Sunday, April 10, 2011

pendekatan memperkasakan sukan



Kementerian Pelajaran bercadang untuk merombak dan menstrukturkan semula kurikulum sukan peringkat sekolah rendah dan menengah dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan di negara ini. Usaha mengikuti beberapa negara luar seperti Australia yang mewajibkan sukan dan pendidikan jasmani diterapkan ke dalam kurikulum sekolah amatlah disanjung tinggi. Untuk mengatasi masalah kekurangan kemudahan sukan, untuk sementara waktu sekolah boleh berkongsi prasarana sukan dengan universiti berdekatan. Sebagai contoh, beberapa sekolah rendah atau menengah yang berdekatan dengan kampus induk atau kampus cawangan mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara kita boleh mengguna pakai kaedah sama, sekurang-kurangnya bagi menampung kos perbelanjaan prasarana sukan.
Kita tahu, ada sekolah yang tidak mempunyai kemudahan sukan tertentu dan dengan adanya kemudahan di kampus berhampiran, pelajar boleh memanfaatkan kemudahan berkenaan. Bagaimanapun. tidak semua universiti di negara kita ini mempunyai kemudahan sukan yang lengkap berikutan sukan bukanlah dijadikan keutamaan. Tindakan ini sebagai langkah sementara kerana Kementerian Pelajaran berhasrat menaik taraf prasarana sukan di sekolah-sekolah untuk memastikan pelajar dapat menggunakan kemudahan yang ada untuk mengembangkan potensi pelajar dalam bidang sukan. Dalam tempoh 20 tahun belakangan ini, aktiviti sukan sekolah seolah-olah dipinggirkan , sering terkebelakang berbanding
aktiviti lain, sekali gus menenggelamkan kegemilangan sukan yang pernah menjadi kebanggaan pelajar. Hasrat untuk menjadikan rakyat Malaysia menggondol pingat emas dalam temasya besar dunia seperti Olimpik tidak akan membuahkan hasil sekiranya aktiviti sukan tidak diberi perhatian serius oleh pihak  sekolah.
Berikutan itu, semua aktiviti sukan peringkat sekolah akan disusun semula supaya lebih teratur dan padat dengan pelbagai program pembangunan peringkat akar umbi. Kementerian mahu sekolah mengasingkan sukan daripada kokurikulum lain serta melantik pegawai khusus menjaga pembangunan sukan sekolah. Kita percaya langkah itu berada di landasan betul kerana kegemilangan sukan seharusnya  bermula di peringkat awal bagi melahirkan pelapis pelbagai jenis sukan untuk negara pada masa akan datang. Kita sedar baru-baru ini ramai kecewa apabila Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) menggugurkan  acara sukan dalam kalendar tahunan 2010 tetapi Kementerian Pelajaran mengumumkan peruntukan RM89 juta bagi mengembalikan semula acara berkenaan.
Masalah yang dihadapi di sekolah ialah ketiadaan jurulatih sukan dan kebanyakannya adalah guru biasa yang ditugaskan membimbing pelajar dalam pelbagai jenis sukan. Keadaan diburukkan lagi dengan rata-rata sekolah memberi fokus yang berlebihan terhadap akademik sehinggakan aktiviti sukan dipinggirkan. Pelajar pula menganggap sukan sebagai aktiviti yang membuang masa, dengan anggapan waktu sebelah petang patut diisi dengan mengikuti kelas tuisyen. Bagaimanapun, kita mengharapkan ibu bapa berterusan menggalakkan anak-anak dalam aktiviti sukan yang dianjurkan di sekolah. Kementerian Pelajaran juga memutuskan pelaksanaan beberapa langkah bagi memperkukuh pembangunan sukan di sekolah mulai tahun depan,termasuk memberi lima markah daripada 10 peratus markah yang diperuntukkan untuk kokurikulum. Sebelum ini. kegiatan kokurikulum sukan tidak diberi penekanan di sekolah. Bermula 2011, dasar Satu  Murid Satu Sukan akan dikuatkuasakan. Langkah-langah yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran tanpa menjejaskan waktu pembelajaran akademik dan tidak membabitkan keperluan untuk memanjangkan waktu persekolahan.

kosa kata:

memperkasakan
menjadikan hebat (unggul, kuat, terkenal, berdaulat, dominan dsb): usaha utk ~ industri minyak sawit perlu dilakukan segera; ~ bahasa Melayu;
merombak
1. membongkar, memecahkan, merosakkan: rumah-rumah yg buruk telah dirombak beransur-ansur; ~ adat (aturan, perjanjian, dll) menghapuskan atau meniadakan adat (aturan perjanjian dll); ~ dapur Kl selesai bersalai (perempuan yg telah bersalin); 2. menyusun semula (dgn meminda atau membongkar semuanya): dia ~ susunan kabinet dgn menyingkirkan beberapa orang tokoh komunis; undang-undang itu patut dipinda dan dirombak supaya sesuai dgn negara Malaysia yg merdeka;
menerapkan
mempraktikkan, mengenakan pd, menyerapkan (memasukkan) ke dlm: gerakan koperasi sepatutnya ~ nilai-nilai dan falsafah Islam sebagai satu cara hidup serta menghayatinya; utk ~ keenam-enam aspek ini ke dlm sistem pendidikan, kita memerlukan satu penggubalan dan pen­takrifan yg menyeluruh;
berikutan
ekoran drpd, akibat drpd, kemudian dr, sesudah: ~ itu ia meneruskan pengembaraannya; rombongan itu dikirim ke mari ~ pertemuan Perdana Menteri dgn Presiden Johnson; kota itu menjadi sunyi sepi ~ mogok;
terkebelakang
1. ketinggalan, tercicir, kurang maju: aku hendak meninggikan taraf orang kampung yg sangat ~ itu; 2. terakhir, terkemudian: berita yg ~ diterima hari ini;
menggondol
1. Jw membawa dgn mulut, menggonggong: anjing ~ tulang; 2. Jw ki melarikan, mencuri: ~ barang-barang kemas; 3. ki memenangi, memperoleh (piala, sijil, dll) kerana kejayaan: dia banyak ~ hadiah dlm peraduan melukis.
jawapan ringkasan:
pendekatan memperkasa sukan
1.Untuk mengatasi masalah kekurangan kemudahan sukan, untuk sementara waktu sekolah boleh berkongsi prasarana sukan dengan universiti berdekatan
2.mengguna pakai kaedah sama, sekurang-kurangnya bagi menampung kos perbelanjaan prasarana sukan.
3.pelajar boleh memanfaatkan kemudahan berkenaan
4.berikutan sukan bukanlah dijadikan keutamaan
5.Kementerian Pelajaran berhasrat menaik taraf prasarana sukan di sekolah-sekolah untuk memastikan pelajar dapat menggunakan kemudahan yang ada untuk mengembangkan potensi pelajar dalam bidang sukan.
6.semua aktiviti sukan peringkat sekolah akan disusun semula supaya lebih teratur dan padat dengan pelbagai program pembangunan peringkat akar umbi. Kementerian mahu sekolah mengasingkan sukan daripada kokurikulum lain serta melantik pegawai khusus menjaga pembangunan sukan sekolah
7.bermula di peringkat awal bagi melahirkan pelapis pelbagai jenis sukan untuk negara pada masa akan datang.
8.memberi lima markah daripada 10 peratus markah yang diperuntukkan untuk kokurikulum
9.Bermula 2011, dasar Satu  Murid Satu Sukan akan dikuatkuasakan.



1.       Berikan maksud rangkai kata seolah-olah dipinggirkan.
rangkai kata ini bermaksud seakan-akan diketepikan.

2.       Nyatakan sebab yang menjadi penghalang pembangunan sukan di sekolah.
               rata-rata sekolah memberi fokus yang berlebihan terhadap akademik sehinggakan aktiviti sukan dipinggirkan. selain itu, kekurangan prasarana di sekolah berkenaan. 

3.       Mengapakah ramai pelajar kurang gemar mengikuti aktiviti kokurikulum?


Pelajar menganggap sukan sebagai aktiviti yang membuang masadengan anggapan waktu sebelah petang patut diisi dengan mengikuti kelas tuisyen. Selain itu, sokongan daripada ibu bapa agak dingin.



 



No comments: