Saturday, October 4, 2014

Percubaan SPM 2014 - 4 ( Tanggungjawab Masyarakat Membanteras Jenayah)

Selaku Ketua Polis Kontinjen Negeri, anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah dalam suatu majlis perhimpunan masyarakat. Tajuk ceramah yang disampaikan ialah, “Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah”.
Tulis teks ceramah anda itu selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
                Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Beramang, Yang Dihormati Ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian.
                Dengan penuh rasa bangga saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana dijemput dan diberi peluang untuk menyampaikan ceramah dalam majlis himpunan yang julung-julung kali diadakan di kawasan ini. Kebanggaan saya adalah kerana wujud sikap prihatin yang begitu tinggi dalam kalangan masyarakat di sini untuk turut sama terlibat dalam usaha mengembalikan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Kewujudan masyarakat prihatin seperti ini memberi isyarat bahawa agenda keselamatan dan ketenteraman dalam masyarakat dan negara terus diberi perhatian. Bersempena dengan pertemuan pada hari ini, saya diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan ceramah keselamatan yang bertajuk, “Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah”. Terima kasih sekali lagi atas kesediaan semua pihak untuk turut berkongsi pengalaman bersama-sama dengan saya.

Hadirin sekalian,
                Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah ialah sebuah ungkapan yang menerangkan tuntutan terhadap keprihatinan orang ramai dalam mendepani segala risiko jenayah dan apakah langkah-langkah yang boleh disumbangkan oleh masyarakat untuk membasmi gejala tersebut? Hal ini amat wajar sekali diambil berat oleh setiap anggota masyarakat memandangkan selama ini apabila diperihalkan sahaja persoalan jenayah, maka tanggungjawabnya diserahkan 100 peratus kepada polis. Oleh hal yang demikian, apabila masyarakat di kawasan ini mula prihatin dengan gejala ini, saya bagi pihak yang bertanggungjawab dengan persoalan keselamatan amat berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dengan tuan-tuan dan puan-puan.
                Jikalau kita berfikir secara rasional, isu jenayah bukanlah menjadi milik eksklusif pihak polis semata-mata. Usaha tersebut menyentuh secara langsung kepada kepentingan rakyat. Secara logiknya, apabila berlaku sesuatu kes jenayah jarang sekali pihak polis yang menjadi mangsa. Mangsanya ialah masyarakat umum. Oleh itu, apabila masyarakat tidak prihatin dengan masalah jenayah memberi maksud masyarakat tidak mementingkan keselamatan mereka. Orang yang cerdik tidak membiarkan perihal keselamatan dirinya dijaga oleh pihak lain dengan sepenuhnya. Walaupun pihak polis sedar bahawa tugas menjaga keselamatan adalah menjadi tanggungjawab profesional mereka, namun tanpa komitmen tinggi orang ramai, masalah jenayah tidak mungkin dapat dibanteras sampai bila-bila.
                Seyogia dengan pertemuan pada hari ini, saya mengambil peluang untuk menggariskan beberapa langkah perlu yang boleh disumbangkan oleh masyarakat. Jenayah sebenarnya boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu jenayah am dan jenayah berat. Jenayah berat meliputi penggunaan senjata berbahaya dan mengancam nyawa mangsa. Sekiranya terbukti bersalah, penjenayah boleh dihukum antaranya dalam Seksyen 302 yang boleh membawa hukuman mati mandatori atau Seksyen 304 yang membawa denda penjara sehingga 20 tahun. Jenayah berat boleh dikategorikan sebagai merompak, rompakan bersenjata, membunuh, merogol, dan pengedaran dadah. Sementara jenayah am termasuklah perbuatan salah laku yang boleh menimbulkan kekacauan dalam masyarakat seperti mencuri, bergaduh dan lain-lain. Peningkatan kes jenayah dalam masyarakat adalah berpunca daripada sikap yang terlalu menurut hawa nafsu. Selain itu, pengaruh dadah telah dikenal pasti sebagai pendorong utama menularnya gejala jenayah dalam masyarakat. Pada hari ini suasana dalam masyarakat bertambah kompleks dengan kehadiran lebih ramai warga asing. Situasi tersebut turut mempertingkatkan kuantiti perlakuan jenayah terutama jenayah ragut.

Tuan-tuan dan puan-puan,
                Walaupun pihak polis tidak putus-putus menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan, namun kudrat polis juga terhad dalam memastikan jenayah sifar. Oleh itu, tibalah masanya gemblengan tenaga dan sumbangan masyarakat untuk memastikan keselamatan sosial terjamin. Langkah terpenting ialah semua kawasan kediaman hendaklah diwujudkan satu pasukan Rakan Cops. Rakan Cops ialah organisasi sukarela masyarakat yang mengadakan hubungan langsung dengan pihak polis. Mereka bertanggungjawab menyalurkan segala maklumat keselamatan di sesuatu kawasan kepada pihak polis. Keberkesanan Rakan Cops diyakini berjaya terutama di bandar-bandar besar apabila gejala ragut semakin terkawal.
                Selain itu, masyarakat hendaklah sensitif juga terhadap persekitaran tempat tinggal mereka. Mereka hendaklah mengadu kepada polis sekiranya mengetahui di kawasan tersebut terdapat penagih dadah, kewujudan orang-orang yang tidak dikenali, dan sekiranya berlaku perkara-perkara yang luar biasa. Fenomena tersebut seperti wujud kekerapan kelompok-kelompok tertentu di sesuatu tempat sehingga lewat malam. Kehadiran warga asing di kawasan anda juga hendaklah sentiasa dipantau dan jikalau berlaku kesangsian segera melaporkannya kepada polis. Polis juga menasihatkan setiap rumah atau sekurang-kurangnya ketua-ketua unit menyimpan nombor telefon kecemasan polis. Saya amat yakin, sekiranya ditanya pada waktu ini hanya beberapa orang sahaja yang menghafal nombor telefon pondok polis yang terdekat. Demikianlah gambaran ketidakprihatinan masyarakat terhadap persoalan keselamatan.
                Dalam memastkan usaha membantu polis mengawal keselamatan juga, pihak penduduk boleh menjalankan rondaan  secara berkala atau tidak berjadual pada waktu malam untuk mendapat gambaran penuh senario pada waktu malam di kawasan tempat tinggal anda. Apabila berbuat demikian, anda akan memperoleh banyak info tentang pergerakan tanpa jadual pihak-pihak tertentu apabila menjelang malam. Dengan berbuat begitu, tuan-tuan dapat menyampaikan maklumat yang mudah kepada pihak keselamatan apabila berlaku sebarang peristiwa yang tidak diingini. Saya amat berharap akan ada insan yang berhati mulia untuk mengambil insiatif menggerakkan pasukan sukarela menjaga kemaman di kawasan tempat tinggal masing-masng. Hasrat ini diletakkan sepenuhnya di atas pundak dan batu jemala tuan-tuan untuk melaksanakannya.

Tuan-tuan dan puan-puan,
                Bersatu teguh, bercerai roboh merupakan slogan yang sentiasa mendidik kita agar sentiasa bersatu, bersama, dan berusaha untuk mengelakkan ketenteraman dan keamanan di tempat kita. Marilah bersama-sama polis kita mempastikan slogan, ‘Hidup Sejahtera Tanpa Jenayah’.

                                    Kalau ada jarum patah,
                                                Jangan simpan dalam peti;
                                    Kalau ada silap salah,
                                                Jangan simpan dalam hati.

Sekian terima kasih

No comments: