Monday, July 13, 2015

peranan ibu bapa merealisasikan budaya membaca dalam kalangan anak



Anda mengambil bahagian dalam pertandingan pidato peringkat sekolah. Tajuk pidato anda ialah “Ibu Bapa Pendorong Kepada Anak-anak dalam Merealisasikan Budaya Membaca.”Sediakan teks pidato itu selengkapnya.

Burung Kericip berterbangan di udara,
Bunga teratai terapung di lautan;
Lafazkan Bismilah pembuka bicara,
Selamat sejahtera saya ucapkan.
          Salam sejahtera saya rakamkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, Yang dihormati Tuan Pengetua SMK JD, guru-guru, rakan seperjuangan dan murid2 sekalian. Pada pagi nirmala ini, saya terlebih dahulu memanjatkan kesyukuran kepada hadirat Ilahi kerana dilimpahi rahmat untuk menyampaikan pidato yang bermakna ini. Mauduk pidato saya ialah xx.

Para hadirin sekalian,(IKUK)
          Membaca atau dalam bahasa Arab ‘iqra’ merupakan inti sari wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasullah SAW. Maksudnya ialah membaca agar dapat menerangi alam daripada kejahilan. Ilmu dalam bahasa Arab ialah calima yang bermaksud mengetahui sesuatu dalam kegelapan. Menurut Prof Dr HM Iskandar, tambahlah maklumat baharu setiap hari supaya mengelakkan diri daripada terperdaya. (I) Menurut profil laporan Perpustakaan Negara Malaysia(PNM) pada tahun 2010, secara puratanya penduduk Malaysia membaca 8 buah buku dalam setahun . Namun, penduduk di negara Jepun yang membaca buku telah mencecah  40 buah  dalam setahun. Statistik ini amat memalukan negara kita yang bersiap siaga untuk melangkah ke status negara maju menjelang 2020. (K) Tegal itu, Pelan Transformasi Pendidikan telah dilaksanakan melalui PPPM(2013-2025) dengan menyasarkan 6 aspirasi untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, sekali gus berilmu, beridentiti nasional, dan beretika. (U) Persoalannya, sejauh manakah ibu bapa memainkan peranan untuk merealisasikan budaya membaca dalam kalangan anak?
         
          Memang tidak dapat dinafikan, ibu bapa merupakan uswah hasanah yang dominan kepada anak. Ibu bapalah tempat pelindungan, tempatan luahan rintihan dan juga sandaran jiwa yang tiada tokok banding atau galang gantu lagi. Memetik sepotong hadis dalam surah Bukhari dan Muslim yang bermaksud,” anak dilahirkan secara fitrah,ibu bapalah yang mencorakkannya menjadi Yunani, Nasrani dan Majusi.” Dalam konteks budaya membaca, ibu bapa perlu menghayati konsep Kepimpinan Melalui Teladan yang diwara-warakan oleh mantan Perdana Menteri kita sejak tahun 1983.(A) Sebagai tamsilannya, ibu bapa seyogia mengerahkan ahli keluarga dan merangsang minat anak mereka dalam arah pembentukan keperibadian yang dahaga akan ilmu yang dimanifestasikan dalam sajak pendeta Za’ab;
Ilmu alat yang berguna,
idaman orang bijaksana;
hamparan luas terbentang saujana,
sempadan ajal tepian fana.
 Sebagai pemimpin di rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan platform untuk merangsang anak menyumbangkan idea dan perkongsian etos tentang ilmu yang terdapat dalam sesebuah buku. Penghargaan yang berbentuk pujian, motivasi dan dorongan mampu mengakulturasikan anak supaya bersebati dengan tabiat membaca. Yang dominannya, ibu bapa perlu mempamerkan sikap kerajinan dan sanggup melakukan refleksi diri agar menerapkan budaya membaca sebagai amalan sepanjang hayat. Tanpa kegigihan menuntut ilmu yang berkonsepkan keagamaan, yakni beribadat, berakidah dan berakhlak, budaya membaca sepanjang hayat mustahil diterjemahkan dalam rutin kehidupan kita. Mukhtasarnya, ibu bapalah pencorak karakter anak agar menjadi insan kamil yang lubuk akal tepian ilmu atau laut budi tepian akal.
         
            Sesungguhnya, ikon membaca kebangsaan merupakan sumber inspirasi dan motivasi untuk mendorong seseorang anak soleh ke arah yang positif. Sebagai ibu bapa mithali, perlulah menceritakan ikon membaca kebangsaan yang diiktirafkan, antara lainnya ialah Datuk Dr Sheikh Mustaphar Shukor, Datin Michelle Yeoh, Tun Dr Mahathir, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa. Tun Mahathir terkenal dengan sikap kegigihan untuk menuntut ilmu sehingga menyimpan koleksi buku yang tidak ternilai dalam khazanah gedung ilmu beliau di rumah. Tun Mahathir sanggup mengikat perut pada masa usia remajanya untuk membeli buku sebagai terapi mindanya. Sepanjang perjalanan di pesawat, beliau bersengkang mata untuk menghabiskan buku yang dibaca. Kejayaan mereka bukan bulat datang bergolek, nipis datang melayang tetapi berpegang pada prinsip sehari selembar lama-lama menjadi bukit. Kisah mencintai ilmu ini perlulah disebar luas melalui bibir ibu bapa. Tanpa ilmu, hidup akan kejumudan dan minda akan kecelaruan. Sambutan Hari Membuca Sedunia pada tanggal 23 April setiap tahun perlulah diraikan di rumah tangga. Sebagai ibu bapa yang berintektual tinggi, penulis terkenal seperti Mevlana Celaladdin Rumi dan Nasreddin Hodja perlulah dijadikan sebagai ikon dalam kehidupan anak sejak berhingus lagi.

Saudara dan saudari sekalian,         
          Dalam pembentukan minat membaca, anak mestilah membudayakan disiplin diri sehingga membiasakan diri dengan amalan membaca, bak pepatah alah bisa tegal biasa. Amsalnya, ibu bapa menjauhi sikap bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Sebagai pemimpin di keluarga, penerapan budaya membaca perlulah dijalankan melalui pembentukan jadual waktu belajar yang sistematik. Selepas penat membanting empat tulang di pejabat, keseimbangan masa antara kerja dengan hidup berkeluarga mestilah dicapai agar budaya membaca diterapkan melalui sesi muzakarah atau perbincangan dalam hidup berkeluarga. Tokoh motivasi, Datuk Dr Fadzillah Kamsah menegaskan bahawa amalan positif akan diterapkan selepas seseorang mengulangi perbuatan itu sebanyak 100 kali. Dalam erti kata lain, anak sekiranya dilatih membiasakan diri membaca buku pada waktu malam, selepas satu tempoh tertentu, anak akan bersebati dengan amalan mahmudah itu tanpa membazirkan masa. Bahawasanya, disiplin merupakan peraturan atau tatacara yang menatijahkan kejayaan dalam kehidupan seseorang. Tanpa tahap disiplin diri yang tinggi, segala impian terkecai dan pelaksanaan strategi hanya kandas terburai. Jelaslah bahawa ibu bapa mestilah melatih anak melalui pembudayaan disiplin yang secara langsung akan merealisasikan budaya membaca dalam rutin kehidupan anak mereka.

Para hadirin sekalian,
          Keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan akan menjadikan seseorang anak kamil yang biasanya mendekatkan diri kepada kesempurnaan dan amalan membaca. Walhal, ibu bapa merupakan mursyid kepada anak mereka. Sejak dalam alam rahim lagi, janin mestilah disalurkan budaya membaca melalui terapi muzik atau teknik psikoterapi oleh ibu bapa. Menuntut ilmu merupakan amalan ibadat dan wadah untuk bermunajat kepada Tuhan yang Maha Esa. Nabi Muhammad pernah bersabda,” tuntutlah ilmu sampai ke Negara Cina.” “sesiapa yang membaca pintu syurga akan terbuka.” Jika membuka sejarah keislaman, banyak tokoh keislaman menegaskan kepentingan membaca dalam kehidupan manusia. Contohnya Saidina Ali Abu Talib pernah mengatakan bahawa ilmu jika diperdagangkan akan bertambah, tetapi harta jika diperdagangkan akan berkurang. Maksudnya, ibu bapa wajarlah menjadikan anak sebagai khalifah di buana ini yang bakal menerajui pucuk kepimpinan negara. Sejak kecil lagi, anak mestilah dihadiahi surah, kitab dan sunah yang mengisahkan sifat kesabaran dan keimanan yang tinggi. Selepas solat berjemaah di rumah, ibu bapa digalakkan mengumpulkan ahli keluarga untuk perkongsian ilmu dan pengisahan cerita Nabi kepada anak soleh. Lebih-lebih lagi, sesi perbincangan atau penceritaan di sebelah katil sebelum tidur sejak azali lagi akan menanamkan minat membaca, bak pepatah melentur bulih biarlah dari rebungnya.

Hadirin yang dikasihi,
          Akhirnya, ibu bapa perlu meluangkan masa menemani anak mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa PWTC  yang diadakan setahun sekali sempena Hari Buku Sedunia. Koleksi buku yang heterogen bagai akal lautan budi tepian akan mengagumkan anak untuk menyelami aura yang mencintai ilmu. Ilmu merupakan perawat kesunyian dan penghibur lipur lara dalam mengendalikan bahtera kehidupan di tengah samudera. Selain itu, setiap rumah tangga mestilah menyediakan prasarana yang lengkap seperti perpustakaan mini dan kemudahan untuk akses maklumat dalam dunia maya. Kemudahan jalur lebar di rumah akan memudahkan akses kepada dunia membaca dalam kalangan anak. Pada era globalisasi ini, budaya membaca perlulah diarusperdanakan melalui peranti elektronik seperti e-book, tablet dan telefon pintar yang berinteraktif dan animatif. Sebagai guru pertama di rumah tangga, ibu bapa mestilah mencelikkan mata dan memanfaatkan dunia teknologi maklumat dengan memupuk minat membaca dalam kalangan anak. Walakin begitu, ibu bapa mestilah menetapkan kata laluan dan perisian antipenggodaman dalam perisian komputer. Memanglah, melangkah ke gedung ilmu elektronik, segala informasi dapat kita jangkau tanpa sempadan. Namun perlulah batasannya melalui kebijaksanaan dan daya kepemimpinan seseorang ibu bapa.  

          Pendek kata, ibu bapa merupakan peran dan pembentuk sahsiah diri anak yang utama. Memetik sepotong hadis yang bermaksud,” seorang anak Adam selepas meninggalkan dunia, terputuslah segala-galanya, hanyalah anak soleh yang berdoa sejahtera kepada ibu bapa, ilmu yang memanfaatkan dan amal jariah.” Jelaslah bahawa ibu bapa berperanan untuk melahirkan anak soleh atau solehah yang mencintai ilmu dan mentaati warisan tradisi budaya yang berintipatikan amalan membaca. Kualiti hidup tinggi berdasarkan tiga komponen yang utama, iaitu harga kendiri tinggi, hubungan interpersonel yang tinggi dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah rumit. Musim berubah zaman beralih, ilmu merupakan wadah untuk mentransformasikan ekosistem baik di duniawi atau di akhirat. Sama ada menjadi pendeta yang berilmu tinggi mahupun musafir yang kejahilan ilmu,  terpulanglah obligasi insan yang bergelar ibu bapa untuk melakar kehidupan seorang anak yang dilahirkan ibarat kain suci kudsi. Nampaknya sudah cukup panjang lebar saya terangkan. Sampailah masa saya berundur diri dengan menghulurkan sepuluh jari sekiranya saya terlanjur kata.
Sekian, terima kasih.