BAHAGIAN
A (SPM 2011) Bahan Rangsangan - Gambar ilustrasi TUGASAN / ISU : FAEDAH-FAEDAH
BELAJAR SECARA BERKUMPULAN
Tamadun Yunani mentakrifkan manusia
yang seimbang sebagai insan yang cemerlang dalam aspek rohani dan jasmani.
Masyarakat Athens pada masa dahulu telah pun memberikan perhatian dalam aspek
pendidikan untuk melahirkan manusia cemerlang yang berupaya memberikan
sumbangan kepada masyarakat. Dalam meniti kehidupan marcapada, pendidikan amat
penting dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, usaha-usaha seperti belajar secara
berkumpulan atau menghadiri kelas tuisyen telah diperkenalkan untuk melahirkan
golongan intelektual. Hal ini demikian kerana aktiviti belajar secara
berkumpulan mempunyai pelbagai kemaslahatan.
Antara manfaatnya adalah
untuk mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan. Semasa belajar secara
berkumpulan, pelajar dapat berjenaka dan berbincang mengenai subjek yang
dipelajari. Hal ini dapat mengelakkan kebosanan yang dialami semasa belajar
bersendirian. Tambahan pula, suasana belajar tersebut yang kondusif dapat meringankan
tekanan yang dihadapi oleh pelajar semasa mengulang kaji pelajaran. Sebagai
contoh, pelajar tidak akan mengalami ketegangan jiwa dan dapat menenangkan
minda mereka untuk menimba ilmu pengetahuan semasa belajar secara berkumpulan.
Dengan itu, nota yang dibincangkan oleh pelajar semasa belajar secara
berkumpulan dapat difahami dengan lebih cepat dan izhar.
Selain itu, belajar secara
berkumpulan juga memainkan peranan dalam perkongsian ilmu pengetahuan. Ilmu
pengetahuan membawa kemajuan dalam kehidupan bertepatan dengan ungkapan, ilmu
pelita hidup. Melalui belajar secara berkumpulan, pelajar-pelajar dapat
bertukar-tukar pendapat dan secara langsung dapat menimba ilmu pengetahuan dan
maklumat yang baharu. Dengan berkongsi ilmu, pelajar dapat mempercepat
pembelajaran mereka dan tidak menghadapi masalah pembelajaran semasa guru
mengajar. Sebagai contohnya, seseorang pelajar boleh memberitahu ahli
kumpulannya tentang nota-nota penting dalam subjek Kimia dan mengajar mereka
tentangnya. Tegasnya, pelajar yang belajar secara berkumpulan dapat menimba
ilmu pengetahuan baharu walaupun guru belum mengejarnya.
Di
samping itu, belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat kerjasama dan
mengeratkan ukhuwah pelajar. Dengan belajar secara berkumpulan, pelajar dapat mempelajari
nilai saling membantu dan bekerjasama serta menyedari kemaslahatan semangat
kerjasama. Oleh itu, mereka akan berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan
kemelut dalam pembelajaran mereka. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh
bersama-sama dan memberikan bantuan kepada rakannya yang menghadapi masalah
dalam pembelajaran. Jelaslah bahawa sikap nafsi atau individualistik bagai enau
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dapat dielakkan dalam kalangan
pelajar.
Seterusnya, pelajar dapat
belajar secara berkumpulan dengan mencari masa terluang dan duduk bersama untuk
berbincang dan berkongsi informasi. Dengan itu, pelajar dapat mengisi masa
lapang mereka dengan aktiviti berfaedah seperti belajar secara berkumpulan dan
mengelakkan diri daripada terjerumus dalam gejala sosial seperti vandalisme,
gengsterisme dan jenayah. Gejala negatif tersebut mampu meruntuhkan akhlak para
pelajar dan memusnahkan masa depan pelajar. Deduksinya, aktiviti belajar secara
berkumpulan dapat menjamin keperibadian pelajar yang mulia.
Secara tuntasnya, memang tidak dapat dinafikan
bahawa belajar secara berkumpulan membawa banyak faedah kepada para pelajar. Dalam
erti kata yang lain, para pelajar harus sedar tentang faedah aktiviti tersebut
dan melibatkan diri untuk memperkembang potensi diri mereka secara menyeluruh
serta merealisasikan Wawasan 2020 dan Gagasan lMalaysia.
BAHAGIAN A (SPM 2011) Bahan Rangsangan - Gambar ilustrasi TUGASAN / ISU :
FAEDAH-FAEDAH BELAJAR SECARA BERKUMPULAN
CONTOH 2 : (CEMERLANG = 26 MARKAH)
Pada musim peperiksaan
kita dapat melihat sekumpulan pelajar sekolah akan belajar bersama-sama.
Kebiasaannya, situasi ini dapat dilihat di kedai-kedai makan, sekolah,
perpustakaan dan taman rekreasi. Kadang kala kita terfikir mengapa mereka
memilih untuk belajar secara berkumpulan daripada belajar secara bersendirian?
Ada juga sesetengah masyarakat yang kolot akan berfikir bahawa belajar secara
berkumpulan hanya sia-sia ibarat menabur garam ke laut. Sebenarnya, terdapat
banyak faedah belajar secara berkumpulan.
Pertama sekali, dengan
belajar secara berkumpulan kita dapat menimbulkan suasana belajar yang
menyeronokkan. Tahukah anda bahawa otak terbahagi kepada dua bahagian? Untuk
menelaah tarbiah anda digalakkan untuk menggunakan kedua-dua belah otak kita.
Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Cara yang paling mudah adalah dengan
belajar berkumpulan kerana apabila ada suasana belajar yang menyeronokkan,
kedua-dua belah otak kita akan dirangsang dan mampu menyimpan sesuatu maklumat
dengan lebih efektif. Kita juga tidak akan cepat berasa bosan dan seterusnya
dapat belajar untuk tempoh yang lebih lama. Oleh sebab yang demikian, saya
percaya bahawa kaedah belajar secara berkumpulan mampu melahirkan suasana
belajar yang menyeronokkan dan sererusnya meningkatkan pencapaian pelajar dalam
akademik.
Setelah itu, kebaikan
belajar secara berkumpulan ialah pelajar dapat berkongsi ilmu. Ilmu boleh
diibaratkan sebagai laut yang luas. Betapapun kita mencedok ilmu pasti tidak
akan habis seperti yang terungkap dalam sajak ‘Di Perpustakaan’ yang menjadi
teks KOMSAS pelajar tingkatan lima. Ekoran daripada itu, kita haruslah sentiasa
berkongsi ilmu, memberi dan menerima ilmu supaya penuh ilmu di dada. Para
pelajar bolehlah berkongsi cara-cara untuk menyelesaikan sesuatu soalan apabila
ada banyak orang, maka banyaklah idea bernas yang boleh dijana. Tegasnya kaedah
belajar secara berkumpulan merupakan suatu kaedah yang efektif, pragmatis dan
proaktif dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar.
Cara belajar secara
berkumpulan merupakan wahana yang telah telah terbukti keberkesanannya dalam
memupuk kerjasama dalam kalangan pelajar. Hal ini bertepatan dengan peribahasa,
bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Hal ini kerana
apabila pelajar belajar secara berkumpulan, pelajar terdorong untuk membantu
membetulkan kesilapan orang lain dan membetulkan kesilapan sendiri. Dengan ini
bermulalah bibit-bibit semangat permuafakatan dan saling menolong yang boleh
membawa kepada persahabatan yang erat.
Kebanyakan ibu bapa tidak
jemu-jemu menghantar anak mereka ke kelas tambahan siang dan malam sehingga
pelajar tersebut tiada keinginan lagi untuk menimba ilmu. Golongan ibu bapa
harus sedar setiap anak mempunyai cara belajar yang berbeza, bak kata
peribahasa rambut sama hitam hati lain-lain. Oleh itu, belajar secara
berkumpulan merupakan alternatif kepada pelajar untuk meningkatkan pencapaian
akademik mereka. Negara-negara atas angin juga banyak menggalakkan pelajar
mereka untuk belajar secara berkumpulan. Jika kita menciplak pelbagai rancangan
televisyen realiti yang berunsurkan hiburan dari negara mereka, tidak salahnya
jika kita menciplak idea yang bernas itu.
Akhir kalam, semua pihak
harus bersatu padu menggembleng tenaga supaya pelajar negara kita sedar akan
faedah-faedah belajar secara berkumpulan dan mula mengimplimentasikannya. Hal
ini merupakan cara yang paling afdal dalam melahirkan modal insan yang
berkualiti untuk menerajui pucuk pimpinan negara kelak. Hal ini akan selaras
dengan cabaran keenam Wawasan 2020 dalam usaha kerajaan membina masyarakat yang
maju dan saintifik.
BAHAGIAN
A (SPM 2011) Bahan Rangsangan - Gambar ilustrasi TUGASAN / ISU : FAEDAH-FAEDAH
BELAJAR SECARA BERKUMPULAN
Dasawarsa ini, lantaran
terlalu dihidangkan dengan pelbagai pembangunan bertaraf dunia,kita sering lupa
dan alpa kepada tanggungjawab kita. Semakin hari kita melihat budaya belajar
secara berkumpulan semakin berkurangan dalam kalangan pelajar sekolah rendah,
sekolah menengah mahupun pelajar universiti. Padahal umum mengetahui banyak
faedah yang boleh diambil dan memberikan manfaat kepada setiap pelajar. Mereka
tidak mengerti dan memandang enteng kepada cara belajar berkumpulan ini.
Antara faedah belajar
secara berkumpulan ini adalah menyediakan suasana belajar yang kondusif dan
menyeronokkan. Pada pelajar tidak akan merasa kesunyian apabila belajar dalam
kumpulan. Pelajar akan lebih mudah untuk belajar kerana pelajar tidak akan
mengantuk berbanding belajar secara berseorangan. Tambahan pula, suasana ini
akan menjadikan ilmu mudah untuk masuk ke dalam otak dan senang diingati.
Kebiasaannya, pelajar akan melakukan aktiviti ini selepas waktu pembelajaran
pada waktu petang. Pembelajaran yang optimum akan terhasil sekiranya kumpulan
itu tidak melebihi empat orang. Kaedah yang biasa dipraktikkan adalah melalui
musyawarah atau perbincangan tentang sesuatu mata pelajaran. Oleh sebab itu,
kaedah belajar secara berkumpulan ini penting dalam menuntut ilmu.
Di samping itu, faedah
yang dapat dilihat melalui kaedah belajar secara berkumpulan adalah para
pelajar dapat berkongsi ilmu dengan pelajar lain. Ilmu itu umpama titisan air
yang berada di lautan dan tidak akan habis walaupun diambil terlalu banyak.
Secara amnya, belajar secara berkumpulan ini memerlukan perbincangan dan
diskusi tentang sesuatu mata pelajaran. Seorang pelajar akan membentangkannya
atau menghuraikan topik tersebut. Sekiranya, ada kesilapan ataupun kekurangan
maklumat, pelajar lain boleh menambah dan menjelaskan semula hal tersebut.
Secara tidak langsung, perkara yang dibincang akan menambahkan ilmu para
pelajar. Selain itu, pelajar yang kurang faham akan bab tersebut boleh bertanya
kepada rakan sekumpulan dengannya tanpa perlu menyusahkan diri untuk mencarinya
dalam buku rujukan. Hal ini akan memudahkan lagi proses pembelajaran yang
berlaku.Semua orang tahu bahawa bukan semua ilmu itu dapat diketahui oleh
seseorang yang pandai. Malahan, orang yang pandai juga kadangkala memerlukan
pertolongan. Kesimpulannya, jelaslah bahawa kaedah yang dipraktikkan ini
memberikan faedah kepada pelajar.
Selain itu, belajar secara berkumpulan ini boleh memupuk semangat kerjasama
antara satu kumpulannya. Ibarat aur dengan tebing, kerjasama akan terhasil
apabila adanya pertolongan dan saling membantu antara kumpulan tersebut.
Masyarakat yang berada di Malaysia bukannya seperti masyarakat yang berada di
negara lain. Masyarakat yang berbilang kaum sudah tentu menampakkan pelbagai
ragam kerana banyak udang, banyak garam ; banyak orang, banyak ragam. Semangat
kerjasama yang dipupuk dalam aktiviti seperti ini boleh mengelakkan persengketaan
antara rakan. Kebanyakan pelajar yang berada di sekolah terdiri daripada
pelbagai bangsa. Sebagai contoh, terdapat pelbagai kaum yang bersekolah di
sekolah menengah kebangsaan. Mereka akan membentuk kumpulan yang terdiri
daripada kaum Cina, Melayu dan India serta bumiputra yang lain. Hal ini akan
menjadikan mereka lebih intim sebagai rakyat Malaysia. Mereka berbincang
bersama-sama dan tolong-menolong antara satu sama lain untuk menempa kejayaan
pada masa akan datang. Oleh sebab itu, kaedah belajar berkumpulan perlu
dipraktikkan dalam kehidupan seseorang pelajar agar seiring dengan matlamat
Wawasan 2020.
Tuntasnya, pelbagai langkah yang drastik dan sistematik perlu diambil oleh
semua pihak untuk memastikan amalan ini berkembang kerana anak-anak warisan
negara ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara. Jangan biarkan amalan ini
ditelan arus permodenan supaya aktiviti ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek
panas.
BAHAGIAN
B (SPM 2011)
TUGASAN
/ ISU : USAHA-USAHA UNTUK MEREALISASIKAN CITA-CITA CONTOH 1 :
(CEMERLANG = 88 MARKAH)
Setiap
individu perlu mempunyai wawasan untuk mencapai cita- citanya. Huraikan
usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk merealisasikan cita-cita anda.
Pada zaman globalisasi
yang semakin moden dan canggih ini, pasti semua orang mempunyai cita-cita yang
tersendiri. Ada dalam kalangan kita yang ingin menceburi bidang sains untuk
menjadi seorang saintis yang pakar dalam teknologi ataupun seorang yang mencipta
barangan yang lebih inovatif, efisien dan juga moden, atau pekerjaan lain yang
berkaitan dengan bidang tersebut. Ada dalam kalangan pelajar dewasa ini yang
ingin menceburi bidang baru seperti kejuruteraan biokimia, kejuruteraan
biomarin, kejuruteraan genetik dan lain-lain. Pada pendapat saya, semua
penghuni di dunia ini mempunyai cita-cita yang ingin dicapai oleh mereka.
Persoalannya, adakah mereka sanggup berusaha untuk mencapai cita-cita mereka?
Semua orang harus berusaha untuk mencapai cita-cita walaupun menghadapi
beribu-ribu halangan kerana pepatah Melayu pernah berkata bahawa hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sebagai seorang anak tunggal
kepada sebuah keluarga yang hidup dalam kesusahan, saya berazam untuk mencapai
cita-cita saya tanpa pernah mengalah. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang
jurutera automobil dan selepas beberapa tahun saya ingin menyambung pelajaran
untuk menjadi pereka automobil pula. Oleh itu, saya mengambil beberapa langkah
untuk mencapai impian tersebut.
Antara prakarsa yang telah
saya laksanakan adalah dengan membuat persediaan awal. Saya sudah pun mula
mempelajari kemahiran-kemahiran tertentu seperti melukis gambar rajah dua
dimensi dan tiga dimensi. Hal ini demikian kerana dengan menguasai kemahiran
tersebut saya mempunyai ‘bonus’ apabila saya memohon untuk memasuki universiti
dalam jurusan reka cipta automobil. Tamsilnya, dengan kemahiran ini, saya akan
dapat bersaing dengan semua pelajar yang memohon ke universiti yang sama
terutama universiti ternama di luar negara seperti di Universiti Oxford atau
Universiti Cambridge. Hal ini juga akan memberikan saya satu kelebihan kerana
masa yang akan saya perlukan untuk menyempurnakan kemahiran tersebut akan lebih
singkat berbanding dengan pelajar yang lain. Saya juga telah mula mempelajari
bahasa Jerman, bahasa Jepun dan bahasa Perancis kerana ketiga-tiga bahasa
tersebut merupakan bahasa pertuturan negara tempat syarikat kereta yang
terkenal bertapak. Penguasaan bahasa-bahasa ini melayakkan saya untuk menjadi
seorang pereka cipta kereta berbanding para graduan yang tidak mengetahui
bahasa tersebut. Jelaslah bahawa, persediaan awal dapat memberikan kelebihan
apabila saya memohon untuk menyambung pelajaran ke menara gading
dan seterusnya mendapatkan pekerjaan sebagai pereka cipta kereta di
syarikat-syarikat pengeluar kereta yang terkenal.
Selain itu, saya juga akan belajar dengan bersungguh- sungguh. Hal ini
demikian kerana dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia, saya akan dapat meneruskan pelajaran ke universiti yang
terbaik di luar negara. Semasa di menara gading tersebut, saya akan belajar
bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar yang cemerlang di universiti itu.
Tamsilnya, saya akan menyediakan jadual waktu khas untuk menentukan masa
revisi, rekreasi dan juga membolehkan saya mempunyai waktu senggang untuk saya
meneroka ilmu pengetahuan yang lain. Hal ini demikian kerana dengan pengurusan
masa yang cekap, saya akan dapat menjalani hidup tanpa berasa stres dan lebih
tenang. Saya juga akan dapat menikmati keseronokan usia remaja saya. Di samping
itu, saya juga akan mencari kawan yang baik untuk melaksanakan pembelajaran
secara berkumpulan. Hal ini demikian kerana melalui cara ini, saya akan
menjimatkan masa untuk mempelajari topik yang sukar kerana tajuk-tajuk yang
sukar tersebut telah diagihkan antara rakan-rakan dalam kumpulan dan jika saya
tidak memahami sesuatu konsep, kawan-kawan akan menolong saya untuk memahami
konsep tersebut kerana bapa saya pernah berkata, “Jikalau anda mengajar
seseorang, ilmu, anda juga akan lebih dikuasai kerana anda lebih memahami ilmu
yang ditelaah itu”. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh,
pembelajaran yang bersungguh-sungguh dan secara berkumpulan, menjadikan saya
semakin menghampiri impian saya untuk merealisasikan cita-cita saya sebagai
seorang jurutera automobil dan seterusnya menjadi seorang pereka cipta kereta.
Seterusnya, saya akan menerokai bidang lain yang berkaitan dengan cita-cita
saya walaupun tidak termasuk dalam skop pembelajaran di menara gading tersebut.
Hal ini demikian kerana maklumat tersebut sudah pasti berfaedah kepada saya
pada suatu hari nanti. Tamsilnya, saya akan pergi melihat pameran kereta apabila
pameran tersebut diadakan. Saya berkesempatan untuk melihat pameran kereta yang
sering kali diadakan di Kuala Lumpur. Selain itu, saya juga sudah membeli
pelbagai majalah yang berkaitan dengan kereta pada setiap bulan. Hal ini
kerana, saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung
yang hanya mengetahui ilmu akademik semata-mata. Saya harus mengetahui bidang
pendawaian elektrik dalam pembuatan kereta . Hal ini akan memberikan saya
kelebihan apabila menjalani temu duga untuk menyertai syarikat automobil yang
terkenal. Jelaslah bahawa, dengan prakarsa menelaah ilmu yang banyak dan
sentiasa membaca berita terkini akan menjadikan saya seorang jutera yang
terbaik di dunia ini pada hari muka.
Akhirnya, saya akan mengambil langkah-langkah untuk membetulkan diri saya
dengan menelaah ilmu pendidikan moral dan agama serta mendengar nasihat
daripada ibu bapa kerana hal inilah yang akan menjadi panduan kepada saya
supaya tidak melakukan perkara yang tidak baik seperti merompak, mencuri,
membunuh dan terlibat gejala negatif yang lain. Saya juga akan memotivasikan
diri pada setiap hari apabila saya hendak tidur dan bangun dari tidur. Saya
juga akan mengkaji perancangan hidup saya. Saya akan mengkaji sejauh manakah
tindakan yang telah saya lakukan agar menepati perancangan yang telah dibuat.
Jelaslah bahawa dengan melaksanakan prakarsa ini, iaitu menelaah ilmu agama
dapat mencapai matlamat hidup saya untuk menjadi seorang jurutera automobil dan
seterusnya seorang pereka cipta kereta dunia pada masa hadapan. Di samping itu,
berkat restu daripada ibu bapa serta memotivasikan diri pada setiap hari, pasti
saya akan dapat mencapai cita-cita saya.
Akhirul kalam, dengan melaksanakan usaha-usaha tersebut, saya yakin impian
untuk menjadi seorang jurutera automobil yang efisien dan seterusnya pereka
kereta yang unggul untuk syarikat- syarikat automobil yang terkenal seperti
Aston Martin, Ferrari dan Bavarian Motor Works atau BMW akan tercapai. Selepas memanisfestasikan
cita-cita, saya merancang untuk pulang ke tanah air untuk menjawat jawatan
sebagai Ketua Pereka Cipta di Proton. Hal ini demikian kerana saya ingin
menjadikan Proton jenama kereta nasional Malaysia sebagai jenama kereta yang
amat unggul yang diminati ramai seperti Mercedes Benz, Honda dan Toyota. Akhir
sekali dengan segala usaha yang saya lakukan, sudah pastilah saya dapat
merealisasikan cita-cita yang saya impikan.
BAHAGIAN
B (SPM 2011)
TUGASAN
/ ISU : PERANAN KELUARGA BAGI MENANGANI PERLAKUAN NEGATIF REMAJA
CONTOH 2
: (CEMERLANG = 84 MARKAH)
Perlakuan
negatif seperti pergaulan bebas, merokok dan melepak dalam kalangan remaja
semakin membimbangkan semua pihak.
Perlakuan negatif boleh ditafsirkan sebagai
sesuatu perbuatan yang melanggar undang-undang atau syarak serta perbuatan yang
mendatangkan kesan buruk kepada pelakunya. Secara literal, perlakuan negatif
membawa maksud perbuatan tidak elok.Perbuatan
negatif seperti pergaulan bebas, merokok dan melepak dalam kalangan remaja
semakin hari semakin hangat diperkatakan di dada-dada akhbar dan dilaporkan di
dalam media massa seperti
cendawan tumbuh selepas hujan. Masalah
sosial dan jenayah yang melibatkan kes juvana semakin meningkat dalam era yang
serba moden ini. Remaja merupakan aset negara yang harus dipelihara agar dapat
menyumbangkan kepada kemajuan negara pada masa akan datang. Namun keruntuhan
akhlak remaja pada masa ini sudah menjadi semakin kritikal dan membimbangkan
semua pihak.
Bagi mengatasi masalah ini banyak pihak
seharusnya memainkan peranan mereka khususnya keluarga Keluarga merupakan orang
yang paling rapat dan akrab dengan seseorang. Anggota keluarga khususnya ibu dan bapa
bertanggungjawab dalam memberikan didikan kepada anak-anak. Remaja kini menghadapi
pelbagai cabaran dalam menempuh kehidupan akan datang. Jika mereka tersilap
langkah dalam menilai atau menentukan sesuatu perkara maka hancur berkecailah
masa depan mereka. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu memberi bimbingan dan
didikan kepada seseorang remaja untuk mempersiapkan diri dalam menempuh cabaran
kehidupan. Ibu bapa perlu menasihati anak-anak mereka untuk melakukan kebaikan
dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara negatif. Didikan dari segi
intelek dan ilmu pengetahuan semata-mata adalah tidak cukup kerana didikan dari
segi perbuatan dan tingkah laku juga perlu diutamakan. Ibu bapa perlu mendidik
anak-anak untuk melakukan perkara yang baik seperti menasihati mereka untuk
melakukan kerja amal, membantu orang lain serta melarang mereka daripada
melakukan perkara sia- sia. Jika
ahli keluarga bijak dalam mendidik anak-anak mereka, nescaya anak-anak mereka
akan menjadi individu yang baik dan berketerampilan
kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Sikap mengambil berat adalah sangat penting
dalam sesebuah keluarga. Ahli keluarga khususnya ibu dan bapa perlu mengambil
berat dan memamntau setiap perkara yang dilakukan oleh anak-anak. Perasaan
bimbang dan khuatir adalah wajar untuk dirasakan oleh ahli keluarga terhadap
anak yang sedang meningkat remaja kerana marcapada pelbagai perkara negatif
boleh berlaku. Ibu dan bapa perlu tahu akan setiap perkara yang dilakukan oelh
anak mereka. Hal ini
tidak boleh dipandang enteng oleh anggota keluarga. Anggota keluarga tidak boleh lalai dalam
memantau anak-anak mereka dan seharusnya anggota keluarga perlu menjadi kawan
kepada anak dan bukan lawan mereka. Sebagai
contoh, ibu dan bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mereka tidak melakukan
perkara negatif seperti merokok, merempit, melepak dan sebagainya. Anggota keluarga perlu mengenali rakan-rakan
anak mereka dan memastikan bahawa anak mereka berkawan dengan golongan rakan
sebaya yang baik. Akhbar
pernah melaporkan sekumpulan remaja lelaki yang dicekup sedang menagih dadah di
sebuah rumah kosong berdekatan sekolah mereka. Lebih menyedihkan, mereka yang lengkap
berpakaian sekolah ketika serbuan mengaku bahawa ibu bapa mereka tidak pernah
tahu akan perbuatan mereka itu. Hal ini
menunjukkan bahawa peranan keluarga dalam memantau perbuatan anak-anak mereka
sangat penting.
Kasih sayang serta perhatian merupakan suatu
perkara yang dapat melembutkan hati remaja untuk melakukan perbuatan yang baik
serta menghindari perbuatan negatif Anggota
keluarga perlulah member kasih sayang serta tidak mengabaikan anak-anak mereka.
Ibu bapa tidak boleh bersikap pilih kasih atau melebih- lebihkan anak yang
lain. Hal ini akan mendorong hati remaja yang rapuh mencari perhatian di tempat
lain dengan mengamalkan pergaulan bebas. Anggota keluarga perlulah menjadikan
abak-anak mereka berasa diri mereka dikasihi sehingga tidak sampai hati
melukakan hati ahli keluarga mereka dengan melakukan perbuatan negatif.
Perhatian yang diberikan oleh ahli keluarga akan mematahkan niat anak-anak
untuk mencari keseronokan di luar. Tamsilnya,
ahli keluarga boleh melakukan aktiviti bersama-sama di samping dapat meluangkan
masa untuk anggota keluarga yang lain. Aktiviti
seperti bercuti, berkelah dan berkebun boleh dilakukan dengan kekerapan yang konsisten dan bukan setahun sekali.
Didikan agama juga merupakan salah satu aspek penting yang harus diajarkan
kepada anak-anak supaya mereka menjadi individu yang lebih baik. Setiap agama
mengajarkan penganutnya supaya melakukan kebaikan. Jika utuh agama seseorang
itu, nescaya utuh juga hatinya dan perbuatan negatif dapat dihindari.Solat
merupakan tiang agama dan agama merupakan pegangan hidup. Ibu bapa perlu
menitikberatkan soal agama dan member didikan agama yang cukup kepada anak-anak
mereka. Mereka perlu dididik sejak kecil supaya pegangan agama dan
prinsip mereka akan berkekalan sampai bila-bila seperti kata pepatah , melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Berbekalkan agama yang kukuh, remaja akan
tetap terus memegang prinsipnya dan tidak sesekali terpengaruh dengan budaya
negatif pada masa ini.
Anggota
keluarga juga perlu menunjukkan contoh serta teladan yang baik kepada
anak-anak. Kita sering mendengar peribahasa mengatakan, ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi.
Peribahasa ini jelas menggambarkan bahawa perlakuan anak- anak dipengaruhi oleh
ibu bapa serta anggota keluarga yang lain. Anggota keluarga perlulah bersikap
positif dan tidak menunjukkan sikap negatif terutamanya di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, apabila seorang bapa merokok di hadapan
anaknya, hal ini demikian dapat meningkatkan keinginan anak untuk mencuba dan
meniru apa-apa yang dilakukan oleh bapanya. Pada awalnya, mungkin perbuatan itu
sekadar ingin dicuba dan semakin hari perbuatan itu sudah menjadi kebiasaan dan
akhirnya anak-anak menjerumuskan diri dalam penagihan dadah.
Peranan
ahli keluarga yang seterusnya dalam menangani isu ini adalah dengan memberikan
sokongan moral kepada anggota keluarga yang lain. Sokongan harus diberikan kepada apa-apa jua bidang atau
perkara baik yang ingin dilakukan oleh remaja. Hal ini demikian dapat
meningkatkan jati diri serta nilai murni yang terdapat dalam diri seseorang
remaja. Sebagai anggota keluarga, kita mestilah memberikan sokongan yang penuh
kepada ahli keluarga kita yang lain supaya mereka tahu bahawa mereka sepatutnya
melakukan kebaikan, bukan kejahatan.
Sebagai
pengitlakan, banyak
pihak berperanan dalam menangani masalah gejala negatif remaja pada masa ini.
Namun demikian, peranan dan tanggungjawab keluarga merupakan perkara yang
paling penting dan harus diutamakan bagi mengatasi kekangan ini. Institusi
keluarga yang kukuh akan mempengaruhi pemikiran serta perlakuan anak-anak
khususnya anak yang sedang meningkat remaja. Anggota keluarga perlu
mengambil berat dan memainkan peranan serta tanggungjawab agar negara dapat
menghasilkan generasi yang berkualiti dan bebas daripada
perbuatan negatif.
TUGASAN
/ ISU : PERPADUAN RAKYAT ASAS KEMAJUAN DAN KEMAKMURAN NEGARA
CONTOH 3
: (CEMERLANG = 86 MARKAH)
Anda telah menyertai pertandingan syarahan di
sekolah anda. Tajuk syarahan anda ialah ‘Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan
Kemakmuran Negara’.Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya.
Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis,
barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Yang Berusaha Tuan Pengetua, guru-guru
dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Berdirinya saya di sini, pada pagi yang
mulia ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk
"Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran Negara."
Para hadirin yang dihormati sekalian,
Sebelum melangkah lebih jauh, terlebih dahulu
izinkan saya mendefinisikan beberapa kata kunci yang terdapat dalam tajuk
syarahan saya pada pagi ini. Maklumat yang diperoleh daripada Kamus Dewan
mendefinisikan 'perpaduan rakyat' sebagai penggabungan entiti masyarakat di
sesebuah negara . "Asas” pula didefinisikan sebagai teras atau syarat
utama , "Kemajuan" diertikan sebagai perihal maju, manakala
kemakmuran merujuk kepada keadaan mewah dan sejahtera. Oleh itu, dapatlah
disimpulkan bahawa penggabungan entiti masyarakat menjadi prasyarat utama
kemajuan dan kemakmuran di sesebuah negara.
Hadirin sekalian,
Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang.
Zaman ini ialah zaman globalisasi yang berpaksikan sains dan teknologi. Rakyat
Malaysia yang kini bernaung di bawah langit Malaysia yang berdaulat sentiasa
berusaha untuk memajukan Malaysia supaya duduk sama rendah berdiri sama tinggi
dengan negara-negara maju di seluruh pelosok dunia. Namun begitu, isu-isu
rakyat yang mempersendakan undang-undang dan mencabar kedaulatan negara sering
menghiasi dada akhbar dan menggemparkan rakyat. Rakyat berasa jengkel apabila
terdengar isu-isu tersebut. Lantaran itu, ura-ura dan polemik tentang peranan
rakyat Malaysia dalam menjamin kesejahteraan negara semakin hangat diperkatakan
dari parlimen sampailah ke kedai kopi. Persoalannya, apakah peranan rakyat
Malaysia tersebut?
Hadirin yang saya hormati,
Slogan ‘bersekutu bertambah mutu’, sering
bermain-main di bibir rakyat. Oleh itu, rakyat haruslah menterjemahkan atau
memanifestasikan slogan kosong ke tindakan konkrit. Rakyat pascamerdeka
mestilah bersatu padu dan memiliki semangat sandar- menyandar seperti aur
dengan tebing. Menerusi semangat perpaduan rakyat pada zaman penjajahan
Inggeris, akhirnya negara kita mencapai kemerdekaan dan sebuah Malaysia yang
berdaulat dapat dibangunkan. Mutakhir ini, rakyat dibelenggu oleh kehidupan
yang pincang dan jarang dapat bersua dengan masyarakat sekeliling. Ibu bapa
yang bersikap materialistik dan bertuhankan kebendaan pula sibuk bekerja dan
tidak bertegur sapa dengan jiran walaupun mereka hanya tinggal bersebelahan.
Perkara yang menyulitkan perpaduan rakyat lagi ialah sikap hambar segelintir
rakyat. Sikap mereka yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing mestilah dihindari demi kesejahteraan negara. Lantaran itu,
dapatlah dirumuskan bahawa perpaduan dalam kalangan rakyat akan menjamin
kesejahteraan negara.
Hadirin-hadirat sekalian,
Laungan ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’ pada hari
kemerdekaan sering dapat didengar sama ada dalam media elektronik ataupun
daripada rakyat Malaysia sendiri. Laungan yang amat bermakna tersebut
berkumandang di sanubari setiap rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.
Mengapakah laungan ini dihayati oleh semua rakyat? Hal ini demikian kerana
rakyat harus bersyukur dengan apa-apa yang dimiliki terutamanya kemerdekaan
negara yang telah dikurniai Tuhan. Setiap rakyat tanpa mengira usia dan jantina
haruslah menghargai jasa tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan dahulu seperti
Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Dato’ Onn Jaafar. Tanpa mereka, rakyat
marcapada mingkin masih hidup dalam kemelaratan dan kejahilan dibuai kebobrokan
negara. Selaras dengan itu, setiap rakyat harus meneladani semangat tokoh-tokoh
tersebut agar dapat berjasa kepada negara kerana peribahasa Melayu ada
mengatakan bahawa hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa.
Tegasnya, kesyukuran yang bersarang di sanubari rakyat akan menjamin kesejahteraan
negara.
Hadirin yang saya hormati,
Rakyat berperanan untuk mencurahkan taat setia
yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara. Semangat rakyat yang ampuh
lagi bersepadu ini merupakan rencah maslahat untuk menjamin kesejahteraan
negara. Sekiranya rakyat memiliki semangat taat setia, mereka akan berusaha
untuk membangunkan negara ini melalui kerjasama yang jitu dan keiltizaman yang
kental. Mereka berganding bahu untuk mengeluarkan Malaysia daripada kepompong
kemunduran ke arah negara maju agar dapat bersaing dengan negara- negara
gergasi lain di seantero dunia. Rakyat yang taat setia akan mengelakkan diri
mereka daripada terjerat dengan anasir-anasir subversif yang boleh
memporak-perandakan negara tercinta ini. Deduksinya, rakyat sebagai anak watan
Malaysia hendaklah membentengi sikap bagai kacang lupakan kulit yang boleh
memudaratkan diri dan negara.
Sidang hadirin yang saya kasihi,
Jika kita renung sejenak, zaman ini merupakan
zaman globalisasi yang ditunjangi K-Ekonomi. Banyak bangunan pencakar langit
yang tersergam indah dan kemudahan infrastruktur moden kini dapat dinikmati di
Malaysia. Segala kurnian Tuhan di nusa ini tidak akan terhasil tanpa usaha
rakyat itu sendiri. Rentetan itu, rakyat berperanan penting untuk memajukan
diri dan memperlengkap diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Strategi
pragmatik yang boleh mencambahkan masyarakat celik huruf ialah sistem
pendidikan yang menepati kehendak arus globalisi. Setiap rakyat harus
mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat sehingga ke liang lahad. Kempen
kesedaran tentang kepentingan pembelajaran sepanjang hayat harus diperbanyak
dan tidak bermusim sekadar hangat-hangat tahi ayam. Rombakan dalam sistem
pendidikan juga boleh dilaksanakan untuk menjana modal insan yang holistik dan
seterusnya menjamin kesejahteraan negara. Sejajar dengan itu, rakyat harus
belajar bersungguh-sungguh dan melaksanakan anjakan paradigma dalam gaya hidup
mereka agar dapat menongkah arus globalisi dan seterusnya menempa kejayaan dalam pembangunan
negara.
Hadirin
sekalian,
Berdasarkan
hujah-hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa
setiap rakyat watan Malaysia berperanan penting dalam menjamin kesejahteraan
negara. Oleh itu, pelbagai langkah drastik, proaktif dan dan konstruktif harus
dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut. Rakyat Malaysia merupakan aset
negara dan bakal menerajui tampuk kepimpinan negara di persada dunia. Semua
rakyat hendaklah menggembleng tenaga walaupun terpaksa mengharungi liku-liku
yang penuh dengan onak dan duri ini. Peganglah kata-kata keramat yang berbunyi
“ kita mesti sampai ke pantai jaya apabila berperahukan kemahuan besi dan waja
dalam mengharunginya”. Semoga berkat keiltizaman kental daripada rakyat
Malaysia, sebuah negara yang sejahtera dan bebas daripada kepincangan dapat
diwujudkan.
Saya
sudahi syarahan saya dengan lafaz yang mulia wabilahittaufik Walhidayah
Wassalamualikum Warahmatullahi wabarakatuh.
BAHAGIAN
B (SPM 2011)
TUGASAN
/ ISU : MANFAAT ICT KEPADA MASYARAKAT DUNIA
CONTOH 4
: (CEMERLANG = 88 MARKAH)
Kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT)
membolehkan masyarakat dunia kini berkomunikasi dan memperoleh pelbagai maklumat
dengan mudah, cepat dan murah. Bincangkan.
Dalam
usaha Negara kita merealisasikan Wawasan 2020, sama ada kita sedar atau tidak,
kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di negara kita tidak dapat
dinafikan lagi.
Hal ini demikian kerana, negara kita telah memiliki teknologi yang bertaraf
dunia dan digunakan dalam pelbagai bidang seperti bidang pendidikan, penyiaran,
pengurusan dan dalam urusan kewangan. Penggunaan teknologi seperti komputer
elektronik, papan interaktif dan persembahan multimedia dalam bidang pendidikan
sudah lama dipraktikkan
di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Fenomena penggunaan
teknologi dalam pelbagai bidang ibarat
cendawan tumbuh selepas hujan.
Pelbagai faedah dapat diperoleh daripada kemajuan teknologi
seperti ini.
Dasawarsa ini, penggunaan teknologi maklumat telah
menjimatkan masa pengurusan sesuatu perkara. Urusan-urusan penyimpanan dan
pengeluaran wang dapat dilakukan di seluruh dunia dengan hanya menggunakan
mesin pengeluaran wang automatik. Mereka tidak perlu lagi berurusan di
kaunter-kaunter bank dengan menunggu giliran sebelum dapat berurusan dengan
pihak bank yang biasanya mengambil masa yang lama. Tamsilnya, urusan pembayaran pinjaman perumahan dan
insurans kereta dapat dilakukan dengan lebih pantas dan mudah. Keadaan ini
membolehkan masyarakat pada masa ini melakukan tugas-tugas lain dengan segera.
Kesibukan para pekerja tidak menghalang mereka untuk berurusan dengan pihak
bank. Tuntasnya, penggunaan teknologi dalam masyarakat dunia dapat mengatasi kekangan masa yang dihadapi oleh mereka.
Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT) juga dapat
mengurangkan kos pentadbiran.
Maklumat-maklumat dapat diakses dengan mudah dan murah apabila diperlukan oleh
masyarakat. Amsalnya, majikan sesuatu syarikat tidak perlu lagi
mengarahkan pembantu peribadinya menghantar dokumen- dokumen menggunakan
perkhidmatan pos sebaliknya hanya menggunakan mel elektronik atau e-mel.
Teknologi ini bukan sahaja murah dan menjimatkan kos malahan dijamin sampai
kepada penerima dengan selamat. Hal ini memberikan kebaikan kepada kedudukan
kewangan sesuatu syarikat dan berupaya memajukan syarikat tersebut apabila kos
pengeluaran dapat disalurkan ke bahagian yang lebih penting. Jadi kemajuan
teknologi berupaya menjimatkan kos pentadbiran sesuatu bidang.
Seterusnya, kemajuan ICT juga membolehkan masyarakat madani pada zaman
globalisasi ini berkomunikasi dengan seseorang di negara lain dengan mudah dan tidak perlu
bersua muka. Mereka dapat menghubungi orang tersayang seperti keluarga, isteri
dan rakan-rakan dengan mudah dan tanpa sempadan. Kemajuan teknologi seperti
telefon pintar, komputer riba dan kamera web membolehkan masyarakat seantero dunia membuat panggilan audio dan lebih
canggih lagi ialah panggilan video. Mereka dapat berkomunikasi secara bersemuka
antara satu sama lain dengan menggunakan kecanggihan teknologi yang terdapat
pada zaman ini iaitu zaman era
langit terbuka ini.
Antara golongan yang menggunakan teknologi ini ialah
para pelajar yang berada
di perantauan dan menggunakan nya untuk berkomunikasi dengan insan yang berada
di tanah air. Sesungguhnya, kemajuan ICT telah mewujudkan fenomena dunia tanpa
sempadan dalam sistem komunikasi.
Di samping itu, produktiviti sesuatu barangan
juga dapat ditingkatkan dengan kemajuan ICT. Penggunaan teknologi juga berupaya
meningkatkan kualiti sesuatu barangan yang dihasilkan apabila sistem yang
digunakan dalam menyiapkan sesuatu barangan dapat mengawal kualiti dan
kuantitinya. Sebagai
contohnya, pada zaman dahulu kerja-kerja pemasangan kereta dilakukan secara
manual dan menggunakan tenaga manusia tetapi dengan kemajuan ICT, pemasangan
kereta dilakukan oleh robot. Hal ini
akan mengurangkan tenaga kerja dan meningkatkan kualiti sesuatu produk yang
bakal dipasarkan kepada orang ramai. Tuntasnya, kemajuan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) telah meningkatkan produktiviti sesuatu produk dan akan
membawa durian
runtuh kepada individu yang memasarkannya.
Kemajuan teknologi maklumat juga dapat mewujudkan suasana kerja tanpa kertas. Bahan-bahan rujukan dapat diakses dengan mudah
dan lebih berkesan. Tamsilnya, kita tidak perlu lagi membeli akhbar, majalah,
buku-buku rujukan yang tebal di kedai tetapi hanya mengaksesnya di internet.
Teknologi yang disediakan seperti akhbar dalam talian dapat dilanggan daripada
syarikat penerbitan. Hal ini bukan sahaja berupaya mengurangkan permintaan
terhadap kertas bagi tujuan mencetak akhbar-akhbar tersebut, malahan aktiviti
penebangan pokok-pokok yang bernilai tinggi dapat dikurangkan. Pencemaran juga
dapat dielakkan natijah daripada wujudnya suasana tanpa kertas. Jadi, kita akan hidup dalam keadaan yang selesa
apabila bebas daripada pencemaran yang wujud akibat kertas yang tidak diurus
dengan baik.
Berdasarkan percambahan minda yang telah
dibincangkan tentang
faedah-faedah kemajauan ICT, dapatlah disimpulkan bahawa masyarakat di seluruh
dunia kini boleh berkomunikasi dan memperoleh pelbagai maklumat dengan cepat,
murah dan mudah. Kemajuan ICT pada masa ini haruslah dikekalkan dan ditambah
baik agar negara kita dapat bergerak seiring dengan negara-negara maju dalam
usaha merealisasikan Wawasan 2020 yang telah
diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad iaitu mantan Perdana Menteri
Malaysia. Oleh itu, masyarakat haruslah berusaha untuk keluar dari kepompong
penjajahan minda dan bersikap terbuka untuk menggunakan teknologi yang kian pesat
ini.
BAHAGIAN
B (SPM 2011)
TUGASAN / ISU : CIRI - CIRI SAHABAT YANG BAIK
CONTOH 5 : (CEMERLANG = 85 MARKAH)
Cari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiakawan.
Petikan gurindam di atas menjelaskan
kepentingan memilih sahabat. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri sahabat
yang baik.
Orang bijak pandai ada mengatakan bahawa kawan ketawa senang dicari, kawan
menangis sukar dicari. Secara amnya, sahabat merupakan insan yang paling rapat
dengan kita terutamanya dalam aspek emosi. Merekalah yang menjadi tempat kita
meluahkan perasaan khasnya apabila kita berhadapan dengan cabaran alam
keremajaan. Sebagai remaja, kita lebih rapat dengan sahabat-sahabat jika
dibandingkan dengan ibu bapa. Sekiranya kita bergaul dengan rakan yang baik,
maka bertuahlah kita tetapi betapa malangnya nasib kita jika kita berkawan
dengan mereka yang berperilaku negatif. Oleh itu, kita haruslah berfikir secara
rasional dan bergaul dengan sahabat-sahabat yang baik. Sebenarnya, terdapat
beberapa ciri sahabat yang baik yang boleh dijadikan panduan semasa memilih rakan.
Pertama sekali, seorang rakan mestilah mempunyai pegangan agama yang kukuh.
Agama merupakan pelita hidup kita dan ajaran agama mestilah dijadikan sebagai
pedoman hidup. Setiap agama menyeru umatnya untuk berbuat baik dan meninggalkan
amalan yang negatif. Seseorang yang berpegang dengan pegangan agama yang kukuh
akan mempunyai sifat peribadi yang unggul dan akhlak yang baik. Mereka juga
mempunyai jati diri yang utuh dan tidak mudah digoda oleh syaitan untuk
melakukan perkara mungkar. Biarpun kita telah berdosa dan melakukan perkara
yang sukar untuk dimaafkan, mereka akan mendorong kita untuk bertaubat dan mengakui kesilapan kita. Sememangnya, rakan
atau sahabat yang warak sukar dicari dalam dunia yang fana ini tetapi tidak
bermakna mereka tidak wujud. Oleh hal yang demikian, insan yang menjalani
kehidupannya seiring dengan seruan agama merupakan ciri sahabat yang baik.
Seterusnya, kecemerlangan dalam bidang akademik
dan kokurikulum juga merupakan ciri yang penting. Hal ini adalah kerana
terdapat kajian saintifik yang menyatakan bahawa tahap Intelligent Quotient (IQ) kita akan meningkat jikalau kita bergaul
dengan golongan cerdik yang gigih menuntut ilmu dalam pelbagai aspek kehidupan.
Kecemerlangan mereka bukan sahaja mendorong kita untuk mencapai kemajuan yang
serupa, malah, akan wujud persaingan yang sihat antara kita dengan sahabat
kita. Perkongsian ilmu juga akan berlaku. Walau bagaimanapun, kecemerlangan
akademik mestilah diiringi dengan penglibatan aktif dalam bidang kokurikulum
kerana tiada gunanya jika kita hanya bijak dalam akademik tetapi tidak
menguasai kemahiran-kemahiran yang lain. Intihanya, seorang sahabat yang baik
seharusnya seorang yang menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira, di
samping bergiat aktif dalam bidang pembelajaran di luar kelas.
Waktu kita dilanda masalah dan ditimpa musibah
merupakan masa yang sebenar untuk menguji keperibadian rakan-rakan kita.
Keraguan segelintir sahabat untuk membantu kita akan menimbulkan pelbagai
persoalan dalam minda kita. Sebaliknya, kesanggupan orang lain untuk menolong
kita akan membuktikan bahawa merekalah sahabat yang baik. Sahabat yang baik
merupakan mereka yang akan menemani kita sewaktu kita menghadapi pancaroba
kehidupan. Mereka akan membantu kita mengatasi kemelut tersebut. Tiada gunanya
jikalau kita mempunyai ramai sahabat tetapi tiada satupun yang sanggup menolong
kita tatkala kita ditimpa masalah. Sahabat yang unggul peribadinya akan
membangkitkan semangat kita dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada
setiap masa, bak kata pepatah bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Maka,
kesanggupan dan kesediaan untuk membantu orang lain merupakan antara ciri
sahabat yang baik.
Golongan inteligensia di Amerika Syarikat
menyatakan bahawa tingkah laku dan gaya pemikiran kita merupakan cerminan
tingkah laku dan mentaliti masyarakat sekeliling kita. Maka, sahabat yang baik
seawajarnya bersikap positif dan optimistik dalam apa-apa jua keadaan supaya
kita juga akan menjadi insan yang tidak pesimistik. Dalam jangka masa yang
panjang, kita akan memiliki pandangan hidup yang bukan sahaja optimistik tetapi
juga positif. Tambahan
pula, sikap sebegini amat penting sebagai suntikan semangat dan keyakinan kita . Mereka yang
bersikap negatif sehingga tidak akan menggapai kecemerlangan. Tambahan pula,
penulis buku “The Secret” yang termasyhur ada mengatakan bahawa orang yang
berfikiran positif akan berjaya dalam bidang yang diceburinya. Sikap dan
perangai yang optimistik merupakan elemen yang penting dalam memacu pembangunan
kemanusiaan khasnya pada era globalisasi ini.
Akhir kalam, sahabat dan taulan kita amat
berpengaruh dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana, secara tidak langsung,
mereka akan mempengaruhi segala tindakan serta percakapan kita. Oleh yang
demikian, kita sewajarnya bijak memilih rakan atau sahabat yang memiliki
ciri-ciri yang wajar disanjungi. Ibu bapa pula haruslah memantau aktiviti sosial
anak-anak khasnya hubungan mereka dengan sahabat mereka agar anak-anak tidak
akan rosak mindanya. Kita mestilah mengenali sifat sebenar rakan-rakan kita
agar sifat unggul mereka boleh kita jadikan sebagai teladan. Melalui bersahabat
dengan sahabat yang baik dan berketerampilan modal insan dan intelek negara
boleh dilahirkan selaras dengan aspirasi negara.
Wajib lulus mata pelajaran Sejarah mampu meningkatkan semangat patriotik dalam
kalangan pelajar. Bahaskan.
Tema / Isu : Semangat patriotik
Tugasan soalan : Membahas pernyataan yang diberi
Dasawarsa ini, isu semangat patriotik yang semakin luntur dalam atma rohani
generasi akar umbi kerap menjadi perbincangan dalam kalangan marhaen di
Malaysia. Dari segi konsepnya, semangat patriotik boleh didefinisikan sebagai
semangat cinta akan tanah air dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan
negara tercinta. Biasanya, golongan remaja yang tidak menyedari kepentingan
sejarah silam tidak memiliki semangat patriotik. Hal ini bertepatan dengan
peribahasa, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Menurut
Tun Dr Mahathir, tiada bangsa di dunia yang tidak mencintai tanah airnya
sendiri. Natijahnya, negara akan menjadi mundur, masa depan negara kabur
jika generasi pelapis luntur semangat patriotiknya. Oleh itu, langkah kerajaan
yang akan mewajibkan pelajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus
mata pelajaran Sejarah merupakan langkah yangpragmatik untuk meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan belia.
Antara sebab kerajaan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Sejarah
adalah kerana sifat menyeluruh isi kandungan mata pelajaran Sejarah. Hal ini
kerana peristiwa dan tarikh yang tercatat dalam sejarah tidak boleh dipesongkan
kerana faktanya tepat dan tidak terseleweng. Justeru, peristiwa 31 Ogos 1957
dan 13 Mei 1963 wajar dijadikan iktibar agar generasi muda lebih menghargai dan
menyedari kepentingan sejarah silam. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, yang
baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Menurut Datuk Dr
Haji Fadzillah Kamsah, manusia tanpa sejarah, melakukan kesalahan yang sama
berulang kali. Sekiranya mata pelajaran Sejarah bersifat menyeluruh
dipelajari dan dihayati oleh generasi pelajar, maka pastinya semangat patriotik
akan lebih membara dalam jiwa mereka.
Selain itu, tiada cara lain yang lebih berkesan untuk meningkatkan semangat
patriotik dalam diri pelajar selain daripada mata pelajaran Sejarah. Hal ini
kerana, mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan
Matematik tidak membantu secara langsung pemupukan semangat patriotik. Menurut
kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra
Malaysia, mendapati mata pelajaran Sejarah memberikan pendedahan kepada
golongan pelajar untuk memahami dan menghayati perjuangan tokoh-tokoh
terdahulu. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Menurut
Abraham Lincoln, semangat patriotik merupakan asas pembentukan sebuah negara
bangsa. Sekiranya segenap lapisan marhaen di Malaysia menghayati sejarah
negara, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara maju, aman dan harmonis.
Dalam pada itu, semangat patriotik yang semakin luntur dalam kalangan
remaja hari demi hari menyebabkan mata pelajaran Sejarah perlu diwajibkan untuk
lulus. Hal ini demikian kerana terdapat banyak insiden tidak bermoral seperti
menjadikan Jalur Gemilang sebagai kain basahan dan sikap kurang ajar Namawee
yang menukar lirik lagu Negaraku ke Negarakuku. Justeru, mata pelajaran
Sejarah perlu disuntik secara paksa dan lebih mendalam dengan cara wajib lulus.
Hal ini bertepatan dengan peribahasa, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari
rebungnya. Sekiranya pelajar sedar dan percaya akan kepentingan wajib lulus
mata pelajaran Sejarah, maka pastinya hasrat mahu melihat generasi muda lebih
bersemangat patriotik akan tercapai.
Selain itu , antara kekuatan mata pelajaran Sejarah ialah pengungkapan perjuangan
tokoh- tokoh yang berjuang demi kemerdekaan negara. Kita dapat melihat betapa
murninya perjuangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Hussein Onn dalam
merungkai penjajahan British di Tanah Melayu. Bukan itu sahaja, detik
pembangunan negara juga terungkap dalam mata pelajaran Sejarah. Dalam konteks
ini, generasi muda dapat menghayati semangat yang terkandung dalam tinta buku
teks Sejarah. Natijahnya, negara Malaysia akan dihuni oleh rakyat yang sanggup
berkorban nyawa demi mempertahankan negara. Sekiranya, segenap lapisan
masyarakat negara ini sedar dan percaya akan semangat yang tercatat dalam
catatan sejarah, maka negara kita dapat menggapai mimpi nirmala iaitu Wawasan
2020, tepat pada masanya.
Seyogia mata pelajaran Sejarah yang bakal diwajibkan lulus pada peringkat
SPM mulai tahun 2013 mampu menimbulkan kesedaran dalam diri pelajar. Kita
sering menonton televisyen tentang insiden yang memalitkan calar hitam pada
imej Malaysia. Hal ini seolah-olah menggambarkan rendahnya jati diri rakyat
Malaysia di kaca mata dunia. Mudah-mudahan dengan mewajibkan lulus mata
pelajaran Sejarah, maka generasi muda akan tersedar daripada lena serta bangkit
menyusun saf memperkasakan semangat patriotik yang sudah lama luntur dalam
diri. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, sesat di hujung jalan, kembali ke
pangkal jalan.
Akhir kalam, isu semangat patriotik yang semakin luntur kerap menjadi
polemik dalam kalangan rakyat Malaysia. Sememangnya, semangat patriotik dalam
diri rakyat Malaysia kini berada pada tahap yang rendah dan tidak boleh
dibanggakan. Semoga api semangat patriotik terus berkobar-kobar dan bernyala
dalam diri setiap insan. Oleh itu, kita perlu bersinergi supaya semangat
patriotik dalam kalangan marhaen lebih baik. Sekiranya, semangat patriotik kita
tinggi, maka negara kita menjadi lebih utuh dan kukuh seperti negara-negara
atas angin.
Gejala buli semakin berleluasa dalam kalangan remaja.
Bincangkan peranan pelbagaipihak dalam menangani gejala buli di sekolah.
Tema / Isu : Gejala buli Tugasan : peranan pelbagai pihak
Belakangan ini, isu gejala
buli sering meniti dari bibir ke bibir golongan marhaen di negara ini. Dari
segi konsepsinya, gejala buli boleh ditakrifkan sebagai perbuatan memeras ugut
pelajar lain hingga mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa. Biasanya,
murid sekolah menengah yang bermasalah terlibat dalam gejala buli ini. Keadaan
pembuli dan masanya bertepatan dengan peribahasa, bagai anjing dengan kucing.
Oleh itu, terdapat pelbagai strategi untuk mengatasi gejala buli di sekolah.
Antara prakarsa yang
pragmatik dan berkesan untuk menangani gejala buli ialah remaja seharusnya
bijak memilih rakan sebaya. Hal ini demikian dapat mengelakkan remaja daripada
terlibat dalam gejala negatif. Justeru, remaja perlu mencari rakan yang Islamik,
taat kepada kedua ibu bapa dan mempunyai budi pekerti mulia sebagai rakan
akrab. Natijahnya, remaja boleh menghindarkan diri daripada terlibat dalam
gejala buli serta perlakuan negatif yang lain. Hal ini bertepatan dengan
peribahasa Arab, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan
berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya.
Rakan yang baik boleh dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan
harum baunya. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, orang yang cemerlang dan
hebat dalam pergaulan bermula daripada cetusan aura apabila dikelilingi
rakan-rakan yang hebat. Sekiranya remaja Malaysia bijak dalam bersahabat, maka
pastinya gejala buli dapat dikurangkan.
Selain itu, langkah
seterusnya ialah ibu bapa bertanggungjawab memantau tingkah laku anak-anak
mereka. Hal ini demikian, ibu bapa boleh mengesan sebarang perlakuan aneh anak-
anak mereka. Justeru, ibu bapa seharusnya mengetahui keberadaan anak-anak
mereka dengan sentiasa berhubung melalui telefon bimbit. Natijahnya, ibu bapa
boleh menghindarkan anak-anak mereka daripada sebarang perlakuan songsang
terutamanya buli. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, anak-anak ibarat kain
putih dan ibu bapa pencoraknya. Pemantauan berkesan oleh ibu bapa dalam
menangani gejala buli boleh dianalogikan seperti selimut yang menutup tubuh
ketika kesejukan. Sekiranya, ibu bapa peka dengan tingkah laku anak-anak maka
statistik masalah buli dalam kalangan remaja di sekolah akan berkurangan.
Sudah terang lagi
bersuluh, pihak sekolah turut memainkan peranan dalam menangani gejala
buli.Sebagaimana yang kita ketahui, pihak sekolah melalui Unit Kaunseling dan
Badan Disiplin sekolah merupakan pihak yang bertanggungjawab mencegah dan
memulihkan semula pembuli dan mangsa buli. Umum mengetahui bahawa tindakan
tegas pihak sekolah merupakan satu-satunya cara paling berkesan dalam menangani
masalah buli. Pencegahan melalui tindakan tegas pihak sekolah bertepatan dengan
peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati. Mudah-mudahan masalah buli
dapat diatasi secara hikmah dan bijaksana tanpa melukakan hati mana-mana pihak
jika tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak sekolah.
Selain itu, pihak kerajaan
boleh menjenamakan semula kempen antibuli yang selama ini saban tahun diadakan
di sekolah. Hal ini kerana kempen antibuli yang berteraskan ceramah dan pameran
agak kurang berkesan dalam hati para pelajar. Pihak sekolah melalui Unit
Disiplin Sekolah boleh menukar strategi kempen yang proaktif dan provokatif
bagi tujuan menakut- nakutkan bakal pembuli.Pihak sekolah umpamanya boleh
meminta kerjasama pihak Jabatan Penjara Malaysia atau Polis Diraja Malaysia
bagi memastikan kempen antibuli menjadi lebih berkesan. Kerjasama pelbagai
pihak dalam menangani gejala buli boleh diumpamakan seperti ke bukit sama
didaki, ke lurah sama dituruni. Sekiranya, kempen antibuli berjaya meresapi
nurani pelajar maka pastinya sekolah menjadi tempat yang lebih selamat untuk
semua pelajar.
Sungguhpun demikian, media
massa turut berperanan dalam menangani gejala buli ini. Dalam konteks ini hebahan
siaran tentang kesan buli kepada pembuli dan mangsa buli dapat diuar- uarkan ke
seluruh pelosok negara. Suatu hal yang tidak boleh dikesampingkan ialah rasa
takut dan benci terhadap gejala ini dapat ditanam dalam jiwa pelajar sekolah.
Oleh sebab itu, televisyen boleh menayangkan dokumentari atau filem yang
berkaitan dengan kesan buruk gejala buli. Jika semua pihak berganding bahu,
ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni insya-Allah gejala buli
dapat kita kurangkan sedikit demi sedikit sehingga menjadi sifar.
Sebagai pengitlakan,
gejala buli yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat pelajar di negara
ini perlu ditangani segera. Sememangnya gejala buli masih wujud namun banyak
kes terpencil disensasikan oleh media massa di negara ini. Semoga gejala buli
dapat ditangani secara bijaksana oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pihak
sekolah. Oleh itu, kita perlu bersinergi dalam memastikan gejala buli dapat
dilenyapkan di bumi bertuah ini. sekiranya gejala buli tidak wujud, maka
Malaysia mampu berdiri gah di persada dunia dan mendabik dada kerana generasi
mudanya bertaraf dunia
Masyarakat Malaysia perlu menjadikan amalan membaca sebagai budaya yang
mampu merubah masa depan rakyat Malaysia.
Bincangkan peranan ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam kalangan
anak-anak di rumah .
Tema/ Isu : Amalan Membaca
Tugasan : Peranan ibu bapa dalam memupuk minat membaca
Dasawarsa ini, isu
masyarakat Malaysia yang dikatakan antara masyarakat yang malas membaca menjadi
polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi konsepsinya, membaca
dapat ditakrifkan sebagai amalan mulia yang boleh mencambah biak ilmu
pengetahuan. Melalui amalan membaca, kita dapat mengetahui isu-isu semasa sama
ada di dalam ataupun di luar negara. Biasanya, golongan pelajar perlu lebih
kerap membaca kerana mereka berada dalam lingkungan dunia pendidikan. Amalan
membaca bertepatan dengan cogan kata, Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya. Oleh itu,
terdapat banyak prakarsa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk memupuk amalan
membaca dalam kalangan anak-anak di rumah.
Kita dapat menyaksikan pelbagai usaha telah dijalankan bagi memupuk minat
membaca dalam kalangan anak-anak terutamanya oleh ibu bapa. Tamsilnya, pihak
kerajaan dan swasta sering kali mengadakan pameran buku ilmiah pada setiap
tahun. Malangnya, usaha tersebut bagai melukut di tepi gantang apabila hanya
dihadiri oleh sebahagian kecil penggemar buku. Bagi sesetengah orang, gejala
hedonisme yang mencengkam telah menyebabkan mereka lupa tanggungjawab untuk
menambah ilmu pengetahuan.Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah
sama-sama kita menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup masyarakat
Malaysia.
Prakarsa perdana yang boleh diimplementasikan oleh ibu bapa dalam memupuk
amalan membaca ialah membeli bahan bacaan secara berkala. Hal ini demikian
kerana anak- anak akan sentiasa membaca bagi menambahkan ilmu pengetahuan serta
menjadi insan berguna pada masa hadapan.Ibu bapa perlu memperuntukkan wang
sebanyak RM50 sebulan bagi membeli bahan bacaan. Biasanya , ibu bapa yang
prihatin dan mementingkan masa depan anak-anak akan membeli banyak bahan bacaan
khusus untuk anak-anak. Implikasinya, anak-anak yang didedahkan dengan bahan
bacaan meluas dapat berfikir secara rasional dalam semua bidang bagi memenuhi
tuntutan membangunkan negara ke persada antarabangsa. Anak-anak yang didedahkan
dengan bahan bacaan sejak kecil bertepatan dengan peribahasa, belakang parang
jika diasah lagikan tajam.Ibu bapa yang sentiasa membelikan anak-anak bahan
bacaan setiap bulan boleh dianalogikan seperti pelukis handal yang mencorakkan
dinding yang buruk. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah kamsah, ibu bapa merupakan
pencorak budaya membaca dalam jiwa anak- anak. Sekiranya, semua ibu bapa di
negara kita mengamalkan sikap murah hati dalam membelikan bahan bacaan untuk
anak-anak, maka generasi yang lahir nanti dapat bersaing dan duduk sama rendah
dengan generasi maju di negara Barat.
Sementelahan pula, prakarsa afdal yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk
memupuk amalan membaca di rumah adalah dengan menyediakan suatu ruangan sebagai
perpustakaan mini di rumah. Dalam konteks ini, mengapa perlunya perpustakaan
mini di rumah? Hal ini demikian, kerana apabila ada perpustakaan mini di rumah,
anak-anak tidak akan membuang masa menyertai aktiviti yang tidak sihat di luar
rumah. Seperti yang dinyatakan, ibu bapa haruslah menyediakan suatu ruang kecil
atau pun bilik kecil di rumah bagi menempatkan bahan bacaan supaya anak-anak
berasa selesa sewaktu membaca. Biasanya ibu bapa yang berkemampuan serta
memiliki rumah yang besar, mampu menyediakan perpustakaan mini di rumah.
Natijahnya, anak- anak yang memiliki budaya membaca dapat mengeratkan hubungan
silaturahim antara ahli keluarga. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, sambil
menyelam minum air. Sekiranya ibu bapa berjaya menwujudkan perpustakaan mini di
rumah, nescaya anak mereka akan menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan.
Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke ekspo atau pameran
buku. Lazimnya dalam keadaan ini, ibu bapa boleh memberikan kebebasan kepada
anak-anak memilih bahan bacaan sendiri. Dalam zaman yang serba canggih ini,
kebanyakan ibu bapa gemar membelikan permainan untuk anak-anak mereka justeru,
dengan membawa anak-anak ke pameran buku dapat memantapkan pengetahuan sedia
ada anak-anak mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat mendidik jiwa dan
melahirkan rasa cinta akan buku dalam diri anak-anak. Sebagai amsalnya, Pesta
Buku Antarabangsa yang diadakan pada bulan November setiap tahun boleh menjadi
medan terbaik oleh ibu bapa dalam melazimkan tabiat membaca kepada anak-anak.
Hal ini bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari
rebungnya.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa perlu
menggalakkan anak- anak menyertai pertandingan kebahasaan. Sebagai amsalnya,
aktiviti NILAM menggalakkan pemurnian jiwa anak-anak dalam menelaah bahan
bacaan ilmiah. Bukan itu sahaja, galakan ibu bapa terhadap anak-anak mampu
membina minda glokal dalam merencana masa hadapan yang
cerah.Natijahnya, generasi muda kita tidak berani melakukan pidana kerana sibuk
menyertai pertandingan kebahasaan. Pertandingan Pidato Piala Diraja,
Pertandingan Bahas Ala Parlimen, Pertandingan Forum Remaja DBP dan Pertandingan
Deklamasi 1 Malaysia merupakan pertandingan bahasa yang boleh disertai oleh
para pelajar. Kendatipun demikian, kita masih boleh menyertai
pertandingan kebahasaan peringkat sekolah atau peringkat daerah jika tidak
berpeluang menyertai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan. Bertitik
tolak daripada hal itu, penyertaan pelajar dalam aktiviti kebahasaan mampu
membantu peningkatan markah kokurikulum pelajar di sekolah. Hal ini membuktikan
akan kepentingan aktiviti membaca dalam kehidupan seseorang pelajar.
Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit,
sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini
boleh dibasmi hingga ke akar umbi. Oleh itu, ibu bapa boleh memberi hadiah
berupa buku ketika sambutan hari kebesaran anggota keluarga. Amsalnya, ibu bapa
boleh memberikan buku sebagai hadiah hari lahir atau hadiah kecemerlangan
anak-anak dalam peperiksaan. Lazimnya dalam keadaan ini, anak-anak pastinya
berasa teruja apabila mendapat hadiah buku daripada orang yang tersayang. .Bagi
sesetengah orang buku mungkin tiada nilainya, namun untuk jangka masa panjang,
buku menyimpan seribu khazanah yang tidak ternilai harganya. Sekiranya, semua
ibu bapa di negara ini menghadiahkan buku ilmiah untuk anak-anak mereka sewaktu
menyambut hari kebesaran maka pastinya masyarakat Malaysia menjadi masyarakat
kelas pertama.
Akhirul kalam, rakyat Malaysia dikatakan antara masyarakat yang malas
membaca. Semoga amalan membaca dapat dapat diteruskan sepanjang masa. Oleh itu,
kita perlu bersinergi bersama- sama dengan ibu bapa, pihak swasta dan kerajaan
untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa hadapan.
Sekiranya amalan membaca berjaya dipupuk sejak peringkat akar umbi oleh ibu
bapa, maka bangsa Malaysia akan menjadi lebih cemerlang serta mampu bersaing
seperti kata peribahasa Melayu, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara-negara maju di dunia.
Contoh 4 :
Amalan menabungperlu digalakkan sejak kecil lagi. Jelaskan kebaikan amalan
menabung.
Tema : Amalan menabung Tugasan : Kebaikan
Pada era globalisasi, isu
menabung kerap menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi
konsepsinya,menabung boleh ditakrifkan sebagai amalan menyimpan wang ke dalam
tabung untuk diguna pakai pada masa hadapan. Biasanya, kanak-kanak menabung
seawal usia 5 tahun. Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa,sikit-sikit
lama-lama jadi bukit. Oleh itu, terdapat banyak kebaikan yang dapat saya
peroleh hasil daripada amalan menabung.
Antara kebaikan menabung
ialah dapat menggunakan wang yang ditabung untuk menyambung pelajaran. Hal ini
demikian, dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa. Seyogia, kita
mestilah menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan. Natijahnya, ibu
bapa kita tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos pelajaran
anak-anak. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sekiranya, ibu bapa memikirkan
kemaslahatan masa depan anak-anak dengan menabung sejak awal lagi, maka
pastinya masa depan anak-anak akan cerah.
Selain itu, kemaslahatan
menabung ialah wang yang disimpan dapat digunakan pada waktu kecemasan. Hal ini
demikian, wang tersebut dapat digunakan untuk membayar hutang dan membayar kos
perubatan luar jangka. Sementelahan, kita mestilah menabung agar memudahkan
kita pada kemudian hari. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, sediakan payung
sebelum hujan. Sekiranya, kita bersedia menghadapi saat-saat kecemasan sejak
awal lagi maka, kita tidak akan mengalami kesusahan.
Kemaslahatan amalan
menabung seterusnya ialah dapat mengelakkan sikap suka berhutang dalam kalangan
masyarakat. Umum mengetahui bahawa orang yang sering mengalami kesempitan wang
tidak berhemat dalam berbelanja. Kebobrokan sikap boros berbelanja sepatutnya
diganti dengan didikan dan amalan menabung. Dengan adanya wang simpanan, maka
hutang yang ada dapat dilangsaikan dan hidup kita tidak terbeban. Seyogia kita
dapat mengelakkan diburu pemiutang atau diisytiharkan muflis apabila gagal
membayar hutang. Akhirnya kulasentana sakinah dapat diwujudkan dalam
menirmalakan sebuah keluarga bahagia.
Seyogia, faedah amalan menabung yang seterusnya ialah dapat membeli
barangan mewah yang dihajati. Dalam konteks ini, barangan mewah dan berkualiti
mampu kita miliki hasil amalan menabung. Biasanya, barangan mewah diimpikan
oleh golongan berpendapatan sederhana dan berpendapatan rendah. Natijahnya,
mereka tidak perlu berhutang walaupun memiliki barangan eksklusif dan mewah.
Hal ini bertepatan dengan peribahasa, hendak seribu daya, tak hendak seribu
dalih. Sekiranya, semua pelajar mengamalkan amalan menabung sejak kecil lagi,
maka mereka dapat membeli pelbagai barangan tanpa menyusahkan kedua-dua ibu
bapa mereka.
Kita dapat menyaksikan kesan jangka panjang yang mewarnai hidup orang yang
mengamalkan amalan menabung. Pada realitinya, memang tidak dinafikan bahawa
masa depan kita lebih terjamin apabila menabung. Hal ini demikian kerana,
kehidupan akan menjadi lebih selesa apabila tiada masalah kewangan yang memberat
dipundak jikiran. Aforisme yang menjadi amalan orang yang berusaha menabung
ialah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu,
bersenang-senang kemudian. Sekiranya wang yang ditabung mampu menjamin
kestabilan hidup kita di dunia, maka kemaslahatan diri dan keluarga akan
terpelihara.
Tuntasnya, isu menabung yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat
perlu diberikan perhatian oleh golongan pelajar. Semoga, amalan menabung dapat
disubur biak dari peringkat akar umbi lagi. Sememangnya amalan menabung
memberikan pelbagai kemaslahatan kepada umat manusia. Oleh itu, kita perlu bersinergi
untuk memastikan amalan menabung dapat menjadi amalan masyarakat Malaysia.
Ingatlah bahawa sesungguhnya peribahasa bersusah-susah dahulu, bersenang-senang
kemudian akan memayungi hidup golongan yang suka menabung.
Sebagai wartawan sebuah majalah
sukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk “Peranan Masyarakat
untuk Meningkatkan Mutu Sukan Negara ”.Tulis rencana itu selengkapnya.
Kemenangan tipis pasukan
Malaysia kepada Hong Kong 3 - 2 dalam Piala Thomas dan kekalahan pasukan bola
sepak Malaysia dalam kelayakan Olimpik baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan
bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira
prestasi atlet olahraga, berbasikal, tinju, bola keranjang dan sebagainya.
Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding, sama ada pada
peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan
negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Persoalannya, apakah
masalah sebenar atlet kita dalam mencapai kecemerlangan? Ataupun adakah atlet
kita tidak bermotivasi dan lebih memikirkan pulangan wang semata-mata? Walau
apa-apa pun pertikaiannya, prakarsa konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk
meningkatkan mutu sukan negara, agar kita mengembalikan kegemilangan silam
sukan Negara kita. Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah
yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah
bersarang lama di negara kita ini.
Sebagaimana yang kita
maklumi, merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan
merupakan uslub perdana yang perlu kita lakukan dalam membuat transformasi.
Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh
pemimpin politik. Hari ini, kita dapat melihat Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dinaungi oleh orang politik. Malangnya, para
pemimpin yang dipilih secara demokrasi ini, sering menjadikan persatuan
berkenaan sebagai medan untuk meneruskan kelangsungan politik mereka. Keghairahan
mereka memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan
atlet telah dianaktirikan. Pengetahuan mereka tentang bidang sukan serta
kegagalan memahami transformasi yang berlaku, menyebabkan pencapaian para atlet
kita masih di takuk lama. Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad
Badawi pernah mengingatkan agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka
dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan dipimpin oleh individu
yang berkelayakan. Kita mengakui hakikat sewajarnya barisan kepimpinan sukan
ini dirombak dan memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar
belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan
negara.
Di samping itu, pihak
berkenaan perlu menjenamakan semula program-program pembangunan atlet dan
diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang bertaraf dunia. Kerajaan
melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup
banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti
penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan
sebagainya perlu diberi perhatian serius dalam mengatur program yang dirancang.
Suatu perkara yang menjadi tanda tanya ialah, kebanyakan para pemain bola sepak
negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Hal ini
menyebabkan kegagalan demi kegagalan terus dicipta oleh atlet Malaysia yang
bertanding di luar negara. Sebagai contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada
1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan
kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena
badminton. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong,
namun kegagalan pasukan negara dalam Piala Thomas menterjemahkan
segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk
kita terus berusaha. Dengan penggemblengan minhaj dan iltizam daripada semua
pihak, pastinya masih ada sinar yang dapat dijelmakan untuk mengangkat martabat
sukan negara kita berada di mercu kecemerlangan.
Selain itu, para atlet
negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara
lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan
persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang
sebenarnya. Pasukan bola sepak Negara Harimau Muda contohnya dihantar menyertai
Liga S di Singapura. Pastinya pemain yang mempunyai latar belakang kemahiran
dan peribadi yang berbeza dapat diuji oleh pemain muda Negara kita.Pencapaian
ratu squasy negara, Nicole Ann David dan Datuk Lee Chong Wei membolehkan mereka
berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, berpunca daripada
penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Hal
ini bertepatan dengan peribahasa, ada padi semua kerja jadi, ada beras semua
kerja deras. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh
dijelmakan dengan usaha secara ala kadar kerana yang bulat tidak datang
bergolek , yang pipih tidak datang melayang.
Pada masa yang sama,
syarikat korporat perlu menaja atlet yang berpotensi memperoleh pingat bagi
menyokong kemajuan sukan negara Malaysia. Bertitik tolak daripada itu, syarikat
korporat boleh menaja bagi membantu membiayai kos latihan atlet di dalam dan di
luar negara. Natijahnya, atlet negara akan menikmati kemudahan sukan bertaraf
dunia. Sementelahan itu, peralatan sukan yang terbaik mampu dimiliki oleh atlet
bagi meningkatkan prestasi mereka ke tahap terbaik. Kesemua ini menyumbang
peningkatan imej dan lonjakan semangat atlet yang bakal bertanding dalam
kejohanan antarabangsa. Tamsilnya, Datuk Nicol Ann David ditaja oleh CIMB
Berhad sebanyak RM380,000 setahun bagi membiayai latihan dan peralatan. Mudah-
mudahan perkara ini terus berlanjutan bagi meneruskan legasi atlet bertaraf
dunia.
Pelbagai langkah yang efektif dan drastik perlu dilakukan dengan segera
untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini. Oleh itu,
sokongan moral daripada peminat sukan cukup diperlukan dalam memastikan aura
semangat terus membara. Sebagai amsalnya, peminat bola sepak Malaysia
menubuhkan kelab penyokong Ultras Malaya bagi memberikan sokongan kepada
pasukan Harimau Muda. Kita dapat menyaksikan setiap kali pasukan Harimau Malaya
turun beraksi, penyokong Malaysia pasti turun memberikan sokongan padu. Keadaan
ini seharusnya boleh menaikkan semangat atlet yang telah berputus asa untuk
terus berjuang di gelanggang. Sekiranya penyokong Malaysia turun memberikan
sokongan kepada atlet yang bertanding maka pastinya semangat membara yang
terjana mampu menghasilkan kejayaan yang membanggakan negara.
Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus
berlanjutan. Sememangnya kemerosotan mutu sukan di negara kita masih berada
pada tahap yang boleh diperbaik. Semoga mutu sukan negara akan terus ke puncak
dengan syarat semua pihak bersinergi dan tidak kenal putus asa. Mungkin tiada
salahnya untuk kita belajar dengan negara- negara seperti Trinidad dan Tobago
atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola
sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia.
Oleh itu, kejayaan Safee Sali yang kini bermain di Indonesia dan memperoleh
kontrak RM2 juta menjadi ikutan atlet muda yang lain. Sekiranya mutu sukan kita
meningkat, maka secara automatiknya martabat negara kita turut melonjak naik.
No comments:
Post a Comment