Penyakit berjangkit
Penyakit berjangkit bawaan vektor dan virus
sering berlaku disebabkan tindakan serta kelalaian manusia sendiri.
Justeru, langkah-langkah yang berkesan adalah perlu untuk mengawal
pembiakan penyakit berjangkit tersebut. Bincangkan.
Sebab-sebab
1. Tidak menjaga kebersihan
• Dalam dan luar kawasan rumah
• Membiarkan pasu bunga bertakung air di dalam rumah lama dan tidak diganti sehingga menggalakkan pembiakan lava nyamuk
•
Persekitaran rumah yang semak samun, longkang yang tersumbat, sampah
sarap terutamanya tin atau botol kosong yang tidak dibuang dengan betul
atau tidak ditanam
2. Pengurusan ladang yang tidak sistematik
• Ladang terutamanya ladang khinzir yang tidak dijaga kebersihannya
• Sisa-sisa najis yang tidak dirawat
• Tidak menggunakan peralatan atau pakaian yang selamat dan sesuai
3. Peningkatan kawasan pembinaaan
• Tapak-tapak pembinaan yang selalunya mempunyai kawasan yang boleh menakung air
• Contoh: lopak air, tin-tin kosong dan longkang
• Tapak perumahan yang terbengkalai menyediakan habitat bagi nyamuk membiak
4. Pertambahan kawasan setinggan
• Kawasan setinggan tidak mempunyai sistem pembetungan dan pembuangan sampah yang sistematik
• Sampah sarap dibuang secara berselerak dan sistem perparitan yang tersumbat boleh menakung air
Langkah-langkah
5. Semburan kabus/ Foging
• Dijalankan secara berkala, berjadual dan berterusan terutama di kawasan berisiko tinggi
• Pada musim hujan
6. Menjaga kebersihan dalam dan luar kawasan rumah/ ladang
• Sentiasa menggantikan perhiasan rumah yang ada menggunakan takungan air (pasu bunga, kaki almari, kolam air dll)
• Membuang secara bersistematik atau menanam sampah yang mudah menakung air.
Kitar semula
7. Kawalan biologi
• Terutama di kawasan ladang
• Memelihara haiwan peliharaan seperti katak atau ikan gapi yang boleh memakan lava nyamuk
• Kawasan ladang akan bebas dari ancaman nyamuk culex dan penyakit JE
8. Ubat jentik-jentik
• Memasukkan ubat jentik-jentik dalam takungan air seperti dalam kolam atau tangki rumah/ kawasan ladang atau tapak pembinaan
• Menggunakan sukatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan
• Dapat membunuh lava nyamuk agar nyamuk tidak dapat membiak
Membuat kesimpulan
Dalam
bahagian penutup, pelajar perlu menegaskan /menyatakan harapan dan
menekankan usaha/langkah semua pihak yangbertanggungjawab/terbabit.
Pelajar
boleh menyatakan pada masa akan datang dengan menyatakan satu bentuk
pernyataan positif yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan.
skema : 2 sebab + 2 langkah-langkah
CERAMAH - CARA-CARA MENANGANI PENYAKIT BERJANGKIT (TAJUK ULBS)
Sebagai pegawai kesihatan anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah sekolah tentang cara-cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.
Karangan contoh:-
Yang mulia tuan pengerusi majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, guru-guru, dan murid-murid sekalian. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana pihak sekolah sudi menjemput saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Cara-cara untuk Mengawal Penularan Penyakit Berjangkit”.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Penularan penyakit berjangkit merupakan satu isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Penularan penyakit berjangkit ini umpama duri dalam daging dan telah menyebabkan masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khususnya berada dalam kebimbangan yang berterusan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk mengawal penularan penyakit berjangkit terutama yang dapat menyebabkan kematian. Namun demikian, penularan penyakit masih lagi berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan oleh masyarakat untuk memastikan gejala penularan penyakit dapat dibendung.
Satu daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan yang teratur dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penjagaan kesihatan merupakan satu amalan yang berterusan. Sebagai contohnya, setiap anggota masyarakat hendaklah menjaga kebersihan diri sepanjang masa. Kebersihan diri ialah asas yang akan mengelakkan tubuh dihinggapi penyakit. Penjagaan kesihatan juga melibatkan aktiviti senaman dan riadah yang sistematik. Masyarakat Malaysia hari ini terdedah pada pelbagai risiko penyakit jika tidak menjaga kesihatan. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini pelbagai jenis penyakit dikesan wujud di negara kita. Contohnya penyakit selesema burung yang bermula di luar negara telah menjangkiti penduduk negara ini. Oleh hal yang demikian penjagaan kesihatan yang teratur merupakan satu cara yang berkesan untuk mengawal penularan penyakit berjangkit, bak kata peribahasa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Hadirin sekalian,
Selain itu, pihak berkuasa mesti mengetatkan syarat kemasukan pelancong dari luar negara. Pihak jabatan imigresen dan juga jabatan kastam perlu menguatkuasakan kawalan yang ketat terhadap orang yang masuk ke negara ini. Jabatan kastam umpamanya, mestilah memastikan haiwan-haiwan yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan sebarang penyakit berbahaya. Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan peliharaan. Jika haiwan tersebut dijangkiti, pihak jabatan kastam hendaklah menyita dan memastikan haiwan tersebut tidak dibawa masuk. Dalam hal ini tumpuan khusus hendaklah diberikan pada pelancong dan haiwan dari negara-negara yang diketahui telah dijangkiti penyakit berjangkit berkenaan. Misalnya suatu ketika dahulu negara China telah diserang penyakit selesema burung yang serius. Oleh itu pelancong dan barangan import yang berasaskan haiwan hendaklah diperiksa dengan lebih terperinci agar negara kita bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Jadi, pihak berkuasa hendaklah mengetatkan syarat kemasukan pelancongan dan barangan dari luar negara untuk mengelakkan penularan penyakit berjangkit, jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Langkah untuk mengawal penularan penyakit berjangkit yang berikutnya ialah pihak kerajaan hendaklah melupuskan haiwan atau pembawa yang telah dijangkiti penyakit berjangkit dengan kadar segera. Tindakan tegas ini mestilah dilaksanakan tanpa mengira bantahan dan kritikan masyarakat. Kerajaan harus menjalankan tindakan ini kerana penyakit berjangkit biasanya merebak dengan pantas apabila pembawanya tidak dihapuskan, bak kata peribahasa biar titik jangan tumpah. Misalnya dalam kes penularan penyakit Selesema Burung, setiap unggas sama ada yang dipelihara atau yang hidup bebas perlu dilupuskan. Walaupun tindakan ini agak kejam sifatnya, kita tidak boleh pilih bulu atau berkompromi apabila kesihatan masyarakat awam terancam seperti kata peribahasa biar titik jangan tumpah. Kerugian akibat kematian haiwan peliharaan adalah lebih baik berbanding kehilangan nyawa manusia akibat diserang penyakit berjangkit. Tindakan tersebut juga hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera. Pihak berwajib tidak harus menanti keputusan majoriti kerana penularan penyakit tidak akan berhenti jika tidak dibendung. Tindakan yang lambat akan mendatangkan kesan buruk apabila penyakit berkenaan tidak lagi dapat dikawal dengan menyeluruh. Oleh itu, pelupusan haiwan atau pembawa penyakit hendaklah disegerakan untuk memastikan penularannya dapat dikawal.
Tuan-tuan yang dihormati,
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan penyakit berjangkit dalam dibendung penularannya. Dalam hal ini, semua anggota masyarakat perlulah bekerjasama ibarat aur dengan tebing agar penyakit berjangkit dapat ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu menyesal akibat kelekaan kita mendatangkan kesan buruk kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Kerjasama semua pihak sudah pasti akan melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyusun jari sepuluh, memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan. Sekian, terima kasih.
[692 perkataan]
Wabak
penyakit berjangkit yang merebak di seluruh dunia pada masa ini
disebabkan kurangnya kesedaran masyarakat mengamalkan gaya hidup yang
sihat. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?
Fenomena penyakit berjangkit sudah
biasa dalam kalangan masyarakat masa kini. Di Malaysia khususnya,
fenomena penyakit berjangkit ini sering diuar-uarkan di media cetak,
elektronik dan sebagainya. Namun begitu, masyarakat kini kurang
mengambil berat terhadap amalan gaya hidp yang sihat. Oleh hal yang
demikian, masyarakat akan mudah untuk dijangkiti penyakit terutamanya
penyakit berjangkit yang semakin menular kebelakangan ini seperti
penyakit selesema H1N1. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil oleh
masyarakat untuk mengelakkan masyarakat daripada dijangkiti penyakit
berjangkit. Hal ini demikian kerana, penyakit berjangkit ini semakin
menular disebabkan amalan yang kurang sihat.
Masyarakat yang tidak mengamalkan
pemakanan yang seimbang akan mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit.
Hal ini demikian kerana, pemakanan yang seimbang akan mendatangkan
pelbagai jenis sumber tenaga di dalam tubuh badan kita. Sekiranya kita
tidak mengamalkannya, antibodi yang terdapat di dalam badan akan menjadi
lemah, kurangnya zat di dalam tubuh badan dan sebagainya. Hal yang
sedemikian akan menyebabkan kita mudah untuk dijangkiti penyakit
berjangkit disebabkan antibodi atau ketahanan diri yang lemah untuk
melawan penyakit tersebut. Oleh hal yang demikian, langkah yang proaktif
perlulah diambil oleh masyarakat untuk mengatasi masalah penyakit
berjangkit ini daripada dijangkiti, bak kata pepatah, "Mencegah lebih baik daripada mengubati".
Selain itu, masyarakat juga kurang
menjaga kebersihan diri dan juga persekitaran. Hal yang sedemikian akan
menyebabkan seseorang itu mudah untuk dijangkiti oleh penyakit
berjangkit ini. Dengan persekitaran yang kotor, seseorang akan mudah
dijangkiti oleh penyakit berjangkit ini. Sebagai contohnya, apabila
seseorang itu memegang tombol pintu, kemudian tanpa membasuh tangan lalu
makan, sudah tentu seseorang itu akan mendapat penyakit kerana tombol
pintu tersebut mengandungi kuman yang dibawa oleh orang lain. Oleh hal
yang demikian, langkah untuk membasuh tangan perlulah dipraktikkan oleh
semua anggota masyarakat untuk mengelakkannya daripada djangkiti oleh
penyakit. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, "Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah".
Hubungan sosial tanpa sekatan
turut juga menyumbang kepada penularan fenomena penyakit berjangkit yang
berteraskan kurangnya amalan gaya hidup sihat. Hubungan seks yang
dilakukan oleh segelintir masyarakat akan menyebabkan viris HIV
tersebar. Hal ini berlaku demikian kerana, tanpa pemakaian alat
pencegahan seperti kondom, virus tersebut akan tersebar melalui alat
sulit mereka. Hal yang sama juga berlaku seperti penggunaan atau
perkongsian jarum suntikan untuk dadah. Amalan tersebut akan menyebabkan
seseorang itu akan dijangkiti virus HIV dan seterusnya menghidap AIDS.
Oleh itu, langkah yang bijak perlulah diambil oleh semua anggota
masyarakat supaya dapat mengatasinya, bak kata pepatah, "Sediakan payung sebelum hujan".
Selain itu, kurang kesedaran
daripada masyarakat turut menyebabkan penularan fenomena ini. Masyarakat
pada masa kini terlalu mengejar kemewahan dengan mengumpul harta dunia
sehingga kurang mengambil tahu terhadap isu semasa pada masa ini.
Masyarakat jenis ini terlalu mementingkan diri mereka sendiri serta
hidup di dalam dunianya sendiri. Kebanyakan daripada mereka ini tidak
mengetahui isu semasa yang berkaitan dengan virus H1N1 yang mementingkan
penjagaan kebersihan diri dan mengelakkan mereka daripada pergi ke luar
negara untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti oleh virus
tersebut.Namun begitu, segelintir daripada mereka terlalu mementingkan
diri sendiri sehingga melanggar larangan tersebut. Apabila sudah
dijangkiti barulah hendak menyesal, bak kata pepatah, ”Nasi sudah menjadi bubur".
Pihak Kementerian Kesihatan
Malaysia telah menyarankan supaya sesiapa yang disyaki dijangkiti
penyakit virus H1N1 supaya dikuarantin bagi mengelakkan virus tersebut
daripada merebak. Namun begitu, masyarakat kini keras kepala
sehingga mengancam nyawa orang lain. Perbuatan yang sedemikian telah
membantu penyebaran virus tersebut sehingga sukar untuk dikawal oleh
pihak berkuasa kesihatan. Langkah yang diambil seperti mengadakan
kuarantin seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa bertujuan untuk
menjaga kepentingan orang lain serta mengawal mereka daripada terus
menyebarkan virus tersebut dengan lebih cepat.
Oleh hal yang demikian,
penularan wabak penyakit berjangkit ini memang disebabkan oleh kurangnya
amalan gaya hidup yang sihat oleh masyarakat. Jadi, langkah yang
proaktif perlulah diambil oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan dengan
cara yang lebih efektif seperti mempertingkat kempen-kempen kesedaran.
Selain itu, pihak sekolah juga turut memainkan peranan yang penting
untuk memberikan input mengenai penyakit berjangkit ini kepada para
pelajar. Sekiranya langkah ini tidak diambil, nescaya masyarakat akan
menjadi mangsa kepada ancaman penyakit berjangkit ini. Oleh itu, kita
perlulah bersiap sedia untuk menghadapinya dan hal ini bersesuaian
dengan peribahasa Melayu, ”Sediakan payung sebelum hujan”.
No comments:
Post a Comment