Tuesday, July 30, 2013

percubaan pmr

PENDAPAT/PERBINCANGAN- Amalan Berjimat Cermat
Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.
Pantun warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak untuk dinikmati. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar sentiasa berjimat cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian khususnya. Walhasil, banyak faedah yang dapat diperoleh seandainya kita menjadikan amalan berjimat cermat sebagai satu agenda dalam kehidupan kita.
[AJ] Amalan berjimat cermat, tidak dapat dinafikan, dapat menyumbang kepada tabungan. [AH] Dengan berjimat cermat dalam perbelanjaan, wang yang dapat dijimatkan itu boleh ditabung untuk kegunaan masa depan. [AC]Misalnya, jika ibu bapa mengamalkan kesederhanaan, seperti membeli barang-barang buatan tempatan dan menjamu selera di rumah, bukan sahaja wang yang dijimatkan itu dapat ditabung, bak kata pepatah sedikit-sedikit lama jadi bukit, bahkan wang simpanan itu boleh dimanfaatkan untuk membiayai pendidikan anak tanpa bergantung pada Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ataupun biasiswa JPA. [AP]Lagi terang lagi bersuluh, amalan berjimat cermat ini amat penting bagi memastikan kita tidak menghadapi masalah kewangan dan memastikan anak mencapai tahap pendidikan tertinggi
[AJ]Amalan berjimat cermat juga merupakan satu langkah proaktif untuk menghadapi kecemasan. [AH#1]Sebagai hamba-Nya, manusia tidak dapat menduga musibah mahupun kecemasan yang bakal menimpa kita; kata orang geruh tak berbunyi, malang tak berbau. [AC]Sebagai tamsilan, pada zaman yang penuh dengan tantangan dan stres ini, macam-macam boleh menimpa kita; baik penyakit kronik, kemalangan, kebakaran, dan bencana alam. [AH#2]Sehubungan dengan hal ini, amalan berjimat cermat dan menabung dapat meringankan ataupun meminimumkan masalah serta penderitaan. [AP]Dengan erti kata lain, kita perlu senantiasa berpegang pada prinsip “sediakan payung sebelum hujan” dengan berjimat cermat kerana kalau-kalau disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari.
[AJ] Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, amalan berjimat cermat dapat melestarikan kehijauan
dan kebersihan alam sekitar. [AH]Dalam konteks alam sekitar, kita perlu mengamalkan 3R— “Reduce, Reuse, dan Recycle”, yakni pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula. [AC] Jika kita mengurangkan penggunaan kertas dan penggunaan semula bekas atau beg plastik, misalnya, kita bukan sahaja dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar bahkan menyelamatkan hutan belantara daripada kemusnahan. [AP]Rumusnya, amalan berjimat cermat dapat memelihara keseimbangan ekosistem, sementelahan mengurangkan kesan rumah hijau ataupun pemanasan global.

[R]Akhirulkalam, amalan berjimat cermat menjamin kesejahteraan umat manusia, lebih-lebih lagi mewujudkan keharmonian dengan alam sekitar. [C/H]Jadi, sebagai hamba-Nya yang berakal dan berfikiran rasional, kita perlulah menghayati firman Allah yang berbunyi “...janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros. Sesungguhnya orang yang boros itu ialah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula ialah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. [C/H]Seperkara lagi, kita perlu berpegang pada pesanan orang tua-tua kita bahawa beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis agar kita hidup bahagia sepanjang hayat.

No comments: