Tuesday, July 30, 2013

percubaan

Langkah-langkah menjadi pelajar cemerlang
Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, penolong-penolong kanan, guru-guru, seterusnya para pelajar yang dikasihi. Salam sejahtera dan ucapan terima kasih saya dahului atas undangan ini untuk menyampaikan ceramah yang bertemakan langkah-langkah untuk menjadi pelajar cemerlang.
Para pelajar yang dikasihi,
Sebelum memanjanglebarkan bicara, izinkan saya menginterpretasikan maksud pelajar cemerlang. Adakah anda semua faham akan apakah maksud pelajar cemerelang? Sebenarnya pelajar cemerlang merupakan murid yang berbakat dan berilmu dalam bidang kurikulum dan juga kokurikulum. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, bukan suatu fenomena yang sukar dicapai. Justeru, pada pagi yang ceria ini, saya ingin menyampaikan beberapa tip tentang cara untuk menjadi pelajar yang cemerlang? Satu daripada langkahnya ialah anda perlu bijak mengagihkan masa dengan teratur dan tersusun. Hal ini dapat dicapai sekiranya anda dapat nenyediakan dan mematuhi jadual waktu belajar. Hal ini juga dapat memastikan anda sentiasa melaksanakan aktiviti dalam masa yang ditentukan dengan sempurna.
Seterusnya, anda perlu membuang sifat malas dan jemu, dan sentiasa rajin menimba ilmu setiap masa. Bukankah ilmu itu cahaya hidup? Tidak rugi anda menambah ilmu sebanyaknya. Tambahan pula, matlamat amat penting dalam mencapai kecemerlangan. Dalam pada itu, ilmu agama dan pendidikan moral jangan dipinggirkan. Hal ini dikatakan demikian kerana didikan agama dan moral yang kukuh dapat membantu anda nencapai kecemerlangan. Kuatkan tekad dan tanamlah kezaman. Jangan digenggam seperti menggenggam bara, rasa hangat dilepaskan. Anda jangan sekali-kali berputus asa, waima gagal. Kegagalan bukan bererti dunia sudah kiamat. Dalam menghadapi cabaran dan dugaan di dalam dunia globalisasi tanpa sempadan ini, anda tidak perlu gusar mengakses ilmu. Pelbagai ilmu berada di hujung jari, sekiranya anda bijak menguasai penggunaan komputer. Jadi, tidak ada sebab anda tidak akan menjadi pelajar cemerlang.
Pelajar sekalian,
Pengawalan emosi juga amat penting jikalau anda ingin menjadi seorang pelajar cemerlang. Emosi haruslah sentiasa dikawal dan diberikan perhatian yang sewajarnya. Seandainya emosi diri sendiri tidak dapat dikawal, anda pasti akan bertindak secara tidak waras dan di luar batas kemanusiaan.  Bak kata pepatah, ikut hati mati, kut rasa binasa. Emosi yang tidak dikawal dengan sempurna juga boleh menjejaskan kesihatan. Banyak pesakit mental dan stres serta kemurungan kerana tidak dapat mengawal atau mengendalikan emosinya dengan sempurna. Jadi, emosi anda harus sentiasa dikawal agar tidak mempengaruhi anda dalam menuntut ilmu. Oleh itu, memperbanyak zikir dan doa ialah salah satu cara mengawal emosi dengan sempurna.
Selain itu, anda harus bersikap berani semasa menghadapi masalah dalam pelajaran. Anda tidak sepatutnya takut untuk bertanya kepada guru sekiranya anda tidak dapat memahami sesuatu dalam subjek yang anda pelajari. Sebagai contohnya, jika anda lemah dalam pengiraan ilmu matematik yang agak rumit, anda mestilah berani dan hindarkan perasaan malu meminta pertolongan daripada guru atau orang yang lebih arif. Tindakan ini pasti memanfaatkan diri anda sendiri dan sekali gus akan meningkatkan prestasi anda dalam mata pelajaran yang lemah. Justeru, bertanyalah kepada guru atau kawan-kawan yang lebih pandai merupakan jalan terbaik. Bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan, malu berkayuh perahu hanyut.
Selain bidang akademik yang harus anda kembangkan untuk menjadi pelajar cemerlang, bidang kokurikulum juga tidak sepatutnya anda ketepikan. Bidang kokurikulum merupakan sebahagian daripada cirinya yang wajar anda berikan tumpuan sama seperti bidang kurikulum. Lebih-lebih lagi belakangan ini Menteri Pelajaran menegaskan peri mustahaknya bidang kokurikulum untrk melahirkan modal insan berkualiti. Beliau juga menyarankan, “satu pelajar, satu sukan”. Sebagai pelajar, anda hendaklah sentiasa melakukan senaman atau aktiviti kokurikulum bagi menjamin jasmani yang sempurna. Jasmani yang sihat dapat memudahkan seseorang pelajar itu melakukan sebarang pekerjaan dengan baik. Sehubungan itu, badan anda dapat dicergaskan dan minda anda dapat dicerdaskan. Tepatlah kata pujangga, otak yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas!
Para pelajar yang dikasihi,
Akhirulkalam, anda dapat menjadi seorang pelajar yang cemerlang seandainya anda dapat mengurus masa dengan teratur, rajin menuntut ilmu, bijak dalam mengawal emosi anda dan juga sentiasa melibatkan diri anda dalam bidang kokurikulum sekolah. Ingat dan praktikkan semua ini. Kejayaan pasti mengiringi anda. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa ilmu amat penting dalam kehidupan kita baik masa ini, mahu pun masa depan. Bak kata pepatah, biar miskin asalkan cerdik, terlawan juga orang kaya.
Sekian, terima kasih.
.Guru merupakan insan yang paling banyak berjasa kepada kita.Tulis sebuah rencana tentang cara-cara yang dapat dilakukan bagi menghargai jasa guru.
Cara-cara Menghargai Jasa Guru.
Oleh: Zachary Farouk Chai
Berburu ke padang datar, Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar, Bagai bunga kembang tak jadi.

Pascakemerdekaan negara telah menyaksikan pembangunan ekonomi yang begitu pesat dan rancak. Namun, dalam menuju era modenisasi, masyarakat sering disogok oleh masalah pelajar tidak menghormati guru. Kita sering melihat di rubrik-rubrik akhbar tempatan mengenai pelajar menendang guru, meludah guru dan terdapat juga segelintir pelajar yang mencabar untuk membunuh guru. Senario ini jelas membuktikan bahawa remaja pada hari ni tidak lagi memiliki sahsiah yang tinggi. Persoalannya, apakah cara-cara menghargai jasa guru?

Tanpa dinafikan lagi bahawa institusi keluarga memainkan peranan yang peri penting dalam menghargai jasa pendidik. Hakikatnya terserlah bahawa sesebuah institusi keluarga yang kukuh dapat melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia. Dalam konteks ini, ibu bapalah
yang mempunyai tanggungjawab dalam membentuk peribadi anak-anak yang menghormati guru. Anak-anak didibaratkan sehelai kain putih yang menantikan ibu bapa mereka untuk mencorakkannya. Menurut statistik yang elah dikeluarkan oleh akhabar tempatan Berita Harian bertarikh 17 Januari 2010 menyatakan bahawa sebanyak 38% keganasan terhadap guru berlaku berpunca daripada keluarga tentang mempunyai masalah sosioekonomi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kekeluargaan mempengaruhi sahsiah pelajar di dalam kawasan sekolah. Intihanya, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak agar dapat membentuk peribadi yang mulia.bak kata peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Satu daripada cara untuk kita membalas jasa guru ialah kita hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang. Sebagai guru, mereka ingin melihat kita berjaya pada masa depan. Jasa guru dalam mempertingkat kemahiran kognitif dan sahsiah pelajar tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Hanya kejayaan yang dinanti mereka. Oleh itu, apabila guru mengajar, kita perlu memberi perhatian sepenuhnya dan janganlah menimbulkan masalah disiplin yang boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, guru ingin melihat kita berjaya dalam setiap peperiksaan yang kita duduki dengan cemerlang. Oleh itu, dalam mendepani kehidupan masa ini, kita perlulah mengenang jasa pendidik kita agar menjamin kehidupan yang harmoni.

Bukan itu sahaja. Kita juga perlulah membalas jasa guru dengan cara mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik untuk mereka. Hal ini dapat kita lakukan apabila kita mengingati guru kita pada bila-bila masa. Sebagai contoh, semasa sambutan Hari Guru, selain menghantar ucapan "Selamat Hari Guru", kita hendaklah berdoa kepada Tuhan agar guru yang telah berjasa kepada kita sentiasa dirahmati oleh Tuhan. Melalui cara ini, kita akan dianggap sebagai murid yang baik dan sentiasa menghargai jasa guru yang telah menyemarakkan evolusi mental yang berterusan sehingga kita menjadi insan yang berguna pada hari ini dan seterusnya.

Satu lagi cara untuk menghargai jasa guru ialah sentiasa mengunjungi guru di sekolah atau meraikan hari yang istimewa dalam hidup mereka walaupun kita telah meninggalkan bangku sekolah.Lazimnya, remaja pada masa kini lebih gemar menghabiskan masa di pusat beli belah daripada melakukan perkara yang memberi manfaat. Aktiviti yang dilakukan bersama-sama guru pasti akan mengukir senyuman di wajah mereka agar mendoakan kehidupan kita pada masa depan. Sebagai contoh, kita boleh meraikan sambutan hari jadi guru kita di tempat-tempat menarik. Oeh itu, menghargai jasa guru perlu dilakukan secara padu kerana guru yang membakar diri menerangi kehidupan kita umpama lilin.

Selain itu, kita mestilah menghormati guru pada setiap masa. Guru merupakan ibu bapa kedua bagi kita. Sebagai contohnya, kita mestilah mendengar nasihat atau tunjuk ajar mereka. Jika kita melawan atau ingkar arahan guru, ilmu atau pengajaran yang kita terima daripada guru tidak berkat. Apabila kita sudah dewasa, dan mungkin memegang jawatan yang tinggi sekalipun hendaklah sentiasa menghormati guru. Sabda Nabi Muhammad, "Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu". (Riwayat Abu Hurairah). Intihanya, kita perlu menghormai pendidik kita kerana mereka mengajar kita dengan penuh tekun dan berdedikasi.

Tambahan pula, kita perlu membalas jasa guru dengan sentiasa menolong atau
membantu guru. Dalam hal ini, kita mestilah bersedia pada bila-bila masa untuk membantu
mereka. Sebagai contohnya, kita hendaklah ringan tulang untuk membantu guru jika guru
meminta bantuan daripada kita untuk menghantar buku latihan dari kelas ke bilik guru dan
sebaliknya. Melalui cara ini, kita dapat membalas jasa guru yang mendidik dan mengajar kita.
Bantuan tersebut pasti membuatkan hati mereka berasa gembira dan akan sentiasa
mendoakan kejayaan kita.
Sebagai konklusinya, guru merupakan insan yang banyak berjasa dan bermakna dalam kehidupan kita. Sejarah juga telah membuktikan bahawa bangsa yang berjaya berasal daripada didikan seorang guru. Contohnya, pada zaman Nabi Musa, baginda telah dididik oleh Nabi Khidir tentang erti sebenar kehidupan iaitu semua yang terjadi, pasti ada hikmahnya. Ingatlah, guru ibarat pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam yang gelap gelita. Tanpa guru, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Guru juga umpama tongkat kepada orang buta. Hargailah guru agar menjamin kehidupan yang sejahtera.

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan Orang Kelainan  Upaya (OKU)?     

Orang Kelainan  Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat keadaan fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal dan  mental ini menghalang mereka  dari melakukan aktiviti-aktiviti normal seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kurang upaya secara kekal dan kurang upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada , masyarakat kurang upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU meneruskan kehidupan dengan sempurna.

Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini kerana  masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain. Golongan Kelainan Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya.  Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati,belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.

Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkah kisah sedih dan pilu OKU untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini , perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu  OKU dengan memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang . Golongan Kurang Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini ,OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri . Setelah   mantap dalam bidang pekerjaan,mereka akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.

Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit ,  makanan dan minuman, pakaian , tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat mengembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di  dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan.  Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan masing-masing.  Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.

Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.

Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja.Selain itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.          
           
Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.

Keluarga yang sempurna menjadi impian setiap insan. Nyatakan 'Keluarga Impian Saya'
Seperti pohon yang berdiri teguh, Kerana akarnya yang kukuh,
Akibat sikap manusia yang angkuh, Kemandiriannya jatuh,
Rentetan sikap suka mengeluh, Hingga iman menjadi luluh,
Keluarga impian jadi penyuluh, Iman di dada tak pernah rapuh.
          Begitulah kata-kata yang sering terungkap di bibir para ibu bapa waima pihak bertanggungjawab dalam membentuk keluarga impian bagi menjamin kehidupan yang sejahtera. Sejajar dengan perkembangan arus globalisasi, banyak bangunan pencakar langit didirikan di bandar-bandar besar. Namun demikian, di celah-celah bangunaan dan kepesatan pembangunan, rumah orang tua-tua dibina 'bagai cendawan tumbuh selepas hujan'. Kemelut yang melanda negara kita ialah kebanjiran penghuni rumah orang-orang tua. Peningkatan jumlah warga tua di rumah-rumah kebajikan ini membuktikan bahawa betapa buruk dan melaratnya sikap anak-anak pada alaf baru ini sehingga terbantutnya institusi keluarga untuk melahirkan keluarga impian. Oleh itu keprihatinan kerajaan dalam mewujudkan program keluarga impian amat penting kerana institusi keluarga merupakan medium penggerak terhadap kemandirian dan kemajuan sesebuah negara. Namun, realitinya kini institusi keluarga sering mengalami masalah kepincangan rumah tangga rentetan ingin mengejar kekayaan dan kerjaya bagi meneruskan hidup di dunia yang serba moden ini.
          Seperti yang kita sedia maklum, keluarga impian yang bahagia dapat menjamin generasi yang gemilang. Rasionalnya, sesebuah keluarga impian yang bahagia akan melahirkan anak-anak yang berbudi pekerti dan berakhlak tinggi. Hal ini kerana, anak-anak yang lahir dalam sesebuah keluarga impian yang harmoni akan diterapkan dengan nilai-nilai murni dan tatasusila yang baik dan mereka akan membesar dengan jati diri yang kental serta sahsiah diri yang unggul. Tambahan lagi, anak-anak yang dilahirkan dalam sesebuah keluaraga impian yang bahagia dan sejahtera akan terhindar daripada konflik rumah tangga dan senantiasa dilimpahi kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada kedua-dua ibu bapa. Anak-anak yang membesar dengan penuh kasih sayang keluarga juga dapat memupuk rasa kasih dan berperikemanusiaan dalam dirinya sendiri. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika kita katakan anak-anak yang membesar dalam institusi keluarga impian yang bahagia akan menjadi masyarakat yang unggul sahsiahnya.

          Tambahan pula, bimbingan agama dan moral akan dibekalkan oleh institusi keluarga impian yang misali. Para ibu bapa yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia akan mendidik anak-anak mereka dengan hal-hal keagamaan di rumah selain menghantar mereka ke kelas-kelas tambahan yang menyediakan pelajaran dan pendidikan keagamaan contohnya kelas fardhu ain. Anak-anak merupakan amanah paling berharga daripada Allah. Sebagaimana firmannya di alam al-Quran ada menyebut "anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakannya". Ayat tersebut izhar sekali menunjukkan kepada kita bahawa ibu dan bapa merupakan orang yang paling penting untuk membentuk peribadi anak-anak seterusnya mewujudkan keluarga impian . Oleh hal yang demikian, ibu bapa yang beriman kepada Allah s.w.t akan bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak tidak kira pendidikan rohaniah mahupun intelektual. Faktor ini menjadi salah satu jawapan kepada cara-cara untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia selaras dengan impian mewujudkan keluarga impian yang harmoni.

          Generasi gemilang yang wujud daripada keluarga impian yang bahagia dapat mengurangkan kadar kes jenayah di negara kita. Individu yang berakhlak mulia sudah pasti menjauhi perkara-perkara yang mendatangkan kemungkaran. Prinsip hidup 'amal maaruf nahi mungkar' yang bermaksud menyeru kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran sudah menjadi sebati dalam diri. Individu yang berpegang teguh pada prinsip ini adalah individu atau mereka yang berasal daripada keluarga impian yang bahagia. Individu yang mempunyai nilai sahsiah yang tinggi pasti berasa malu untuk melakukan kebobrokan dalam masyarakat seperti yang kerap terpampang di rubrik-rubrik akhbar. Niat untuk melakukan jenayah seperti ragut, bunuh, rogol dan sebagainya mungkin terlintas dalam fikiran orang yang tidak rasional. Oleh hal
yang demikian, individu yang baik dan berakhlak mulia dapat menjamin kesejahteraan hidup yang aman dan sempurna dengan wujudnya keluarga impian yang bakal merintis kepada terbentuknya masarakat yang sejahtera.

          Akhir sekali, keluarga impian yang bahagia seharusnya dijadikan contoh keluarga bahagia terdekat yang kita boleh ambil ialah keluarga kita sendiri. Tanya kepada diri anda sendiri, adakah anda pernah melakukan jenayah dan kemungkaran? Apakah ada ahli keluarga anda yang pernah melakukan sebarang jenayah? Jika tidak, anda ialah golongan bertuah yang lahir dalam asas keluarga impian yang bahagia serta mampu mewujudkan masyarakat ayng harmoni.

Konklusinya, jelas sekali kepada kita peri pentingnya peranan keluarga bahagia dalam usaha membentuk sebuah masyarakat madani yang rukun dan harmoni. Yakinlah kita bahawa kehidupan yang baik dan keluarga impian yang bahagia membawa kepada masarakat yang sejahtera. Ingatlah "binasa bumi jika tidak berkerak, binasa rumah jika tidak bertiang, dan binasa pertiwi jika tiada keluarga impian dan masyarakat yang gemilang".

Menggalakkan penggunaan Pengangkutan Awam
Cara- pengangkutan awam
-         OKU
-          
PADA era ______________________ ini, rakyat Malaysia mula hidup dalam ___________ __________________. Pembangunan ___________ dalam aspek _______________ selari dalam usaha ____________________ cabaran visi Wawasan 2020. Namun demikian, terdapat segelintir masyarakat yang hanya _________________ telinga dan _________________dagu tanpa mengambil _________ untuk _______________ kemudahan pengangkutan awam yang sedia ada.
Masyarakat madani negara kita perlu ____________________ mereka seperti"enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing- masing" untuk ________________kemudahan pengangkutan awam yang sedia ada sebaik-baiknya. Persoalannya, apakah antara ________ _______________ yang mampu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam?
          ___________________ awam perlu ______________________ pengangkutan dengan kos ___________________ supaya rakyat lebih berminat untuk menikmati dan menggunakan pengangkutan mereka seperti bas awam dan teksi. Agensi pengangkutan awam juga boleh berganding bahu bersama-sama agensi _________________. Oleh hal demikian, melalui ________________ harga berpatutan daripada agensi pengangkutan dan pelancongan, kedua-dua agensi ini menarik orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan __________________ negara.
          Media massa merupakan ________________________ untuk menarik  perhatian masyarakat tentang sesuatu perkara. Media massa tidak kiralah elektronik mahupun cetak boleh
_____________________ kempen kesedaran penggunaan pengangkutan awam kepada rakyat dengan cepat. Pihak kerajaan dan pihak berkuasa juga boleh menjayakan  kempen ini dengan menganjurkan majlis"_____________________"bersama-sama rakyat supaya kesedaran dapat ____________________ masyarakat. Hal ini dilaksanakan oleh _______________ (SPAD) bersama-sama pihak kerajaan bersetuju untuk menjalankan projek pembinaan MRT supaya negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, apabila sistem pengangkutan negara kita dibandingkan dengan kemajuan pesat sistem pengangkutan awam seperti di Hong Kong dan Singapura. Penggunaan pengangkutan awam di negara tersebut menjadi keperluan kerana kecekapan sistem tersebut yang lebih baik dan murah serta dapat sampai ke destinasi dalam masa yang singkat tanpa kesesakan lalu lintas. Jelaslah, hal ini menarik minat masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam kita yang sedia ada seperti _____ ____________________ (LRT) yang laju, murah dan menjimatkan masa.
          Selain itu, pihak _____________________ juga haruslah meningkatkan kemudahan _____________________ pengangkutan awam seperti perhentian bas, tempat duduk dalam kenderaan, dan ________________ asing untuk penumpang wanita. Kebersihan dan kemudahan tersebut dapat ____________________________ untuk para pengguna. Di samping itu, pihak pengurusan juga harus melantik pemandu pengangkutan yang bertanggungjawab dan berhemat selain ________________________ dan memantapkan jadual bertugas. Oleh itu, ramai orang akan lebih ________________________ untuk menggunakan pengangkutan awam.
          Tuntasnya, semua pihak haruslah bekerjasama supaya orang ramai memanfaatkan pengangkutan awam dan ___________________________ buruk terhadap pengangkutan awam.

PERKEMBANGAN pesat dalam bidang ____________________________________ memudahkan pencekauan maklumat sarwajagat dengan seklip ikon semata-mata. Tidak dinafikan kebanyakan ibu bapa bimbang dengan fenomena remaja yang melayari Internet tanpa pemantauan akan mendatangkan pelbagai kesan negatif. Pebangunan Internet diibaratkan peribahasa______________________
          Keresahan dan kebimbangan ini dapat dirasakan oleh kebanyakan ibu bapa apabila kanak-kanak dan remaja asyik dan terpengaruh dengan budaya hedonisme yang hanya mementingkan keseronokan dan akhirnya melalaikan kepentingan pelajaran dan masa hadapan mereka.Tambahan pula jika ibu bapa pula ialah individu yang "buta Internet" dan tidak mengetahui akan kebaikan dan keburukannya.
          Hal ini disebabkan di kawasan berhampiran kediaman terdapat banyak kafe siber yang menyediakan kemudahan Internet dengan bayaran yang murah. Disebabkan tiada pemantauan, kanak-kanak dan remaja selalu ponteng sekolah dan juga ponteng tuisyen di kafe siber berdekatan sekolah. Pelbagai jenayah siber dilakukan dalam kalangan remaja.
          Menurut rekod Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, kerugian berjumlah lebih RM63 juta dicatatkan pada 2010 berhubung kes jenayah siber berbanding RM22 juta pada 2009. Peningkatan secara mendadak dalam kes jenayah siber berikutan pertambahan bilangan individu celik teknologi maklumat (IT) yang dianggarkan mencecah 16juta orang. Bagi tempoh lima tahun akan datang, kerajaan mungkin akan menanggung kerugian RM2.73 juta sekiranya jenayah siber tidak ditangani dengan baik. Kerjasama dan tanggungjawab semua pihak sangat diperlukan bagi mengatasi masalah ini.
          Terdapat beberapa sebab golongan muda begitu terangsang melayari Internet. Melalui Internet mereka mudah untuk mendapatkan maklumat terkini. Tidak salah mereka mempunyai perasaan ingin tahu dan sentiasa mengikut perkembangan yang berlaku di seluruh dunia.
          Yang menjadi kesalahan adalah kebebasan yang disalahgunakan oleh mereka dengan melayari laman sesawang yang memaparkan kandungan yang bertentangan dengan amalan hidup kita. Akhirnya, akan menyebabkan anak sukar menurut cakap ibu bapa dan kadang kala melawan cakap ibu bapa.
          Secara purata kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berumur 8 hingga 18 tahun menghabiskan masa selama 19jam setiap minggu untuk melayari Internet. Paparan pelbagai video dengan masa keseluruhan 48 jam di muat naik ke You Tube setiap hari. Sebanyak 23 peratus masa dihabiskan di atas talian untuk media sosial atau blog oleh golongan muda.
          Remaja ini dikatakan mudah terdedah kepada unsur negatif alam siber yang akhirnya mempengaruhi gaya hidup mereka. Pelajaryang ketagihan Internet akan mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajaran. Generasi muda juga akan menghadapi krisis kecelaruan identiti dan hilang jati diri, iaitu bukan daripada acuan sendiri. Budaya popular melalui filem, muzik dan lagu mempengaruhi dan menguasai pemikiran kebanyakan remaja.
          Pengaruh Internet juga banyak meruntun kanak-kanak dan remaja dengan gaya hidup asing dan melupai gaya hidup sendiri yang berpaksikan kesantunan dan kesopanan dalam percakapan dan perlakuan.
          Selain itu, pengaruh asing juga mendorong generasi muda ke arah pemikiran liberal. Hal ini akan melunturkan jati diri golongan muda sebagai masyarakat Timur. Pengaruh budaya Barat yang menjurus kepada budaya hedonisme semakin menular dalam kehidupan kanak-kanak dan remaja.
          Golongan muda semakin sukar merealisasikan hala tuju negara secara menyeluruh dan begitu mudah mencontohi apa-apa yang dihidangkan menerusi Internet. Perkara ini boleh menjerumuskan generasi muda dalam pelbagai masalah sosial. Sebagai contoh, pengaruh pornografi juga akan menguasai pemikiran mereka.
          Langkah terbaik mengatasi masalah ini dengan menubuhkan agensi yang mengawal laman sesawang daripada mudah dilayari oleh golongan remaja. Pusat Keselamatan Siber Nasional boleh juga diwujudkan bagi mengatasi masalah penggunaan Internet dalam kalangan remaja. Penubuhan Sekretariat Multilateral yang berfungsi untuk memantau bahan siber perlu digerakan untuk menyelamatkan generasi muda negara dari terus hanyut dan tenggelam dalam arus teknologi Internet.
          Kerajaan juga boleh mengehadkan masa operasi kafe siber tidak melebihi 12 jam sehari dan tidak beroperasi di kawasan berdekatan dengan kawasan sekolah. Pelan strategik bagi memastikan keselamatan kandungan bahan Internet juga mesti segera diwujudkan untuk memastikan agar laman yang dilawati hanya laman yang tidak merosakkan akhlak remaja.
          Usaha menerbitkan buku panduan keselamatan penggunaan Internet patutlah dilakukan demi kefahaman dan juga sebagai penerangan kepada kanak- kanak dan remaja yang di bawah umur.
          Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anak muda dan remaja melayari laman sesawang yang bercorak negatif antaranya dipengaruhi oleh rakan sebaya. Selain itu, hal ini didesak oleh perasaan ingin tahu yang membuak-buak dan menganggap bahawa tindakan itu sebagai cara untuk bersuka-suka.
          Golongan muda perlu menerima penjelasan ibu bapa bahawa melayari Internet bertujuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan bukannya terpengaruh dengan pelbagai gejala negatif. Golongan muda perlu tahu bahawa Internet akan melalaikan pelajaran dan membuang masa tanpa faedah.
          Sebagai pelajar, remaja juga harus ada kesedaran dalam diri dan bertanggungjawab ketika melayari Internet. Isu berkaitan perpaduan kaum mestilah dielakkan. Provokasi dan fitnah juga boleh membawa kepada kesalahan dan akan didakwa. Berhati-hatilah ketika menulis apa-apa sahaja di laman Facebook dan Twitter dan melayari Internet dengan akal yang bijaksana.

          Oleh itu, hanya melalui pendidikan keimanan, kepentingan ibadah, kemampuan akal untuk berfikir dan ketinggian akhlak yang mampu menolakdan menjauhkan remaja dengan pelbagai gejala negatif daripada Internet.

No comments: