Saturday, October 18, 2014

formula


Politik
ICT Sebagai agen penyampai maklumat kepada semua masyarakat.
Aspirasi kerajaan disampaikan kepada rakyat
Penggemblengan kudrat dan minda semua komuniti
Menyatupadukan negara
Laman blog pemimpin
Ekonomi
e-dagang
e-teknologi
e-perbankan
semua urusan perniagaan menjadi rancak
Pendidikan
e-pendidikan
pendidikan jarak jauh
kualiti taraf hidup meningkat
Sosial
Medium inovasi sosial
Komunikasi dan interaksi

Imej - industri
Industri teknolgi – Korea – Samsung – menyumbang 25% kepada KDKN
Mempromosikan barangan melalui laman
Barangan buatan Malaysia- sejak 1984, melonjak perkembangan IKS
Pengusaha industri kecil dan sederhana berpeluang untuk menempa jenama Malaysia di peringkat global

 soalan  - kepentingan ICT untuk negara
formula - PEPSI


 soalan - kepentingan ICT untuk pelajar
formula - KIS U NI MA
KIS
Kenalan
Komunikasi
Inovasi sosial
·       Media massa ialah apilikasi inovasi sosial. Berperanan untuk menghubungkan semua manusia melalui talian dan jalur lebar.
·       Dunia maya yang mencetuskan evolusi untuk merapatkan hubungan manusia secara percuma dan pantas
·       Dapat berkomunikasi dan berinteraksi tanpa bersemuka melalui laman sembang, laman sosial melalui aplikasi atau perisian dalam peranti mewah seperti telefon bimbit, tablet, computer riba
·       Dengan sklip ikon pada paparan sahaja, kenalan baharu atau lama akan berhubung
·       KS merupakan pengikat darah daging dan hubungan kekeluargaan atau masyarakat
·       Komunikasi dalam bentuk revolusi teknologi merapatkan hubungan silaturahim
·       Wasilah mesra akan mengikis dendam kesumat, curiga dan prasangka dengan perkongsian suka duka dan berceloteh dalam laman sembang seperti wechat, whatsap, facebook dll
·       Hubungan mesra bagai kuah sama dihirup, sambal sama dicolek penting dalam kehidupan kita, hubungan dan kasih sayang bagai lagu dan irama yang saling bergantungan untuk membentuk tempo yang artistik dan estetika.
·       Namun, alat yang membantu kita juga akan memusnahkan kita, celoteh dalam laman sosial mestilah dikawal dengan budi pekerti dan nilai akidah
Urusan
·       Media massa sebagai medium perbankan.
·       Urusan harian yang memerlukan masa yang panjang dapat diselesaikan dengan seklip ikon sahaja
·       Urusan seperti pembayaran bil elektrik, Internet dilakukan melalui perbankan Internet
·       Permohonan jawatan pekerjaan atau kemasukan IPTA atau kolej swasta juga dijalankan melalui talian
·       Urusan rutin harian telah dijalankan dengan senang tanpa bersesakan dengan orang ramai, berbaris panjang, justeru menjimatkan kos perjalanan seperti petrol, bayaran parkir, dan masa.
·       Kesesakan lalu lintas merupakan penghalang untuk melunaskan rutin harian kerana manusia sibuk dengan profesion
·       Urusan diselesaikan sambil menonton televisyen atau mendengar lagu
Hiburan
·       Media messa sebagai sumber hiburan.
·       Permainan maya , lagu, filem disebar luas tanpa sempadan
·       Hidup dalam kampung globalisasi, perkembangan budaya dan fahaman secara meluas dari negara barat ke seluruh dunia
·       Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan
·       Mesti berhemah dan bijak mengasimilasi dan mengakultasi pertembungan budaya
·       Kekangan masa dan tekanan untuk berjaya dalam semua segi, baik kerjaya mahupun pelajaran telah menimbulkan tekanan kepada pelajar kontemporari, khasnya masyarakat kosmopolitan
·       Kos sara hidup yang tinggi menyebabkan pelajar tidak mampu menonton wayang di pawagam
·       Tekanan dapat dirungkaikan melalui laman sosial dengan memuat turun perisian dalam peranti mewah
·       Walau bagaimanapun, sikap berwaspada dan perasaan patriotik penting untuk ambil jernih buang keruh.
·       Mempertahankan kedaulatan dan kelestarian budaya tanpa dijajah lagi oleh negara Barat
·       Situasi ini bagai ditelan mati emak diluahkan mati bapa, aplikasi sains dan teknologi mesti dimanfaatkan dan bukan dieksploitasikan oleh peranti ini
Maklumat
·       Media massa sebagai medium penyampai maklumat
·       Transformasi pendidikan penting untuk menyamaratakan perkembangan arus perdana di peringkat global
·       Situasi bagai sepuluh jong masuk ke pelabuhan, anjing masih bercawat ekor akan memundurkan ekonomi negara kita dan ketinggalan di belakang arus modenisasi bagai katak di bawah tempurung
·       Pendidikan maya memerlukan komitmen yang menyeluruh daripada semua komuniti seperti Rakan Kongsi Sekolah
·       Warga pendidik mempelbagaikan corak pengajaran mereka  dalam bentuk yang bersifat interaktif, animasi dan grafik yang menarik perhatian pelajar
·       Penyampaian maklumat melalui laman web telah menyenangkan pelajar untuk mendapat informasi dan maklumat yang terkini
·       Penyediaan folio dan kerja rumah akan dipercepat
·       Pelbagai soalan dan teknik menjawab didapat dengan senang
·       Pembelajaran maya melepasi sempadan, kursus jarak jauh meluaskan peluang melanjutkan pelajaran di peringkat antarabangsa
·       Maklumat di hujung jari
ekonomi
·       Media massa sebagai medium penjana pendapatan
·       Perniagaan dalam talian semakin popular
·       Mempromosikan bahan dalam talian memudahkan pelajar menjana pendapatan
·       tanpa melalaikan pelajaran

Percubaan SPM 15



Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
1.   KS – cinta akan negara/ sokong barangan / jaga persekitaran
2.   BB – KKH-imej-perpaduan
3.   Ilmu – sejarah jasa tokoh pejuang
4.   Iman – mendoakan kesejahteraan
5.   Ikon – suri teladan/ melawat ke muzium/hari kebangsaan

Semangat patriotik merupakan nilai mahmudah yang lahir daripada hati nurani supaya berbakti dan berkhidmat kepada negara dan bangsa. Kejayaan negara Jepun selepas peristiwa pengeboman atom di Hirohisma dan Nagasaki tidak melunturkan semangat rakyat negara Jepun untuk terus berjaya dan mekar di persada global, ironisnya dalam masa yang singkat, negara ini telah berjaya dan menggembleng kudrat seluruh rakyat untuk membuktikan keagungan mereka dalam bidang sains dan teknologi. Dasar Pandang Ke Timur yang dipelopori oleh mantan Perdana Menteri telah mengingatkan rakyat Malaysia supaya buang keruh ambil jernih. Kejayaan sesebuah negara bukan berasaskan sumber asli yang dikurniai rahmat oleh Pencipta Alam, tetapi berdasarkan penggemblengan kudrat dan minda daripada seantero strata komuniti yang cinta akan negara, bak kata hujan emas di negara lain, hujan batu di negara sendiri. Anak merupakan kain putih yang suci kudsi, keperibadian dan hati budi anak dicorakkan oleh peranan ibu bapa. Sebagai pelindung dan pembina karakter anak, ibu bapa menggalas obligasi mutlak untuk menerapan semangat patriotik dalam jiwa raga anak mereka sejak azali lagi.
        Sesungguhnya, kasih sayang merupakan cinta yang mendalam dan lahir daripada hati yang tulus ikhlas. Sudah menjadi fitrah kepada manusia bahawa perasaan kasih sayang sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada mereka.  Ibu bapa yang memberikan kasih sayang kepada anak akan mendidik anak supaya mengasihi orang lain di sekelilingnya. Sememangnya, kasih sayang ialah sifat tuhan yang menjadi anutan manusia supaya meluaskan kasih sayang kepada semua makhluk di buana ini. Secara implisitnya, anak yang penyayang akan memahami perasaan cinta akan negara dan kasih sayang kepada keluarga adalah umpama lagu dan melodi yang saling bergantungan untuk membentuk suatu tempo yang artistik serta estetik. Oleh itu, ibu bapa mestilah menunjukkan sikap yang menyokong barangan buatan tempatan dan menyokong setiap dasar yang dirangka oleh pihak kerajaan. Sejak kecil lagi, prinsip Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara mestilah diselami dalam akal budi dan lubuk kalbu anak supaya menzahirkan perasaan yang ikhlas terhadap pembangunan negara. Contohnya, kritikan terhadap pemimpin negara dan pertikaian Perlembagaan Persekutuan antara hak asasi bangsa berlainan tidak wajar wujud dalam pertuturan seharian. Ijmalnya, Iman Al-Ghazali pernah mengatakan bahawa anak yang dididik nilai kasih sayang akan belajar mencintai orang lain. Tanpa struktur keluarga yang penyayang, perasaan cinta akan negara yang kental tidak akan terwujud dalam sanubari setiap anak.
        Dari dimensi lain, ibu bapa mestilah menerapkan kepentingan budi pekerti dan nilai moral dalam diri anak sejak kecil lagi. Sebagai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan kepercayaan, perasaan saling memerlukan, membantu dan merasai adalah penting supaya semangat patriotik yang disemarakkan dapat menangani sebarang masalah dalam masyarakat kita. Oleh itu, ibu bapa mestilah mengingatkan anak bahawa budi pekerti pakaian keperibadian dan akal fikiran pakaian insani. Memetik kata Imam Al-Ghazali, ‘mengenal diri lihat pada cermin, mengenal peribadi lihat pada wajah.’ Maka, ibu bapa mestilah menzahirkan hati yang bermurah untuk bertegur sapa sesama bangsa yang berbeza dan sudi meluangkan masa untuk menyambut hari perayaan kebangsaan yang tertentu. Ibu bapa boleh membawa anak menghadiri aktiviti gotong-royong, kunjung-mengunjung jiran tetangga yang berbilang etnik dan rumah terbuka supaya memahami nilai kerjasama, kasih sayang, hormat-menghormati dan bantu-membantu supaya mengeratkan perpaduan kaum dalam masyarakat kontemporari ini. Izharnya, perasaan cinta akan negara terzahir daripada perpaduan teguh supaya memastikan kesinambungan tamadun manusia di negara kita.
        Dari segi pendidikan, ibu bapa merupakan guru terdekat kepada anak sejak dilahirkan. Ibu bapa mestilah mementingkan pendidikan informal di rumah tangga, perkongsian cerita tentang kisah perjuangan tokoh-tokoh pada zaman penjajahan selama 446 tahun amatlah penting untuk mengingatkan anak watan tentang penghinaan yang pernah dialami oleh rakyat negara kita. Ilmu memerlukan santapan jiwa untuk menjanakan kelangsungan bangsa dan nusa. Anak yang dididik untuk mencintai negara tidak sanggup mengkhianati pentadbiran negara seperti memfitnah, merosakkan harta benda awam, menyebarkan isu kontrovesi dan provokasi yang akan menghuru-harakan negara. Peristiwa darurat pada 13 Mei 1969 perlulah dijadikan iktibar dan meniti dari bibir ke bibir ahli keluarga tentang betapa pahit maung yang ditempuhi. Jelaslah bahawa, kekuatan sesebuah ikatan keluarga merupakan asas perpaduan dan kejayaan struktur sesebuah negara supaya terus cemerlang, gemilang dan terbilang di persada antaranagsa dengan identiti nasional yang tersendiri.
Selain sebagai pendidik, ibu bapa juga berperanan sebagai mursyid yang pertama kepada anak. Sejak kecil, anak mestilah dididik supaya menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan. Segala tuntutan agama telah mentarbiah penganut supaya mewujudkan perasaan cinta akan negara dan pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat jelata. Taat kepada negara merupakan amalan ibadat yang amat dituntutkan dalam taufik dan hidayah-Nya. Sebagai ibu bapa yang bertakwa, setiap solat jemaah mestilah mengumpulkan anak dan bermusywarah selepas menunaikan solat jemaah. Semasa bermusyawarah, ahli keluarga mestilah mendoakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara di bawah rahmat Tuhan yang Maha Esa. Sebagai rakyat Malaysia, kita telah dilimpahi rahmat yang menjauhi segala bencana alam dan peperangan yang akan meranapkan sesebuah negara. Tanpa negara, di manalah kita? Oleh itu, amalan bersyukur dan bertaubat amatlah penting supaya kita terus dikurniai restu dan keredaan daripada Tuhan, seperti yang termaktub dalam prinsip Rukun Negara, kepercayaan kepada Tuhan. Lirik lagu Negaraku jelas menunjukkan bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah bersyukur dan terus berbangga dengan keamanan negara.
        Akhirnya, ibu bapa juga berperanan sebagai uswah hasanah dan rakan terdekat kepada anak. Jurang generasi antara ibu bapa dengan anak mestilah dirapatkan melalui aktiviti kekeluargaan dan perkongsian bersama. Tamsilannya, pada waktu cuti sekolah, pengunjungan ke muzium negara, monumen yang termaktub nilai sejarah, gelanggang perjuangan kemerdekaan, bangunan bersejarah perlulah dijadikan satu aktiviti yang biasa dijalankan. Yang pentingnya, penjagaan kebersihan di sekeliling kawasan bersejarah ini perlulah diamalkan kerana kebersihan sebahagian daripada keimanan. Ibu bapa juga perlu menyambut hari kemerdekaan dan hari tokoh perjuangan bersama dengan memberikan sumbangan kepada negara. Sesungguhnya, jalur gemilang bukan sekadar kain yang berwarna-warni, tetapi satu lambing kecintaan yang mendalam terhadap keamanan dan kemakmuran yang dijalani oelh negara kita selama 56 tahun ini. Sekiranya perasaan patriotik telah lenyap ditelan arus perdana, bayangkanlah segala usaha untuk memelihara kedaulatan negara akan menjadi sia-sia bagai mencurahkan air ke daun keladi. Sikap bagai kacang lupakan kulit perlulah dikikis tetapi sikap yang integriti dan etika perlulah ditanam dalam sanubari anak sejak kecil lagi agar negara kita akan bebeas daripada segala penjajahan baik dari segi penjajahan fizikal atau penjajahan minda yang makin ternampak melalui arus perdana yang melanda minda generasi kita. Mukthasarnya, ibu bapa pencorak masa depan anak, bahkan penentu masa depan sesebuah negara yang terus megah di persada dunia atau bankrap dari segi kewangan atau akhlak.
Keranamu kami mendakap tuah
Keranamu kami bangsa berjaya
Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara

Keranamu kami bebas merdeka
Keranamu myawa dipertaruhkan
Keranamu rela kami berjuang
Demi bangsa kedaulatan negara
        Lirik lagu KeranaMu mestilah didendangkan dalam sesebuah keluarga. Perasaan cinta akan negara susahlah dizahir tanpa inisiatif dan kefahaman ibu bapa tentang erti sumbangan negara kepada kita. Memetik kata Johny Kennedy, “ jangan Tanya apa yang diberi oleh negara, tetapi tanyalah apakah sunbnagan yang boleh kita berikan kepada negara.”

Ramalan 2014



Orang Kelainan Upaya (OKU) harus diberi peluang untuk berjaya. Bincangkan pendapat anda tentang kewajaran OKU diberi peluang yang sama untuk hidup.

          Di suatu lorong deretan kedai kelihatan seseorang yang sangat daif dengan pakaian tidak terurus sedang menadah tangan memohon simpati orang yang lalu lalang. Dalam situasi yang lain pula kelihatan seseorang yang tidak cukup anggota memohon simpati orang yang sedang lalu lalang membantunya menolak kerusi roda. Malahan di asrama-asrama yang daif mereka ini terpaksa tinggal berasak-asak. Demikianlah gambaran mudah tentang senario Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia. Bagi rakyat Malaysia golongan OKU bukanlah suatu isu yang mendesak di negara ini. Lebih banyak isu yang harus diberi perhatian seperti isu politik, ekonomi dan isu gejala sosial yang tidak pernah kunjung selesai. Demikianlah nasib OKU yang sehingga ke hari ini masih dalam keadaan dilema, terbiar, dan menghadapi masa depan yang penuh hambar. Sesungguhnya sebagai insan, OKU juga mempunyai hati dan perasaan yang menuntut mereka diberi peluang untuk meneruskan hidup.

          Takrif OKU ialah insan yang kurang bernasib baik kerana mengalami kecacatan kekal sama ada dalam bentuk kecacatan fizikal atau mental. Kecacatan fizikal seperti buta, pekak, cacat anggota, manakala cacat mental seperti ‘sindrom down’ dan tergencat akal. Mereka terpaksa mengharung suatu perjalanan sukar untuk hidup sempurna seperti golongan normal dek kecacatan yang dialami. Mereka mengalami perasaan rendah diri, tersisih daripada arus perdana masyarakat, dan sukar menghadapi kehidupan hari-hari mendatang tanpa sokongan ahli keluarga terdekat. Pada hari ini jumlah OKU di negara ini dalam semua kategori telah meningkat sehingga 4000 orang. Hal yang demikian, menunjukkan golongan tersebut tidak boleh dibiarkan meneruskan kehidupan dalam kedaifan. Mereka sepatutnya diberikan peluang untuk meneruskan hidup atas kudrat yang ada pada mereka atau dengan perkataan lain mereka harus berdikari.

          Anggapan lapuk masyarakat bahawa OKU tidak mampu menguruskan kehidupan mereka sendiri hendaklah dikikis daripada minda masyarakat. Pada hari ini, atas kudrat dan motivasi yang tinggi, golongan tersebut telah berjaya malah ada yang menjadi golongan profesional. Kemampuan personaliti seperti Allahyarham Dato Dr Ismail Ibrahim menjadi penasihat kepada beberapa syarikat korporat dan menjadi motivator kepada beberapa firma membuktikan golongan tersebut boleh hidup sendiri dan membina kerjaya yang baik. Walau bagaimanapun, di sebalik beberapa individu yang sudah berjaya itu, masih banyak OKU yang terbiar dan terpaksa bertarung dengan segala kepayahan untuk meneruskan hidup. Mereka bukan sahaja tidak mendapat pembelaan daripada masyarakat dan agensi tertentu yang ditugaskan, malah mereka tersisih juga daripada keluarga dan saudara mara sendiri.
          OKU bukan tidak berkemampuan. Malahan mereka lebih berkemampuan mengatasi orang-orang yang normal. Mereka berjaya menjadi pengusaha kraf seperti barangan rotan, buluh, kulit, dan kemahiran tangan. Malang sekali semua usaha untuk mendaki kejayaan tersebut adalah atas kudrat untuk ikhtiar hidup yang dilakukan secara bersendirian. Dalam usaha membela nasib golongan yang lemah tersebut amat sedikit bantuan yang diberikan sama ada oleh orang perseorangan mahupun agensi-agensi tertentu. Sekiranya orang normal pun memerlukan latihan yang intensif sebelum mereka boleh memberikan sumbangan, sudah tentu golongan OKU perlu diberikan perhatian yang lebih serius lagi. Malahan OKU  perlu menerima latihan dan bimbingan yang lebih terancang memandangkan mereka terpaksa berhadapan dengan risiko hidup yang lebih berat jikalau dibandingkan dengan golongan normal.

          Pada asasnya, OKU telah dikurniakan dengan keistimewaan tertentu. Allah yang maha berkuasa mentakdirkan mereka demikian, namun dalam situasi yang terselindung mereka memiliki sesuatu yang cukup istimewa. Bayangkanlah betapa kuatnya daya ingatan orang-orang buta yang mampu menghafal berjuzuk-juzuk ayat al-Quran dan demikian pula betapa mahirnya golongan cacat pendengaran melakukan kerja-kerja grafik seperti melukis, pertukangan tangan, dan melakukan literasi komputer. Kecacatan yang dialami bukan menjadi penghalang untuk mereka maju dalam semua perkara. Sebaliknya kecacatan tersebut memberi dorongan kepada mereka untuk menumpukan dalam aspek-aspek yang tertentu pula.

          Sikap memandang lekeh masyarakat terhadap OKU harus dikikis. Sikap jahil seperti itulah yang menjadi penghalang kita mengambil pendekatan berhemah untuk menyediakan kemudahan prasarana kepada OKU. Sehingga ke hari ini tiada sebuah institusi pun yang benar-benar memiliki kemudahan latihan yang mesra OKU. Jikalau adapun sekadar menumpang kemudahan sedia ada yang digunakan oleh golongan normal. Dalam bidang kemahiran dan profesional, semua IPT di negara ini tidak memiliki prasarana khusus untuk OKU. Bagi golongan pekak pula tiada suatu pun IPT dan institusi kemahiran yang menyediakan perantara khas bahasa isyarat untuk mereka. Walaupun Politeknik Johor Baharu telah dipilih sebagai institusi kemahiran untuk melatih OKU dalam kategori pekak, namun hingga ke hari ini IPT tersebut belum memiliki penterjemah bahasa isyarat yang profesional.

          Bagi membolehkan golongan tersebut tidak terus bergantung kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan, usaha bersepadu haruslah dijalankan segera untuk membantu mereka. Pihak berwajib terutama Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat hendaklah mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan untuk dibawa ke kabinet sebagai usaha mewujudkan suatu program khas bersepadu untuk golongan tersebut. Sudah tiba masanya, golongan tersebut sudah memiliki sebuah institut khusus yang menyediakan pelbagai latihan kemahiran dan profesional untuk mereka. Dengan wujudnya institusi seumpamanya baharulah golongan tersebut tidak perlu bersusah payah menumpang di institusi lain yang tidak mesra OKU.

          Sesungguhnya, tiada seorang insan pun yang mahu dirinya dipinggiri. Mereka mahu hidup bebas dan berdikari. Sebaliknya, takdir yang menentukan, justeru tiada sesiapa yang boleh menentang takdir. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh menidakkan ikhtiar untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka. Seandainya terus dibiarkan, mereka pasti menimbulkan pelbagai beban dan kesulitan kepada kita


TEMA 2: DIMENSI KELUARGA DAN MASYARAKAT

Soalan 1:
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

Rangka isi:  Tugasan : Peranan ibu bapa
1.      membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah
2.      membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara
3.      menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak
4.      meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah
5.      membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September

Jawapan lengkap

Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di  Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan  semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.  Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.


Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh sebab itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Misalnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.

Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa perlu  menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa  mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.  Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh sebab  itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan seperti  haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati   setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.

Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya,  apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar  cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik.  Jelaslah bahawa,  jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil  lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan  bahawa ‘ tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Tuntasnya, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

Soalan 2:
Peranan ibu bapa mengawal kegiatan anak-anak agar  melayari Laman sosial secara berhemah.

Rangka isi: Peranan ibu bapa

1.      mengehadkan waktu penggunaan
2.      memantau aktiviti anak-anak di laman sosial
3.      memberi nasihat tentang kebaikan dan keburukan laman sosial.
4.      mengisi masa lapang anak-anak dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah
5.      memastikan bahawa laman sosial yang dikunjungi oleh anak-anak tidak mempunyai sebarang unsur negatif

Jawapan lengkap:

Dalam era kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), penggunaan laman sosial semakin meningkat dari semasa ke semasa.  Laman sosial ini mula menjadi kegilaan remaja sejak Mantan Perdana Menteri ke-4 memperkenalkan dasar langit terbuka yang membawa kepada kewujudan MEASAT 1 dan MEASAT II.  Hal ini telah menyebabkan kemasukan teknologi internet ke Malaysia.  Laman sosial dapat didefinisikan sebagai satu medan perhubungan yang menggunakan teknologi internet.  Sebagai contoh, laman sosial seperti facebook, Twitter dan Instagram menjadi kegemaran segenap lapisan masyarakat.  Hal ini paling membimbangkan apabila golongan kanak-kanak dan remaja menjadi pengguna laman sosial paling kerap.  Bagi  menangani keadaan ini, ibu bapa harus bertindak sebagai orang yang paling akrab dengan anak-anak untuk memastikan mereka menggunakan laman sosial dengan berhemat.

Salah satu peranan ibu bapa bagi menghalang anak-anak menyalahgunakan laman sosial dalam perhubungan sosial ialah mereka haruslah mengehadkan waktu penggunaan.  Kebanyakan kanak-kanak dan remaja menggunakan internet dengan berleluasa disebabkan kebebasan waktu yang diberikan oleh ibu bapa.  Anak-anak akan menggunakan kemudahan laman sosial dengan sewenang-wenangnya.  Sebaliknya, jika ada penetapan waktu dilakukan oleh ibu bapa, anak-anak akan lebih berhemah menggunakannya.  Sebagai contoh, ibu bapa memperuntukkan masa selama satu jam bagi anak-anak bersosial di laman-laman tersebut.  Ibu bapa juga memberi syarat bahawa penggunaan laman sosial hanyalah bertujuan untuk mencari bahan-bahan yang berfaedah atau untuk kebaikan sahaja.  Hal ini supaya anak-anak menggunakan masa terhad itu secara berhemah dan tidak melekakan mereka.  Tujuan tersebut supaya mereka menghargai masa kerana masa itu emas.

Selain itu, ibu bapa perlulah sentiasa memantau aktiviti anak-anak di laman sosial.  Hal ini kerana kanak-kanak dan remaja masih setahun jagung dan berada dalam tempoh peralihan ke alam dewasa.  Caranya, ibu bapa boleh membuka akaun facebook, twitter dan  Instagram, atau menjadi pelayar di internet.  Tujuan ibu bapa berbuat demikian agar senang mengikuti perkembangan anak-anak semasa mereka melayari laman sosial tersebut.  Kanak-kanak dan remaja masih belum matang menyebabkan mereka kurang arif dalam membuat penilaian.  Ibu bapa merupakan insan yang bertanggungjawab memastikan kegiatan anak-anak tidak melampaui batas dan tidak terjerumus ke kancah jenayah siber.  Hal ini perlu agar nasi tidak menjadi bubur.  Ibu bapa perlu meneliti senarai kenalan anak-anak bagi memastikan mereka tidak tersilap dalam memilih kawan.  Perkara ini perlu diberi penekanan kerana kanak-kanak dan remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.  Ibu bapa seringkali memandang remeh akan hal ini kerana berpendapat kenalan atau rakan anak-anak di laman sosial tidak akan  dapat mempengaruhi anak-anak mereka kerana tidak wujud hubungan secara empat mata.  Namun, terdapat kes-kes yang melibatkan kanak-kanak dan remaja lari dari rumah atau kegiatan gejala sosial kebanyakannya berpunca daripada pengaruh rakan yang dikenali mereka di laman sosial.  Kejadian ini menjadi bukti yang jelas bahawa kegiatan qanak-anak di laman sosial perlu dipantau oleh ibu bapa dengan serius agar penggunaan laman sosial itu dilakukan secara berhemah.  Hal ini perlu supaya jangan nanti sudah terhantuk baharulah hendak terngadah.

Di samping itu, ibu bapa perlu memberi nasihat tentang kebaikan dan keburukan laman sosial.  Sebagai orang yang lebih matang dan lebih berpengalaman, ibu bapa haruslah meluangkan masa dengan memberitahu serta berbincang dengan anak-anak tentang kebaikan dan keburukan laman sosial dan kesan-kesannya kepada individu yang terlibat dalam proses melayari laman sosial tersebut.  Melalui pendekatan ini, anak-anak akan memahami dan mampu menbezakan antara perkara yanga baik dan buruk.  Pendekatan ini juga akan menjadi kanak-kanak dan remaja berasa mereka diperhatikan dan dipantau oleh ibu bapa.  Nasihat yang diberikan oleh ibu bapa akan membantu proses perkembangan potensi diri yang positif bagi anak-anak.  Ibu bapa boleh menggunakan isu-isu yang timbul melibatkan remaja hasil daripada pengaruh buruk laman sosial bagi memberi kesedaran kepada anak-anak.  Tegasnya, melalui cara ini, para remaja dan kanak-kanak akan lebih berhemah dan berhati-hati menggunakan laman sosial.

Seterusnya, ibu bapa mesti sentiasa mengisi masa lapang anak-anak dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah agar mereka tidak hanya menghabiskan masa menjadi pelayar internet sahaja.  Pelbagai kegiatan berfaedah boleh dirancang oleh ibu bapa seperti mengajak anak-anak ke taman permainan, ke tempat-tempat rekreasi untuk beriadah.  Aktiviti beriadah dan bersukan boleh dilakukan oleh ibu bapa bersama-sama anak-anak.  Ibu bapa juga boleh mendaftarkan anak-anak untuk menghadiri kelas-kelas yang menjalankan aktiviti seni seperti seni muzik, tarian, seni lukis ataupun mempelajari ilmu agama.  Bagi anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan awam, ibu bapa boleh menghantar mereka ke pusat tuisyen.  Hal ini bagi memastikan kanak-kanak dan remaja akan mengisi masa lapang dengan aktiviti lain dan mengurangkan penggunaan masa melayari laman sosial.  Kesibukan menjalani aktiviti lain akan mendorong penggunaan laman sosial dalam tempoh terhad dan lebih berhemah.

Langkah berikutnya,  ibu bapa perlu memastikan bahawa laman sosial yang dikunjungi oleh anak-anak tidak mempunyai sebarang unsur negatif.  Jika terdapat perkara-perkara yang tidak sesuai untuk anak-anak dalam laman sosial itu, ibu bapa perlulah menyekat penggunaan laman sosial tersebut.  Akses kepada sesuatu laman sosial dapat disekat menggunakan bantuan pihak terbabit seperti  Suruhanjaya Keselamatan Multimedia (SKMM) bagi menapis kandungan yang tidak bermoral.  Laman sosial yang menyiarkan perkara yang tidak bersesuaian dengan kanak-kanak dan remaja harus disekat bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan aktiviti tidak bermoral.  Jelaslah bahawa, ibu bapa perlu menyekat pengaksesan laman sosial yang menyiarkan unsur negatif bagi memastikan anak-anak menggunakan internet dengan berhemah.

Kesimpulannya, penggunaan laman sosial mampu membawa unsur positif dan negatif dalam diri kanak-kanak dan remaja.  Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah melestarikan pemikiran anak-anak agar mereka lebih berhemah.  Remaja dan kanak-kanak perlu dibentuk dari awal lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya agar mereka dapat menjadi insan yang berkualiti dan mempunyai minda kelas pertama.
           
  ( sumber daripada Cikgu Julius)