Sunday, August 23, 2015

Contoh jawapan karangan percubaan SPM 2015






40%  Rumah dan utiliti
10% pengangkutan termasuk pinjaman kereta
          Isu krisis kegawatan ekonomi dan kemelut inflasi sering dipolemikkan oleh media massa pada era globalisasi ini. (I) Corak perbelanjaan dalam kalangan remaja semakin memboros dan menimbulkan pelbagai polemik sehingga ke persidangan parlimen. (K) Tegal itu, NKRA ( Bidang Keberhasilan Utama Negara) telah menyasarkan peningkatan taraf hidup agar menambah pendapatan boleh guna dalam kalangan rakyat murba Malaysia. (U) Persoalannya, apakah cara perbelanjaan golongan muda-muda pada marcapada dan apakah pula cara berkesan untuk menambah baik cara perbelanjaan dalam kalangan anak watan yang baru bekerja?

          Memang tidak dapat dinafikan bahawa individu yang baru bekerja mestilah mengamalkan cara perbelanjaan yang berjimat cermat. (A) Hal ini dikatakan demikian kerana amalan berjimat cermat merupakan tuntutan semua agama dan memboros ialah kawan syaitan. (M) Contohnya, saya optimis bahawa bajet asas saya hanya diperuntukkan sebanyak 30 peratus daripada jumlah pendapatan untuk perbelanjaan peribadi  seperti makanan, pakaian, hiburan, dan lain-lain. (C)  Sekiranya hal ini dilakukan pasti akan melatih diri saya supaya mempunyai tahap disiplin yang tinggi. (K) Tegasnya, saya mestilah melakukan perancangan kewangan dan pengurusan bajet dengan prinsip mengukur baju di badan sendiri. (P)
          Sementara itu, bajet asas bagi golongan yang baru melangkah ke alam pekerjaan ialah menjelaskan hutang pinjaman pelajaran dan membuat simpanan untuk masa depan. (A) Hal ini memanglah penting kerana simpanan dapat menghindari  sikap memboros  dan mengamalkan perbelanjaan yang berhemat. (M) Contohnya, sebanyak 20 peratus daripada jumlah pendapatan boleh guna disimpan sebagai persediaan untuk masa depan, bak sediakan payung sebelum hujan.(C) Sekiranya hal tersebut dilakukan pasti akan melahirkan modal insan yang pandai merancang dan tidak hidup bagai melukut di tepi gantang. (K) Tegasnya, simpanan wang atau tabungan juga penting untuk menghadapi waktu kecemasan, menyediakan kos perubatan, melanjutkan pelajaran, membuat pelaburan dan melancong di negara asing, bak pepatah berjimat sebelum habis, cermat sebelum kena. (P)

          Akhirnya, bajet asas seseorang individu ialah memastikan masa depan yang cerah dengan membuat pelaburan secara sistematik. Untuk mengelakkan diri daripada hutang sekeliling pinggang atau membesarkan kerak nasi, sebangayk 50 peratus daripada pendapatan mestilah diperuntukkan untuk pinjaman perumahan dan kenderaan. Sebelum mendirikan rumah tangga, remaja digalakkan membuat pelaburan jangka masa pendek atau panjang. Dalam hal ini, remaja dapat memastikan hidup berdikari dan selesa semasa menongkah arus perdana yang sarat dengan konkurensi. Pendek kata, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Generasi muda mestilah dididik dengan nilai mahmudah dan sikap kesederhanaan agar hidup terjamin sebelum bersara kerana asal ditugal adalah benih.

          Tuntasnya, perancangan kewangan dan pengurusan bajet mestilah mengikut keupayaan diri dan mobiliti kerjaya. Saya optimis bahawa kejayaan berkat kegigihan dan ketekunan. Hidup ini bagai perlumbaan. Malang tidak berbau. Tanpa membuat bajet yang sistematik dlama kehidupan, mustahillah saya hidup selesa selepas berkeluarga. Ijmalnya, dalam melayarkan bahtera di tengah samudera, wang ditakrifkan sebagai senjata untuk melunaskan segala tugasan, namun kehidupan kita tetap dihambat oleh keimanan dan kekuasaan Tuhan. Maka, bajet asas dirancang, namun ditentukan oleh kuasa Tuhan. 


2. Remaja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk mendepani  pelbagai cabaran pada masa hadapan. Huraikan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh remaja sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran era globalisasi.
          Remaja merupakan aset negara yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Mantan Presiden Indonesia Surkarnoe pernah menukilkan bahawa hanya dengan 10 orang belia mampulah menggegarkan dunia. Imam Al-Ghazali pula pernah mengatakan bahawa ingin meramalkan masa depan sesebuah negara hanyalah melihat remaja pada masa ini. Daripada perspektif kedua-dua ilmuan ini bahawa remaja penentu jatuh bangun sesebuah negara. Sesungguhnya, remaja merupakan tempoh transisi yang amat mencabar, khasnya pada era globalisasi yang diwarnai oleh pelbagai perkembangan teknologi yang menguji tahap mentaliti seseorang individu. Dalam hal ini, remaja perlulah menguasai pelbagai kemahiran sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran ini. Persoalannya, apakah kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh remaja demi menterjemahkan aspirasi kerajaan dan menjulang kegemilangan diri pada puncak jagatraya?


          Sesungguhnya, kemahiran berfikrah merupakan salah satu aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(2013-2025). Dalam konteks ini, kemahiran berfikir aras tinggi ditakrifkan sebagai keupayaan membudayakan amalan inovasi dan kreativiti dalam kehidupan seharian. Menurut Profesor Dr Zaini Ujang bahawa, kreativiti merupakan gagasan, idea dan minda yang baharu. Manakala inovasi merupakan penambahbaikan idea sedia ada untuk menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah untuk dikomersialkan. Maka, pelajar kini perlulah dididik untuk berani dan berkeyakinan tinggi untuk berfikir di luar kotak minda yang horizon. Para pendidiklah yang berfungsi sebagai pencetus kreativiti dan penjana inovasi seyogia mengorak langkah untuk memaksimumkan keberkesanan pengajaran demi merangsangkan pemikiran pelajar. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar seperti sumbang saran, sayembara, musyawarah dan main lakon perlulah diterapkan agar pembelajaran yang selama ini hanya berorientasikan peperiksaan dapat mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah. Jelaslah bahawa para pelajar perlulah mengamalkan budaya inovasi dalam kehidupan seharian demi menjanakan kelangsungan bangsa dan nusa.

Selain itu, kemahiran dwibahasa antara tonggak aspirasi murid dalam PPPM. Dalam hal ini, memanglah bertepatan masa Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Meningkatkan Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2013. Sesungguhnya, bahasa Melayu lambang identiti nasional yang pernah menjadi lingua franca di Nusantara. Bahasa jiwa bangsa, tanpa kesinambungan warisan budaya, lenyapkah Nusantara di dunia. Malangnya, martabat bahasa ibunda ini semakin menuju ke situasi yang cacamarba lantaran ancaman budaya barat yang meresap dalam masyarakat lokal. Walakin begitu, seseorang remaja selain perlu memperkasakan bahasa ibunda diri, memanglah digalakkan untuk melengkapkan diri dengan pelbagai bahasa asing. Sebagai contoh Dr Muhdzir Lokman yang pernah dilantik sebagai duta Perancis arif dalam pelbagai bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris, perancis, Melayu, Rusia dan Jerman. Keupayaan beliau dalam bidang bahasa membuktikan peluang kerjaya yang meluas dan cara pergaulan mampu melewati sempadan dan bahasa. Jelaslah bahawa kemahiran bahasa merupakan elemen maslahat untuk menempatkan diri dalam kejayaan dalam dunia berkerjaya.

Sementara itu, kemahiran memimpin merupakan tanggar amanat untuk menyediakan diri sebagai pelapis generasi muda. Dalam penterjemahan PPPM, kemahiran memimpin merangkumi aspek daya tahan tinggi, keusahawanan, komunikasi dan kecergasan emosi. Sejak bangku sekolah lagi, seseorang pelajar mestilah dicungkil bakat dan potensi dalam bidang yang diminati. Dasar 1M1S merupakan salah satu penekanan untuk melatih pelajar agar mempunyai sifat karismatik dan berkomited dalam bidang yang diceburi. Sebagai pelapis negara, perlulah pandai memanfaatkan platform yang disediakan oleh pihak kerajaan agar menyumbangkan idea dan kudrat sejak alam persekolahan lagi. Pemimpin pelajar yang berkarismatik mampu bersabar dan berdisiplin semasa menghadapi kerenah dalam kehidupan. Maka, pemimpin pelajar mampu mengerahkan dan merangsangkan rakan sealiran agar menunjukkan penghormatan kepada nusa dan bangsa sekali gus menghayati konsep kepimpinan melalui teladan yang diwara-warakan oleh Tun DR Mahathir sejak tahun 1983 lagi. Pendek kata, Nabi Muhammad dan Umar al-Khattab merupakan cerminan kepada umat di buana ini bahawa kepimpinan yang sanggup berjihad dan beristiqamah mampu mengubah nasib atau aura di dunia pada zaman yang memerlukan cahaya supaya melepaskan diri daripada kepompong kejahilan.

Pada zaman pascamodensasi ini, revolusi teknologi maklumat telah melanda dunia muktahil sejak 1990-an. Maka, tanpa kemahiran ICT atau sains dan teknologi mustahillah seseorang remaja bertapak di dunia kerjaya. Bahawasanya, laporan STEM dan PISA membongkarkan kedudukan Malaysia yang menunjukkan kelemahan dalam bidang sains dan matematik. Negara Malaysia menduduki tempat yang ke-59 daripada 74 buah negara yang diuji. Situasi ini menyedarkan pihak Kementerian Pendidikan agar berikhtiar mentransformasikan agenda pendididkan demi melahirkan modal insan yang seimbang justeru menyeimbangkan sumber tenaga mahir dalam arah menuju ke arah pembangunan negara yang mampan. Dalam Rmke-11, penekanan TVET( Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional) terus digarapkan melalui peruntukan yang lebih kepada latihan guru dan pelajar dalam mahir. Sebagai pelajar yang seiring dengan kehendak pasaran, pencapaian dalam bidang profesional sahaja tidak cukup untuk melepaskan diri dalam persaingan yang semakin sengit. Pendek kata, pelajar yang lemah dalam pelajaran perlulah diberikan pendedahan yang lebih awal agar berkecimpung dalam bidang kemahiran di luar konteks akademik seperti bidang kejuruteraan, kulinari, holtikultur, fesyen, cipta reka dan sebagainya.

Akhirnya, segala kemahiran yang dituntut di atas perlulah diimbangi melalui tahap keimanan dan keperibadian yang luhur. Dalam hal ini, kemahiran komunikasi merupakan prasyarat untuk bergaul dengan semua masyarakat global agar tidak ketinggalan dihanyutkan arus perdana. Sehubungan dengan itu, pelajar perlulah diterapkan nilai budi pekerti dan didikan agama sejak azali lagi. Menurut Iman Al-Ghazali, ‘ingin mengenali perwatakan lihatlah pada cermin, ingin mengenali peribadi lihatlah pada wajah”. Manifestasinya, seseorang individu akan menonjolkan keperibadian yang telus dan ketinggian peribadi melalui gerak laku, tutur kata, cara hidup, pemikiran dan pergaulan dalam kehidupan seharian, khususnya di negara Malaysia yang diwarnai oleh masyarakat yang berlatarbelakangkan kepelbagaian budaya dan kepercayaan. Segala pergeseran dan percalaran dalam kehidupan hanyalah dirungkaikan melalui kemahiran kita memanfaatkan pedoman kota fikir golongan pujangga dan didikan agama yang teguh. Pendek kata, ilmu tanpa agama ibarat lumpuh, agama tanpa ilmu ibarat buta. Inilah pandang Albert Eistein yang diiktiraf sebagai sainstis yang agung. Pandangan beliau menyerlahkan bahawa setiap insan di buana ini memerlukan tunjuk ajar daripada Tuhan demi dilimpahi hidup yang benar-benar terlepas daripada belenggu kejahilan dan kedaifan. Pendek kata, kemahiran komunikasi tidak akan tercapai sekiranya tidak menghayati petunjuk Tuhan dan melapangkan dada atau minda.

Akhirulkalam, kemahiran dan profesional dalam akademik merupakan lagu dengan irama yang saling bergantungan yang perlu didendangkan serentak demi membentuk tempo yang syahdu. Memanglah sampai masa remaja mengikuti perkembangan semasa dan Pelan Transformasi Pendidikan seyogia digarapkan bersama. Rmke11 yang menjanjikan peluang pekerjaan sebanyak 1.5 juta lagi menjelang tahun 2020 dinanti-nanti oleh bakal lepasan pelajaran SPM, STPM, atau Sijil Kemahiran Malaysia. Maka, tak pecahkan ruyun, manakan dapat sagunya. Barisan remaja perlulah bersikap patah kapak gantikan beliung untuk mencari peluang yang sebaik mungkin demi menjulang kejayaan dalam kehidupan sekali gus negara kita terus megah di puncak mayapada menjelang tahun 2020 dengan gelaran sebagai NEGARA MAJU yang setanding dengan Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura.

3.Peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, “hidup sandar-menyandar, bagai aur dengan tebing”, dan “serumpun bak serai” merupakan antara peribahasa Melayu yang membuktikan bahawa perpaduan atau semangat kerjasama amat penting dalam budaya kita. Huraikan kepentingan perpaduan atau semangat kerjasama dalam kalangan rakyat di negara kita.
 
Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui banyak pengalaman pahit. Bermula dengan penjajahan Portugis, kemudian Belanda, Inggeris, Jepun, kemudian Inggeris semula, pengalaman dijajah tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh kuasa asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia mestilah bersedia menerima adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya hendaklah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk bersatu padu walaupun berlainan bangsa dan agama. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bersungguh-sungguh dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.

Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dari pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.

Seterusnya, rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum tidak terlepas dari masalah pergaduhan dan rasa tidak puas hati antara kaum seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Pastinya kita semua sudah maklum tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantaran itu, semua penduduk di negara ini hendaklah mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing supaya perpecahan kaum tidak akan berlaku lagi. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh dan pepatah ini hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, orang Melayu menghormati adat dan budaya orang Cina dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih terdapat perasaan tidak puas hati kaum-kaum tertentu terhadap kaum lain dan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan usaha-usaha untuk mengeratkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.

Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikap membutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.

Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.

Thursday, August 20, 2015

Persediaan SPM 2015 - 3



Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja
adalah pendirian keberanian dan ilmu.
Berdasarkan petikan sajak ‘Harga Remaja’ di atas, terangkan kepentingan menjaga maruah diri sendiri.

1.     Meneguhkan jati diri
2.     Memartabatkan maruah keluarga
3.     Mempertahankan warisan budaya bangsa
4.     Memelihara maruah negara
5.     Melahirkan modal insan yang holistik

      Maruah ditakrifkan sebagai harga diri yang melambangkan keperibadian dan status seseorang individu dalam komuniti. (I) Sesungguhnya, maruah diri sinonim dengan sendi ikatan kesatuan antara individu dengan masyarakat. (I) Namun, statistik remaja yang terjerumus dalam pidana juvenil telah mencecah tahap yang kritikal sehingga merimaskan seantero strata komuniti bagai cacing kepanasan. (K) Fenomena ini menunjukkan tahap disiplin dalam kalangan generasi muda semakin merosot lantaran terlalu dihanyutkan badai pengaruh budaya asing. (K) Menurut pandangan Dr Rais Yatim bahawa kelunturan budaya dan kenipisan keimanan menyebabkan kebejatan akhlak dalam generasi muda. Jelaslah bahawa fenomena yang membelakangi norma masyarakat ketimuran seyogia dibetulkan melalui usaha kolaborasi semua pihak. (U) Hasilnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah menggarisi 6 aspirasi murid supaya melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran berfikrah, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin selain berilmu, beridentiti nasional dan beretika. (U) Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan kini untuk mempertahankan maruah remaja dan apakah kepentingan menjaga maruah diri kepada nusa dan bangsa?

Memanglah bertepatan dengan kehendak semasa bahawa maruah diri perlulah dipertahankan demi mendapat pengiktirafan dan penghormatan daripada orang ramai.(A) Mengikut ilmu antropologi, jati diri merupakan perwatakan yang dikenali oleh mata masyarakat secara kasar. Makin tingginya maruah diri, makin tinggilah status seseorang pada mata masyarakat. (M) Dengan pengukuhan jati diri melalui didikan agama dan moral, maruah diri akan dipertahankan dan berkemampuan untuk menangkis pengaruh budaya asing. (K1) Secara langsung, pendirian yang teguh akan menjauhkan diri daripada alam fata morgana yang hanya memesongkan diri daripada landasan akidah. (K2)  Peribahasa ibarat ikan di lautan masin badan tetap tawar menjelaskan bahawa ketinggian jati diri yang teguh akan menjauhkan diri daripada sifat egoistik dan ekstremis yang hanya membejatkan akhlak diri. (C) Tegasnya, sifat mempertahankan maruah diri bukan sahaja berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada godaan syaitan malahan menerapkan sikap keterbukaan untuk merentasi multidisiplin ilmu supaya terus megah dan teguh bertapak di bumi yang berdaulat ini. (P)

Sekiranya diselami lebih lanjut lagi, menjaga maruah diri penting untuk memartabatkan imej keluarga yang tersayang. (A) Walhal, benih yang baik dicampakkan ke laut menjadi pulau, dilontarkan ke udara menjadi kejora. Manifestasinya, pendidikan ibu bapa terhadap anak merupakan penentu untuk mewarnai perwatakan anak muda sama ada menjadi Majusi, Nasrani atau Yahudi.(M) Namun, keganasan rumah tangga seperti penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi haram dan perceraian yang mendadak dalam masyarakat kita menunjukkan tahap maruah diri yang rendah dalam masyarakat kita.(C) Menurut pakar psikologi tersohor negara, Tuan HM Iskandar al-Haj bahawa peningkatan kes kepincangan rumah tangga dikenal pasti berpunca daripada ketandusan kasih sayang dan pengaruh trauma yang diwarisi daripada perilaku ibu bapa sendiri. Maknanya, pembawaan ibu bapa yang tidak bermaruah akan dicontohi oleh darah daging sendiri. (K) Sedia kita maklum bahawa kebahagiaan rumah tangga penjana kemakmuran masyarakat. Maka, ibu bapa pencorak keperibadian anak mereka mestilah memastikan bahawa anak mempunyai pendirian yang teguh di samping mempertahankan maruah diri dan keluarga agar tidak mencontengkan arang pada muka keluarga. Maklumlah, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Sehubungan dengan itu, anak yang berusaha menjaga maruah diri sendiri senantiasa mengenang jasa orang tua dan berusaha untuk membalas budi dengan pemartabatan diri dalam semua bidang yang dikecimpungi.  (P)

Walhasil, seseorang remaja yang berusaha memelihara maruah diri akan memahami maksud yang tersirat dalam peribahasa sebab nila setitik, rosak susu sebelangga. (A) Selangkah ke masyarakat, pelbagai dugaan akan melanda kehidupan generasi muda.(M)  Dalam konteks ini, remaja yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara bertanggungjawab untuk memastikan kelestarian warisan budaya bangsa di bumi yang bertuah ini.(M) Menurut tafsiran, budaya merupakan akal budi, peradaban dan tamadun yang melibatkan cara hidup, pemikiran dan pergaulan dalam kehidupan. (M) Peninggalan budaya bangsa wajarlah dilestarikan kerana tanpa budaya lenyaplah bangsa. (K)  Dr Naquid Al-Attas pernah menukilkan bahawa kecelaruan minda dan krisis identiti yang melanda kehidupan generasi Y menyebabkan kepupusan budaya dan bahasa. (C) Dalam kata lain, warisan budaya ini merupakan lambang keunikan negara kita yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan bangsa. Status warisan yang unik ini perlulah dipertahankan demi menjaga maruah bangsa kita. Mukhtasarnya, generasi muda sejak bangku sekolah lagi perlulah didedahkan dengan kepelbagaian kebudayaan agar berasa berbanggsa dan bermaruah tinggi hidup di negara yang bertuah ini. (P)

Dalam hidup bernegara, menjaga maruah diri melambangkan sekelompok manusia yang berusaha mempertahankan kedaulatan negara sendiri. Sebagai anologi, semangat nasionalis dan perjuangan yang membara dalam kalangan marhaen tempatan pada zaman pramerdeka telah berjaya menjulang maruah negara di mercu kegemilangan pada peringkat antarabangsa. Kini, remaja perlulah disuntik semangat kekitaan dan perjuangan ini demi menjanakan kelangsungan bangsa yang bermaruah tinggi. Ironisnya, isu provokasi dan pecah belah masih melanda masyarakat kita melalui laman sosial. Fenomena ini seakan-akan menunjukkan negara kita yang kaya dengan perkembangan iktisad namun kemuflisan dalam keperibadian. Sebagai contohnya, Namewee yang berani merombak lagu kebangsaan Negaraku kepada Negarakuku dengan izharnya menunjukkan sifat kecintaan dan identiti nasional yang menipis dalam kalangan generasi muda. Dalam PPPM, aspirasi murid untuk melahirkan kemahiran memimpin memanglah bertepatan masa kerana generasi muda cerucuk fundamental kepimpinan sesebuah negara pada hari muka. Janganlah harapkan pagar, pagar makan padi. Fenomena yang salah dari sudut keagamaan seperti vandalisme, kes ragut dan rasuah menunjukkan keperibadian golongan marhaen tempatan yang tidak mementingkan maruah negara sehingga sanggup bergadai golok imej negara dengan menggodam profil pemimpin negara. Wajarlah generasi muda disulami ajaran tentang sifat empunya terhadap negera tercinta kerana setinggi-tinggi bangau menerbang, akhirnya hingga di belakang kerbau jua.

Akhirnya, seseorang yang menjaga maruah diri akan berusaha untuk mencapai kecemerlangan yang hoistik dalam aspek akademik, koakademik, kerjaya mahupun dalam rumah tangga. Menurut kata Imam Al-Ghazali, “ ingin mengenali diri lihatlah pada cermin, ingin mengenali peribadi lihatlah pada perwatakan.” Maklumlah bahawa agama, ilmu dan budi pekerti adalah saling bergantungan. Hal ini dibuktikan oleh Albert Eistein, “ilmu tanpa agama bagai lumpuh, agama tanpa ilmu bagai buta.” Manakala kata orang tua-tua, “ adat bersendikan syarak, syarak bersendikan adat.” Maka, seseorang remaja yang berusaha untuk memelihara maruah diri seyogia melengkapkan diri dengan kriteria keluhuran peribadi, keimanan yang kental dan ketinggian dalam akal budi. Nabi Muhammad pernah menjelajah ke negara Cina untuk menimba ilmu. Manakala Al-Biruni mempelajari bahasa Hindu di negara India demi menerokai multidisiplin ilmu. Kejayaan kedua-dua tokoh ilmuan ini menjelaskan penghormatan akan diberikan daripada seluruh dunia apabila berjaya mencipta sejarah dalam riwayat diri sendiri. Budaya inovasi dan kreativiti semakin dikenal pasti kepentingannya agar menjadi pencipta teknologi yang mampu mengharumkan nama diri dan negara. Dalam hal ini, seseorang yang ingin hidup bermaruah akan memerah otak untuk mencipta sesuatu agar dapat berbakti kepada umat sejagat. Pendek kata, manusia yang bermaruah tinggi adalah berpotensi untuk membongkar layar rahsia yang menyeliputi alam sejagat ini. Kejayaan tokoh-tokoh wajarlah diteladani oleh setiap anak watan pewaris bangsa bahawa “Malaysia, Boleh”

Akhirulkalam, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Manusia yang bermaruah tinggi pastilah akan menghormati setiap peraturan dan pantang larang yang ditetapkan. Hidup di buana ini adalah secara simbiosis dan saling bergantungan ibarat lagu yang didendangkan oleh P Ramlee, lagu dengan irama. Surah al-Bukhari yang bermaksud “ dalam jasad manusia sesungguhnya ada seketul daging, jika sebahagian rosak maka rosaklah jasad itu. Jika baik maka baiklah seluruh jasad ini. Daging itu ialah hati” Justifikasinya, maruah diri dan hubungan antara manusia adalah saling berkait ibarat simpulan tali yang diikat bersama. Makin tinggi maruah diri seseorang, makin baiklah keperibadiannya seperti mempunyai kesabaran, kewarasan pemikiran dan kebijaksanaan. Ingatlah wahai remaja, biar putih tulang, jangan putih mata. Kita perlu melangkah dan menongkah arus globalisasi untuk memastikan ibu pertiwi kita terus megah di pentas dunia. Kibarlah Jalur Gemilang di setiap acara antarabangsa, inilah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

Persediaan SPM 2015 - 2



Tuliskan satu rencana yang lengkap bertajuk 'Mendekatkan Remaja dengan Program Keagamaan dan Kemasyarakatan melalui Teknologi Komunikasi'

'Mendekatkan Remaja dengan Program Keagamaan dan Kemasyarakatan

melalui Teknologi Komunikasi'

Oleh : PSL
          Teknologi komunikasi sinonim dengan gaya hidup moden dalam kalangan masyarakat pada zaman pascamodenisasi ini. Zaman beralih musim berubah, revolusi teknologi maklumat bukan lagi isu tabu dalam masyarakat kontemporari. (I) Bahawasanya, remaja merupakan pelapis negara yang sedang mengharungi tempoh transisi yang memerlukan bimbingan yang holistik. (I) Akibat perkembangan aplikasi sains dan teknologi, generasi muda senang dihanyutkan badai arus perdana malahan menjurus kepada hidup yang menjauhi norma masyarakat yang menghambat ikatan tradisi leluhur. (K) Maka, modus operandi yang rapi daripada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Lembaga Penapis Filem dan Kementerian Pendidikan Malaysia amatlah penting untuk memastikan generasi muda tidak dieksploitasi oleh peranti canggih ini. (U) Sudah sampailah masa kita membenamkan mata fikir untuk menelusuri sejauh manakah aplikasi teknologi komunikasi berfungsi sebagai agen sosialisasi untuk membimbing pemuda pemudi ke arah kegemilangan? Apakah pula tanggungjawab sosial para pengamal media untuk mencorakkan minda golongan srikandi dan wira negara?

          Proses globalisasi mulai melanda kehidupan manusia sejagat sejak 1990-an. Dunia kini semakin dirapatkan dan pertembungan budaya telah menjadi cerminan kehidupan hakiki pada zaman ini. Proses penghibridan dalam media sosial waima merapatkan hubungan antara penduduk sejagat, namun trend baharu telah tercetus antara komuniti terkini, iaitu kurang bersemuka malahan tidak mahir dalam interaksi harian. Polemik pro dan kontra kewujudan peranti media elektronik ini bukan lagi fenomena yang keterasingan dalam kehidupan generasi muda khasnya. Dalam proses mengasimilasi dan mengadaptasi remaja marcapada dengan aktiviti kemasyarakatan, media massa telah berfungsi sebagai alat penghubung yang afdal. Media siber seperti aplikasi telefon pintar berjaya menghubungkan masyarakat, malahan merupakan wahana untuk menginterpretasikan aspirasi agensi kerajaan kepada rakyat murba. Sedia kita maklum, portal kerajaan membanjiri laman web kini dan berperanan untuk mengukuhkan budaya perkongsian etos sesama rakyat yang berbilang kaum. Bayangkan kejayaan negara kita memperjuangkan kemerdekaan pada 50-an, media cetak seperti Akhbar Majlis, Majalah Imam, Utusan Melayu dan risalah telah berjaya membangkitkan perasaan kecintaan terhadap ibu pertiwi. Kini, usaha untuk mendaulatkan negara daripada pengaruh budaya asing perlulah dilangsungkan melalui media massa. Tegasnya, segala isu provokasi dan fitnah-memfitnah antara masyarakat dengan pemimpin negara tidak sepatutnya diteruskan melalui media sosial. Ciptaan benak minda ini izharnya masih perlu dihambat dengan kebijaksanaan akal budi dan ketakwaan terhadap tuntutan agama.

          Jikalau mengimbau kembali pembangunan sejarah Malaysia, media cetak berperanan sebagai alat pendakwah yang utama sejak tahun 1900-an. Gerakan nasionalisme Kaum Muda dan Kaum Tua telah merevolusikan media maklumat di Tanah Melayu pada zaman tersebut. Bahan cetakan seperti Al-Imam,Neracha,  Pengasuh dan Saudara berperanan untuk menyebarkan fahaman keagamaan dan meningkatkan persepsi terhadap hubungan manusia dengan Tuhan yang Maha Esa. Kini, segelintir pengamal media tidak melupakan tanggungjawab sosial untuk mentarbiah penonton tentang perspektif dalam keagamaan. Contohnya,Berita Harian menyediakan rubrik tertentu untuk mendakwahkan agama Islam.  Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) FM 91.5 ditubuhkan untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenarnya melalui aplikasi media sosial seperti saluran radio dan televisyen. Manakala TV AlHijarah ialah stesen Islam di Malaysia sejak tahun 2010. RTM juga menganjurkan pelbagai forum bicara dan kursus bimbingan tentang pendakwahan Islam demi memastikan muslim dan muslimah Malaysia lebih mendekatkan diri dengan ajaran agama, manakala yang bukan muslim dapat menyelami maksud yang tersirat dalam kitab Al-Quran dan sunah. Dalam situasi seperti ini, aspirasi kerajaan untuk menjadi hab pendidikan Islam dan mengglobalkan fahaman Rasullulah akan direalisasikan melalui media sosial ini kerana segala maklumat di hujung jari. Dalam sudut lain, program aktiviti kemasyarakatan seperti Majalah 3, Program Bersamamu dan Bicara Masyarakat juga berusaha untuk mendidik semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda khasnya.

          Dari era tanpa sempadan yang diwarnai oleh iktisad berasaskan inovasi dan pengetahuan, peranti elektronik ini berfungsi sebagai alat pentafsir yang menyeluruh kepada pembaca. Dalam konteks ini, dunia muktahir lebih mendedahkan pembaca tentang info semasa dalam multidisiplin ilmu seperti arena politik, ekonomi, sosial mahupun seni dan kebudayaan. Bahawasanya, media massa diibaratkan teknologi yang berjaya menembusi sempadan mayapada. Segala penyata kewangan dan spekulasi dunia pelaburan dengan izharnya diakses melalui analisis yang sistematik. Tegal itu, pengguna media dapat mentafsir dan meramalkan dunia ekonomi dengan hanya seklip ikon. Paparan spekulasi penyata kewangan setiap profil syarikat gergasi yang tersenarai dalam bursa saham membolehkan pelabur mengklasifikasikan untung rugi dan menjanakan pendapatan melalui aplikasi media sosial. Selain itu, media massa juga merupakan alat pemantau untuk melaporkan segala kejadian tentang bencana alam dan musibah yang berlaku di jagatraya dengan jelas dan pantas. Dunia tanpa sempadan telah melewati segala kekangan masa untuk menyebar luas fenomena dalam alam ciptaan Tuhan ini. Natijahnya, penghuni di bumi ini akan menimbulkan kesedaran dan berwaspada terhadap perubahan persekitaran. Pendek kata, malang tidak berbau dan geruh tidak berbunyi. Media massa bertanggungjawab sebagai pengawas alam untuk menginsafkan generasi muda bahawa hidup sejagat adalah secara simbiosis dan saling bergantungan.

          Revolusi teknologi maklumat kini telah mencetuskan kejutan budaya dalam masyarakat ketimuran. Menurut kata Tun Dr Mahathir Muhammad bahawa generasi muda perlu mengamalkan sikap buang yang keruh ambil yang jernih semasa menapis budaya asing yang membayangi budaya masyarakat silam. Walhal, teknologi komunikasi pada era globalisasi ini berperanan sebagai alat penghibur yang utama. Kebanjiran filem K-Drama dari negara Korea bukan sahaja mempromosikan nama negara Korea di serata dunia malahan berjaya merangsangkan pertumbuhan industri perfileman di negara tersebut. Di Malaysia, pengadaptasian pengaruh filem negara asing seperti lambakan program realiti telah menimbulkan polemik pro dan kontra di negara kita.Program realiti seperti Malaysia Idol, One A Millionaire, Akademi Fantasia dan sebagainya menagih perhatian penonton dengan menggunakan system undian. Generasi muda khasnya sanggup mengikuti perkembangan selebriti yang disanjungi sehingga mengabaikan pelajaran diri. Walau bagaimanapun, bagai serampang dua mata, media sosial juga berjaya menghiburkan rawan hati dan mengurangkan tekanan dalam hidup. Kadangkala, penglipur lara merupakan penawar mujarab untuk menjauhi pergeseran dan kecelaruan minda semasa melayari bahtera di tengah samudera yang saujana mata memandang. Lapipun, industri seni dan kebudayaan merupakan sektor penjana kekayaan yang semakin bertempat di dunia ini. Kejayaan Hollywood dalam industri ini meyakinkan generasi muda bahawa hobi merupakan saluran untuk menjamin pulangan yang lumayan.

          Sedia kita maklum bahawa pembelajaran sepanjang hayat telah diwara-warakan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini. Teknologi komunikasi telah merevolusikan bidang pendidikan dalam kalangan generasi muda. Dalam menongkah arus perdana yang memerlukan lautan akal tepian budi, remaja perlulah menerokai jalur lebar maya untuk menguasai segala ilmu dengan pantas dan berkesan. Sejak penubuhan MSC di Cyberjaya, kerajaan Malaysia tidak pernah mengenal jemu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang utama di Rantau Asia. Pengiktirafan 23 buah universiti tempatan sebagai universiti yang paling kualiti daripada 300 buah universiti di Asia oleh QS University telah membuktikan bahawa negara kita mampu menerajui industri pendidikan melalui penggunaan teknologi komunikasi secara meluas. Program 1Bestari dan Frog VLE melalui Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk memastikan setiap pelajar adalah celik dalam komputer. Pengubahsuaian sistem pendidikan demi mengiringi kehendak pasaran semasa seyogia dilaksanakan melalui kolaborasi semua agensi. Pelancaran program GM1M( Guru Muda 1Malaysia) dan memartabatkan profesionalisme keguruan dalam bidang teknologi komunikasi nescaya memaksimumkan keberkesanan dan keberhasilan pembelajaran dalam kalangan generasi muda. Inovasi dalam bidang pendidikan bukan sahaja berkiblatkan kemahiran aras berfikir tinggi malahan berusaha mempraktikkan budaya inovasi dan kreativiti yang menjamin pulangan yang berlipat ganda. Mukhtasarnya, usaha OUM(Open Universiti Malaysia) dan UNitar untuk melancarkan pendidikan maya dan pembelajaran sepanjang hayat perlulah diteruskan demi melahirkan modal insan yang berintektual tinggi waima mengikut acuan negara sendiri.

          Sebagai penghias penutup bicara, revolusi teknologi maklumat membuktikan manusia ialah khalifah yang dibekali akal oleh Tuhan. Media massa diklasifikasikan sebagai alat penghubung, alat penghibur, alat pentafsir dan alat pemantau, alat pendakwah dan alat pendidik yang utama dalam dunia muasir ini. Janganlah generasi muda masih enggan mengorak langkah untuk membudayakan inovasi dalam kehidupan seharian, usahlah bagai sepuluh jung masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga. Memetik serangkap gurindam tonggak 12,
Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.
Walakin begitu, keteguhan jati diri dan keimanan yang kental mestilah menunjangi keperibadian seseorang remaja semasa mengaplikasikan peranti elektronik yang canggih ini.