Saturday, October 4, 2014

SPM Percubaan - 2

SPM 2014-2. Anak-anak boleh membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Selaku pengerusi kelab pengguna di sekolah, anda diminta menyampaikan ucapan tentang langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak. Tuliskan ucapan anda selengkapnya.

Salam sejahtera dan selamat pagi. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang, dif-dif jemputan, guru-guru, dan seterusnya saudara saudari rakan-rakan seperjuangan. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi atas limpahan-Nya dapat kita berkumpul di Dewan Wawasan SMK JD pada pagi yang nirmala ini.

Hadirin sekalian,
Tikar pucuk tikar mengkuang,
 Alas nikah raja Melayu,
 Ikan busuk jangan dibuang,
 Buat perencah sidaun kayu.
          Pantun di atas membawa maksud sesuatu yang kurang baik atau rosak janganlah dibuang kerana berkemungkinan masih boleh digunakan. Sewajarnya, berjimat cermat atau hemat berbelanja merupakan resipi utama untuk menangani krisis kegawatan ekonomi yang semakin genting berikutan dengan kenaikan harga minyak yang baru-baru diumumkan oleh Dato’Sri Najib Tun Razak. Taraf hidup yang semakin meningkat telah membawa tempias kepada kos sara hidup yang menekankan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  telah melancarkan Kempen Jom Membawa Bekalan ke sekolah pada bulan April 2014. Selaku pengerusi Kelab Pengguna, saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ucapan yang bertemakan langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak demi kesejahteraan hidup dan keharmonian rumah tangga.
          Bagi mengurangkan bahang krisis ekonomi yang gawat , tidak lain dan tidak bukan, kita mestilah  meningkatkan pengetahuan dan cakna dengan hak kita sebagai pengguna. Dengan kemajuan teknologi dan pembangunan yang pesat, corak dan budaya hidup juga telah berubah. Malah trend hidup ini menyumbang ke arah pembaziran dan akhirnya meningkatkan kos sara hidup sesebuah keluarga. Untuk mengelakkan bebanan ekonomi yang ditanggung oleh ibu bapa, kita mestilah bijak dalam hal ehwal kepenggunaan. Pelajar perlu menjadi pengguna bijak yang boleh membezakan antara keperluan dan kehendak. Contohnya, dalam pembelian seharian, sentiasa membuat perbandingan harga, memilih perkhidmatan yang terbaik, membuat pilihan yang tepat serta membeli barangan yang berkualiti kerana alah membeli menang memakai.
           Sebenarnya amalan berjimat cermat dalam sesebuah keluarga banyak bergantung pada sikap kerjasama dan mempunyai persefahaman yang sama. Sebagai ketua keluarga, ibu bapalah yang berperanan untuk menyediakan belanjawan kewangan keluarga manakala anak mestilah dibawa berunding bersama. Melalui belanjawan kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Anak mestilah disuntik kesedaran bahawa ketiadaan belanjawan kewangan akan menyebabkan kita membeli apa-apa sahaja yang difikirkan menarik tanpa menyedari tabungan semakin berkurangan. Malah, perancangan kewangan penting untuk pengurusan masa depan anak. Ramai daripada kita suka makan di luar atas alasan masing-masing sibuk bekerja. Amalan tersebut tidak salah, tetapi perlulah berpada-pada kerana hemat pangkal kaya, sia-sia hutang tumbuh. Oleh itu, ibu bapa dicadangkan masak sendiri di rumah untuk makanan keluarga. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga dan lebih terjamin kebersihannya. Manakala anak mestilah bersama-sama membantu emak untuk menyediakan sajian atau membersihkan pinggang mangkuk selepas menjamu selera. Perbuatan ini bagai menyelam sambil minum air kerana hubungan mawaddah akan semakin rapat sekali gus bebanan ekonomi rumah tangga juga akan mengurang.
Hadirin yang dikasihi,
          Selari dengan matlamat Dasar Pengguna Negara 2020, Program Pendidikan Kepenggunaan memberi fokus kepada usaha membudayakan amalan berjimat cermat dalam merancang perbelanjaan harian. Sejak peringkat akar umbi, pelajar telah dididik tentang aspek pengurusan kewangan dan amalan pemakanan sihat, sama ada melalui modul di dalam kelas atau aktiviti kokurikulum. Oleh itu, Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjayakan Kempen “Jom Bawa Bekal Ke Sekolah”. Untuk mengurangkan bebanan ekonomi keluarga, anak mestilah menyahut seruan pihak kerajaan sebagai langkah menjimatkan wang saku harian. Anak juga akan dapat menikmati pemakanan seimbang yang disediakan dari rumah masing-masing.
          Sewajarnya, anak mestilah memahami bahawa hubungan manusia dengan alam sekitar adalah secara simbiosis. Negara kita masih tidak berjaya mencapai sasaran untuk menjayakan program kitar semula jika berbanding dengan negara yang mesra alam seperti Jerman dan Norway. Malaysia adalah antara negara dengan kadar tertinggi 'Single-Occupancy Vehicles' (SOV) di dunia.Manakala masalah pelupusan sampah semakin kronik seolah-olah tidak terasing lagi dalam kehidupan kita. Anak perlulah dididik supaya memahami bahawa barangan buangan bolehlah dikitar semula supaya menjanakan pendapatan untuk menampung kos sara hidup harian justeru mengurangkan kos perbelanjaan rumah tangga. Contohnya, buku rujukan bolehlah dipinjam daripada pusat sumber dan bukan semata-mata untuk membeli buku yang baharu sahaja. Ijmalnya, tindakan ini akan menerapkan kesederhanaan sikap dan keluhuran akal budi dalam perbelanjaan seharian.
Hadirin sekalian,
          Selain mempunyai ilmu kepenggunaan, mendisiplinkan diri dalam perbelanjaan, mendukungi Kempen Membawa Bekalan ke Sekolah, mempraktikkan Program Kitar Semula, anak juga mestilah diberikan didikan agama sejak kecil lagi. Falsafah masyarakat jahiliah seakan-akan telah menerjah benak minda generasi muda pada zaman pascamodenisasi ini. Pengagungan jenama yang bercorakkan budaya Barat seperti makanan francais.Maka, anak mestilah dididik supaya mengamalkan gaya hidup yang bercorakkan nilai kesederhanaan dan budaya berhemat dalam berbelanja. Kata hadis, pemborosan ialah kawan syaitan telah memanifestasikan bahawa sikap pembaziran bukan sahaja dilaknat oleh Tuhan malahan akan meranapkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat kita. Falsafah ‘rezeki secupak menjadi segantang’ telah lama lenyap ditelan arus pemodenan kerana hidup masyarakat kini lebih bertunjangkan kehendak dan bukan lagi berasaskan keperluan asas. Bayangkanlah, peranti teknologi mewah seperti telefon bimbit sering ditukar-tukar oleh generasi muda tanpa mempedulikan harga mahal. Tegasnya, anak mestilah dilengkapi dengan keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan sejak kecil lagi kerana hanyalah berhemat akan menjamin kecerahan masa depan.        

          Sebagai penghias penutup bicara, memanglah membimbangkan apabila jumlah kes kebankrapan meningkat saban tahun daripada 16,228 orang pada tahun 2009 kepada 21,987 orang pada tahun 2013. Mengikut data tahun 2012 daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, kes kebankrapan turut dialami oleh belia yang berumur di bawah 25 tahun iaitu seramai 130 orang, manakala seramai 3,970 orang berusia antara 25-34 tahun. Memandangkan keseriusan situasi ini, kerajaan mengumumkan satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat. Sebagai anak yang diamanahkan oleh Tuhan untuk menyerikan rumah tangga dan membahagiakan kedua-dua ibu bapa mestilah menggalas obligasi mutlak supaya menanggung bebanan ekonomi ibu bapa bersama pada pundak sejak kecil lagi. Keadaan bagai ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan mestilah ditangani bersama ahli keluarga kerana hanyalah sehati sejiwa dan sederap langkah akan membawa kesejahteraan dan kejayaan kita pada hari muka.

Saudari dan saudari sekalian,
Berhujah sudah, berdebat pun sudah,
Hujah harap bernas sentiasa;
Andai hadirin terasa gundah,
Maafkanlah segala keterlanjuran saya.

Sekian, terima kasih.


leave your name here if you copy this essay

No comments: