Tuesday, August 18, 2015

persediaan SPM 2015 - 1




Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.
Petikan gurindam di atas menjelaskan perlunya bersifat sabar dalam diri seseorang. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan-kepentingan bersabar dalam melaksanakan sesuatu tugas.

       Sifat bersabar merupakan perencah untuk mengharungi sebarang onak duri dengan tabah dan penuh keyakinan.(I) Kesabaran ditakrifkan sebagai hati nurani yang sanggup membuat sesuatu dengan akal budi yang waras dan melunaskan tanggungjawab secara beristiqamah.(I) Memanglah kita sedia maklum bahawa sifat bersabar semakin dibadai arus perdana lantaran persekitaran pada marcapada yang sarat dengan konkurensi dan parasit epidemik yang melanda kehidupan kita secara halimun.(K) Sesungguhnya, kita patut menyedari bahawa hidup kini memerlukan sifat bersabar agar melepaskan diri daripada belenggu dan menuju ke terowong yang penuh dengan akidah. (U) Secara sedar atau tidak, sudah sampai masa kita membenamkan mata fikir untuk merenungi kepentingan sifat bersabar dalam melaksanakan sesuatu tugas yang diamanahkan.(K)

Biarlah sabar dengan perlahan,
Itulah tanda orang beriman,
Tidak patah digoncang iblis,
Pastilah anda berjaya.
       Pantun nasihat di atas memanifestasikan bahawa sifat kesabaran sebahagian daripada keimanan. (A) Maklumlah bahawa keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan mampu mendorong kita ke arah kebahagiaan dan mendekati nur Tuhan. (M) Tanpa keimanan, hidup kita akan senang terperdaya oleh hasutan syaitan yang mampu menghanyutkan kita ke pulau hana yang lompong. (K1) Contohnya, seseorang yang tidak dapat menyabarkan diri lumrahnya menunjukkan sifat riak dan takbur justeru sanggup membelakangkan taufik dan hidayah Tuhan. (C) Izharnya, kedaifan perspektif dalam keagamaan biasanya membawa diri ke arah azab sengsara pada hari kiamat, hal ini ditunjukkan dalam riwayat Nabi Adam. Iblis yang tidak bersujud kepada nabi akan diusir dari syurga. Manifestasinya, sifat kesabaran tuntutan semua agama dan sebahagian daripada amalan ibadat supaya hidup kita tetap disuluhi rahmat dan keredaan daripada Tuhan yang Maha Esa.(P)

       Sedia kita maklum bahawa, kewarasan fikiran dan kecerdasan emosi terjana daripada keseimbangan perkembangan kendiri, manakala sifat kesabaran merupakan pasak kepada pertumbuhan peribadi yang afdal. Walhal, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah menggarisi kemahiran memimpin sebagai agenda aspirasi murid yang ke-6. Jelaslah bahawa kemahiran memimpin berlandaskan kriteria berdaya tahan tinggi, keusahawanan, komunikasi dan kecerdasan emosi. (M) Dalam konteks ini, pakar motivasi Datuk Dr Fadzilah Kamsah telah menukilkan bahawa kesabaran dan daya tahan merupakan perencah dalam kehidupan agar hidup kita sering kali tenang dan dijauhi sebarang konflik dan pergeseran. (C) Contohnya, dalam program kesukanan dan kecergasan, banyak aktiviti tahan lasak menguji ketahanan seseorang demi menempuh cabaran yang di luar batasan. Program Rakan Muda seperti Rakan Sukan dan Kecergasan menawarkan kursus yang menguji daya tahan generasi muda baik dari segi pemikiran mahupun ketahanan jasmani semasa melayarkan bahtera di samudera yang saujana mata memandang. Kusangka panas sampai ke petang,rupanya hujan di tengah hari. Bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak berombak. Kedua-dua kata orang tua-tua ini mencerminkan fitrah kehidupan kerana kehidupan ibarat roda, sekejap atas sekejap di bawah. (C) Sekiranya generasi muda ditarbiah  untuk memperkasakan kesabaran dan ketabahan diri dalam semua aspek, nescaya generasi muda akan mampu menerajui tampuk kepimpinan negara dengan tenang dan mampu berfikir atau bertindak di luar kotak pemikiran yang horizontal. (K) Mukhtasarnya, kecergasan fizikal dan kecerdasan minda merupakan kayu ukur kejayaan seseorang pelapis negara yang selalu tenang dan bersabar semasa menempuh cabaran dalam kehidupan. (P)

       Dalam mendepani kepantasan ledakan maklumat, remaja kini terpaksa bijak dalam menepis dan menapis godaan yang menjalari kehidupan mereka. Maka, sifat kesabaran akan menenggelamkan kecelaruan minda dan jiwa yang gelodak. (A) Dalam hal ini, jati diri yang kental merupakan prasyarat kepada seseorang pelapis generasi untuk menentukan hala tuju diri dengan tabah. (M) Menurut Dr Naquid Al-Attas bahawa kecelaruan minda dan krisis identiti yang melanda generasi muda disebabkan keimanan yang menipis. Dalam ilmu antropologi, jati diri merupakan perwatakan yang dikenali oleh mata kasar masyarakat. Jelaslah bahawa kesabaran mampu membina jati diri seseorang individu yang unggul. Hal ini dibuktikan oleh Ai-Biruni yang sanggup menerokai bahasa Hindu di negara India demi menguasai multidisiplin ilmu dalam kehidupan. (M) Maka, seseorang yang berjati diri teguh akan mengakulturasi dan mengasimilasi setiap perbezaan dalam kehidupan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa sifat bersabar akan menentukan naluri diri yang terus menggapai kejayaan. (K) Bahawasanya,generasi muda memerlukan daya tahan yang teguh dan kesabaran yang tinggi supaya mampu memartabatkan identiti diri pada puncak kegemilangan agar tidak mensia-siakan usia remaja yang harganya memang tidak terperi.  (P)

       Untuk mendepani alam fana yang pantas berubah, sifat keterbukaan untuk menerima sebarang tohmahan dan kritikan amatlah diperlukan agar kehidupan kita tidak jumud dan menyendiri bagai kera sumbang. (A) Dalam menongkah arus globalisasi tanpa sempadan, nasihat dan tunjuk ajar akan mendorong kita ke arah kebahagiaan. Hal ini pernah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad apabila baginda sanggup menahan cabaran seorang pendeta Yahudi yang menagih hutang daripada-Nya. (C) Kesabaran dalam konteks yang lebih luas lagi, bukan sahaja sanggup menerima sebarang yang tidak baik, malahan sanggup bertahan kepada sebarang pujian dan penghargaan dalam kehidupan. (M) Kadangkala, pujian demi pujian akan mendorong kita melupakan diri sehingga memusnahkan hati nurani kita yang suci kudsi. (K) Dalam kata lain, sifat kesabaran mampu membentuk sahsiah diri seseorang yang berminda kelas pertama waima bersikap tawaduk sekalipun kaki mencecah ke layar kecemerlangan. (P)

       Akhirnya, sifat kesabaran selain memenangi penghormatan dan kesayangan daripada kawan di sekeliling, malahan meningkatkan ikatan pepaduan sesama kaum yang berasal daripada ideologi dan sosioekonomi yang heterogen.(A) Dalam hal ini, peristiwa pecah belah yang pernah tercetus pada zaman darurat merupakan cerminan masyarakat yang tidak sabar untuk berunding dan bermuafakat semasa berdepan dengan hasutan yang datang secara diam-diam.(C) Dalam lingkungan kehidupan yang dilingkari dengan akal budi dan kewarasan pertimbangan, setiap insan merupakan khalifah yang dicipta oleh Tuhan. Manusia berbeza daripada binatang kerana mempunyai benak fikiran dan akal yang mampu membuat pemikiran yang rasional.(M) Walhasil, semasa berdepan dengan situasi yang meledak, kita perlulah menenteramkan diri agar tidak bertindak secara semberono dan sekadar mengikut perasaan kerana
ikut hati mati,
ikut rasa binasa,
ikut mata leta,
ikut nafsu lesu.
Ijmalnya, peristiwa Low Yat baru-baru ini merupakan peledak yang memerlukan kefahaman bahawa masyarakat kita memerlukan sifat kesabaran supaya terus megah di persada jagatraya. Usahlah disebabkan fahaman cauvinisme  dan ekstremis, kita membejatkan diri dalam pidana.

       Akhirulkalam, kesabaran merupakan teras kekuatan masyarakat dan sendi ikatan kesatuan antara individu, khususnya pada zaman atom yang disarati dengan godaan iblis.(R) Usahlah kita menderhakai nasihat Tuhan atau bersifat riak kerana segala dosa dan pahala bakal ditentukan di pintu keadilan.(A) Memetik kata pujangga Cina, kesabaran penentu kejayaan dan kewujudan peluang keemasan. Manifestasinya, hidup ini ibarat perlumbaan. Jatuh bangun atau turun naik nasib kita bergantung pada takdir Tuhan. Namun, berkat kesabaran dan kegigihan, kejayaan tetap akan terbuka kerana kesabaran tangga kejayaan. (H/C)
Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Monday, August 17, 2015

Novel skop penting 2015 dan sample jawapan





Berdasarkan novel yang anda pelajari,  huraikan nilai tanggungjawab dalam novel tersebut.  (7m)


AZFA HANANI
KEMBARA AMIRA
tanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan. Buktinya, Azfa Hanani telah melaksanakan tugas sebagai pengerusi forum Hari Sumbangsih dengan cemerlang sekali.

tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan. Buktinya, Azfa Hanani tetap mengeposkan buku-buku rujukan SPM yang “dipinjamnya” itu kepada Cikgu Zamin.

tanggungjawab untuk membahagiakan orang lain. Buktinya, Azfa Hanani sanggup menyamar sebagai Tengku Murni kerana bertanggungjawab untuk memastikan Datin Maziah kembali pulih daripada tekanan perasaan yang dihadapinya.
nilai tanggungjawab terhadap kesejahteraan hidup orang lain. 
Contohnya Ludin menunaikan tanggungjawab menjaga anak saudaranya Itai setelah Tau mengambil keputusan untuk menyendiri di dalam hutan kerana malu dengan tindakan isterinya Ipah melarikan diri. 

Nilai tanggungjawab terhadap ahli keluarga dipaparkan melalui hubungan antara Profesor Zaidah dan Amira.  Profesor Zaidah berasa risau setelah Amira dihanyutkan oleh arus deras dan apabila Amira menangis kerana risau akan Jacinta yang pengsan, Profesor Zaidah memeluk dan membelai Amira untuk menenangkannya. 

Tanggungjawab menjaga khazanah alam dilaksanakan oleh Malique yang telah mencipta virus sendiri bagi menggagalkan projek mencari emas oleh John O’hara yang boleh memusnahkan hutan tersebut.

 

     Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari,  jelaskan satu contoh peristiwa berkaitan teknik saspens yang terdapat dalam setiap novel.  (8m)
AZFA HANANI
KEMBARA AMIRA
Peristiwa Pertemuan Azfa dengan datin Maziah buat kali pertama
Ketika Syafinaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Datin Maziah sudah sedar dan dia mengajak Azfa Hanani turun menemui Datin Maziah. Azfa Hanani berdebar-debar semasa menuruni anak tangga. Pembaca tertanya-tanya tentang apakah reaksi Datin Maziah apabila melihat Azfa Hanani buat kali pertama.

Peristiwa Azfa dipanggil ke bilik Pengetua
Azfa yang telah melakukan kesalahan mencuri buku gelisah apabila dipanggil ke bilik pengetua.  Tambahan pula,  pencuri buku di perpustakaan telah dikenal pasti oleh pihak sekolah.  Pembaca tertanya-tanya tujuan Azfa dipanggil, sama ada berkaitan dengan buku yang hilang atau sebaliknya.

Peristiwa terbongkarnya penyamaran Azfa Hanani
Datin Maziah mengetahui penyamaran Azfa setelah mendengar pergaduhan antara Azfa dengan anaknya Tengku Muzaffar.  Pembaca tertanya-tanya tentang peristiwa seterusnya yang bakal menimpa Azfa.
Peristiwa Amira terjatuh ke dalam sungai
Pembaca berasa suspens dengan peristiwa Amira terjatuh ke dalam sungai setelah tergelincir dari batu yang licin. Pembaca suspens sama ada Amira selamat atau sebaliknya.

Peristiwa Amira diselamatkan oleh Itai dan Tau
Amira telah diselamatkan oleh orang asli yang tidak dikenali.  Pembaca dan watak Amira sendiri suspens apabila diselamatkan oleh dua Orang Asli sama ada mereka jujur atau sebaliknya.

Kehilangan Jacinta juga satu suspens.
Pembaca dan Amira tertanya-tanya ke masa Jacinta menghilang.

Peristiwa cemas semasa kenderaan yang dipandu oleh Pak Lias ketika menuruni bukit menyebabkan pembaca berasa suspens. Apakah mereka akan jatuh ke dalam gaung yang dalam?

Gerakan mencari Malique juga satu suspens sama ada Malique berjaya dijumpai atau sebaliknya dia mengalami nasib yang sama seperti pemandu lori balak atau pekerja O’Hara yang hiang.

 

Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari,  nyatakan kritikan sosial yang terdapat dalam setiap novel tersebut.   (8m)
AZFA HANANI
KEMBARA AMIRA
a. Masyarakat yang mementingkan darjat.
Tengku Muzaffar menghalang hubungan adiknya Tengku Murni dengan Ekran kerana menyangka Ekran berasal daripada keluarga miskin.

b. Masyarakat yang buruk sangka.
Datuk Tengku Makmur menghina Azfa Hanani dengan mengatakan Azfa Hanani hanya bekerja menyamar sebagai Tengku Murni untuk mendapatkan upah. Beliau telah mencampakkan wang berjumlah RM500.00 kepada Azfa Hanani sebagai upah.

c. Masyarakat yang terlalu mengikut perasaan.
Datin Maziah bertindak mengikut perasaan dengan menampar Azfa Hanani dan menghalaunya keluar dari rumah tanpa memberi peluang kepada Azfa Hanani untuk menjelaskan hal sebenar.

d. Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
Iskandar mendesak Azfa Hanani agar menaiki motosikal bersamanya kerana dia mahu menghantar Azfa Hanani pulang ke rumah sedangkan perbuatan itu dianggap kurang wajar kerana berlaku pergaulan bebas.


a.  Sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan kerja sehingga mengabaikan perasaan anak.
Profesor Zaidah terlalu memberi perhatian kepada kerjayanya iaitu sibuk menjalankan kerja cari gali arkeologi di Desa Karpus sehingga anaknya Amira hampir lemas dibawa arus sungai. Sikap Profesor Zaidah ini mendapat teguran Pak Lias.

b. Masyarakat yang mudah percaya kata-kata dan pujukan orang lain.
Ludin membenarkan Johnny meneroka gua yang begitu disayangi oleh Tau. Ludin termakan dengan kata-kata manis Johnny sehingga akhirnya Johnny membawa lari Ipah dan Sabi.

c. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga.
Ipah sanggup meninggalkan suaminya Tau dan anak kecilnya Itai kerana mengikut Johnny setelah sekian lama tinggal bersama-sama masyarakat Orang Asli. Tindakannya ini menyebabkan Tau tinggal kesunyian dan hidup menyendiri di dalam hutan.

Wednesday, August 12, 2015

PENGGUNAAN TANDA PETIK DAN TANDA PETIK TUNGGAL “...” dan ‘...’

PENGGUNAAN TANDA PETIK DAN TANDA PETIK TUNGGAL “...” dan ‘...’

1. Keadaan ini bak peribahasa “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”.

2. Keadaan ini bak peribahasa ‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’.

3. “Saya suka membaca majalah “Pelita Bahasa” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,” kata murid itu kepada gurunya.

4. “Saya suka membaca majalah ‘Pelita Bahasa’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,” kata murid itu kepada gurunya.

Lihat ayat 1 hingga ayat 4 di atas dengan teliti, terutamanya penggunaan tanda petik(“...”) dan tanda petik tunggal (‘...’) yang biasa kita lihat dalam wacana, karangan, teks waima media cetak di manjapada.

Berapakah orang guru dan murid yang menggunakan tanda baca ini secara bertukar-tukar? Keadaan ini amat membimbangkan kerana setiap tanda baca mempunyai fungsi yang tersendiri. Oleh hal yang demikian, eloklah kita pulang ke asas tanda baca untuk mengenali dan menghayati penggunaannya.

Tanda petik ("...") digunakan untuk mengapit cakap ajuk, petikan langsung daripada naskhah atau bahan bertulis. Mengapit judul rencana, karangan, puisi, atau bab buku yang dipakai dalam ayat selain mengapit istilah ilmiah atau kata yang mempunyai erti khusus.
Tanda petik tunggal (‘...’) digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit tanda petik. Sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi 3 halaman77.

Kesimpulannya, ayat 1 dan ayat 4 betul dari segi penggunaan tanda petik dan tanda petik tunggal.

Gunakanlah tanda baca yang betul sesuai pada ayat demi usaha menstandardkan penggunaan tanda baca dalam kalangan pengguna bahasa. Ingatlah bahawa tanda petik tunggal (‘...’) hanya boleh hadir dalam apitan tanda petik. ("...").

Formulanya ialah “..................... ‘...’........................”, kata Cikgu Syarifah Aini.