Sunday, October 25, 2015

ramalan daripada cikhu ishak



Peranan remaja untuk menghidupkan semangat perpaduan
            Perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi negara berbilang kaum.  Perpaduan merupakan asas pembentukan sebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bulat air kerana pembentung, bulan manusia kerana muafakat.  Remaja, sebagai pewaris negara ini memainkan peranan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Mereka hendaklah memikul tanggungjawab besar ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
            Peranan pertama yang perlu dipegang oleh remaja ialah mereka sendiri menjadi suri teladan kepada rakan-rakan sebaya.  Dalam hubungan ini setiap remaja mestilah mengamalkan dan menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakan sebaya.  Remaja mesti menunjukkan sikap saling menghormati rakan-rakan yang berbeza latar belakang budaya dan agama.  Contohnya, remaja perlu menghormati amalan dan anutan agama rakan-rakan. Di samping itu, remaja perlu mengelakkan diri daripada membangkitkan isu-isu yang sensitif dan dapat menaikkan kemarahan rakan-rakan daripada bangsa dan agama yang lain.  Setiap perselisihan pendapat hendaklah diatasi secara bijaksana dan berhemah, bak kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.  Oleh hal yang demikian, remaja perlu menjadi suri teladan untuk memupuk semangat perpaduan.
            Selain itu, remaja juga hendaklah menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah negara.  Hal ini dinyatakan demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah tanah air dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat dihindarkan.  Sebagai contoh, tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat semangat perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.  Ahli falsafah George Santayana mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama.  Oleh itu remaja hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara lebih serius.  Dengan menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab dalam kehidupan di negara majmuk seperti Malaysia.  Jadi, remaja mestilah mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semangat perpaduan yang jitu.
            Peranan yang berikutnya ialah remaja mestilah mengasimilasikan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan seharian.  Malaysia sangat unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.  Contohnya, kaum Melayu, Cina, dan India merupakan tiga kaum yang dominan di negara ini.  Selain itu, rakyat negara ini juga terdiri daripada etnik peribumi yang tidak kurang pentingnya seperti Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asli, Penan, dan termasuk juga golongan minoriti seperti Portugis, Siam, dan seumpananya.  Remaja mestilah sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan kehidupan.  Misalnya daripada perayaan, rakyat Malaysia meraikan pelbagai perayaan yang tersendiri. Untuk merasai kemeriahannya, remaja mestilah turut meraikan perayaan yang disambut oleh rakan mereka dengan hati yang ikhlas, bak kata pepatah masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Jelaslah, asimilasi budaya dapat mewujudkan semangat perpaduan yang ampuh dalam kalangan remaja di negara ini.
            Selanjutnya, remaja hendaklah mengelakkan diri daripada mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme.  Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri.  Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lagi di negara ini.  Remaja perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan 1 Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah pembentukan sebuah negara yang progresif.  Remaja perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati yang terbuka.  Contohnya, remaja tidak harus menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Mereka hendaklah mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.  Jika semangat ini dapat diamalkan oleh setiap remaja, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.
            Kesimpulannya, remaja bertanggungjawab untuk memainkan peranan penting ke arah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.  Semua pihak hendaklah bersinergi umpama aur dengan tebing untuk merealisasikan wawasan dan gagasan besar negara.  Kita tidak mahu generasi mudah hari ini mengabaikan peranan mereka  untuk memupuk perpaduan dan menghancurkan negara yang bakal diwarisi kelak.  Iltizam dan kesungguhan remaja dalam memupuk semangat perpaduan adalah dituntut demi mewujudkan semua negara yang bersatu padu, aman, maju, dan berdaya saing di peringkat global.  Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Remaja hari ini semakin jauh dihanyut oleh arus kemodenan. Pelbagai isu moral dan sosial sedang melanda remaja. Sebagai remaja berwawasan, anda mempunyai misi untuk menghadapi ancaman tersebut. Ulaskan beberapa fenomena yang sedang melanda remaja masa ini dan persediaan yang perlu dihadapi oleh remaja seperti anda untuk berdepan dengan ancaman seperti itu.
            Perubahan arus globalisasi semakin hari semakin mencabar. Perubahan tersebut disebabkan kecanggihan teknologi maklumat dan pertembungan budaya yang melangkaui batas geografi. Pelbagai maklumat baharu boleh diakseskan dengan hanya seklik ikon. Fenomena tersebut amat mencabar percaturan minda remaja. Semangat inkuiri menyebabkan remaja bagaikan cacing kepanasan. Mereka kadang-kadang hanyut dalam ilusi sendiri malah kadang-kadang mereka lebur dalam gejala kebejatan moral. Akhirnya, berlakulah krisis remaja yang hilang identiti, tiada matlamat hidup dan terjerat dalam gejala sosial. Walau bagaimanapun, remaja tidak boleh selama-lamanya tenggelam dalam khayalan yang boleh memusnahkan diri. Sedar akan fenomena tersebut, apakah prakarsa yang perlu saya perkasakan demi mendepani ancaman yang berbahaya itu?
        Tragedi kenipisan keimanan merupakan fenomena yang paling kritikal dalam kalangan remaja. Agama telah dikenal pasti sebagai paksi dan pasak kekuatan kepada seseorang insan. Perkara yang bersifat anarkis dan antagonis dapat disaring dengan mudah andainya diri kebal dengan perisai agama. Lebih-lebih lagi dalam dunia moden seperti sekarang, kedangkalan terhadap ilmu agama mudah menjerumuskan seseorang ke lembah zulmat.  Gaya hidup yang bertuhankan kebendaan dan hidup bebas tanpa dipandu oleh nilai-nilai agama telah menyebabkan ramai remaja yang sesat. Akhirnya, tanpa berasa segan silu,  mereka membelakangi norma kemanusianan dan menjadi penagih dadah, pemburu hedonisme dan  bergelandangan. Sesudahnya, mereka terkulai ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.
            Remaja merupakan mutiara kepada negara kerana merekalah instrumen penting dalam menyumbang tenaga dan fikiran untuk kemajuan negara. Malang sekali apabila kita terlihat akan gerak geri remaja hari ini  kenyataan hanya omongan kosong kerana remaja kini ibarat buih di laut yang berbusa-busa tetapi mudah pecah. Bagi membuktikan hal ini, ramai remaja yang terpukau dengan alam fatamorgana kemaruk贪婪的akan hiburan. Mereka lalai terhadap pelajaran dan tidak berupaya untuk menjadi remaja yang aktif, pintar dan berwawasan.  Dengan erti kata lain, remaja telah memalapkan cahaya kecemerlangan bangsa dan sebaliknya tenggelam dalam alam fantasi yang mengaburi masa depan mereka. Pendek kata, remaja kini tidak menyedari tanggungjawab mereka sebagai seorang pelapis masa depan negara. Mereka persis buta akan falsafah, pemuda harapan bangsa,  pemudi tiang negara.
           Sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan merupakan suatu nasihat yang perlu diambil sebagai panduan. Dalam hal ini, sebagai remaja pada alaf ini, saya perlu memperkasakan semula nilai jati diri dengan mengenali khalik. Saya perlu mendirikan amalan ibadat kepada Tuhan seperti berdoa, bersyukur dan bertaubat. Seterusnya memberikan khidmat positif kepada semua makhluk. Saya perlu memahami sempadan antara haram, halal dan makruh. Inilah matlamat sebenar hidup kita sesuai dengan maksud dalam firman Allah, “Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita merujuk untuk kembali”.
            Seseorang remaja yang paling berjaya ialah remaja  yang mampu mengenali potensi yang dianugerahi Tuhan kepada dirinya. Potensi inilah yang perlu saya manfaatkan demi masa depan dan maslahat untuk negara juga. Sebagai remaja saya perlu berfikiran positif  untuk mengelakkan diri daripada tercebur dalam kegiatan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam serta menjatuhkan maruah negara. Saya perlu menjaga sensitiviti masyarakat dan memilihara budaya bangsa yang terkenal pada mata masyarakat antarabangsa. Seorang tokoh cendekiawan Islam, Imam Al-Ghazali pernah berkata, “Petanda runtuhnya suatu bangsa itu dapat dilihat apabila anak muda amat mencintai hedonisme dan melupakan tradisi agama dan budaya yang murni”. Kata-kata tersebut memberi amaran bahawa, sesiapa jua terutama remaja haruslah berwaspada dengan hiburan yang keterlaluan kerana sikap sumpama itu boleh mendedahkan bangsa tersebut kepada kemusnahan.
                  Strategi yang tidak kurang penting juga, saya perlulah mempunyai cita-cita dan hala tuju yang jelas.  Kini, semua orang dapat menyaksikan cabaran besar yang sedang menanti di hadapan. Cabaran global dan tuntutan untuk mengantarabangsakan semua potensi dunia seperti dalam  Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) sangat membimbangkan semua pihak dalam wilayah rantau Pasifik.  Amerika dengan kuasa ekskutifnya mahu kerajaan-kerajaan di rantau Pasifik tunduk kepada kehendaknya.  Oleh itu, tanpa cita-cita uuntuk bangkit menjadi bangsa yang gagah dengan ilmu dan kemahiran nescaya kita akan tertindas dalam ‘perang’ ekonomi yang semakin mengancam. Cita-cita juga perlu saya realisasikan dengan ketabahan untuk mencari ilmu. Ilmulah yang menjadi penyuluh hidup dan menjadi pengukur besar  atau kecil  sesuatu bangsa bak kata peribahasa, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa
            Tokoh falsafah terkemuka Yunani, Aristotle pernah berkata, “Ketahanan sesebuah negara bukan bergantung pada hasil buminya yang mewah, sebaliknya berada dalam tangan anak mudanya yang  gagah dan bijaksana”. Apabila menghayati kata-kata hebat tersebut, saya berasa begitu teruja untuk menjadi anak muda yang berwawasan. Saya beriltizam untuk membina Malaysia negara yang tercinta ini menjadi negara yang bebas daripada ancaman parasit dan anasir perosak khususnya dalam kalangan anak-anak muda itu sendiri. Oleh itu, saya dan rakan-rakan hendaklah memilih jalan yang betul yang telah dirintis oleh generasi yang terdahulu.

Akhbar, majalah, media alternatif dan media elektronik amat berpengaruh dalam membentuk minda rakyat. Ulaskan pendapat anda tentang peranan rangkaian media-media tersebut dalam membentuk sikap rakyat yang positif.
            “Jikalau mahu maju keluarlah dari kepompong katak di bawah tempurung, justeru jadilah rakyat yang mampu berfikir di luar kotak yakni berminda kelas dunia”. Seruan seumpama ini acap kali menjadi inti pati ucapan pemimpin untuk mengajak rakyat mencapai kemajuan. Kemajuan adalah sesuatu yang dicari dan bukan secara yang bulat datang bergolek , yang pipih datang melayang. Oleh itu, minda dan sikap harus terbuka luas jikalau mahu mencapai kejayaan. Dalam dunia yang serba maju sekarang,  sumber maklumat menjadi input primer dalam proses menganjak minda rakyat. Sumber media seperti majalah,  akhbar, media elektronik dan media alternatif menganjak pemikiran rakyat agar lebih terbuka dan positif.
            Peranan utama sumber media adalah untuk menyampaikan maklumat  kepada rakyat secara tepat dan jelas. Media sebagai barisan depan kepada masyarakat tidak seharusnya memesongkan pemikiran pembaca dengan maklumat yang salah. Berita yang disampaikan adalah untuk mendidik rakyat supaya berfikir secara rasional. Oleh itu, media bertanggungjawab menyampaikan berita yang sahih dan berintegriti. Pengamal media perlu mematuhi Kod  Etika Kewartawanan 1989 yang mendukung prinsip Rukun Negara. Pengamal media terus memberikan sumbangan kepada proses pembinaan negara, memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional. Sesungguhnya, tugas besar profesion kewartawanan adalah untuk melahirkan masyarakat yang berfikiran kritis  dan menyumbang kepada kemajuan negara.
            Dalam  sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, media hendaklah mengelak daripada mempolemikkan isu-isu sensitif. Isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama hendaklah dielakkan.  Peristiwa 13 Mei 1969 berpokok pangkal daripada penyalahgunaan media akhbar. Akhirnya, semua menanggung rugi, bak kalah jadi abu menang jadi arang. Dalam dunia tanpa sempadan ini, rangkaian media alternatif  seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Malaysia Today hendaklah berhati-hati sebelum menyiarkan portal politik yang boleh membawa keresahan kepada masyarakat. Pengamal media perlu mengelak daripada menyiarkan rencana yang mengadudombakan individu, mendedahkan keburukan orang lain seperti tokoh politik dan selebriti terkenal. Amalan lempar batu sembunyi tangan seperti itu dibimbangi boleh mencetuskan insiden ketegangan kaum sehingga menggugat keharmonian negara.
            Rangkaian media hendaklah  menggalas tanggungjawab sosial untuk mendidik rakyat. Rakyat yang terdidik akan berfikiran positif dan menjadi aset penting kepada negara. Sekiranya mereka disajikan dengan maklumat yang membina jati diri, nescayalah mereka akan menjadi rakyat yang berguna kepada negara. Dalam konteks ini, media arus perdana seperti rangkaian radio dan televisyen  hendaklah benar-benar peka terhadap aspirasi negara. Emosi rakyat akan segera dibakar sekiranya mereka dipaparkan dengan gambar yang boleh menaikkan dendam kesumat. Hal inilah yang terjadi dalam demontrasi tunjuk perasaan antara kumpulan baju kuning dan baju merah baru-baru ini sehingga mencetuskan perasaan benci-membenci.  Seyogia, pengamal media hendaklah lebih sensitif untuk memujuk rakyat agar saling bertolak ansur kerana biduk berlalu kiambang bertaut.
            Sebagai organisasi yang menjadi lidah penyampai antara pemerintah dengan rakyat, media hendaklah menyampaikan info yang berkaitan dengan dasar kerajaan. Medialah yang menjadi jambatan penghubung antara aspirasi pemimpin dengan rakyat. Amalan saling menyokong dan saling memerlukan antara pemimpin dengan rakyat boleh menjadi wasilah kepada kemajuan sesebuah negara. Oleh itu, rakyat harus faham akan dasar negara manakala pemerintah harus cakna terhadap kehendak rakyat.  Sehubungan dengan itu, media menjadi penghubung untuk membina titik temu  antara kedua-dua pihak yang berkepentingan itu kerana pemerintah dan rakyat ibarat irama dan lagu, andai pincang salah satu nescaya musnahlah keseluruhannya.
            Pada peringkat antarabangsa, media memainkan peranan penting untuk mempromosikan  negara dan rakyat di persada global. Nama negara lebih gah pada mata masyarakat dunia jikalau media memainkan peranan yang aktif di pentas dunia. Rencana dan hebahan  tentang sejarah negara,  potensi ekonomi,  kemajmukan masyarakat  serta citra budaya yang unik wajar diketahui oleh masyarakat antarabangsa. Janganlah ada sikap telunjuk lurus kelengkeng berkait dan menggunting dalam lipatan dalam kalangan pengamal media sehingga sanggup menjatuhkan  nama negara di pentas antarabangsa. Ingatlah tindakan seperti itu tidak lebih daripada amalan  berniaga buluh kasap hujung hilang panngkal lesap. Sepatutnya dalam keghairan industri pelancongan yang menjadi pemacu utama ekonomi dunia, media mengambil peluang untuk ‘menjual’ Malaysia tentang  tempat-tempat istimewa, budaya masyarakat, makanan istimewa dan seterusnya menjadi agen memajukan industri pelancongan negara.
            Demi negara, marilah kita manfaatkan kata-kata John F Kennedy, “Janganlah kamu bertanya tentang sumbangan negara kepada kamu sebaliknya, bertanyalah tentang apakah sumbangan kamu kepada negara?” Petikan ini menunjukkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab untuk menyumbang kepada negara. Dalam sebarang situasi dan kapasiti yang ada, kita hendaklah berazam untuk memajukan tanah air. Sebagai penyebar media, mata pena yang bergerak secara diam-diam kadang-kadang lebih tajam daripada mata pedang. Oleh itu, tudingkan mata pena anda kepada perkara-perkara yang positif.

Dalam pemilihan bidang kerjaya, minat menjadi faktor utama. Bincangkan.
            Era pascaperindustrian yang serba mencabar akal manusia telah menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Selama sebelas tahun menghabiskan sistem pendidikan, pelajar sentiasa dipersoalkan oleh guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?”   Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini supaya mereka ada hala tuju dalam hidup dan tidaklah seperti layang-layang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Apakah faktor-faktor yang menentukan pemilihan sesuatu bidang kerjaya?  
            Hakikatnya, minat merupakan salah satu faktor dominan yang mempengaruhi seseorang dalam pemilihan kerjaya mereka.  Dalam konteks ini, minat juga akan menyebabkan seseorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita mereka.  Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM mahupun STPM. Pelajar haruslah memberikan tumpuan semasa guru mengajar di dalam kelas.  Kesannya, pelajar akan lebih mudah memahami sesuatu pelajaran dan menjawab soalan peperiksaan dengan senang.  Sikap kesungguhan ini dapat digambarkan melalui peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, seseorang yang mempunyai minat akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerjaya yang diidam-idamkannya menjadi kenyataan.
            Umum mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah membuat persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dalam zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi keutamaan. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah jika seseorang ingin menjadi seorang jurutera,  subjek yang mesti dipilih ialah Lukisan kejuruteraan. Sebagai langkah untuk merealisasikan kerjaya idaman dan cita-cita yang menggunung tinggi ini, pelajar haruslah memilih subjek yang seiring dengan kursus yang dipilih mereka.
     Sesungguhnya, seseorang pelajar sudah pasti mempunyai idola yang ingin dicontohi sebelum mereka menentukan kerjaya masa depan. Biasanya,  idola yang dipilih memang dikagumi dan menepati kerjaya yang dipilih. Sebagai contoh, seseorang yang ingin menjadi seorang arkitek, mereka boleh menjadikan arkitek negara yang terkenal  di persada dunia iaitu Hijjas Kasturi sebagai idolanya. Bukan itu sahaja, malah segala ketekunan, kegigihan dan kekreatifan beliau akan dijadikan sebagai teladan dalam menggapai kerjaya idaman mereka. Impaknya, seseorang yang dijadikan idola seharusnya mampu mempengaruhi pemikiran, tindak tanduk dalam membuat keputusan serta kesungguhan seseorang untuk memastikan kerjaya yang dihasratkan dapat direalisasikan. Sememangnya,  idola dapat mempengaruhi seseorang dalam membina semangat dan motivasi ke arah menjadikan kerjaya sebagai kenyataan bukannya omong-omong kosong sahaja.
            Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka.  Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti akan kecundang di peringkat awal lagi.  Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa.  Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan.  Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual.  Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan  anak-anak mereka.
            Akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya anak mereka. Anak memerlukan sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat ketabahan dan keiltizaman, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi. 

Kempen galakan membaca yang dijalankan saban tahun masih gagal untuk menjadikan budaya membaca sebagai amalan hidup masyarakat di negara ini. Huraikan tanggungjawab sesebuah keluarga untuk memupuk amalan membaca.
            Inti pati yang tersirat dalam Surah Al Alaq ialah kepentingan amalan membaca sebagai kewajipan untuk menjadi khalifah di bumi ini. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang bijaksana dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, terdapat skeptikal bahawa masyarakat Malaysia amat liat untuk membaca. Sama ada pada peringkat masyarakat mahupun di pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan falsafah pendidikan bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan peranan aktif untuk memupuk amalan membaca.
            Berpandukan peribahasa, cahaya yang cerah bermula daripada lampu di tengah rumah membuktikan semua amalan yang baik hendaklah bermula daripada keluarga. Demikianlah dengan budaya membaca, keluargalah yang perlu membudayakan amalan tersebut. Amalan membaca perlu dibudayakan dan bukan sekadar dibiasakan. Apabila sudah menjadi budaya, justeru semua pihak akan berasa seperti suatu keperluan untuk membaca kerana alah bisa tegal biasa. Setiap ahli keluarga terutama ibu bapa harus menjadikan diri mereka umpama Iampu yang menyinari kehidupan keluarga. Lampu tersebut sudah tentulah sikap yang gemar kepada percambahan ilmu melalui tradisi membaca. Dalam tradisi Islam, setiap anak perlu dididik dengan amalan membaca Al Quran sejak berumur lima tahun lagi. Oleh itu, amalan ini haruslah diperluas kepada bidang pengetahuan yang lain melalui amalan membaca. Seandainya aktiviti lain seperti menonton televisyen, beriadah dan makan bersama boleh dibudayakan, masakan amalan membaca tidak boleh dilaksanakan? Barangkali inilah persoalan yang perlu dijawab oleh sebahagian besar institusi keluarga.
            Peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa, segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak. Walhasil, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam kalangan anak-anak seperti sifat gemar meneroka maklumat baharu dengan membaca. Membaca juga boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti penerokaan minda yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka. Malang sekali belakangan ini akibat tekanan, kerja dan masa yang terhad telah memudarkan minat membaca dalam kalangan ibu bapa sendiri. Masing-masing telah terbawa-bawa dengan gaya hidup baru yang tidak boleh lekang dengan budaya ketagihan laman sosial seperti whatsapp', 'facebook', 'twiter' dan ‘instagram'. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk meletakkan manusia pascamilenium terperap dalam kopompong kebodohan ciptaan sendiri.
            Ibu bapa juga bertanggungjawab menyediakan prasarana dan sumber bacaan yang mencukupi kepada anak-anak. Hal ini amatlah mustahak kerana kebanyakan ibu bapa masa kini cukup serius dalam menyediakan keselesaan fizikal kepada anak-anak seperti bilik tidur berhawa dingin, peralatan gajet dan set televisyen. Akhirnya, semua kemudahan tersebut akan melalaikan anak-anak daripada membaca. Tidak salah kepada ibu bapa untuk melengkapi anak-anak mengikut kemampuan, namun tugas yang paling utama untuk mempertajam minda anak-anak tidak boleh diabaikan. Jadi, ibu bapa hendaklah menyediakan kemudahan pembacaan dan mempelbagaikan bahan bacaan mengikut minat dan tahap. Dalam memilih bahan bacaan juga, ibu bapa mestilah memahami bahawa cita rasa mereka dengan anak adalah berbeza. Dengan sebab itu, kenalilah minat anak-anak serta didiklah mereka menjadi insan yang berjaya menyelak jendela ilmu dengan gemar membaca dan meneroka perkara yang baharu.
            Langkah yang paling proaktif ialah ibu bapa perlu meluangkan masa mengadakan rutin tetap mingguan atau bulanan untuk berkunjung ke kedai buku atau pameran buku. Aktiviti sambil menyelam minum air ini akan memberikan suntikan baharu kepada anak-anak untuk gemar membuat koleksi bahan bacaan. Anak-anak akan terasa diri mereka dihargai atas kesudian ibu  bapa membawa mereka bersantai di samping menyuntikkan mereka pelbagai santapan minda. Jadi,  berkunjung ke kantor bacaan akan memberikan inovasi dan perspektif baharu kepada anak-anak tentang perkembangan dunia buku. Sekiranya usaha ini diperkasakan oleh setiap keluarga di Malaysia, nescaya dalam satu dekad lagi kita akan dapat melihat rakyat Malaysia akan bergulat dengan buku sama ada di dalam bas, LRT dan di mana-mana sahaja tempat yang masanya terluang.
            Hidup dengan membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang berinteraksi dengan seseorang insan bijaksana melalui huruf yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, keluarga yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai sedang mengembara ke seluruh dunia. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli keluarga dengan amalan membaca.
Hari Buku Sedunia setiap 23 April- UNESCO sejak 95
Pesta buku antarabangsa KL
dua orang penulis tersohor di dunia iaitu William Shakespeare dan Miguel deCervantes.
Wahyu pertama kpd Nabi Muhd ialah kalimah iqra
Mevlana Celaleddin Rumi
UNESCO mendirikan World Book Capital. membudayakan budaya membaca, menulis, dan menerbit.
NILAM ( Nadi Ilmu Amalan Membaca) merupakan pengabungan semua aktiviti galakan membaca yang  dijalankan di sekolah seluruh negara



No comments: