Saturday, October 4, 2014

peranan ahli keluarga dalam menjamin keselamatan anak-anak.

Perak 2013
Belakangan ini, masyarakat sering digemparkan oleh berita yang melibatkan kehilangan, penculikan, dan pembunuhan kanak-kanak. Sehubungan dengan itu, keluarga perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak-anak terjamin. Huraikan peranan ahli keluarga dalam menjamin keselamatan anak-anak.

PESANAN KEPADA PELAJAR SAYA
(try to read sampel essay as below, my hand writing essay will be uploaded soon, btw keselamatan is tested on Jun SPM, for this year SPM is less important.)

PERANAN KELUARGA DALAM MELINDUNGI AHLINYA DARIPADA ANCAMAN DAN BAHAYA.

Keluarga boleh didefinasikan sebagai satu kelompok individu yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak. Institusi kekeluargaan yang cemerlang dan bahagia perlu dipelopori oleh ibu dan bapa dengan baik. Keluarga merupakan tempat perlindungan untuk ahli-ahlinya berlindung daripada bahaya dan pengaruh persekitaran. Namun begitu, mutakhir ini, kes-kes penderaan kanak-kanak dan kes buli pelajar sekolah sering terpampang di dada-dada akhbar  seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini amat membimbangkan kerana individu yang tidak bersalah menjadi mangsa kerakusan manusia yang alpa dengan arus globalisasi. Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan dalam melindungi ahli-ahlinya dan tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja.

Bapa merupakan ketua keluarga dan memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan keselamatan anak-anak dan isteri. Bapa berperanan dalam mengajar anak-anak dalam mempertahankan diri daripada bahaya dan perlu tegas dalam mendidik anak-anak. Sesungguhnya, anak-anak perlu dididik dari kecil seperti kata pepatah,melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun begitu, ketegasan bapa haruslah berpada-pada dan tidak sampai ke tahap memukul anak-anak. Bapa juga perlu memastikan keselamatan anak-anak dan isteri semasa di luar kawasan rumah. Bapa tidak boleh membiarkan anak-anak pulang ke rumah dengan berjalan kaki bagi mengelakkan kes culik. Bapa harus sentiasa melengkapkan anak-anak dengan alat pertahanan diri bak kata pujangga, sediakan payung sebelum hujan.

Ibu juga perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak-anak dan tidak boleh hanya bersikap lepas tangan. Ibu bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak tentang ilmu agama dan ilmu fekah. Selain itu, ibu dan bapa juga harus bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menjamin keselamatan anank-anak. Ibu bapa perlulah meluangkan masa secukupnya dengan anak-anak dan mencurahkan kasih sayang secukupnya kepada mereka. Hal ini adalah untuk memastikan anak-anak tidak menghabiskan masa mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti merokok dan melepak kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Kasih sayang yang mencukupi juga adalah perlu agar anak-anak tidak mencari alternatif lain bagi mendapatkan kasih sayang sehingga memudaratkan diri sendiri.



Di samping itu,ibu bapa juga perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi menjamin keselamatn mereka. Ibu bapa hendaklah memastikan bahawa anak-anak mereka tidak berkawan dengan orang yang berakhlak keji bagi mengelakkan pengaruh yang negatif. Ibu bapa perlu tegas dalam situasi ini agar tidak menyesal di kemudian hari seperti kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Selain itu,ibu bapa juga perlu memantau keselamatan anak-anak di luar rumah agar tidak menjadi mangsa buli di luar rumah. Pendekatan yang berhemah oleh ibu bapa juga adalah perlu seperti ibu bapa berkongsi masalah yang dihadapi oleh anak-anak agar anak-anak tidak tertekan dan mengelakkan anak-anak daripada melakukan perkara yang membahayakan diri.

Selain itu,ibu bapa juga perlu memberikan teladan yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Oleh itu,ibu bapa perlu membesarkan anak-anak dengan baik dan tidak bertengkar di hadapan anak-anak bagi meyakinkan anak-anak bahawa keluarga mereka merupakan tempat perlindungan yang selamat. Bapa juga tidak boleh memukul isteri dan anak-anak dengan sewenang-wenangnya disebabkan oleh sikapnya yang panas baran. Sebaliknya, bapa perlulah sentiasa melindungi ahli keluarga daripada bahaya. Ibu bapa juga tidak boleh bersikap alpa sehingga tidak mengendahkan keselamatan anak-anak. Anak-anak merupakan insan yang lemah dan perlu dilindungi. Justeru itu, ibu bapa tidak boleh membiarkan anak-anak tinggal bersendirian di rumah dan perlu ditemani oleh orang dewasa apabila mereka berada di luar kawasan rumah. Janganlah ibu bapa menyesal apabila berlaku  sesuatu yang buruk terhadap anak-anakseperti sudah terhantuk, baru terngadah. Oleh itu,ibu bapa haruslah prihatin terhadap keselamatan anak-anak walau di mana jua mereka berada.
          
Kesimpulannya, ibu bapa memikul tanggungjawab yang sama dalam memastikan keselamatan anak-anak. Namun begitu, tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk menjamin keselamatan mereka akan menjadi sia-sia seperti mencurahkan air ke daun keladi. Justeru itu, setiap ahli keluarga perlu bekerjasama dan mengamalkan sikap susah sama dipikul, ringan sama dijinjing bagi mewujudkan institusi kekeluargaan yang selamat. Sesunggguhnya, keluarga yang selamat dapat mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan seterusnya menjamin keamanan Negara. Keselamatan seseorang individu dapat membantu dalam kstabilan fizikal dan mental . Oleh itu, anak-anak perlu diberikan pendidikan yang sempurna seiring dengan keselamatan bagi melahirkan individu yang cemerlang bagi memimpin Negara bak kata pujangga,pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

 NUR AFIKAH BT ZAINAL ABIDIN
 5 SAINS 1

Contoh 2 sumber daripada Cikgu Khir Kassim 
Ramai kanak-kanak yang hilang dianggap angkara orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan semakin terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan.     Bincangkan punca-punca berlakunya kejadian tersebut dan cadangkan langkah-langkah untuk menanganinya.

                          "Di mana Sharlinei?"
Iklan ini disiarkan di setiap pojok nusa kita. Kes kehilangan kanak-kanak sudah menjadi berita basi dalam masyarakat kita. Anak merupakan cahaya mata yang tidak ternilai harganya, namun pada masa ini, masyarakat semakin hilang rasa kasih sayang dan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak. Hal in terbukti dengan berlakunya kes-kes kehilangan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi pada masa ini. Perkara yang amat menyedihkan dan membimbangkan kita adalah terdapat kes kehilangan kanak-kanak, dan akhirnya mayat kanak-kanak itu sahaja yang ditemui. Masalah seperti ini berpunca daripada perbuatan orang yang tidak berhati perut. Oleh itu, pelbagai langkah yang efektif perlu diambil oleh setiap pihak untuk menangani masalah kehilangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan kita ini.

     Antara punca masalah kehilangan kanak-kanak ialah wujudnya sikap tamak dalam diri individu yang ingin mengejar kemewahan hidup. Oleh itu, individu tersebut tidak berfikir panjang dan hanya mengambil jalan mudah dengan menculik kanak-kanak untuk dijual kepada individu lain. Terdapat juga kanak-kanak yang diculik dan dijual ke luar negara dan dijadikan sebagai pengemis jalanan. Sikap pihak yang tidak berperikemanusiaan ini amat membimbangkan negara, lebih-lebih lagi ibu bapa. Hal ini demikian kerana, bukan sahaja ibu bapa berasa kehilangan terhadap anak tercinta, malah negara juga akan kehilangan aset yang amat berharga.

     Di samping itu, masalah psikologi atau mental turut menjadi salah satu punca kejadian kehilangan kanak-kanak yang berlaku. Perkara ini demikian kerana mengikut statistik, kebanyakan kes kehilangan kanak-kanak berkaitan dengan kes rogol dan bunuh. Keadaan ini boleh berlaku kerana terdapat segelintir individu yang memandang kanak-kanak seperti seseorang wanita yang pernah menolak cintanya. Hal ini terjadi berikutan dengan individu tersebut yang menyimpan perasaan dendam, sedih dan takut yang tidak terkawal ataupun mengalami penyakit jiwa. Oleh itu, pesakit ini berpotensi untuk membayangkan seseorang yang dilihatnya seperti seorang yang sentiasa berada dalam fikirannya. Kes seperti inilah yang akan menyebabkan kanak-kanak akan diculik, dirogol dan terus dibunuh sebagai mangsa keadaan.

     Punca lain yang menyebabkan kehilangan kanak-kanak berlaku ialah masalah institusi kekeluargaan. Pada masa ini, banyak kes perceraian berlaku sehingga menyebabkan anak-anak terabai. Ibu bapa yang hanya mementingkan diri sendiri mula mengabaikan tanggungjawab dan hanya melepaskan batuk di tangga. Anak-anak yang kurang kasih sayang ini hanya diberikan wang dan diberikan kebebasan. Oleh itu, anak-anak khususnya yang berumur 15 tahun ke bawah yang masih belum matang berpotensi untuk ditipu dan diculik. Sekiranya masalah ini berlaku, ibu bapa yang patut dipersalahkan kerana mereka yang menjadi punca anak-anak menjadi mangsa penculikan, rogol dan pembunuhan.

     Untuk mengatasi masalah ini, pelbagai langkah yang efektif perlu diambil, antaranya dengan meningkatkan kawalan keselamatan. Pihak penguat kuasa seperti pihak polis perlu membuat rondaan di kawasan-kawasan hitam atau lebih dikenali sebagai kawasan yang sering berlakunya jenayah seperti di lorong-lorong kedai atau di jalan-jalan yang sunyi. Dengan cara yang lebih moden, pihak kerajaan seharusnya memasang kamera litar tertutup (cctv) di kawasan-kawasan tersebut agar dapat merakamkan sebarang jenayah yang berlaku, seperti penculikan kanak-kanak. Hal ini dapat memastikan kes kehilangan kanak-kanak dapat diatasi dan dikurangkan.

     Langkah seterusnya untuk mengurangkan kejadian kehilangan kanak-kanak adalah dengan mengadakan kempen kesedaran. Antara kempen yang boleh dianjurkan oleh pihak kerajaan atau mana-mana badan NGO ialah kempen ”Sayangilah Anak Anda”. Melalui kempen ini, banyak nilai murni yang boleh diterapkan, bukan sahaja kepada ibu bapa, malahan kepada setiap mesyarakat sekeliling. Antara budaya yang boleh diterapkan dalam setiap diri masyarakat ialah budaya “anak orang, anak kita”. Slogan ini bermaksud, walaupun kanak-kanak yang dilihat berseorangan tanpa arah tujuan, bukanlah anak kita, seharusnya sebagai anggota masyarakat, kita sepatutnya melindungi kanak-kanak tersebut daripada sebarang bahaya.

     Di samping itu, kursus ilmu keibubapaan juga harus diwujudkan oleh pihak yang sepatutnya. Hal ini demikian kerana pada masa ini kebanyakan ibu bapa kurang pendedahan tentang didikan yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak. Oleh itu, kehidupan anak-anak yang tidak terkawal akan menyebabkan anak-anak gemar bersiar-siar di luar tanpa pengetahuan ibu bapa. Keadaan ini amat membimbangkan kita kerana inilah masanya penjenayah atau penculik akan menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah. Perkara ini akan menyebabkan peningkatan terhadap kes kehilangan kanak-kanak akan terus meningkat. Oleh hal yang demikian, kursus ilmu keibubapaan amat penting dijalankan kepada setiap ibu bapa demi kebaikan dan keselamatan anak-anak.

     Sebagai kesimpulannya, masalah kehilangan kanak-kanak di negara ini perlulah dikurangkan dengan adanya kerjasama antara semua pihak. Hal ini demikian kerana anak-anak ialah harapan nengara yang paling berharga pada masa depan. Tanpa aset yang berharga ini, negara akan menanggung kerugian yang besar. Di samping itu, pihak berkuasa perlulah memainkan peranan yang penting untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat terjamin seperti menyediakan payung sebelum hujan. Untuk memastikan kanak-kanak dapat menjalani saat-saat kehidupan yang bermakna dan bahagia, ibu bapalah tempat mereka berlindung. Oleh itu, ibu bapa khususnya berperanan penting untuk memastikan anak-anak hidup bahagia, selamat dan terjamin keselamatannya.


No comments: