Saturday, October 4, 2014

Percubaan SPM 2014 - 11

Semasa cuti persekolahan remaja digalakkan membantu keluarga masing-masing. Jelaskan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk membantu keluarga semasa cuti persekolahan.

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Kalau keluarga bersatu hari,
Kerja payah jadi senang.
Pantun di atas memanifestasikan bahawa daya usaha antara ahli keluarga akan meleraikan semua permasalahan yang ditanggung kerana sepakat membawa berkat. Suatu hadis ada menyatakan, “kehidupan manusia diibaratkan satu badan. Apabila salah satu daripada anggotanya sakit, maka seluruh tubuh akan terasa sakit.” Demikianlah gambaran betapa akrabnya kehidupan kita, tambahan pula apabila berada dalam sebuah keluarga daripada nasab dan darah daging yang sama. Hubungan ahli keluarga adalah ibarat lagu dengan melodi yang saling bergantungan demi membentuk suatu tempo yang artistik serta estetik. Maka, tangan ahli keluarga mestilah berpegang untuk melunaskan tanggungjawab bersama, khasnya pada masa cuti persekolahan selama beberapa minggu atau bulan yang diperuntukkan kepada anak.


Sebagai remaja yang soleh atau solehah, kita mestilah memahami bahawa obligasi mutlak yang diamanahkan oleh Tuhan adalah untuk menyerikan atau membahagiakan kedua-dua ibu bapa kerana anak ialah anugerah kepada ibu bapa. Semasa cuti persekolahan panjang, anak mestilah menyalurkan bantuan berupa kewangan untuk meringankan bebanan ekonomi rumah tangga. Contohnya, bekerja sewaktu cuti persekolahan sebagai pembantu kedai atau peniaga kecil-kecilan mampu membantu menyara kos sara hidup rumah tangga yang semakin membebankan. Pada zaman krisis ekonomi yang semakin gawat, kadar inflasi telah menatijahkan tanggungan ibu bapa semakin dirasai, khasnya dalam kalangan segelintir ibu bapa atau ahli keluarga yang menganggur, menempuh kesakitan atau  dilanda kecacatan. Bebanan ekonomi rumah tangga bukan sekadar ditanggung oleh ibu bapa sahaja, malahan anak yang sudah cukup akil baligh seyogia meletakkan bebanan itu pada pundak mereka. Tegal itu, anak akan menerapkan sikap berdikari dan pasrah dengan takdiran Tuhan. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Anak mesti mengambil inisiatif untuk mengubah nasib sendiri, seperti nasihat yang dikatakan oleh Datuk Dr Fadzilah Kamsar bahawa hanya diri sendiri dapat mengubah nasib sendiri. Sikap sudi membantu ahli keluarga dapat ditonjolkan oleh ikon Malaysia yang tersohor seperti  Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Datuk Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah.

Selain itu, anak remaja juga boleh memberikan bantuan berupa sumbangan fizikal kepada ahli keluarga. Seyogianya, anak mesti memahami bahawa ibu ialah wanita yang berjasa, bak kata pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu, tangan kiri ibu yang menggoyang buaian akan menggegarkan dunia dengan tangan kanan. Izharnya, mereka masih perlu membanting tulang empat kerat bekerja di sektor korporat masing-masing selama berjam-jam seharian, wanita tersebut perlu bergegas balik ke rumah untuk mengendalikan bahtera rumah tangga seperti memasak, mencuci, membersihkan dapur dan sebagainya. Sebagai anak soleh atau solehah, kita mesti menghayati isi tersirat di sebalik peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sesungguhnya, tekanan emosi yg dialami oleh wanita yang bergelar sebagai ibu adalah tidak berperi. Selain memahami hati budi ibu, kita mestilah berbakti atau berusaha untuk meringankan beban ibu di rumah.Realitinya, menjalankan urusan rutin harian di rumah akan membudayakan disiplin diri yang kental.Secara implisit,  pengurusan dan perancangan adalah bermula dari rumah. Kebiasaan untuk menekankan kebersihan diri akan menjamin kesejahteraan dalam semua segi. Sikap kepemimpinan dan sikap keterbukaan akan ditonjolkan dalam urusan seharian supaya memartabatkan imej diri dalam pandangan masyarakat . Melalui latihan mengurus kerja rumah, anak akan dilatih memiliki kawalan dalaman seperti menyelami nilai kerajianan dan ketelitian. Semasa di medan perjuangan, keupayaan mengurus aktiviti harian dapat mempamerkan sistem tatacara atau tatatertib kerana alah bisa tegal biasa.


 Dalam perspektif keagamaan, bantuan dari segi mentaliti merupakan resipi efektif untuk menyenangkan ahli keluarga. Dalam keluarga yang pincang, pasangan suami isteri biasanya berkahwin pada usia muda  tanpa ikatan hubungan mawaddah yang kukuh. Kes keganasan di rumah tangga seperti penderaan dan penyeksaan yang menyayat hati akan mencetuskan konflik dalam jiwa ahli keluarga. Sebagai anak yang bertakwa kepada Tuhan, kita mestilah selalu menaburkan kasih sayang yang sejati kepada pihak yang lemah, bak kata pepatah yang lemah ditopang, yang tegak disokong. Pada masa cuti sekolah, anak digalakkan menghadiri kursus bimbingan bina jati diri dan keagamaan bersama dengan ahli keluarga. Anak remaja mestilah berusaha untuk meyakinkan ahli keluarga lain bahawa nur akan menyuluhi manusia yang menempuh kesusahan. Segala kepompong dalam kehidupan merupakan dugaan daripada Tuhan untuk menguji umatnya sebagai khalifah di bumi ini.  Aktiviti keagamaan dan program motivasi yang dianjurkan oleh majlis amal di kawasan setempat pada masa cuti sekolah telah membuka peluang kepada ahli keluarga supaya berkumpul dan bermusyawarah untuk mendengar rintihan hati masing-masing dan segala konflik yang ditempuh sepanjang masa akan diselesaikan semasa perkongsian suka duka dijalankan.

Jikalau diselami dengan lebih lanjut lagi, semasa cuti sekolah yang panjang, anak juga boleh menyumbangkan kudrat untuk membantu ahli keluarga yang menjalankan perniagaan. Ada segelintir ibu bapa ialah penjaja yang hidupnya bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Anak mesti bekerjasama untuk berkongsi jerih perih dan memerah keringat untuk meringankan bebanan ibu bapa. Melalui sumbangan kudrat dan usaha sama menjayakan sesuatu perniagaan,  keluarga bahagia akan berjaya direalisasikan justeru mengikis perasaan antagonis seperti salah faham, dendam kesumat dan cemburu yang berpaksikan hukum bersultan di hati, beraja di mata. Selain itu, anak juga dapat bekerjasama dengan ahli keluarga lain untuk menghijaukan persekitaran dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Kebersihan di rumah tangga akan memastikan kesejahteraan hidup berumah tangga dan menjauhi wabak penyakit seperti nyamuk Aedes yang semakin menular dalam masyarakat kita. Ijmalnya, persekitaran yang menghijau bukan sahaja mesra alam bahkan mewujudkan landskap yang menyenangkan mata. Dalam konteks menerapkan budaya berjimat cermat, membantu keluarga menanam sayur-sayuran di sekeliling rumah pada masa cuti sekolah juga merupakan alternatif yang diibarat sambil mendiang menanak nasi.  Usaha ini akan  membolehkan kita menikmati hasil titik peluh semasa memperkebuni tanaman di kawasan kediaman dan sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan rumah tangga.

Dalam sudut hubungan adik-beradik, bantuan dari segi pendidikan akan menyenangkan ibu bapa yang mengalami masalah kewangan untuk menghantar anak ke pusat tuisyen. Anak mesti memahami isi tersirat di sebalik peribahasa air yang dicencang tidak akan putus, atau carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga. Izharnya, pertelingkahan adik-beradik memerlukan kasih sayang seperti tolak ansur, faham-memahami, percaya- mempercayai dan nilai keadilan . Sebagai abang long atau kakak long, kita mesti mendidik adik-beradik yang lemah supaya meningkatkan prestasi akademik mereka pada masa cuti sekolah. Ijmalnya, keluarga yang tidak berilmu bagai cacing di perlimbahan, atau sampah masyarakat yang hanya dipandang hina oleh masyarakat lain.  Situasi bagai ayam di kepuk kelaparan, itik di air kehausan, atau kias pagi makan pagi, kias petang makan petang membayangkan kehidupan yang daif akan  menimbulkan perasaan antagonis seperti nafsu amarah dan kebencian antara satu lain. Kemiskinan dalam rumah tangga hanya boleh diubah dengan tahap pendidikan yang tinggi. Semakin tinggi ilmu, semakin tinggilah martabat dalam masyarakat kita kerana ilmu penyuluh hidup. Lebih-lebih lagi, amalan bantu-membantu akan merapatkan hubungan ukhuwah ahli keluarga agar menangani krisis tekanan emosi dalam kehidupan seharian.

Sebagai penghias penutup bicara, keluarga adalah urat nadi dan nukleus yang mampu membentuk zuriat dan keturunan yang bertamadun. Budaya bantu-membantu merupakan nilai kasih sayang dan budi pekerti yang luhur. Tanpa budaya sanggap berkorban dan bantu-membantu, wujudlah kisah anak-anak jalanan yang tidak mempunyai harga diri, atau perebutan harta pusaka yang tanpa penghujung. Tanggungjawab anak adalah sanggup berkorban demi kebahagian hidup ibu bapa.  Anak-anak ibarat harta, bak kata gurindam:
Anak itu umpama sepohon yang rendang,
Lebat daun tumpang teduhannya,
Berbatang sasa teguh teras kayuannya,
Berakar serat berkhasiat majorabat,
Berbuah lebat manis madu aromanya,
Ibarat benih yang baik,
Sebiji jatuh ke laut menjadi pulau,
Sebiji terlontar ke udara menjadi kejora,
Sebiji jatuh ke darat menggunung sasa.

No comments: