Saturday, October 4, 2014

Percubaan SPM 2014 -7 ( Cara Keluarga Bahagia)

Sering ini kcukenang, pada masa yang berat,
Pada kala hidup mendesak dan nyaris aku sesat,
Melintas gambar ibuku, sewaktu bertelut,
Kembali sayup kudengar.... Namaku disebut.

Baris-baris dalam lirik lagu di atas telah membawa persoalan yang amat bermakna untuk semua umat manusia. Hal ini demikian kerana semua orang akan mengalami pengalaman yang sama seperti lirik lagu tersebut. Apabila kita menghadapi pelbagai masalah, anggota keluarga akan sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kita. Oleh itu, keutuhan institusi keluarga sangat penting untuk melahirkan masyarakat yang harmoni. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk menyuburkan ikatan kekeluargaan yang semakin longgar itu kembali sebagai akibat perubahan zaman?

Kerajaan seharusnya mengambil langkah perdana untuk merancakkan kempen-kempen kesedaran yang telah lama dilaksanakan tetapi hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Contohnya, pelbagai aktiviti yang melibatkan peryertaan anggota keluarga harus diadakan dari semasa ke semasa terutamanya pada hari minggu seperti sukaneka dan mengadakan pelbagai pertandingan dengan menyediakan hadiah yang lumayan. Dengan ini, hubungan kekeluarga dapat dieratkan di samping dapat mengisi masa yang terluang dengan lebih bermakna persis peribahasa menyelam sambil minum air.

Seterusnya, ibu bapa perlulah mengikis sikap mereka yang lebih mementingkan kerjaya dan mementingkan materialistik berbanding dengan kehidupan keluarga mereka. Kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menyebabkan ibu bapa terpaksa keluar bekerja untuk menampung keperluan kehidupan keluarga. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai masa yang cukup untuk berkomunikasi dan mengambil berat akan keadaan anggota keluarga mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah meluangkan masa yang lebih banyak untuk keluarga mereka seperti berkelah dan melancong pada musim cuti persekolahan atau cuti hujung tahun supaya hubungan tidak akan menjadi semakin renggang.

          Media massa pula sewajarnya mengorak langkah dengan lebih banyak menayangkan filem dan drama yang bertemakan kekeluargaan. Pada zaman yang dilingkari oleh kemajuan sains dan teknologi, filem-filem yang bertemakan kekeluargaan semakin dipinggirkan kerana dianggap sebagai sesuatu yang telah ketinggalan zaman. Yang sebenamya, filem-filem ini haruslah ditayangkan secara berterusan bak kata mutiara, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas kerana filem-filem ini menerapkan pelbagai nilai murni yang semakin luntur dalam kalangan masyarakat sekarang.

          Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh mengabaikan peranan pihak sekolah sebagai institusi pendidikan formal untuk mengatasi isu keruntuhan institusi keluarga yang semakin menjadi-jadi. Nilai- nilai kekeluargaan perlu diterapkan kepada anak- anak yang baru berumur setahun jagung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, guru-guru di sekolah seharusnya mengambil pelbagai inisiatif untuk menerapkan nilai-nilai seperti sayang- menyayangi, hormat-menghormati, dan toleransi dalam kalangan murid agar sifat-sifat terpuji ini dapat dipraktikkan di rumah.


          Kesimpulannya, keluarga yang bahagia dapat diwujudkan sekiranya semua pihak bekerjasama dan mengabaikan sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan cara yang lebih bersunguh-sungguh maka masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan dan imej negara dapat ditingkatkan di persada dunia kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

No comments: