Kesan Gejala Ketagihan pada Peranti
Elektonik dan Media Sosial
Oleh : Azhar Salleh
Hampir kebanyakan remaja pada hari
ini memiliki sebuah telefon pintar, sama ada remaja di kawasan pedalaman ataupun
di sebuah kota metropolitan. Terdapat pelbagai jenama atau aplikasi telefon
pintar dalam pasaran, seperti Android, iPhone, Blackberry dan Windows.
Telefon pintar menafaskan kehidupan harian kita sehingga rutin harian
seolah-olah direncanakan oleh alat komunikasi tersebut. Telefon pintar
menjadikan kehidupan manusia mengalami perubahan yang sangat ketara. Pada hari
ini, telefon pintar melaksanakan tugas yang melangkaui peranannya. Alat ini
benar-benar diperlukan bukan sekadar untuk berbual-bual atau menghantar pesanan
dengan cara yang paling mudah. Walaupun ada yang menegaskan bahawa telefon
pintar memudahkan segala keperluan dan tuntutan mereka, namun turut memercikkan
implikasi yang negatif dari perspektif yang pelbagai. Telefon pintar telah
melaksanakan tugas untuk menyimpan dan menghantar data, melakukan pelbagai
transaksi melalui urusan dalam talian, mencari maklumat dengan pantasnya, dan
menghiburkan hati dengan pelbagai aplikasi yang dapat dicapai melalui internet.
Namun begitu, telefon pintar juga telah merobek kemanusiaan dengan cukup
berjaya.
Biarpun
melalui telefon, hubungan remaja dengan keluarga dan sahabat menjadi lebih
intim melalui perbualan atau penghantaran mesej dengan aplikasi sistem pesanan
ringkas atau WhatsApp dan seumpamanya. Namun, sifat kemanusiaan tidak
mampu dicipta oleh aplikasi telefon pintar. Telefon pintar tidak memiliki jiwa
atau atma yang berseni. Mengapakah dikatakan bahawa telefon pintar melenyapkan sifat
kemanusiaan? Satu daripada fungsi alat ini telah menghilangkan sifat
kemanusiaan akibat ketagihan aplikasi yang direka cipta, khususnya dalam
golongan remaja. Remaja yang berkiblatkan aplikasi dalam telefon pintar ini
tidak lagi meladeni kerenah kemanusiaan yang melitari kehidupan mereka.Telefon pintar
menjadi sebahagian daripada kehidupan dan kemanusiaan mereka. Yang lebih
menyentuh nurani keinsanan ialah telefon pintar merenggangkan hubungan sesama
ahli keluarga dan melupuskan interaksi antara remaja dengan masyarakat
sekeliling. Dunia maya mereka jauh tergelincir daripada sifat kemanusiaan.
Walhal,
telefon pintar telah memudahkan banyak tugas dan peranan manusia. Remaja
menjadikan alat ini untuk pelbagai tujuan yang sangat murni. Remaja menjadikan
telefon pintar sebagai wahana untuk kreativiti berkembang selain menjadikan
mereka jauh berada di hadapan. Remaja Korea yang gah dengan jenama Samsung menjadi
antara golongan remaja yang sofistikated dan moden di rantau ini. Remaja Jepun
yang bangga akan label Sony menjadikan diri mereka sebagai antara remaja
yang paling ke hadapan di dunia. Remaja di negara kita pula begitu terampil
apabila berbicara tentang teknologi dan komunikasi yang menjadikan mereka
tampak canggih dan urban. Mereka begitu berjaya jikalau aspek pembangunan
material menjadi ukuran. Mereka pasti dilihat begitu cemerlang seandainya
landskap kecemerlangan dilihat dari segi pengetahuan yang berasaskan teknologi
moden.Tidak ada satu pun yang kelihatan cela dan canggung. Segalanya nampak
begitu hebat. Dengan teknologi telefon pintar, remaja pada hari ini sememangnya
dilihat begitu berjaya.
Sayang sekali, kecanggihan
yang didewa-dewakan itu lebih bersandarkan material dan luaran. Dalaman mereka
bergelojak dengan kecelaruan jati diri. Fikiran mereka bercelaru dan
bersimpang-perenang antara dunia maya dengan dunia realiti. Mereka semakin
hanyut dalam arus kecanggihan pada era digital sehingga akar jati diri bangsa
semakin mereput dan melenyapkan nilai kemanusiaan. Kemajuan dalam teknologi
telefon pintar ini mengakibatkan gejala ketagihan digital memuncak lantas
menghilangkan nilai kemanusiaan. Remaja mestilah berpandangan rasional untuk
mendepani hakikat bahawa kemajuan dalam era digital yang dibawa oleh telefon
pintar ini bakal menjejaskan interaksi antara mereka dengan dunia yang lebih
matang dan berperikemanusiaan. Kemajuan teknologi ini telah
menguburkan sifat kemesraan yang sepatutnya terjalin ketika sebuah keluarga
bersama-sama untuk menikmati masa berkualiti. Duduk di meja makan seharusnya
dipenuhi oleh gelak ketawa dan senda gurau antara ibu bapa dengan anak, namun
senario yang dilihat pada masa ini ialah masing-masing sibuk melayan peralatan
komunikasi canggih. Si abang memuatkan kisah dalam media sosial atau memuat naik
foto dalam Instragram. Si kakak membalas e-mel rakan manakala si adik
pula ralit dengan permainan video. Keadaan ini menjadi lebih perit apabila ibu
bapa mereka pula seolah-olah merestui tindakan itu lalu mereka berbual-bual
dengan rakan atau teman sepejabat sambil membincangkan soal kerjaya. Keluarga tersebut mengorbankan harga kemesraan dengan tindakan yang
meruntuhkan kemanusiaan yang menjadi pembunuh dalam diam.
Kajian
yang dilakukan pada tahun 2007 oleh Research In Motion (RIM) mendapati
bahawa pengguna biasa telefon Blackberry telah menghabiskan masa efisien
mereka sebanyak 30 peratus sehari dengan memuat turun pelbagai aplikasi.
Bukankah masa tersebut dapat dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan dalam
kalangan ahli keluarga? Ketaasuban pada alat ini turut menyebabkan remaja
semakin renggang dengan persekitaran masyarakat. Mereka menjadi lebih
individualistik dan tidak mengisahkan apa-apa perkara yang berlaku dalam
masyarakat sehingga aktiviti sosial yang dapat memupuk
perasaan kekitaan, kebersamaan, dan perpaduan akhirnya terabai. Pada
hari ini, kita dapat melihat bahawa di mana-mana telefon pintar akan dibimbit oleh
pemiliknya tanpa mengira situasi dan tempat. Kita juga sering melihat telefon
pintar ini berdering ketika berlangsungnya majlis ilmu, seperti ceramah atau
forum, malahan ketika hendak menunaikan solat di masjid; bunyi deringan telefon
pintar tetap bergema menandakan bahawa pemiliknya tidak peka akan situasi. Sudah pasti keadaan ini mengundang
persoalan tentang nilai kemanusiaan, malahan menjangkaui nilai keagamaan dan
akhlak.Tidak manis dipandang sekiranya ketagihan dalam penggunaan telefon
pintar berlaku di tempat atau dalam situasi yang tidak sesuai, seperti di rumah
ibadat. Pernahkah remaja yang beriktikaf di masjid terpandang papan tanda yang
tertulis"Tiada yang Lebih Utama daripada Panggilan Ilahi"? Telefon
pintar telah mengghaibkan satu ciri kemanusiaan yang sepatutnya termaktub dalam
diri setiap individu sehingga waktu untuk beramal ibadat pun kita masih perlu
diingatkan agar mematikan telefon pintar.
Oleh
sebab terdapat pelbagai aplikasi canggih yang diketengahkan dalam telefon
pintar ini, maka tidaklah menjadi sesuatu yang canggung sekiranya terdapat
unsur negatif yang turut dibawa masuk melalui kecanggihan alat ini. Lantaran
itu, Kementerian Pendidikan masih mengekalkan larangan pelajar membawa telefon
bimbit ke sekolah dengan alasan impak negatifnya lebih menonjol berbanding
dengan implikasi positifnya. Bukan sekadar mengganggu pelajaran, malahan remaja
sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit untuk melungsur sesawang yang tidak
sesuai untuk mereka sekiranya tanpa kawalan. Ibu bapa yang bekerja keras
sepanjang hari untuk mencari nafkah perlu menanggung bebanannya. Di manakah
nilai keperibadian anak sekiranya mereka sanggup membiarkan keadaan ini
berlaku? Tidakkah ada perasaan belas kepada ibu bapa yang bermandi keringat
untuk mencari wang dan sejumlah pendapatan itu dileburkan oleh remaja untuk
berseronok? Begitu mudah nilai kemanusiaan ini dihakis oleh remaja asalkan
mereka memperoleh apa-apa yang diinginkan tanpa pertimbangan yang lebih matang.
Janganlah ada sikap yang wujud dalam diri remaja untuk memuaskan hati sendiri
tetapi dalam masa yang masa, memberikan tambahan beban kepada ibu bapa agar
remaja memiliki sebuah peranti yang menjadi simbol kemegahan.
Remaja
telah dididik dengan pelbagai pengetahuan oleh ibu bapa dan guru. Pengetahuan
yang diterima sudah pasti dapat membantu mereka membezakan perkara yang benar
daripada perkara yang salah. Namun begitu, banyak kes yang melibatkan moral
remaja berlaku dasawarsa ini yang turut dikaitkan dengan kemajuan dan
perkembangan dalam arus teknologi digital ini. Peranti menjadi mangkin kepada
keruntuhan akhlak remaja bukan lagi dongengan.Telefon pintar yang menjadi
antara penyebabnya tidak seharusnya disangkal lagi. Alat ini menjadi medium
untuk menyalurkan pelbagai perkara yang negatif, termasuklah unsur pornografi,
keganasan, dan aktiviti sumbang.Telefon ini turut menjadikan remaja berpaksikan
amalan hedonisme kerana aplikasi hiburan yang disediakan sangat diminati oleh mereka.
Kajian
yang dilakukan telah membuktikan bahawa wujud simbiosis antara tahap tekanan
dengan penggunaan telefon pintar. Lantaran terlalu taasub untuk memeriksa akaun
e-mel dan laman sosial, remaja menjadi tertekan secara tidak langsung. Wujud
simptom phantoms vibrations yang
menjadikan fikiran remaja hanya memfokuskan teknologi ini. Nilai kemanusiaan
akhirnya lenyap dek ketagihan yang melampau pada sebuah peranti yang tidak
berjiwa ini. Remaja akhirnya menjadi seperti robot yang tidak memiliki perasaan,
dikawal oleh butang dan sentuhan pada telefon pintar. Nilai murni, seperti
amalan bertegur sapa, kemesraan, dan semangat setia kawan, barangkali akan
dimakamkan oleh peranti ini. Nilai kemanusiaan akan tenggelam hari demi hari
kerana sebuah alat yang menjadi kegilaan pada hari ini. Sebelum terlewat,
ketepikan telefon pintar anda sebentar dan hayatilah dunia yang sebenarnya,
dunia yang penuh kegembiraan tanpa sentuhan telefon pintar.
No comments:
Post a Comment