Pahang
2012 Lihat gambar rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang
faedah-faedah mengambil sarapan pagi.
Mengekalkan kesihatan tubuh badan
|
Mengawal rasa lapar
|
Membekalkan tenaga(isi 1)
|
Mengelakkan obesiti( isi2)
|
Kajian Nutrisi Dewasa Malaysia (2003) menunjukkan bahawa satu
daripada 10 orang dewasa Malaysia tidak mengambil sarapan pagi. Satu kajian
bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nestle mengenai Status
Nutrisi dan Tabiat Diet Pelajar Sekolah Rendah di Malaysia (2007-2008)
menunjukkan bahawa satu daripada tiga pelajar sekolah rendah pergi ke
sekolah dengan perut kosong. Mereka hanya bersarapan pada pukul 10 pagi, iaitu waktu rehat di sekolah.Mereka
tidak mengambil sarapan pagi kerana tidak mempunyai masa, tidak lapar atau tidak
berselera. Lagipun, ibu bapa perlu tergesa-gesa ke tempat kerja pada waktu
pagi. Kanak-kanak dan remaja pula terikat dengan rutin yang ketat di sekolah.
Mengambil makanan berat pada malam hari sebelumnya menyebabkan
seseorang itu tidak ada selera untuk bersarapan pada pagi keesokannya.Sarapan
pagi ditafsirkan sebagai hidangan pertama yang perlu diambil dalam tempoh satu
jam selepas bangun daripada tidur. Apabila kita bangun daripada tidur, paras
gula dalam darah adalah rendah kerana kita 'berpuasa' semalaman. Malaysia
seolah-olah menjadikan budaya bersarapan pagi dengan nasi lemak, roti canai dan
teh tarik. Manakala
pemilihan makanan untuk sarapan mereka hanya kepada makanan yang digemari dan
bukan kepada makanan yang berkhasiat. Kata orang tua-tua, "makan untuk
hidup, tetapi hidup bukan untuk makan." Maksudnya, makanan yang diambil
setiap pagi walau hanya sedikit kuantiti, sekalipun sudah cukup untuk keceriaan
tubuh badan kita.
Pengambilan sarapan pagi yang penuh khasiat dan seimbang akan membantu
menyumbangkan tenaga yang mencukupi. Sarapan yang kaya dengan karbohidrat yang
kompleks akan meningkatkan paras glukos otak. Sarapan pagi ialah masa terbaik untuk mengambil karbohidrat sebagai tenaga
untuk badan dan otak tanpa menjejaskan usaha menguruskan badan. Sarapan
membantu memulihkan tahap glukosa darah dengan memberikan tenaga yang
diperlukan untuk menjadikan kita lebih produktif sepanjang hari. Glukosa ialah
bahan api sel untuk menghasilkan tenaga. Dengan bersarapan pagi, kita akan
berasa lebih bertenaga dan dapat membantu menjalankan tanggungjawab dengan
lebih cekap dan daya fokus juga akan bertambah
baik. Pensyarah Kanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia,
Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof mengatakan bahawa sarapan pagi amat penting selepas lebih kurang lapan jam tidur. Tegasnya, makanan yang rendah kandungan lemak,
sederhana protein dan karbohidrat serta tinggi kandungan vitamin dan mineral
adalah yang terbaik untuk kanak-kanak sekolah rendah.
Pengambilan sarapan pagi dapat mengawal rasa kelaparan seseorang individu dalam sesuatu tempoh yang tertentu. Mereka yang tidak bersarapan cenderung memilih makanan yang berkalori tinggi pada waktu tengah hari atau pada makan malam. Banyak kajian menunjukkan hubungan
antara pengambilan sarapan pagi dengan pengurusan berat badan. Jurnal
Penyelidikan Obesiti di Amerika Syarikat pada 2002 melaporkan bahawa
pengambilan sarapan pagi setiap hari berjaya mengurangkan dan mengekalkan berat
badan. Satu lagi kajian oleh Universiti Texas, El Paso di Amerika Syarikat
menunjukkan bahawa mengambil sarapan pagi boleh meningkatkan pengeluaran
leptin, sejenis hormon yang menyekat selera di samping membantu mengurangkan
berat badan. Kajian membuktikan bahawa makan
sarapan pagi membantu mempertingkatkan metabolisme. Peningkatan metabolisme
bermula dengan pembakaran jumlah kalori dalam tubuh badan secara maksimum selepas bersarapan. Maka, masalah obesiti akan dijauhi dan mengekalkan penampilan yang meyakinkan diri.
Bersarapan juga memastikan seseorang mengekalkan kelangsingan dan mengelakkan masalah obesiti. Hasil penyelidikan daripada seorang penyelidik dari Sweden mendapati bahawa individu yang tidak menitikberatkan pengambilan sarapan pagi mampu meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan obesiti, di samping menunjukkan lebih sindrom metabolik berbanding dengan mereka yang mengambil sarapan pagi secara teratur. Sindrom metabolik merupakan kombinasi tiga penyakit berkait iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti. Kajian tersebut turut mendapati mana-mana individu yang mengambil sarapan pagi dalam kuantiti yang banyak manakala kuantiti yang sedikit untuk makan tengah hari dan makan malam mampu mengurangkan berat badan. Kajian juga menunjukkan mereka yang bersarapan pagi lebih cenderung untuk makan secara seimbang sepanjang hari. Kajian yang dijalankan Food Facts Asia terhadap remaja berusia 10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan kurang berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan.
Pengambilan sarapan pagi juga menstabilkan
perubahan emosi dan mengurangkan kemurungan. Perasaan lebih gembira dan ceria selepas bersarapan. Sarapan yang seimbang dapat mengekang masalah
malnutrisi营养不均衡.
Bersarapan penting untuk membekalkan nutrien dalam kadar yang secukupnya.
Hasil daripada kajian telah mendedahkan bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil
sarapan turut mempengaruhi prestasi
pelajaran mereka. Badan kita memerlukan glukosa dalam darah untuk menjana
tenaga. Jika bekalan glukosa ke otak tidak mencukupi, seseorang akan menjadi
lembap, otak tidak cerdas, malas dan tidak berupaya menjalankan aktiviti
seharian dengan mayanya. Makan lebih pada waktu tengah hari juga tidak dapat
menggantikan keistimewaan bagi yang bersarapan pagi. Kajian psikriatri dari
Amerika Syarikat membuktikan bahawa pelajar sekolah yang bersarapan setiap pagi
mendapat keputusan yang lebih baik dalam mata pelajaran matematik dan mempunyai daya tumpuan lebih tinggi sekali gus bersikap lebih
sopan dan kurang hiperaktif berbanding dengan pelajar yang tidak bersarapan. Yang
pentingnya, bersarapan mampu meningkatkan pencapaian berfikir seseorang.
Sedia kita maklum, Malaysia
dilabelkan sebagai negara yang menghadapi masalah obesiti paling tinggi di Asia
Tenggara dan berada pada tangga keenam di Asia. Berdasarkan kajian yang
dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2008, 25 peratus daripada
kanak-kanak sekolah rendah mempunyai berat berlebihan atau obes. Kajian
tersebut juga menunjukkan bahawa hampir 30 peratus daripada kanak-kanak sekolah
rendah tidak mengambil sarapan purata dua hingga tiga kali seminggu.Lebih
merisaukan, kajian itu mendedahkan bahawa murid yang tidak mengambil sarapan
pagi lebih cenderung mengalami masalah berat badan berlebihan serta penyakit
lain apabila meningkat dewasa. Maka, alah bisa tegal biasa, amalan bersarapan
pagi mestilah diterapkan dalam kehidupan kita sejak azali lagi.
No comments:
Post a Comment