Wednesday, August 12, 2015

PENGGUNAAN TANDA PETIK DAN TANDA PETIK TUNGGAL “...” dan ‘...’

PENGGUNAAN TANDA PETIK DAN TANDA PETIK TUNGGAL “...” dan ‘...’

1. Keadaan ini bak peribahasa “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”.

2. Keadaan ini bak peribahasa ‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’.

3. “Saya suka membaca majalah “Pelita Bahasa” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,” kata murid itu kepada gurunya.

4. “Saya suka membaca majalah ‘Pelita Bahasa’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,” kata murid itu kepada gurunya.

Lihat ayat 1 hingga ayat 4 di atas dengan teliti, terutamanya penggunaan tanda petik(“...”) dan tanda petik tunggal (‘...’) yang biasa kita lihat dalam wacana, karangan, teks waima media cetak di manjapada.

Berapakah orang guru dan murid yang menggunakan tanda baca ini secara bertukar-tukar? Keadaan ini amat membimbangkan kerana setiap tanda baca mempunyai fungsi yang tersendiri. Oleh hal yang demikian, eloklah kita pulang ke asas tanda baca untuk mengenali dan menghayati penggunaannya.

Tanda petik ("...") digunakan untuk mengapit cakap ajuk, petikan langsung daripada naskhah atau bahan bertulis. Mengapit judul rencana, karangan, puisi, atau bab buku yang dipakai dalam ayat selain mengapit istilah ilmiah atau kata yang mempunyai erti khusus.
Tanda petik tunggal (‘...’) digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit tanda petik. Sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi 3 halaman77.

Kesimpulannya, ayat 1 dan ayat 4 betul dari segi penggunaan tanda petik dan tanda petik tunggal.

Gunakanlah tanda baca yang betul sesuai pada ayat demi usaha menstandardkan penggunaan tanda baca dalam kalangan pengguna bahasa. Ingatlah bahawa tanda petik tunggal (‘...’) hanya boleh hadir dalam apitan tanda petik. ("...").

Formulanya ialah “..................... ‘...’........................”, kata Cikgu Syarifah Aini.

No comments: