Wednesday, August 5, 2015

Tema kesihatan 2015 - 3



1.MRSM 2013 2.  
Selaku pegawai kesihatan daerah, anda diminta untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Amalan Baik Penjagaan Kesihatan’ sempena Hari Kesihatan Sedunia kepada masyarakat setempat. Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengerusi Badan Musyawarah Masyarakat Taman Perdana Sejahtera, Yang dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Hadirin sekalian,
                Orang tua-tua sering mengungkapkan bahawa, kesihatan itu ialah harta yang paling bernilai daripada wang ringgit dan harta benda. Sementara itu, dalam sepotong Hadith Nabi turut diungkapkan akan nilai kesihatan adalah amat bermakna, seperti sabda baginda, “Jagalah masa sihatmu sebelum tiba sakit”. Apabila diteliti daripada dua ungkapan tersebut, justeru tanggungjawab menjaga kesihatan amatlah diberi penekanan sama ada dalam bidang agama malah masyarakat. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang penuh pancaroba dan manusia sentiasa diancam kesibukan, pelbagai ragam kehidupan telah mendatangkan pelbagai ancaman terhadap kesihatan. Oleh hal yang demikian, dengan peluang yang diberkan ini, saya ingin berkongsi maklumat dengan hadirin sekalian tentang gaya hidup yang positif berdasarkan polisi ilmu kesihatan.

Tuan-tuan dan puan yang dihormati sekalian,
                Banyak orang yang berfikir bahawa terminologi sihat itu hanya terletak kepada tubuh badan yang sihat tegap dan sasa. Sebenarnya kesihatan adalah merangkumi kesejahteraan fizikal dan rohani iaitu yang meliputi tubuh badan, mental, emosi, dan rohani. Untuk memperoleh kesihatan seumpama itu, justeru setiap individu hendaklah memberikan perhatian dalam semua aspek kesihatan. Penjagaan fizikal yang sihat seperti memperoleh makanan yang berzat dan seimbang adalah amat penting. Hal tersebut memang penting kerana minda dan emosi yang sihat adalah terjana daripada tubuh badan yang sihat.

                Prasyarat terpenting untuk memperoleh kesihatan fizikal, kita hendaklah sentiasa peka terhadap alam sekitar. Dengan kata lain, kawasan sekitar hendaklah sentiasa bersih, bebas daripada sebarang anasir penyakit. Bagi memastikan persekitaran sentiasa dalam suasana bersih, amalan menjaga kebersihan seperti sistem pembuangan sampah yang teratur hendaklah dititikberatkan. Alam sekitar perlu dijaga juga terutama dalam aspek pelesterian iaitu penjagaan alam semula jadi.

                Dalam dunia yang kaya dengan sistem maklumat dan akses maklumat yang semakin canggih pula, kita haruslah proaktif mencari info tentang  kesihatan. Maklumat sama ada yang berkaitan dengan penularan penyakit-penyakit baru, serangan wabak penyakit yang berpunca daripada bawaan seperti Selesema Burung, SARS, dan pelbagai penyakit berbahaya harus diketahui. Selain mengetahui pelbagai jenis penyakit dan bahaya penularannya, kita wajar mendalami kaedah-kaedah penjagaan penyakit. Hal ini tepat seperti pepatah Inggeris yang menyatakan mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubat. Dengan kemudahan teknologi tersebut kita mampu mengakses sumber maklumat primer untuk mengawal penyakit. Sesungguhnya tanggungjawab membendung pelbagai gejala penyakit bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa kerajaan sahaja malah tanggungjawab tersebut harus dipikul oleh individu atau organisasi terutamanya NGO.

                Aspek pemakanan turut menjadi penentu kadar serangan penyakit kepada individu. Pengambilan makanan yang tidak seimbang terutama gula dan lemak sebenarnya telah mendedahkan diri kita kepada pelbagai bahaya. Memanglah jikalau diturut ‘hukum lidah’ setiap yang manis dan lemak itu sedap dan berselera, namun kesengsaraan yang bakal ditanggung oleh badan harus difikirkan juga. Pada hari ini isu pengambilan makanan segera sedang meledak di tengah-tengah polemik masyarakat. Pelbagai pihak memberikan pelbagai reaksi yang bebeza apabila Kementerian Kesihatan tampaknya cukup tegas mahu membatalkan semua lesen pengiklanan makanan segera. Walaupun tindakan Kementerian Kesihatan itu dianggap terlalu drastik dan boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap ekonomi negara, tetapi kita harus berfikir bahawa reaksi tersebut memberi isyarat bahawa pelbagai gejala penyakit yang berpunca daripada bawaan makanan turut menjadi ancaman besar kepada kesihatan sejagat.

Hadirin sekalian
                Seperkara lagi yang wajar diberi perhatian serius oleh masyarakat adalah berkaitan dengan langkah membendung pelbagai gejala penyakit. Kita harus membuang budaya salah apabila sakit baru hendak berjumpa doktor. Doktor bukan sahaja berfungsi sebagai penyembuh penyakit, sebaliknya mereka amat profesional sebagai perunding dalam mengawal penyakit. Namun keadaan sebalik yang berlaku apabila majoriti daripada masyarakat hari ini akan hanya berjumpa doktor apabila sudah tiada harapan sembuh lagi. Ada segelintir pihak pula enggan berjumpa doktor kerana takut penyakit terpendam akan terbongkar. Daripada terpaksa memendam rasa kerana mengetahui menghidapi pelbagai masalah kesihatan, mereka berpendapat lebih baik tidak diketahui langsung. Akhirnya ramai yang menemui ajal sedangkan kemungkinan boleh diselamatkan sekiranya diketahui lebih awal. Oleh itu, kita wajar mengubah tanggapan yang salah itu dengan cara berusaha mengesan dan mengenal pasti punca penyakit yang mungkin boleh mengancam nyawa kita.

                Selain itu, tabiat merupakan bawaan sepanjang hayat oleh seseorang itu. Sekiranya dia mengamalkan tabiat yang baik, natijahnya baiklah seluruh amalan hidupnya. Sebaliknya jikalau habit yang buruk menjadi bawaan nescaya individu itu akan menanggung sengsara seumur hayat. Hal demikian amat berkait rapat dengan usaha mengubah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pemabuk, dan makan secara membujur lalu melintang patah. Ubahlah kepada tabiat yang sihat seperti bersenam secara berjadual, mengawal emosi, dan bergaul dengan rakan-rakan yang berfikiran positif. Semua yang tersebut boleh membantu menstabilkan kesihatan kita memperoleh umur yang panjang. Ingatlah kita kepada nasihat pepatah iaitu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku bahaya padahnya.
Sekian terima kasih.

No comments: