Sunday, August 9, 2015

Percubaan SPM 2015 - 14 bandar selamat

Soalan ini dipetik daripada soalan peperiksaan pertengahan tahun T5 MRSM 2015


Inisiatif mewujudkan konsep Bandar Selamat seperti pemasangan kamera litar tertutup, rondaan keselamatan, Rukun Tetangga dan laluan khas pejalan kaki antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah dan risiko bencana. Huraikan kebaikan-kebaikan mewujudkan Bandar Selamat kepada masyarakat di negara ini.

          Program Bandar Selamat telah dilancarkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2010. (I) Sejak Dato’ Sri Najib Tun Razak menerajui tampuk kepimpinan negara, peratusan indeks jenayah negara menunjukkan penurunan yang dapat meyakinkan masyarakat.  Hal ini dibuktikan oleh keberkesanan NKRA( Bidang Keberhasilan Utama Nasional) yang menyasarkan pengurangkan jenayah dan meningkatkan taraf hidup isi rumah di negara kita.  Statistik menunjukkan sepanjang tahun 2010, berlakunya pengurangan sebanyak 5 peratus bagi jenayah indeks dan 20 peratus bagi jenayah jalanan di seluruh negara. (I) Namun, keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti pihak berkuasa tempatan dan PDRM semakin merosot.  (K) Lantaran itu, Program BS dan Program My Beautiful Neighbourhood telah digarapkan oleh pelbagai agensi supaya mewujudkan persekitaran kondusif  dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat murba. (U) Persoalannya, sejauh manakah prakarsa ini berjaya mengurangkan kes jenayah jalanan dan indeks jalanan  di negara kita? Apakah pula kebaikan-kebaikan mewujudkan Bandar Selamat kepada masyarakat di negara ini?

Sesungguhnya, konsep BS berasaskan kebebasan daripada keganasan, kemerosotan sosial dan akhlak, bencana alam dan kemalangan di luar atau di dalam bangunan. Dalam konteks ini, program ini berkeupayaan membantu membanteras Indeks Jenayah yang semakin menghantui masyarakat metropolitan, khasnya di kawasan hots spot atau kawasan sasaran jeneyah. (A) Pihak polis mengkategorikan statistik jenayah kepada dua bahagian iaitu jenayah bukan indeks dan jenayah indeks. Bagi statistik jenayah indeks pula dibahagikan kepada dua bahagian iaitu jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.(M) Pendek kata, bandar selamat direka cipta mengikut konsep ‘Reka Bentuk Persekitaran Fizikal’(CPTED) untuk memastikan keselamatan penghuni dan meningkatkan kualiti hidup rakyat murba di negara kita. (K) Sebagai contohnya, pemasangan kamera litar tertutup di 50 kawasan panas di empat buah negeri yang telah dikenal pasti telah berjaya untuk mengesan setiap gerak geri penjenayah yang berpotensi. © Begitu juga dengan pemasangan alat pemetaan GIS(sistem maklumat Geografik) jenayah bandar menunjukkan komitmen kerajaan untuk meyakinkan masyarakat tentang keselamatan diri dan keluarga.(C) Tegasnya, persekitaran fizikal yang selamat merupakan penekanan dan sasaran dalam Rancangan Malaysia ke-10 supaya membanteras jenayah indeks dan jenayah jalanan sehingga akar umbinya.(P)

Selain itu, perancangan bandar mengikut piawaian Bandar Selamat berjaya meningkatkan kualiti hidup di kawasan petempatan yang pernah dikenal pasti sebagai kawasan sasaran penjenayah. (A) Sedia kita maklum bahawa segala jenayah disebabkan kekurangan sokongan dan tindakan padu daripada masyarakat sekelilingnya. (M) Antara lainnya penghisap dadah tegar telah menyumbang kepada peningkatan jenayah dalam masyarakat kita, khasnya di kawasan yang menjadi lubuk dadah gengsterisme. (C) Maka, selain memperkasakan persekitaran fizikal dengan pemasangan penggera keselamatan dan sinergi antara agensi kerajaan dengan pengawal keselamatan swasta, Pusat Pemulihan Penagih Narkotik dan Pusat Serenti amatlah penting untuk memastikan penjenayah baharu atau penjenayah juvenil dapat dibimbing ke lorong akidah. (C) Dalam konteks ini, masyarakat akan mengembalikan keyakinan terhadap keselamatan negara dan generasi pelapis yang berpotensi untuk terjebak dalam kancah pidana akan kembali ke pangkal jalan sekiranya terwujudlah pendidikan kerohanian yang berjaya menginsafkan si penjenayah. (K) Tegasnya, memperkasakan kawasan panas dengan komitmen dan kesungguhan daripada semua pihak, nescayalah keselamatan negara akan terjamin, justeru mengangkat nama negara di mercu kegemilangan jagatraya. (P)

Selain mereka bentuk persekitaran fizikal dan pemerkasaan kawasan sasaran jenayah, konsep bandar selamat juga melibatkan penyertaan komuniti dan kesedaran awam tentang keselamatan negara. Sekiranya pelaksanaan bandar selamat berhasil,  pertumbuhan ekonomi negara akan terjamin lantaran pelbagai aktiviti sosioekonomi dapat berlangsung tanpa sebarang gangguan. (A) Malangnya, laporan indeks Unisys Security 2014 telah menyenaraikan Malaysia di tangga kedua antara 12 buah negara yang dikaji mengenai isu keselamatan termasuk keselamatan negara, keselamatan kewangan, jalur lebar dan keselamatan peribadi.(C) Statistik ini cukup merimaskan seantero strata komuniti. Menurut senarai yang dibentangkan dalam kabinet pada tahun 2014, purata dua orang dibunuh setiap hari dan lapan orang dirogol setiap hari di negara kita. (C) Jelaslah bahawa tanpa kesedaran awam daripada semua peringkat tanpa mengira latar belakang, memanglah susah untuk memastikan negara kita terlepas daripada keganasan dan sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi terus gemilang di puncak jagatraya. Walhal, kita bukan berhasrat untuk menjadi negara maju dari segi iktisad namun kita mahu negara kita disanjung tinggi ekoran ketinggian peribadi dan keluhuran akhlak.

Bahawasanya, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak berombak. Negara kita tidak pernah terlepas daripada bencana alam akibat perubahan cuaca dan sikap manusia yang tidak mengendahkan keseimbangan pembangunan fizikal dengan kelestarian alam sekitar yang mapan. Jadi, konsep bandar selamat yang bermotifkan kebebasan daripada kemalangan dan malapetaka dapat mengurangkan kos penyelenggaran kerajaan sekali gus memastikan nyawa penghuni bumi pertiwi tidak terancam. (A) Sebagai iktibar daripada banjir yang terburuk dalam sejarah banjir di Malaysia, Kelantan pada tahun 2014. Tragedi tanah runtuh Hulu Langat 2011 di Batu 14 Jalan Cheras, Hulu Langat, Selangor dan banjir kilat yang teruk di Kuala Lumpur pada tahun 2007. Bencana alam ini semakin melanda negara kita seakan-akan tanpa sebarang amaran. (C) Maka, bandar selamat yang direka cipta dan dirancang mestilah dipantau oleh Jabatan Meteorologi. Sebagai bukti komitmen kerajaan, Rmke-11, projek Rancangan Tebatan Banjir telah dilaksanakan di kawasan yang terdedah kepada masalah malapetaka. (C) Mukhtasarnya, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Konsep bandar selamat mestilah diimplementasikan agar memastikan nyawa dan harta benda dipelihara daripada dugaan musibah.

Akhirnya, lonjakan industri pelancongan merupakan sasaran utama penyumbang kepada KDNK. Sasaran sebanyak 30 juta kehadiran pelancong asing menjelang tahun 2020 mestahillah berhasil sekiranya kawasan pelancongan terus dijadikan kawasan jenayah ragut. Dalam konteks ini, bandar selamat yang berkonsepkan keseimbangan pembangunan mapan dengan pembinaan taman poket dan kawasan landskap dapat menjanakan kekayaan kepada pengusaha dan penghuni bandar. Pembangunan landskap dan pokok renek yang warna-warni dapat meningkatkan nilai estetika dan nilai visual di hutan bandar atau dikenali sebagai taman bandar. Izharnya, perancangan bandar dengan pembinaan gazebo dan pengasingan laluan pejalan kaki dengan rel penghadang dan ‘bollard’ bukan sahaja dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya malahan dapat mengurangkan jenayah jalanan seperti samun berkawan tanpa bersenjata, samun tanpa bersenjata, rogol dan curi ragut. Dalam hal ini, pelancong akan berasa selesa dengan suasana yang aman damai, sekali gus menyebarkan kehijauan dan keharmonian negara ke peringkat global. Walhasil, kemalangan dan penculikan pelancong asing di negara kita bukan kes yang berasingan lagi. Tanpa komitmen bersama yang jitu, segala aspirasi dan Pelan Transformasi Kerajaan hanya akan menjadi fata morgana kerana segala usaha mestilah bermula daripada langkah yang pertama.

Akhirulkalam, maklumat statistik Indeks Jenayah yang dikeluarkan sehingga April 2014, purata 10 orang dibunuh dan sekurang-kurangnya 45 kes rogol direkodkan seminggu. Selain itu, sebanyak 300 kes samun berkawan tanpa senjata dan sebanyak 68 samun tanpa senjata api telah direkodkan di seluruh negara pada setiap minggu. Maka, program bandar selamat perlulah dikuatkuasakan secepat mungkin melalui kodifikasi akta jenayah dan akta alam sekitar yang berkenaan. Kita perlu mengakui bahawa tanpa anjakan paradigma daripada seantero strata komuniti Malaysia tentang kepentingan patriotisme dan sifat empunya terhadap ibu pertiwi, segala strategi susahlah berhasil. Memetik kata mantan presiden Amerika Syarikat, John Kennedy,”Usahlah tanya apa yang boleh diberi oleh negara, tetapi tanyalah diri apa yang boleh diberi kepada negara.” Bahawasanya, keranapan hutan batu dan gerbang pintu hanyalah perlu sekelip mata, namun pembinaan tamadun dan negara memerlukan gabungan rakyat murba  yang sehati sejiwa. Ijmalnya, Konsep Bandar Selamat perlulah dibina agar mewujudkan masyarakat yang utopia dan terus mekar di puncak global.

No comments: