Media massa
sebagai alat pendakwah dalam kalangan remaja
Oleh: Mohd Nizam Sahad
Rata-rata remaja
mempunyai akaun facebook. Penggunaannya mendapat sambutan hebat lantaran
fungsinya yang pelbagai dan percuma. Facebook merupakan media sosial popular yang
menyeronokkan remaja kerana dapat berinteraksi sesama rakan sebaya melalui
kemas kini timeline, termasuklah berkongsi foto, menyampaikan maklumat, dan mesej.
Manfaat
facebook tidak terhad pada keseronokan dunia yang sementara sahaja. Pada
hakikatnya, melalui facebook, remaja mampu melakukan usaha dakwah yang
ganjarannya lebih besar daripada isi dunia. Lantaran itu, remaja harus
memikirkan hal ini dan mencetuskan minat serta kesedaran untuk berpesan-pesan
dengan kebenaran dan kesabaran supaya menjadi usaha dakwah yang berkesan
demi melahirkan generasi remaja cemerlang dunia dan akhirat.
Satu
daripada usaha dakwah yang dapat dilakukan sesama rakan ialah mengemas kini
status facebook dengan tazkirah agama. Hal ini dapat dilakukan sama ada
melalui usaha pembacaan bersendirian bahan agama dan berkongsi dalam timeline ataupun dengan
berkongsi timeline orang lain dalam ruang lingkup dakwah bagi peningkatan iman
dan takwa. Perkongsian ilmu dengan cara ini sudah tentu memberikan manfaat
jangka panjang bersesuaian dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila
meninggalnya anak Adam, maka akan
terputuslah amalnya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang
bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya." Hadis itu
mampu memotivasikan para remaja untuk mewujudkan suasana perkongsian ilmu agama
melalui facebook.
Di
samping itu, bagi remaja yang kreatif dalam seni reka dan grafik, mereka
bolehlah membuat poster dan banting yang memuatkan kata hikmah dan kata mutiara
daripada al-Quran dan sabda Nabi Muhammad SAW. Berkat bakat dan kemahiran
oleh Allah sudah tentu memperoleh kasih sayang dan rahmat- Nya. Pesan Nabi
Muhammad SAW supaya menyebarluaskan ajaran Islam pasti terlaksana dengan
menggunakan kaedah ini. Jika poster anda dikongsi oleh rakan lain, pasti
pahala berlipat kali ganda akan diraih oleh remaja yang mengusahakannya.
Usaha
dakwah juga dilakukan oleh para remaja dengan menegur sikap, pemikiran, dan
kata yang tidak selari dengan ajaran agama dalam mesej yang berlegar dalam
facebook. Teguran perlu dilakukan secara hikmah tanpa menggores perasaan
sasaran remaja yang ingin ditegur. Jangan bersikap sinis kerana tidak semua
orang boleh menerima kritikan sinis. Berhujahlah dengan dalil yang empirikal
dan kata-kata manis yang mampu menyedarkan kesalahan kata yang dilontarkan
dalam facebook.
Jika terlihat
remaja dalam facebook yang memuatkan gambar selfie tanpa menurut aurat,
tegurlah dengan berhikmah dengan membawa ayat al-Quran yang bersesuaian. Dalam
hal ini juga, jika mendapat maklum balas kasar atau negatif daripada mereka
yang ditegur, maka janganlah membalasnya dengan bahasa yang kasar kerana tugas
remaja adalah untuk menegur sedangkan hidayah untuk mengecap kebaikan
dan akhlak yang baik datangnya daripada Allah SWT.
Berkongsi
video bercorak keagamaan dengan kaedah pautan ringkas melalui bitly.com merupakan cara yang berkesan untuk mengajak remaja mendekati agama.
Binalah tajuk yang "menangkap" mata audiens atau strategi kata yang
menarik sehingga para remaja teruja untuk klik pautan yang dibuat. Dalam youtube.
com, pada hakikatnya begitu banyak video ceramah agama singkat yang dapat dipaut
untuk tatapan remaja.
Di
samping itu, remaja boleh mengajak rakan sebaya untuk menjadi ahli kepada
kumpulan facebook yang berteraskan agama. Pelawalah mereka supaya suasana
penggunaan facebook menjadi mesra agama dan mesra akhlak yang menjurus ke arah
peningkatan iman dan takwa. Hanya remaja yang benar-benar bertakwa mendapat
darjah kemuliaan di sisi Allah. Ingatlah bahawa kematian tidak mengenal usia,
bekalan takwa harus dilipatgandakan sejak usia muda dan remaja.
No comments:
Post a Comment