Sunday, October 25, 2015

Ramalan 2015 Tn Haji Samad




MENGUKUHKAN SEMANGAT KEJIRANAN            ( Jiran sepakat membawa berkat)
            Jiran sepakat membawa berkat. Itulah peribahasa yang digunakan sebelum ini oleh masyarakat di luar bandar dalam tradisi hidup bermasyarakat. Realiti kehidupan manusia kini mencapai tahap ketamadunan yang tinggi tetapi pada masa sama manusia kadangkala tergelincir daripada hakikat kehidupan sebenar. Budaya hidup berjiran tidak lagi diamalkan. Bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing, mungkin perumpamaan itu yang menggambarkan masyarakat bandar walaupun pada hakikatnya rumah mereka sangat dekat. Ada sebahagiannya yang tidak mengenali jirannya secara dekat, atau sekadar bertegur sapa tanpa mengetahui asal usul jirannya. Mereka tidak merasakan soalan kejiranan satu keperluan dalam hidup. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memupuk budaya kejiranan yang menjadi asas keharmonian kehidupan.

            Pada masa ini, konsep kejiranan amat ditekankan dalam masyarakat supaya mereka dapat saling membantu dan memahami jiran tetangga tidak kira bangsa dan agama. Jiran merupakan komuniti paling hampir dengan kehidupan setiap individu. Sebelum ini, jiran merupakan tempat mengadu dan meminta bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Kehidupan berjiran ghalibnya dipenuhi nilai kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan. Selain tuntutan agama, kehidupan berjiran amat penting untuk negara kerana keutuhan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat kejiranan yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi Malaysia didiami pelbagai kaum yang memerlukan rakyat bersatu mewujudkan negara maju. Oleh itu, sudah tiba masanya kita mengorak langkah menghidupkan semangat kejiranan demi keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat. Pemuafakatan antara jiran tetangga dapat membantu kerajaan menjayakan agenda transformasi nasional seperti usaha mencegah jenayah. Seyogia diingatkan bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung pada keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya. Masyarakat yang berkualiti juga dilahirkan melalui persefahaman dan kerukunan antara jiran tetangga.

            Kempen menggalakkan keharmonian hidup berjiran seharusnya diperkenalkan semula khususnya kepada masyarakat bandar. Antaranya, Program Kenali Jiran Kita yang dilancarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di kawasan perumahan di bandar. Program ini telah menghidupkan kembali tradisi semangat kejiranan. Selain mewujudkan suasana harmonis dan mengeratkan pemuafakatan pelbagai kaum, program itu juga menyemarakkan kembali semangat perpaduan, setia kawan, serta gotong-royong. Ibarat pepatah Melayu, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’, menjelaskan betapa pentingnya nilai muafakat dalam masyarakat terutama dalam hidup berjiran di bandar besar. Program Kenali Jiran Kita juga menjadi platform ideal sebagai penghubung pihak kerajaan dengan masyarakat setempat. Sebenarnya program ini memberi kesedaran mengenai tanggungjawab dalam hal-ehwal kemasyarakatan. Pelbagai akitivi bagi menggalakkan jiran tetangga berinteraksi secara bersemuka seperti bergotong-royong, penglibatan dalam akitiviti kesukarelawan dan khidmat sosial. Perancangan berterusan sedang dibuat untuk memperluas program ini termasuk kawasan perumahan mewah.

            Satu lagi usaha untuk mengukuhkan semangat kejiranan dalam masyarakat majmuk termasuk mengadakan rumah terbuka semasa musim pelbagai perayaan yang sudah menjadi satu budaya di Malaysia sejak sekian lama. Acara itu sama ada diadakan di rumah masing-masing atau ditaja parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan. Tradisi yang diadakan secara besar-besaran sebagai simbol perpaduan dan keharmonian masih mekar di Malaysia. Apa-apa yang menarik dan unik tentang budaya di negara ini ialah rakyat pelbagai kaum mengambil peluang bersama-sama menyambut Hari Raya, Deepavali, Krismas dan Tahun Baharu Cina. Rakyat tidak nengira kaum dan anutan agama mengambil peluang tersebut untuk bersama-sama menyambutnya sambil mengetepikan ideologi politik masing-masing untuk semata-mata meraikannya sebagai tanda hormat dan toleransi terhadap kepercayaan masyarakat majmuk di negara ini. Konsep rumah terbuka hanya dilakukan oleh rakyat Malaysia. Pada awalnya, konsep rumah terbuka diadakan berikutan kebanyakan orang bandar bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menerima kunjungan tetamu setiap hari. Oleh itu, mereka menetapkan hari tertentu bagi membolehkan semua yang dikenali datang pada masa yang ditetapkan. Kini seakan-akan sudah menjadi salah satu budaya yang diterima segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

            Sebagai intiha, sudah tiba masanya kita menghayati konsep kejiranan yang semakin dilupakan dalam masyarakat khususnya di bandar. Keghairahan mengejar dunia materialistik akan memberi kesan amat mendalam kepada institusi kemasyarakatan kita. Sikap individualistik, tidak ambil kisah dan tidak boleh berkompromi dengan jiran tetangga jika berlarutan boleh membawa kepada persengketaan yang membabitkan seluruh ahli keluarga. Secara tidak langsung semua ini akan menyebabkan kualiti kehidupan terganggu. Tegasnya, hakikat kehidupan ini tidak dapat lari daripada amalan kejiranan. Oleh itu, jadilah jiran yang baik dan carilah jiran yang baik.
 

MENYUBURKAN BUDAYA PENYAYANG
          Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Tun Dr. Mahathir mentafsirkan budaya penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri. Dengan kata lain, masyarakat penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan ahlinya yang mesra dan bertimbang rasa, berbakti, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi, melakukan kebajikan, menunjukkan rasa kasih dan belas kasihan. Setiap orang saling memahami dan menghormati, iaitu yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang muda. Cara hidup ini juga dikenali sebagai “budaya ikram”. Ungkapan ini memberikan seribu gambaran yang sangat bererti kepada seluruh insan di dunia ini tentang masyarakat penyayang yang perlu dibenamkan dalam sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal yang dianugerahkan oleh Tuhan.
          Islam amat menekankan usaha mewujudkan masyarakat penyayang. Dalam menjamin keharmonian masyarakat, beberapa ciri asas yang menjadi dasar pembentukan masyarakat perlu ditekankan. Islam mengaitkan pembentukan masyarakat penyayang dengan tiga hubungan dasar, iaitu hubungan manusia dengan Ilahi, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Hasrat untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan sebuah negara yang aman tidak akan tercapai melainkan dengan membentuk individu yang berteraskan Islam terlebih dahulu. Keperibadian mulia dan pegangan agama mantap adalah faktor penting dalam mewujudkan masyarakat penyayang. Walau bagaimanapun tahap kesedaran masyarakat terhadap konsep masyarakat penyayang masih rendah. Masalah penganiayaan dan penculikan kanak-kanak, kes pembuangan bayi,pengabaian terhadap orang-orang tua serta penderaan isteri masih menjadi buah mulut masyarakat. Keadaan ini memerlukan perhatian serius daripada setiap ahli masyarakat. Persoalan ini perlu dirungkaikan supaya masing-masing membuka mata agar masyarakat sebegini akan terus menjadi amalan di negara kita.
          Asas yang paling kukuh untuk membina budaya penyayang ialah menerusi institusi keluarga. Pembangunan pesat yang dinikmati negara telah memberikan tekanan terhadap institusi keluarga yang berupaya menggugat keutuhan masyarakat. Gejala pengabaian anak-anak, keganasan rumah tangga, penderaan dan perceraian meningkat gara-gara masyarakat alpa mengejar kebendaan dalam kehidupan serba pantas ini. Kebejatan akhlak golongan remaja hari ini turut mengundang gundah, apatah lagi apabila generasi yang sepatutnya menjadi waris negara rebah sebelum waktunya. Senanio ini jika tidak ditangani secara bijak mampu memusnahkan harapan negara untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang prihatin dan penyayang. Ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak. Anak yang dibesarkan dan dididik dengan penuh kasih sayang dalam keluarga bahagia akan membesar sebagai individu yang berkualiti. Anak ini akan mewarisi sifat positif dan nilai murni daripada ibu bapa mereka. Kempen konsep “Keluarga Bahagia”, “Rumahku Syurgaku” (Baiti Jannati) diharapkan dapat melahirkan generasi yang bertanggungjawab sekali gus membentuk masyarakat penyayang.
          Konsep masyarakat penyayang dapat direalisasikan melalui pendidikan secara formal. Misalnya kementerian telah memasukkan nilai murni yang perlu ada pada individu ke dalam sukatan pelajaran bagi subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Agama Islam, dan sebagainya. Aktiviti kokurikulum dapat menyemaikan nilai kemasyarakatan yang murni kepada pelajar. Misalnya semangat bekerjasama dan aktiviti rekreasi yang dijalankan dapat mendekatkan manusia dengan alam sekitar. Penubuhan Badan Kebajikan di sekolah juga berfungsi untuk membantu golongan yang susah dan bermasalah. Pendidikan ialah wahana perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian, dan jasmani manusia. Sekolah sebagai organisasi yang didukung golongan pendidik menjadi wadah terpenting dalam menjana modal insan yang berketerampilan, di samping melahirkan insan yang intelektual.
          Kementerian Pelajaran memperkenalkan konsep ‘Sekolah Penyayang’ untuk melahirkan pelajar berketrampilan, sekali gus membendung salah laku murid. Konsep Sekolah Penyayang merupakan konsep yang penting dalam sistem pendidikan Malaysia. Konsep ini mempunyai hubungan yang erat dengan cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020, masyarakat dan budaya penyayang. Konsep Sekolah Penyayang mampu menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sekolah Penyayang juga menjana generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek, jasmani, dan mempunyai disiplin diri yang tinggi. Gejala vandalisme dan ponteng sekolah adalah fenomena yang agak kritikal di sekolah kini. Kementerian Pelajaran menyarankan agar pihak sekolah menangani masalah ini, terutama ponteng sekolah dengan merealisasikan Sekolah Penyayang supaya para pelajar dapat dibimbing dengan penuh kasih sayang. Apabila wujud suasana kasih sayang dan bimbingan ini, murid akan terpanggil, dan tergerak untuk ke sekolah. Sekolah Penyayang jika diperkasakan mampu menjadi pendekatan berkesan untuk membendung masalah sosial murid dan melahirkan individu yang baik dari segi amalan dan sahsiah.
          Kementerian Pelajaran turut merancang membudayakan Program Guru Penyayang di setiap sekolah di seluruh negara kerana pelaksanaannya terbukti berkesan dalam menangani gejala disiplin dalam kalangan pelajar. Program yang diperkenalkan sejak Februari 2012 memberi impak positif terhadap perkembangan pembelajaran pelajar. Impaknya, pelajar lebih berminat untuk datang ke sekolah setiap hari tanpa berasa sebarang tekanan serta mempunyai hubungan akrab dengan guru dan pihak sekolah.Minat itu didorong oleh rasa selesa dengan guru yang sebelum ini dikatakan bersikap garang atau terlalu tegas dengan anak murid mereka. Konsep Guru Penyayang tersebut bertujuan untuk membudayakan sikap kasih sayang dalam kalangan guru terhadap murid di sekolah dengan harapan besar bahawa murid merupakan aset yang perlu diberi perhatian dan disayangi setiap masa. Program tersebut dilaksanakan melalui tiga amalan, iaitu dengan guru-guru mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah, memberi penghargaan kepada murid seperti sambutan hari jadi dan program mentor mentee. Hasil kaji selidik Indeks Persepsi Murid yang dijalankan Bahagian Pendidikan Kementerian Pelajaran mendapati lebih 87.5 peratus guru di negara ini mengamalkan budaya kasih sayang dan mengambil berat terhadap murid mereka di sekolah. Peratusan itu hasil maklum balas lebih 2,000 murid sekolah di seluruh negara yang melaksanakan Program Guru Penyayang sejak diperkenalkan.
          Badan-badan bukan kerajaan dan badan sukarela juga mempunyai peranan penting dalam menyemaikan budaya penyayang ini. Pada asasnya, NGO ialah kumpulan berdaftar yang sah bagi kegiatan bukan politik dan bukan berorientasikan keuntungan. NGO tempatan yang jelas inti pati perjuangan mereka ialah persatuan pengguna, belia, alam sekitar, badan kebajikan warga tua, dan anak yatim, serta persatuan rekreasi. Badan-badan seperti Kelab Leo, Kelab Rotary,dan Kelab Interact merupakan beberapa badan sukarela yang telah bergerak secara aktif sekian lama dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik. Selain menghulurkan bantuan kewangan dan pakaian, mereka juga mengadakan lawatan untuk beramah mesra dengan golongan ini supaya mereka tidak berasa tersisih daripada masyarakat. Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan NGO dalam melaksanakan kegiatan kebajikan serta menyanjung tinggi semangat kesukarelawan mereka sehingga sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi melaksanakan misi mereka. Kita telah menyaksikan ketabahan dan keberanian MERCY semasa misi damai mereka menyampaikan bantuan kepada mangsa perang di Afghanistan dan Iraq. Terdapat juga NGO lain yang telah bersama-sama kerajaan membanteras masalah sosial seperti penagihan dadah, HIV atau AIDS,serta membela mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan tua dan terbiar, orang kurang upaya, dan mereka yang ditimpa penyakit kronik.
          Sebenarnya, pembentukan masyarakat penyayang akan memantapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Masyarakat penyayang menggambarkan masyarakat Malaysia yang hidup dengan berlandaskan nilai kasih sayang antara satu sama lain. Mereka saling membantu kerana ikatan ukhuwah sentiasa tertanam dalam naluri mereka. Contohnya, amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan berlainan agama pada musim perayaan merupakan salah satu contoh amalan yang berjaya memupuk semangat muhibah dan perpaduan. Ketika rakan atau saudara-mara ditimpa musibah, kita akan memberikan bantuan yang sewajarnya dan berkongsi suka duka dengan mereka kerana masing-masing mengamalkan sikap cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Melalui nilai murni sebegini jelas terlihat mereka mengamalkan hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing. Jadi, sesuai dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan cetusan idea Perdana Menteri untuk melahirkan masyarakat penyayang yang mengamalkan konsep Satu Malaysia akan terlaksana dengan jayanya.

No comments: