melalui beberapa subjek seperti Pendidikan Sejarah, Bahasa Melayu, Sivik dan Kenegaraan, Pendidikan Islam dan Moral, sukatan pelajaran ini sewajarnya diterapkan dengan unsur-unsur menghayati negara tercinta. Subjek sejarah adalah antara yang relevan untuk mendidik pelajar mengenali asal-usul pembentukan dan jatuh bangun sesebuah negara itu, justeru pejuang-pejuang terdahulu akan menjadi sumber inspirasi untuk mengajak generasi pelajar supaya lebih sayang dan cinta akan tanah tumpah darah mereka. Selain itu, sejarah perjuangan tokoh-tokoh untuk menjadikan bangsa yang berdaulat wajar menyuntik kesedaran kepada generasi pelajar supaya mereka insaf bahawa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung dan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri . Generasi muda akan berasa bertuah dilahirkan di negeri sendiri. Peribahasa ada menyatakan tak jauh seluang melaut akhirnya balik ke muara menggambarkan betapa jauh dan lama seseorang itu merantau akan balik ke pangkal ibu pertiwi.Oleh itu, perasaan patriotik seyogianya tidak laput dek hujan, tidak lekang dek hujan untuk menjana individu yang lebih luhur peribadinya dan bersahsiah tinggi.
Sementara itu, nilai agama pula akan membentuk jiwa yang taat dan patuh terhadap Rabbani(tuhan) dan sentiasa beristiqamah agar tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai-nilai hidup universal dan nilai-nilai ketuhanan. Sekolah juga bertanggungjawab untuk membentuk insan pelajar yang berilmu dan berkemahiran.Kedua-dua mekanisme ini amat bermakna untuk membentuk warganegara yang bersedia membangunkan tanah air sendiri. Sesungguhnya kita patut bersyukur dengan keiltizaman yang tinggi terhadap ilmu dan kepakaran teknologi tinggi kini Malaysia juga mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang telah lama mendominasi bidang industri. Walaupun masih berusia setahun jagung, namun industri otomobil nasional, iaitu Proton dan Perodua telah mula mendapat pengiktirafan dunia.
Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang berteraskan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu untuk membentuk pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani hendaklah dijadikan teras paksi. Falfasah ini sekiranya dihayati dan diimplementasikan dengan penuh iltizam sudah pasti akan dapat membentuk insan yang cukup ideal terhadap dirinya sendiri
sementelahan kepada masyarakat, bangsa dan negara. Oleh itu, guru ialah individu yang wajar berada di garisan paling hadapan untuk melaksanakan tugas berat ini. Oleh itu, guru wajar mempersiapkan diri mereka agar menjadi insan yang tanpa cacat cela untuk diteladani oleh para pelajar. Guru wajar mengelak daripada terdedah kepada elemen yang negatif kerana semua pembawaan personaliti mereka dirujuk oleh pelajar-pelajar, ibarat guru kencing berdiri, pelajar kencing berlari. Oleh itu, setiap guru hendaklah menjadikan kandungan FPN sebagai doktrin rujukan mereka yang utama dalam hal mendidik.
Angkatan pelajar ialah generasi penentu dalam memastikan hala tuju negara berada pada landasan yang betul. Justeru, sekolah dan guru menjadi kanvas dan arkitek untuk menjayakan falsafah negara. Sesungguhnya Saidina Ali pernah berkata, ‘Tiada perkara yang paling bernilai melainkan ilmu kerana ilmu menjaga kamu dan menjaga harta.’ Oleh itu, para pelajar harus diasuh sejak dari bangku
persekolahan untuk menjadi generasi yang berjiwa patriotik dan berguna kepada Negara.

karangan

1. Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bincangkan.
Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak. Jika dibandingkan antara ibu bapa pada zaman silam dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.
Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.
Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Contohnya, anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.
Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilnya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.
Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian ibu bapa wajar menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020
2. Aktiviti kokurikulum memberikan seribu kebaikan kepada pelajar tetapi pelajar memberikan seribu alasan untuk menyertainya. Huraikan perkara di atas.
Kokurikulum merupakan satu aktiviti luar kelas yang melibatkan aktiviti persatuan, pakaian seragam dan sukan. Kegiatan ini telah diberi penekanan oleh kerajaan untuk memastikan semua pelajar memberi perhatian yang serius terhadap hal ini.Namun, pembabitan pelajar dalam kegiatan luar kelas ini tidak begitu memberangsangkan terutama daripada aspek keikhlasan hati mereka untuk menjalankan aktiviti tersebut.Jadi,memang ada banyak penyebab yang mendorong pelajar tidak berminat untuk menyertai aktiviti kokurikulum ini.
Aspek masa yang terlalu banyak diberikan untuk menjalani latihan yang melibatkan kokurikulum ini sering dipersoalkan oleh pelajar. Ramai yang menganggap masa yang terlalu panjang itu membazir dan elok dipenuhi dengan pembacaan buku untuk persiapan peperiksaan. Pelajar juga membenci aktiviti luar kelas ini kerana masa petang mereka terpaksa dihabiskan di sekolah padahal mereka sepatutnya sudah boleh kembali ke rumah untuk bersantai. Oleh itu, keengganan pelajar terbabit dalam aktiviti ini banyak bergantung pada faktor masa.
Malah, pertimbangan untuk menyertai kokurikulum ini turut ditentukan oleh sikap pelajar yang menganggap aktiviti ini tidak memberikan sebarang impak positif kepada diri mereka. Pandangan mereka ini dikukuhkan dengan kegagalan mereka memperoleh markah dalam peperiksaan yang diadakan oleh pihak sekolah. Tindakan ibu bapa yang menegur kegagalan mereka ini menyebabkan mereka terus melupakan atau menganggap aktiviti ini tidak berguna buat mereka. Justeru,pelajar tidak suka menyertai kokurikulum kerana mereka beranggapan aktiviti ini tidak memberi sebarang manfaat untuk pembangunan masa depan mereka.
Selain itu, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum ini semakin rendah kerana aktiviti itu agak terhad dan biasanya disertai oleh pelajar-pelajar yang sememangnya berminat dalam aktiviti tersebut. Keadaan ini menyebabkan tujuan atau matlamat aktiviti ini tidak tercapai lantaran segolongan sahaja yang menyertainya. Jadi, keadaan ini menyebabkan ramai pelajar tidak berminat untuk menyertainya. Keadaan kehidupan semasa yang serba moden terutama dalam alaf globalisasi ini turut menjejaskan minat pelajar. Mereka lebih bermiant untuk lepak bersama-sama rakan di pusat beli belah daripada berkawad atau berlari di padang.Kecanggihan kehidupan yang lebih menarik telah menjadikan pelajar menganggap aktiviti sebegini tidak bersesuaian dengan masa remaja mereka. Oleh itu, pelajar menganggap aktiviti ini membosankan berbeza aktiviti lepak yang lebih dianggap menarik.
Kesimpulannnya, aktiviti kokurikulum harus diberi perubahan imej yang drastik. Kerajaan harus menjadikan aktiviti ini lebih mesra pelajar dengan cuba memahami keperluan pelajar terhadap kokurikulum itu. Pelajar perlu haruslah lebih terbuka dalam tindakan mereka menyertai aktiviti yang positif ini. Mungkin pelajar harus melihat kebaikan aktiviti ini terlebih dahulu daripada terus membuat rumusan untuk menganggapnya sebagai satu aktiviti yang membebankan.

Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.Jelaskan langkah- langkah untuk menyelamatkannya
Sejak belakangan ini,pembangunan tanpa batasan kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecap hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab ini.Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi,alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.
Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihanalam sekitar termasuklah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran.Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar.Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius.Akibatnya,penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan.
Selain itu,kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini penting sebagai langkah menjaga alam sekitar kita.Jika kita lihat pada hari ini,berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Dalam kebanyakan kes,pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Dalam pada itu,program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untukdigunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan.Sebagai contoh,bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”Melalui cara ini,sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapa tmemelihara kebersihan alam sekitar.
Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.Melalui kempen kesedaran ini,masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar.Dengan ini,sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat mencapai matlamatnya apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar.


Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.
Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk,memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi sehingga mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kapada masalah kes buli ini.
Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan.
Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku.Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar disekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar
Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penawarnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli.
Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen antibuli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhkan diri daripada gejala buli.Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.
Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya. Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah atau Rakan Cop di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekali gus menyebarkan info yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.
Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku,maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kes itu kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah. Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.
P
Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya.Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.
Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka,perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.
Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan.Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat Negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih,kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.

sehilir semudik satu tujuan, sefahaman, se¬halu¬an;
setampuk pinang ki masih muda benar dan kurang berpengalaman;
onak duri yg bengkok (spt kait).
menjulang 1. mengangkat ke atas: kapal itu sedang dijulang dan dihempas gelombang; 2. mendukung (anak dll) di atas bahu: setibanya sahaja di rumah, dia terus mengangkat dan ~ anaknya; 3. mem¬bum¬bung tinggi, meninggi: api dr rumah yg terbakar itu ~ sehingga ke puncak atapnya; 4. ki menjunjung tinggi, menyanjung, amat menghormati: Churchill seorang pemimpin yg dijulang tinggi oleh rakyat Inggeris;
menerajui memegang teraju pimpinan, me- memimpin, mengetuai, mengendalikan: usia yg semuda itu dirasakan belum cukup utk ~ sebuah organisasi yg besar dan penting; empat orang yg telah ~ pimpinan pentad¬biran Malaysia selama ini adalah orang-orang yg ~ pimpinan Barisan Nasional;

esei berpandu-kebaikan aktiviti gotong di sekolah

daripada Yeoh Wei Chun(1F)2010
Marcapada ini, aktiviti gotong tidak lekang dari bibir manusia dan menjadi agenda aktuil yang lama dicanang-canangkan pada zaman puntung berasap lagi. Adfalnya, aktiviti ini menggamit kemaslahatan yang tidak berperi kepada nusa dan bangsa.

Dominannya, pelajar dapat mengintimkan hubungan bagai lesung dengan antah. Hal ini kerana pelajar akan berkomunikasi antara satu sama lain sekali gus mengintegrasikan kita dengan tahun keramat 2020.

seterusnya, wadah ini berkekeupayaan meminimumkan gejala kemungkaran yang kian bermaharajalela bagai api dalam sekam. Masa senggang pelajar diisikan dengan aktiviti gotong sementelahan tiada masa terluang berjinak-jinak dengan kemelut yang diumpamakan bagai duri dalam daging.

Akhirul kalam, kita harus melibatkan aktiviti gotong dari sekarang sebelum nasi menjadi bubur.Bertanggung pencuri masa, biarlah semua pihak melaksanakan wadah ini dengan pendekatan yang prgmatik bagai genggam bara api biarlah sampai arang dengan penggemblengan kuadrat. 128 patah perkataan

( syabas pelajar ini dapat mengolah dengan manarik, tetapi dari segi isi, masih perlu dipertingkatkan, kerana bahagian kesimpulan sepatutnya boleh dipendekkan, justeru memperkasakan huraian isinya.)

Lim Jieh Sim(1F 2010)
Pada pascakemerdekaan ini, isu tentang kemaslahatan aktiviti gotong di sekolah tidak lekang dari bibir umat manusia. Oleh itu, semua pihak, khusus sekolah seyogia menelaah kemaslahatannya hingga akar umbinya.

Afdalnya,melalui aktiviti ini, hubungan antara warga sekolah dapat dijalinkan bagi aur dengan tebing. Apabila memerah keringkat mengerjakan sesuatu, penerapan nilai murni seperti semangat patriotik dapat ditekankan sekali gus mendapat penghormatan daripada umat manusia kerana hina besi kerana karat, hina manusia tidak berbudi.

Ghalibnya, aktiviti ini dapat menjana modal insan yang senang bekerjasama,berkomunikasi dengan khalayak ramai.Dewasa kelak, anak bangsa ini senang mencari rezeki dan tidak seperti rusa masuk kampung. Dominannya, aktiviti ini patut dipraktikkan sejak kecil lagi kerana melentur aur biarlah dari rebungnya.

Konklusinya, semua pihak harus menggembleng inisiatif yang pragmatik untuk menyemai renaja yang mengapikasikan nilai bekerjasama justeru kerajaan mencanang-canangkan anak watan genggam bara api biarlah sampai arang. (137patah perkataan)

( syabas...selepas semakan kali kedua, cikgu masih mendapati pelajar ini masih perli mengasah kebakatannya untuk mencapai kemajuan yang lebih terserlah...usaha lagi, Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak.)