Semangat Patriotik
Malaysia ialah tanah tumpah darah
kita. Di sini kita dilahirkan dan menjalani kehidupan bahagia dan harmoni. Kita
berkongsi kehidupan dengan pelbagai bangsa dengan adat budaya dan agama
berbeza, tetapi dengan matlamat yang sama, iaitu bersatu padu di bawah payung
satu Malaysia.
Sejak belakangan ini banyak isu yang
menggugat kepentingan negara. Telah berlaku beberapa peristiwa tragik yang
berlaku tanpa dirancang. Musibah besar yang melanda negara ialah peristiwa pencerobohan
di Lahad Datu Sabah. Pada Mac 2013 pihak keselamatan melancarkan "Ops
Daulat"di Sabah bagi memerangi pengganas Kiram yang menceroboh Kampung
Tanduo. Banyak anggota keselamatan yang menjadi korban dan peristiwa itu
menjadi momen pahit dalam sejarah negara. Pengajaran yang didapati melalui
kejadian tersebut mencerminkan betapa pentingnya menjaga kedaulatan negara
kita daripada diganggu gugat oleh musuh.
Tragedi besar yang melanda negara
dan mencetuskan peristiwa besar dunia adalah misteri kehilangan pesawat MH 370
pada 8 Mac 2014. Peristiwa ini dianggap luar biasa dan membingungkan arena penerbangan
dunia. Pelbagai aset telah dikerah untuk mencari dengan kerahan tenaga, wang
ringgit, masa namun belum berhasil. Bayangkan jika Malaysia bersendirian atau jika Malaysia
sebagai"pihak tuan rumah"diwajibkan membayar kesemua kos pencarian
oleh 29 buah negara lain, bayangkan apakah yang akan terjadi dengan negara ini?
Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada Julai 2015 berisiko membawa
kepada bibit-bibit rusuhan kaum di seluruh negara. Insiden yang berlaku dan
disebarkan melalui media sosial sewaktu umat Islam menjalani ibadat Ramadan
boleh meningkatkan sensitiviti umat Islam di negara ini. Perhimpunan Bersih
2012 atau Bersih 3.0 (juga dipanggil Duduk Bantah) ialah
suatu perhimpunan tunjuk perasaan yang dianjurkan pada 28 April 2012 di pusat
bandar Kuala
Lumpur, Malaysia.
Himpunan Bersih 4 akan diadakan
selama 34 jam mulai 2 petang 29 Ogos ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, dengan
menyaksikan kesungguhan rakyat Malaysia. Namun kesemua insiden yang berlaku baru-baru
ini menimbulkan kontroversi tentang keamanan negara Malaysia.
Persoalannya
terlalu banyak spekulasi dalam laman sosial seperti Facebook, Whats App dan
Twitter yang membuat pelbagai teori dan tidak kurang juga dengan agensi media
asing yang melaporkan berita yang tidak bertanggungjawab. Mereka hanya pandai
mengkritik tetapi tidak tahu jalan penyelesaiannya, malah kadangkala lebih
hebat daripada kenyataan rasmi yang disahkan oleh kerajaan.
Sebagai rakyat
yang bertanggungjawab, seharusnya kita berdiri teguh di belakang kepimpinan
bukannya mengeruhkan keadaan dengan menuduh kerajaan menyembunyikan maklumat
sebenar. Banyak isu telah dipolitikkan termasuk serangan siber yang menghalakan
api kebencian.
Marilah mencari
titik persamaan kerana sikap suka menyalahkan hanya memburukkan nama negara
juga. Musuh akan mengambil kesempatan atas kebodohan kita sendiri. Bersihkan
hati kita yang telah berkarat dengan berdoa ke hadrat Ilahi agar setiap musibah
yang melanda negara terungkai, malah mengandungi hikmah tertentu. Siapalah kita
untuk menolak takdir Tuhan seperti ujian yang telah diberikan hari ini.
No comments:
Post a Comment