11.
SMK SERI BINTANG UTARA
Bahagian
A [30 markah] [Masa dicadangkan :
45 minit]
Baca petikan di bawah
ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan
warisan makanan tradisional di Malaysia. Panjang huraian anda
hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Kepentingan
Makanan Tradisional dalam Pembangunan Negara.
Malaysia terkenal dengan nama timangannya,
yakni ‘syurga makanan’ di nusantara. Baik penduduk Malaysia mahupun pelancong
asing yang berdarmawisata ke Malaysia semestinya akan rambang mata dengan
kepelbagaian juadah khususnya makanan tradisional yang ditawarkan di negara
kita. Keunikan dan keenakan makanan tradisional yang dapat kita nikmati
sememangnya tiada tolok bandingannya dengan makanan-makanan yang bertaraf
antarabangsa. Sebenarnya, makanan tradisional masyarakat majmuk di negara kita
seperti sate, mi rebus, masalode, kuetiau goreng, roti canai, lemang, ketupat,
nasi beriani dan sebagainya berdaya upaya untuk memacukan pembangunan bangsa
dan negara.
Pertama-tama, industri makanan
tradisional dapat melahirkan modal insan yang berjati diri kebangsaan dan
patriotik. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional penting dalam
meneruskan adat serta warisan budaya yang diwarisi secara turun-temurun oleh
nenek moyang masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks masyarakat Malaysia,
makanan tradisional merupakan elemen yang penting untuk melambangkan identiti
dan keunikan sesuatu budaya dan bangsa. Oleh itu, jikalau anak muda di Malaysia
sedar akan keunikan dan keistimewaan budaya masing-masing, maka tidak akan
berlakunya kehilangan dan kepupusan budaya serta adat tradisi masyarakat
berbilang kaum dalam kalangan anak muda yang lebih dikenali sebagai ‘Generasi
Y’ bak kata peribahasa Melayu “biar mati anak, jangan mati adat”.
Selain itu, makanan tradisional
tempatan juga membantu untuk memajukan industri pelancongan di dalam negara
kita. Makanan tradisional seperti sate, roti canai dan nasi ayam Hainan dapat
menggamit pelancong untuk datang berkunjung selain menghayati keindahan
landskap Malaysia kerana cita rasa Malaysia yang istimewa dan berlainan
daripada makanan-makanan di negara asing semestinya dapat menarik perhatian dan
membuka selera para pelancong baik pelawat asing mahupun pelancong tempatan.
Malahan, terdapat sesetengah pelancong yang melawat ke Malaysia semata-mata adalah
untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan tradisional yang kaya dengan
pelbagai resipi dan rempah-ratus. “Sudah terang lagi bersuluh”, makanan
tradisional berperanan penting dalam usaha menarik pelancong untuk melawat ke
negara kita selain pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2014 baru-baru ini.
Di samping itu, makanan tradisional
juga mampu untuk menaiktarafkan kehidupan masyarakat khususnya penduduk luar
bandar. Makanan tradisional seperti keropok lekor, budu dan kerepek pisang
memainkan peranan yang amat penting dalam memajukan industri kecil-kecilan di
perkampungan desa. Sebagai contoh, pihak kerajaan telah memperkenalkan
“Industri Kecil dan Sederhana”(IKS) di beberapa negeri seperti Kelantan, Perak
dan Terengganu yang bertujuan untuk merancakkan hub industri pemakanan
tradisional sebagai input dan penjana ekonomi utama penduduk kampung dan
sekitarnya. Hasilnya, penduduk luar bandar tidak semata-mata menjalankan
ekonomi sara diri secara tradisional seperti menanam padi dan menangkap ikan
untuk menyara hidup keluarga tetapi juga berkeupayaan untuk mendirikan
kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional secara kecil-kecilan sebelum
dipasarkan atas bantuan modal dan teknologi oleh pihak kerajaan.
Seterusnya, infrastruktur dan
prasarana di kawasan pinggir bandar dapat dibangunkan atas penubuhan
kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional yang kian berkembang bagai
cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini berlaku demikian kerana pembukaan dan
penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan-kemudahan awam
yang lain dapat memangkin dan menjana sumber pendapatan rakyat tempatan
lebih-lebih lagi hasil makanan
tradisional di desa perkampungan dapat dipasarkan di bandar-bandar besar di
seluruh pelosok negara melalui kecekapan sistem pengangkutan dan pemasaran.
Tambahan pula, peluang pekerjaan yang banyak dapat diwujudkan hasil daripada
pembinaan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional sekali gus menggalakkan
penghijrahan penduduk bak kata peribahasa Melayu “di mana ada gula, di situ ada
semutnya”. Kesannya, desa akan mengalami proses transformasi sehingga menjadi
bandar-bandar besar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kemudahan
Internet dan perkhidmatan monorel, LRT dan ETS.
Industri makanan tradisional turut
menjada pendapatan rakyat dan negara. Hal ini sedemikian kerana makanan
tradisional diproses dan dibungkus sebelum dieksport ke luar negara. Usaha
proaktif ini dapat membawa pulangan yang lumayan sekali gus menambahkan sumber
pendapatan rakyat jelata. Makanan tradisional Malaysia seperti dodol, kuih
bahulu dan kuih kapit turut dapat dipromosikan ke seluruh pelosok dunia dan
mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat antarabangsa. Sambutan
yang hangat daripada masyarakat luar negara bukan sahaja akan memajukan
industri makanan tradisional tempatan bahkan juga berdaya saing untuk menjana
pendapatan yang lumayan kepada rakyat dan negara.
Dari perspektif yang lain pula,
industri makanan tradisional juga berkemampuan untuk memupuk perpaduan dalam
kalangan masyarakat majmuk di negara kita yang terdiri daripada masyarakat yang
berbilang bangsa, agama dan keturunan. Hal ini demikian kerana makanan
tradisional suku kaum tertentu turut dapat diterima dan dinikmati bersama-sama
oleh bangsa-bangsa lain di negara kita. Sebagai contoh, makanan tradisional
seperti roti canai bukan sahaja digemari oleh suku kaum tertentu tetapi juga
diminati oleh kaum-kaum yang lain di negara kita. Mereka dapat duduk semeja
untuk menikmati makanan tradisional tersebut bertemankan secawan teh atau kopi
sambil berbual-bual dalam suasana yang muhibah. Hal yang sedemikian dapat
membuka laluan kepada usaha-usaha murni kerajaan untuk mengeratkan hubungan
silaturahim antara rakyat atau masyarakat berbilang kaum dan agama di negara
ini sekali gus memupuk dan mengukuhkan perpaduan sejajar dengan slogan keramat,
yakni perpaduan asas kemajuan.
Tuntasnya, industri makanan
tradisional memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan bangsa dan
negara selain merupakan wahana yang efektif untuk mempromosikan keistimewaan
dan keunikan yang dimiliki masyarakat majmuk di negara kita di pentas
antarabangsa. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab itu, semua pihak
termasuklah rakyat jelata haruslah berganding bahu untuk memajukan industri
pemprosesan makanan tradisional sehingga peringkat antarabangsa. Sudah tiba
masanya, rakyat berbilang ras dan agama mengambil tahu, belajar memahami dan
menghargai keunikan dan keistimewaan makanan tradisional masyarakat Malaysia
dalam proses pembangunan bangsa dan negara sekali gus seiring sejalan dengan
kerajaan untuk merealisasikan Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment