Tuliskan
satu rencana yang lengkap bertajuk 'Mendekatkan Remaja dengan Program Keagamaan
dan Kemasyarakatan melalui Teknologi Komunikasi'
'Mendekatkan Remaja dengan Program Keagamaan dan Kemasyarakatan
melalui Teknologi Komunikasi'
Oleh : PSL
Teknologi komunikasi sinonim dengan
gaya hidup moden dalam kalangan masyarakat pada zaman pascamodenisasi ini. Zaman beralih musim berubah,
revolusi teknologi maklumat bukan lagi isu tabu dalam masyarakat kontemporari.
(I) Bahawasanya, remaja merupakan pelapis negara yang sedang mengharungi tempoh
transisi yang memerlukan bimbingan yang holistik. (I) Akibat perkembangan
aplikasi sains dan teknologi, generasi muda senang dihanyutkan badai arus
perdana malahan menjurus kepada hidup yang menjauhi norma masyarakat yang
menghambat ikatan tradisi leluhur. (K) Maka, modus operandi yang rapi daripada
agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Lembaga
Penapis Filem dan Kementerian Pendidikan Malaysia amatlah penting untuk
memastikan generasi muda tidak dieksploitasi oleh peranti canggih ini. (U)
Sudah sampailah masa kita membenamkan mata fikir untuk menelusuri sejauh
manakah aplikasi teknologi komunikasi berfungsi sebagai agen sosialisasi untuk
membimbing pemuda pemudi ke arah kegemilangan? Apakah pula tanggungjawab sosial
para pengamal media untuk mencorakkan minda golongan srikandi dan wira negara?
Proses globalisasi mulai melanda
kehidupan manusia sejagat sejak 1990-an. Dunia kini semakin dirapatkan dan
pertembungan budaya telah menjadi cerminan kehidupan hakiki pada zaman ini.
Proses penghibridan dalam media sosial waima merapatkan hubungan antara
penduduk sejagat, namun trend baharu telah tercetus antara komuniti terkini,
iaitu kurang bersemuka malahan tidak mahir dalam interaksi harian. Polemik pro
dan kontra kewujudan peranti media elektronik ini bukan lagi fenomena yang
keterasingan dalam kehidupan generasi muda khasnya. Dalam proses mengasimilasi
dan mengadaptasi remaja marcapada dengan aktiviti kemasyarakatan, media massa
telah berfungsi sebagai alat penghubung yang afdal. Media siber seperti
aplikasi telefon pintar berjaya menghubungkan masyarakat, malahan merupakan
wahana untuk menginterpretasikan aspirasi agensi kerajaan kepada rakyat murba.
Sedia kita maklum, portal kerajaan membanjiri laman web kini dan berperanan
untuk mengukuhkan budaya perkongsian etos sesama rakyat yang berbilang kaum.
Bayangkan kejayaan negara kita memperjuangkan kemerdekaan pada 50-an, media
cetak seperti Akhbar Majlis, Majalah Imam, Utusan Melayu dan risalah telah
berjaya membangkitkan perasaan kecintaan terhadap ibu pertiwi. Kini, usaha
untuk mendaulatkan negara daripada pengaruh budaya asing perlulah dilangsungkan
melalui media massa. Tegasnya, segala isu provokasi dan fitnah-memfitnah antara
masyarakat dengan pemimpin negara tidak sepatutnya diteruskan melalui media
sosial. Ciptaan benak minda ini izharnya masih perlu dihambat dengan
kebijaksanaan akal budi dan ketakwaan terhadap tuntutan agama.
Jikalau mengimbau kembali pembangunan
sejarah Malaysia, media cetak berperanan sebagai alat pendakwah yang utama
sejak tahun 1900-an. Gerakan nasionalisme Kaum Muda dan Kaum Tua telah
merevolusikan media maklumat di Tanah Melayu pada zaman tersebut. Bahan cetakan
seperti Al-Imam,Neracha, Pengasuh dan
Saudara berperanan untuk menyebarkan fahaman keagamaan dan meningkatkan
persepsi terhadap hubungan manusia dengan Tuhan yang Maha Esa. Kini, segelintir
pengamal media tidak melupakan tanggungjawab sosial untuk mentarbiah penonton
tentang perspektif dalam keagamaan. Contohnya,Berita Harian menyediakan rubrik
tertentu untuk mendakwahkan agama Islam.
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) FM 91.5 ditubuhkan untuk
memberikan kefahaman Islam yang sebenarnya melalui aplikasi media sosial
seperti saluran radio dan televisyen. Manakala TV AlHijarah ialah stesen Islam
di Malaysia sejak tahun 2010. RTM juga menganjurkan pelbagai forum bicara dan
kursus bimbingan tentang pendakwahan Islam demi memastikan muslim dan muslimah
Malaysia lebih mendekatkan diri dengan ajaran agama, manakala yang bukan muslim
dapat menyelami maksud yang tersirat dalam kitab Al-Quran dan sunah. Dalam
situasi seperti ini, aspirasi kerajaan untuk menjadi hab pendidikan Islam dan
mengglobalkan fahaman Rasullulah akan direalisasikan melalui media sosial ini kerana
segala maklumat di hujung jari. Dalam sudut lain, program aktiviti
kemasyarakatan seperti Majalah 3, Program Bersamamu dan Bicara Masyarakat juga
berusaha untuk mendidik semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda
khasnya.
Dari era tanpa sempadan yang diwarnai
oleh iktisad berasaskan inovasi dan pengetahuan, peranti elektronik ini
berfungsi sebagai alat pentafsir yang menyeluruh kepada pembaca. Dalam konteks
ini, dunia muktahir lebih mendedahkan pembaca tentang info semasa dalam
multidisiplin ilmu seperti arena politik, ekonomi, sosial mahupun seni dan
kebudayaan. Bahawasanya, media massa diibaratkan teknologi yang berjaya
menembusi sempadan mayapada. Segala penyata kewangan dan spekulasi dunia
pelaburan dengan izharnya diakses melalui analisis yang sistematik. Tegal itu,
pengguna media dapat mentafsir dan meramalkan dunia ekonomi dengan hanya seklip
ikon. Paparan spekulasi penyata kewangan setiap profil syarikat gergasi yang
tersenarai dalam bursa saham membolehkan pelabur mengklasifikasikan untung rugi
dan menjanakan pendapatan melalui aplikasi media sosial. Selain itu, media massa juga
merupakan alat pemantau untuk melaporkan segala kejadian tentang bencana alam dan
musibah yang berlaku di jagatraya dengan jelas dan pantas. Dunia tanpa sempadan
telah melewati segala kekangan masa untuk menyebar luas fenomena dalam alam
ciptaan Tuhan ini. Natijahnya, penghuni di bumi ini akan menimbulkan kesedaran
dan berwaspada terhadap perubahan persekitaran. Pendek kata, malang tidak
berbau dan geruh tidak berbunyi. Media massa bertanggungjawab sebagai pengawas
alam untuk menginsafkan generasi muda bahawa hidup sejagat adalah secara
simbiosis dan saling bergantungan.
Revolusi teknologi maklumat kini telah
mencetuskan kejutan budaya dalam masyarakat ketimuran. Menurut kata Tun Dr
Mahathir Muhammad bahawa generasi muda perlu mengamalkan sikap buang yang keruh
ambil yang jernih semasa menapis budaya asing yang membayangi budaya masyarakat
silam. Walhal, teknologi komunikasi pada era globalisasi ini berperanan sebagai
alat penghibur yang utama. Kebanjiran filem K-Drama dari negara Korea bukan
sahaja mempromosikan nama negara Korea di serata dunia malahan berjaya
merangsangkan pertumbuhan industri perfileman di negara tersebut. Di Malaysia, pengadaptasian
pengaruh filem negara asing seperti lambakan program realiti telah menimbulkan polemik
pro dan kontra di negara kita.Program realiti seperti Malaysia Idol, One A Millionaire,
Akademi Fantasia dan sebagainya menagih perhatian penonton dengan menggunakan system
undian. Generasi muda khasnya sanggup mengikuti perkembangan selebriti yang disanjungi
sehingga mengabaikan pelajaran diri. Walau bagaimanapun, bagai serampang dua
mata, media sosial juga berjaya menghiburkan rawan hati dan mengurangkan
tekanan dalam hidup. Kadangkala, penglipur lara merupakan penawar
mujarab untuk menjauhi pergeseran dan kecelaruan minda semasa melayari bahtera
di tengah samudera yang saujana mata memandang. Lapipun, industri seni dan
kebudayaan merupakan sektor penjana kekayaan yang semakin bertempat di dunia
ini. Kejayaan Hollywood dalam industri ini meyakinkan generasi muda bahawa hobi
merupakan saluran untuk menjamin pulangan yang lumayan.
Sedia kita maklum bahawa pembelajaran
sepanjang hayat telah diwara-warakan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini.
Teknologi komunikasi telah merevolusikan bidang pendidikan dalam kalangan
generasi muda. Dalam menongkah arus perdana yang memerlukan lautan akal tepian budi, remaja perlulah menerokai jalur lebar maya untuk menguasai segala ilmu dengan pantas dan berkesan. Sejak penubuhan MSC di
Cyberjaya, kerajaan Malaysia tidak pernah mengenal jemu untuk menjadikan
Malaysia sebagai hab pendidikan yang utama di Rantau Asia. Pengiktirafan 23 buah
universiti tempatan sebagai universiti yang paling kualiti daripada 300 buah universiti
di Asia oleh QS University telah membuktikan bahawa negara kita mampu menerajui
industri pendidikan melalui penggunaan teknologi komunikasi secara meluas.
Program 1Bestari dan Frog VLE melalui Kementerian Pendidikan Malaysia telah
membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk memastikan setiap pelajar
adalah celik dalam komputer. Pengubahsuaian sistem pendidikan demi mengiringi
kehendak pasaran semasa seyogia dilaksanakan melalui kolaborasi semua agensi. Pelancaran
program GM1M( Guru Muda 1Malaysia) dan memartabatkan profesionalisme keguruan
dalam bidang teknologi komunikasi nescaya memaksimumkan keberkesanan dan
keberhasilan pembelajaran dalam kalangan generasi muda. Inovasi dalam bidang
pendidikan bukan sahaja berkiblatkan kemahiran aras berfikir tinggi malahan
berusaha mempraktikkan budaya inovasi dan kreativiti yang menjamin pulangan
yang berlipat ganda. Mukhtasarnya, usaha OUM(Open Universiti Malaysia) dan
UNitar untuk melancarkan pendidikan maya dan pembelajaran sepanjang hayat
perlulah diteruskan demi melahirkan modal insan yang berintektual tinggi waima
mengikut acuan negara sendiri.
Sebagai penghias penutup bicara,
revolusi teknologi maklumat membuktikan manusia ialah khalifah yang dibekali akal
oleh Tuhan. Media massa diklasifikasikan sebagai alat penghubung, alat
penghibur, alat pentafsir dan alat pemantau, alat pendakwah dan alat pendidik
yang utama dalam dunia muasir ini. Janganlah generasi muda masih enggan
mengorak langkah untuk membudayakan inovasi dalam kehidupan seharian, usahlah
bagai sepuluh jung masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga. Memetik
serangkap gurindam tonggak 12,
Nikmat
mencipta budaya kreatif,
Kembangkan
bakat semoga aktif.
Walakin
begitu, keteguhan jati diri dan keimanan yang kental mestilah menunjangi
keperibadian seseorang remaja semasa mengaplikasikan peranti elektronik yang
canggih ini.
No comments:
Post a Comment