Monday, October 5, 2015

Countdown SPM 2015 2 - salin 5E1





        


            Semangat kejiranan amat penting dalam kehidupan bermasyarakat. Matlamat pemupukan semangat kejiranan adalah untuk menyemai nilai-nilai toleransi, silaturahim dan kasih sayang khususnya dalam kalangan warga kota yang terdiri daripada pelbagai kaum. YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak pernah berkata, “semangat kejiranan ialah tanggar amanat yang memangkinkan kemakmuran dan kemajuan negara kita.” Kita mahu keseimbangan pembangunan sosioekonomi dan pembentukan tamadun yang berimpak tinggi. Kelangsungan bangsa yang beretika bukanlah berlandaskan nilai mata wang ringgit dan kecanggihan teknologi tetapi mempunyai rakyat murba yang tidak segan-segan mengamalkan nilai tradisi seperti yang dipraktikkan oleh masyarakat lelulur. Sampailah masa kita membenamkan kotak minda untuk menilai kembali semangat kejiranan yang semakin sirna ditelan arus modenisasi. Apakah faktor-faktor yang meyumbang kepada tercetusnya kelunturan nilai mahmudah ini? Tepuk benak tanyalah minda.

            Salah satu faktor yang melonggarkan ikatan kejiranan antara warga metropolitan ialah keralitan dan ketaasuban untuk mengejar periuk nasi. (A) Hal ini dibuktikan apabila rata-rata warga kota perlu berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas sehingga sanggup keluar sebelum tirai subur tersingsing manakala balik ke rumah pada waktu larut malam. (M) Lebih teruk lagi, tuntutan dan kos sara hidup yang semakin menindas pasti membantutkan nilai kemanusiaan terus bermekar dalam sanubari warga kota. (C) Khususnya, manusia yang kian bersifat kerlung telah menyebabkan mereka ketandusan nilai keinsanan dan kedangkalan hati nurani yang syumul untuk menjalinkan ukhuwah sesama jiran tetangga lantaran keletihan membanting tulang empat kerat. (C) Walhal, ada kalangan mereka sanggup bekerja sampai malam buta dan kesiangan pagi. (C). Izharnya, demi menyara hidup yang semakin menindas telah membantutkan perkembangan nilai-nilai keinsanan ini dalam kalangan warga kota pada era modenisasi ini. (P)
            Selain itu, persekitaran dan struktur pembinaan kawasan perumahan juga menyekat aktiviti kejiranan khususnya di sekitar bandar metropolitan. (A) Pembinaan rumah banglo dan rumah mewah kini telah dilengkapi dengan pakej keselamatan yang diawasi oleh kamera litar tertutup atau pengawal. (M) Lebih kontras dengan masyarakat kampung lagi, pagar pintu warga kota dikunci dengan sistem teknologi yang moden seperti pintu elektronik yang memerlukan pengecaman faktor biometrik atau sidik ibu jari. (C) Hal ini seakan-akan burung dalam sangkar, mata terlepas badan terkurung. Ikatan ini bukan sahaja mengongkong aktiviti kejiranan malahan mengekang naluri kemanusiaan untuk mempraktikkan amalan kunjung-mengunjungi dan saling bertegur sapa yang memerlukan ketulusan hati. (K) Maka, tidak hairanlah kedengaran mahkamah magistret yang menghakimi kes penuduhan kaum Buddhist yang membakar kertas sembahyang dan menyalakan colok yang berasap oleh jiran tetangga yang berbeza agama. (C) Kadangkala ketidaksefahaman dan konflik dalam ideologi mampu mencetuskan musibah yang tidak disangka-sangka. (K) Usahlah kita hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, tetapi melangkau bangunan dan sempadan yang hanya mendinginkan perasaan kasih sayang sesama manusia yag dicipta oleh Tuhan sebagai khalifah di buana ini. (P)
           
            Dari sudut keagamaan, kelunturan jati diri dan kenipisan keimanan dalam kalangan masyarakat kosmopolitan khasnya telah memudarkan hubungan kejiranan ini. (A) Ironisnya, masyarakat leluhur masih kuat memegang prinsip akidah dan tuntutan agama tanpa mengira bangsa dan latar belakang yang heterogen. Namun, aktiviti keagamaan seperti majlis bacaan tahlil dan yasin, pendoaan hajat dan bersolat berjemaah kurang mendapat sambutan meriah jika berbanding dengan zaman dahulukala. Disebabkan kemewahan hidup, segala majlis dan kenduri-kendera disiapkan oleh syarikat katering dengan upahan yang lumayan. Berbanding masyarakat kampung dahulukala, setiap kali musim berderau dan musim perayaan penuaian padi, jiran tetangga sanggup berkorban masa dan kudrat demi berkumpul dan bergurau senda sempena perayaan yang tertentu. Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud “ sesiapa yang beriman kepada Hari akhirat tidak akan menyakiti jirannya.” Hukama Islam seperti khalifah Umar al-Khattab menghormati jiran Yahudi. Pendek kata, kehilangan keimanan kepada Tuhan akan terdorong ke landasan pidana dan ditusuk oleh godaan iblis.

            Sementara itu, kecanggihan teknologi dan insfraktur di bandar juga merupakan penyebab kelunturan semangat ini. (A) Kemudahan seperti pusat gimnasium, kafe siber, pusat huburan, arked dan pusat beli-belah telah menggantikan gelanggang warisan budaya yang biasanya akan mengumpul maysrakat setempat pada waktu senja. (M) Yang menyindirkan ialah kelab Rukun Tetangga dan pusat rekreasi yang didirikan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung biasanya kedinginan dan dibiarkan terbengkalai. (C) Situasi ini telah menyebabkan jiran tetangga semakin menyendiri dan semasa tibanya waktu kecemasan, mereka sanggup menelefon ambulans atau menghantar pesakit dengan kenderaan sendiri. (C) Berbanding dengan zaman dahulukala, masyarakat setempat berpeluang berkumpul untuk menyaksikan sesuatu temasya atau wayang di bawah satu payung yang sama tanpa mengira kulit dan kepercayaan. Memanglah, musim berubah zaman beralih, segala-gala aktiviti telah dimanipulasikan oleh alat elektronik, masa berkualiti sepatutnya juga terkorban dan masing-masing terbenam dalam kehidupan maya yang direka cipta oleh mereka sendiri. Jelaslah bahawa semangat kejiranan akan mati tidak berkubur sekiranya segala-gala kehidupan manusia sejagat digantikan oleh kecanggihan teknologi yang gagal mereka cipta nilai kemanusiaan yang mesra dan mulia.

            Akhir sekali, tidak melampau jika dikatakan bahawa keghairahan pada peranti elektronik telah melupuskan nilai keinsanan seperti saling memahami dan saling berkongsi pahit manis dengan peluh dan mata air. (A) Lumrahnya, masyarakat kini sejak dalam dunia rahim lagi sudah berdepan dengan media arus perdana yang seakan-akan menghabiskan masa kita. Dipercayai bahawa sekurang-kurangnya 12 jam sehari kita melungsur paparan peranti komunikasi ini demi melunaskan rutin seharian kita seperti urusan transaksi atas talian, hiburan, bersosialisasi dan sebagainya. Situasi ini seolah-olah menuntut kita mengabaikan amalan bertemu sua dengan masyarakat di sekeliling kita. Tanpa sua kenal, mungkinlah keikhlasan dan ketelusan terjalin dalam atma yang sejati? Kedengaran bahawa ada segelintir masyarakat yang cekap dalam berkongsi dalam laman sosial tetapi jengkel semasa hidup bermasyarakat yang memerlukan persemuafakatan dan persemukaan. Mukhtasarnya, gajet komunikasi bagai diluahkan ibu mati, ditelan bapa mati. Hanyalah dengan pertimbangan rasional dan kesedaran diri mampu meneguhkan kita ke arah kesejahteraan bersama semua insan yang berhampiran, khasnya jiran tetangga orang yang paling berhampiran dengan kita.

            Tuntasnya, bagai gunting dalam lipatan atau musuh di bawah selimut menuntut kita mestilah berwaspada kepada persekelilingan yang  semakin mencabar. Nabi SAW pernah bersabda,” anak Adam selepas meninggal dunia akan meninggalkan tiga perkara sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa kepada ibu bapa. “ Mafhumnya, kita mestilah sering kali berpegang pada prinsip berbaik-baik kepada semua insan yang berhampiran. Menghulurkan bantuan berbentuk fizikal mahupun mental bukan hanya berharapkan balasan tetapi kita meyakini bahawa segala dosa pahala akan diadili pada pintu akhirat. Dalam konteks Islam, jiran tetangga termasuklah hubungan dengan kaum kerabat, berjiran sesama muslim dan hidup berjiran sesama kafir. Maksudnya, segala-gala manusia merupakan jiran tetangga yang perlu dijalinkan hubungan dengan senyuman yang ikhlas dan keperibadian yang unggul.

Monday, September 28, 2015

Coundown SPM BM 2015 R1



Kesan Gejala Ketagihan pada Peranti Elektonik dan Media Sosial
Oleh : Azhar Salleh

     Hampir kebanyakan remaja pada hari ini memiliki sebuah telefon pintar, sama ada remaja di kawasan pedalaman ataupun di sebuah kota metropolitan. Terdapat pelbagai jenama atau aplikasi telefon pintar dalam pasaran, seperti Android, iPhone, Blackberry dan Windows. Telefon pintar menafaskan kehidupan harian kita sehingga rutin harian seolah-olah direncanakan oleh alat komunikasi tersebut. Telefon pintar menjadikan kehidupan manusia mengalami perubahan yang sangat ketara. Pada hari ini, telefon pintar melaksanakan tugas yang melangkaui peranannya. Alat ini benar-benar diperlukan bukan sekadar untuk berbual-bual atau menghantar pesanan dengan cara yang paling mudah. Walaupun ada yang menegaskan bahawa telefon pintar memudahkan segala keperluan dan tuntutan mereka, namun turut memercikkan implikasi yang negatif dari perspektif yang pelbagai. Telefon pintar telah melaksanakan tugas untuk menyimpan dan menghantar data, melakukan pelbagai transaksi melalui urusan dalam talian, mencari maklumat dengan pantasnya, dan menghiburkan hati dengan pelbagai aplikasi yang dapat dicapai melalui internet. Namun begitu, telefon pintar juga telah merobek kemanusiaan dengan cukup berjaya.

            Biarpun melalui telefon, hubungan remaja dengan keluarga dan sahabat menjadi lebih intim melalui perbualan atau penghantaran mesej dengan aplikasi sistem pesanan ringkas atau WhatsApp dan seumpamanya. Namun, sifat kemanusiaan tidak mampu dicipta oleh aplikasi telefon pintar. Telefon pintar tidak memiliki jiwa atau atma yang berseni. Mengapakah dikatakan bahawa telefon pintar melenyapkan sifat kemanusiaan? Satu daripada fungsi alat ini telah menghilangkan sifat kemanusiaan akibat ketagihan aplikasi yang direka cipta, khususnya dalam golongan remaja. Remaja yang berkiblatkan aplikasi dalam telefon pintar ini tidak lagi meladeni kerenah kemanusiaan yang melitari kehidupan mereka.Telefon pintar menjadi sebahagian daripada kehidupan dan kemanusiaan mereka. Yang lebih menyentuh nurani keinsanan ialah telefon pintar merenggangkan hubungan sesama ahli keluarga dan melupuskan interaksi antara remaja dengan masyarakat sekeliling. Dunia maya mereka jauh tergelincir daripada sifat kemanusiaan. 

            Walhal, telefon pintar telah memudahkan banyak tugas dan peranan manusia. Remaja menjadikan alat ini untuk pelbagai tujuan yang sangat murni. Remaja menjadikan telefon pintar sebagai wahana untuk kreativiti berkembang selain menjadikan mereka jauh berada di hadapan. Remaja Korea yang gah dengan jenama Samsung menjadi antara golongan remaja yang sofistikated dan moden di rantau ini. Remaja Jepun yang bangga akan label Sony menjadikan diri mereka sebagai antara remaja yang paling ke hadapan di dunia. Remaja di negara kita pula begitu terampil apabila berbicara tentang teknologi dan komunikasi yang menjadikan mereka tampak canggih dan urban. Mereka begitu berjaya jikalau aspek pembangunan material menjadi ukuran. Mereka pasti dilihat begitu cemerlang seandainya landskap kecemerlangan dilihat dari segi pengetahuan yang berasaskan teknologi moden.Tidak ada satu pun yang kelihatan cela dan canggung. Segalanya nampak begitu hebat. Dengan teknologi telefon pintar, remaja pada hari ini sememangnya dilihat begitu berjaya.

            Sayang sekali, kecanggihan yang didewa-dewakan itu lebih bersandarkan material dan luaran. Dalaman mereka bergelojak dengan kecelaruan jati diri. Fikiran mereka bercelaru dan bersimpang-perenang antara dunia maya dengan dunia realiti. Mereka semakin hanyut dalam arus kecanggihan pada era digital sehingga akar jati diri bangsa semakin mereput dan melenyapkan nilai kemanusiaan. Kemajuan dalam teknologi telefon pintar ini mengakibatkan gejala ketagihan digital memuncak lantas menghilangkan nilai kemanusiaan. Remaja mestilah berpandangan rasional untuk mendepani hakikat bahawa kemajuan dalam era digital yang dibawa oleh telefon pintar ini bakal menjejaskan interaksi antara mereka dengan dunia yang lebih matang dan berperikemanusiaan. Kemajuan teknologi ini telah menguburkan sifat kemesraan yang sepatutnya terjalin ketika sebuah keluarga bersama-sama untuk menikmati masa berkualiti. Duduk di meja makan seharusnya dipenuhi oleh gelak ketawa dan senda gurau antara ibu bapa dengan anak, namun senario yang dilihat pada masa ini ialah masing-masing sibuk melayan peralatan komunikasi canggih. Si abang memuatkan kisah dalam media sosial atau memuat naik foto dalam Instragram. Si kakak membalas e-mel rakan manakala si adik pula ralit dengan permainan video. Keadaan ini menjadi lebih perit apabila ibu bapa mereka pula seolah-olah merestui tindakan itu lalu mereka berbual-bual dengan rakan atau teman sepejabat sambil membincangkan soal kerjaya. Keluarga tersebut mengorbankan harga kemesraan dengan tindakan yang meruntuhkan kemanusiaan yang menjadi pembunuh dalam diam. 

            Kajian yang dilakukan pada tahun 2007 oleh Research In Motion (RIM) mendapati bahawa pengguna biasa telefon Blackberry telah menghabiskan masa efisien mereka sebanyak 30 peratus sehari dengan memuat turun pelbagai aplikasi. Bukankah masa tersebut dapat dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli keluarga? Ketaasuban pada alat ini turut menyebabkan remaja semakin renggang dengan persekitaran masyarakat. Mereka menjadi lebih individualistik dan tidak mengisahkan apa-apa perkara yang berlaku dalam masyarakat sehingga aktiviti sosial yang dapat memupuk perasaan kekitaan, kebersamaan, dan perpaduan akhirnya terabai. Pada hari ini, kita dapat melihat bahawa di mana-mana telefon pintar akan dibimbit oleh pemiliknya tanpa mengira situasi dan tempat. Kita juga sering melihat telefon pintar ini berdering ketika berlangsungnya majlis ilmu, seperti ceramah atau forum, malahan ketika hendak menunaikan solat di masjid; bunyi deringan telefon pintar tetap bergema menandakan bahawa pemiliknya tidak peka akan situasi. Sudah pasti keadaan ini mengundang persoalan tentang nilai kemanusiaan, malahan menjangkaui nilai keagamaan dan akhlak.Tidak manis dipandang sekiranya ketagihan dalam penggunaan telefon pintar berlaku di tempat atau dalam situasi yang tidak sesuai, seperti di rumah ibadat. Pernahkah remaja yang beriktikaf di masjid terpandang papan tanda yang tertulis"Tiada yang Lebih Utama daripada Panggilan Ilahi"? Telefon pintar telah mengghaibkan satu ciri kemanusiaan yang sepatutnya termaktub dalam diri setiap individu sehingga waktu untuk beramal ibadat pun kita masih perlu diingatkan agar mematikan telefon pintar.

            Oleh sebab terdapat pelbagai aplikasi canggih yang diketengahkan dalam telefon pintar ini, maka tidaklah menjadi sesuatu yang canggung sekiranya terdapat unsur negatif yang turut dibawa masuk melalui kecanggihan alat ini. Lantaran itu, Kementerian Pendidikan masih mengekalkan larangan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah dengan alasan impak negatifnya lebih menonjol berbanding dengan implikasi positifnya. Bukan sekadar mengganggu pelajaran, malahan remaja sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit untuk melungsur sesawang yang tidak sesuai untuk mereka sekiranya tanpa kawalan. Ibu bapa yang bekerja keras sepanjang hari untuk mencari nafkah perlu menanggung bebanannya. Di manakah nilai keperibadian anak sekiranya mereka sanggup membiarkan keadaan ini berlaku? Tidakkah ada perasaan belas kepada ibu bapa yang bermandi keringat untuk mencari wang dan sejumlah pendapatan itu dileburkan oleh remaja untuk berseronok? Begitu mudah nilai kemanusiaan ini dihakis oleh remaja asalkan mereka memperoleh apa-apa yang diinginkan tanpa pertimbangan yang lebih matang. Janganlah ada sikap yang wujud dalam diri remaja untuk memuaskan hati sendiri tetapi dalam masa yang masa, memberikan tambahan beban kepada ibu bapa agar remaja memiliki sebuah peranti yang menjadi simbol kemegahan.

            Remaja telah dididik dengan pelbagai pengetahuan oleh ibu bapa dan guru. Pengetahuan yang diterima sudah pasti dapat membantu mereka membezakan perkara yang benar daripada perkara yang salah. Namun begitu, banyak kes yang melibatkan moral remaja berlaku dasawarsa ini yang turut dikaitkan dengan kemajuan dan perkembangan dalam arus teknologi digital ini. Peranti menjadi mangkin kepada keruntuhan akhlak remaja bukan lagi dongengan.Telefon pintar yang menjadi antara penyebabnya tidak seharusnya disangkal lagi. Alat ini menjadi medium untuk menyalurkan pelbagai perkara yang negatif, termasuklah unsur pornografi, keganasan, dan aktiviti sumbang.Telefon ini turut menjadikan remaja berpaksikan amalan hedonisme kerana aplikasi hiburan yang disediakan sangat diminati oleh mereka.

            Kajian yang dilakukan telah membuktikan bahawa wujud simbiosis antara tahap tekanan dengan penggunaan telefon pintar. Lantaran terlalu taasub untuk memeriksa akaun e-mel dan laman sosial, remaja menjadi tertekan secara tidak langsung. Wujud simptom phantoms vibrations yang menjadikan fikiran remaja hanya memfokuskan teknologi ini. Nilai kemanusiaan akhirnya lenyap dek ketagihan yang melampau pada sebuah peranti yang tidak berjiwa ini. Remaja akhirnya menjadi seperti robot yang tidak memiliki perasaan, dikawal oleh butang dan sentuhan pada telefon pintar. Nilai murni, seperti amalan bertegur sapa, kemesraan, dan semangat setia kawan, barangkali akan dimakamkan oleh peranti ini. Nilai kemanusiaan akan tenggelam hari demi hari kerana sebuah alat yang menjadi kegilaan pada hari ini. Sebelum terlewat, ketepikan telefon pintar anda sebentar dan hayatilah dunia yang sebenarnya, dunia yang penuh kegembiraan tanpa sentuhan telefon pintar.